Mungkin Allah SWT membuka pintu ketaatan untuk anda, tetapi harus diingati bahawa mungkin juga Allah SWT tidak membuka pintu penerimaan. Bahkan Allah SWT mentakdirkan adanya kemaksiatan yang anda lakukan kemudian anda bertaubat nasuha menyebabkan sampainya amal anda ke hadrat Allah SWT.
Kemaksiatan yang menimbulkan kehinaan dan kesedihan lebih baik daripada ketaatan yang menimbulkan perasaan bangga dan sombong. Ibadah tersebut terkeluar daripada penerimaan Allah SWT apabila anda berkata: 'Siapa yang boleh menandingiku? Aku berpuasa dan aku melakukan solat sunat. Aku juga melakukan solat tarawikh dan solat malam. Sepanjang waktu aku akan bersedekah dan memberi makan kepada yang memerlukan.'
Oleh itu anda haruslah bersyukur apabila diberikan anugerah untuk taat kepada Allah SWT. Jangan sesekali berasa riya' dan bangga diri terhadap diri sendiri.
Nota tambahan:
Bagi kita, adalah bertuah dan beruntung jika kita sedar dan ingat setiap kesalahan yang kita lakukan sendiri. Sebaliknya, dengan melupakan kejahatan dan keburukan yang pernah kita lakukan akan menyebabkan kita lupa diri dan sentiasa berasa betul dan benar.
Walhal, diri kita penuh dengan dosa dan noda. Sebaliknya dengan mengingati kejahatan dan kesilapan yang pernah kita lakukan, akan membuatkan kita ingat siapa diri kita ini pada pandangan Allah SWT.
Oleh itu, kita akan sentiasa patuh dan menginsafi setiap yang telah kita lakukan. Jangan pula kita sentiasa mengingati keburukan orang lain tetapi melupakan keburukan diri kita sendiri.
No comments:
Post a Comment