Sunday, July 14, 2013

Biarlah daripada rebungnya

Kaum muslimin sejak zaman dahulu lagi telah menunaikan ibadah puasa. Bahkan mereka telah membiasakan anak-anak mereka untuk berpuasa sejak kecil lagi. Sehinggakan mereka telah menyediakan beberapa alat permainan untuk mereka agar mereka leka bermain dan impak keletihan dapat dikurangkan kerana berpuasa.

Ada di antara ibu bapa yang menyediakan bulu-bulu daripada haiwan sebagai hamparan untuk mereka rehat dan lena di atas hamparan tersebut. Ada juga beberapa permainan yang boleh melekakan mereka agar mereka bersenang-senang hingga waktu berbuka.

Menjadi suatu kewajipan bagi seorang muslim untuk melatih anak-anaknya berpuasa sehingga mereka membesar terbiasa dengan ibadah ini.

Nota tambahan:

Biasanya, anak-anak dilatih dengan memberi ganjaran kepada mereka apabila mereka mencukupkan puasa. Contohnya, memenuhi permintaan anak-anak dengan menyediakan juadah berbuka puasa yang diminta, memberi duit raya dan sebagainya. Namun ia tidak perlu berlebih-lebihan. Cukuplah sekadar untuk memberi sedikit momentum sebagai pembakar semangat untuk mereka meneruskan ibadah puasa.

Hukum melatih anak-anak yang mumaiyiz berpuasa sama seperti hukum melatih anak untuk solat kerana kedua-duanya merupakan rukun daripada rukun-rukun Islam.

Walaupun kanak-kanak yang belum baligh tidak diwajibkan berpuasa, ia bukanlah satu larangan kepada ibu bapa melatih anak-anak berpuasa. Rasulullah SAW menyuruh ibu bapa melatih anak-anak mengerjakan solat walaupun mereka belum mencapai usia baligh. Hadis yang bermaksud: "Suruhlah anak-anakmu mengerjakan sembahyang ketika umur mereka tujuh tahun dan pukullah mereka jika mereka enggan melakukannya ketika umur mereka sepuluh tahun." - Hadis riwayat Imam Ahmad dan Abu Daud

Sekiranya arahan Nabi SAW untuk melihat kanak-kanak terbiasa dengan amalan solat sebelum ia diwajibkan ke atas mereka, maka begitu juga dengan amalan puasa.

No comments:

Followers