Thursday, November 15, 2012

Tuan Guru Nik Aziz dinobat sebagai 'Tokoh Pendidik Nusantara'



tgna_masri2

Tuan Guru Nik Abdul Aziz dan Mauizhah
Oleh: Ustaz Zainudin Hashim
Setinggi-tinggi Tahniah kepada Tuan Guru Menteri Besar Kelantan, kerana telah dinobatkan sebagai ‘Tokoh Pendidik Nusantara’ pada majlis anugerah di Shah Alam, 8 September 2012.
    Sebenarnya Tuan Guru bukan hanya layak bergelar pendidik atau murabbi, malah seorang yang komited dengan apa yang disampaikan, sama ada melalui kuliah-kuliah rohani, tulisan beliau secara langsung atau tidak langsung yang mampu memikat golongan pendengar dari dalam dan luar negara termasuk golongan seniman seperti penulis novel Ayat-ayat Cinta, Dalam Mihrab Cinta dan Ketika Cinta Bertasbih (KCB) iaitu Habiburrahman Siraji dan juga para pelakon utama KCB iaitu Kholidi Asadil Alam dan Oki Setiana Dewi yang pernah bertandang ke Kelantan dan mengikuti kuliah pagi Jumaat beliau.
    Penulis begitu yakin bahawa Tuan Guru tidak senang dengan pujian melambung yang diberikan ke atas dirinya, kerana pujian tersebut tidak memberi makna sedikitpun di dunia mahupun akhirat jika tidak menyusuli dengan tindakan positif, ini jelas daripada kenyataan beliau seusai ditabalkan sebagai tokoh pendidikan, di mana beliau menegaskan bahawa apa ertinya seorang manusia itu diberi penghormatan di dunia, tetapi menghadapi siksaan kubur.
Tegas beliau lagi, apa ertinya di dunia bagi seorang yang cerdik, tetapi tidak berjaya mendapat kehidupan bahagia di dalam syurga. Firaun, Abu Jahal, Abu Lahab dan lain-lain adalah golongan cerdik tetapi kesudahan mereka menetap di dalam neraka, ini kerana mereka buat cara mereka sendiri dengan tidak mengikut cara yang diperkenalkan oleh baginda s.a.w.
Secara peribadi ingin penulis nyatakan di sini, bahawa Tuan Guru adalah seorang pendidik/murabi yang sangat berkesan dalam setiap kesempatan yang diberikan kepadanya, malah penampilan dan cara hidupnya yang sederhana juga memainkan peranan yang sangat penting untuk menambat hati manusia yang cintakan kebenaran, bukan sahaja dalam kalangan orang-orang Islam, malah turut disegani dan dihormati oleh mereka yang bukan Islam, inilah rahsia kejayaannya dalam mengekalkan Kelantan berada di bawah penguasaan PAS.

Tuan Guru dan kepimpinan Rasulullah s.a.w.
Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. adalah contoh terbaik dalam segenap aspek kehidupan ummah hingga ke hari akhirat, baginda bukan sahaja menitik-beratkan persoalan kepimpinan negara dengan ‘Siyasah Syar’iyyah’, iaitu konsep Khilafah Islamiyyah yang merupakan teras seperti yang ditegaskan Allah dalam al-Quran.
Pada masa yang sama baginda mengurus tadbir negara dengan sistem pemerintahan Islam, baginda tidak menyisihkan aspek mauizhah/bimbingan/tarbiyyah, kerana hati-hati manusia perlu dipaut dengan elemen kebenaran, kerana merekalah yang menjadi pendukung tegar bagi merealisasikan kebenaran al-Quran dan ajaran Islam yang lain.
Rasanya jika penulis mahu mencatatkan sebahagian besar mauizhah yang disampaikan baginda sepanjang bergelar pemimpin dan murabbi, maka ruangan muhasabah ini tidak mampu untuk menyatakan semuanya, walau bagaimanapun penulis cuba membuktikan antara pendekatan mauidzah baginda dalam memandu para sahabat dan ummah untuk sampai kepada maksud perubahan total nilai-nilai kemanusiaan.
   Syeikh Sa’id Hawwa dalam bukunya ‘Al-Islam’ pada halaman 13 juzuk ke-4, ada menukilkan sebuah hadis baginda s.a.w. yang bermaksud berdasarkan satu pertanyaan baginda kepada sahabat-sahabatnya : “Bagaimana sikap/pendirian/sensitiviti kamu (wahai sahabat-sahabatku), jika terdapat dalam kalangan wanita (dalam kalangan kamu) yang melakukan perkara sumbang (tarhadap Allah dan Rasul-Nya), golongan remaja melakukan sesuatu yang menjurus kepada amalan fasiq dan kamu meninggalkan jihad?, para sahabat bertanya, wahai Rasulullah : Apakah perkara seumpama itu berlaku (dalam kalangan kami) duhai Rasulullah? Ya, demi sesungguhnya nyawaku di tangan (Allah), perkara yang lebih buruk daripada itu akan berlaku, apakah perkara yang buruk itu wahai Rasulullah?. Bagaimana sikap/pendirian/sensitiviti kamu (wahai sahabat-sahabatku), jika perkara yang makruf itu kamu lihat sebagai perkara yang mungkar dan sebaliknya perkara yang mungkar itu pula kamu lihat sebagai perkara yang makruf? para sahabat bertanya, wahai Rasulullah : Apakah perkara seumpama itu berlaku (dalam kalangan kami) duhai Rasulullah? Ya, demi sesungguhnya nyawaku di tangan (Allah), perkara yang lebih buruk daripada itu akan berlaku, apakah perkara yang buruk itu wahai Rasulullah?. Bagaimana sikap/pendirian/sensitiviti kamu (wahai sahabat-sahabatku), jika kamu suruh/subur-suburkan yang mungkar dan kamu cegah pula yang makruf.

Wahai saudara-saudari pembaca sekalian,
Sesungguhnya persoalan di atas bukan terbit daripada seorang ustaz yang menyampaikan kuliahnya di masjid atau surau, akan tetapi kenyataan di atas terbit dari seorang pemimpin negara yang amat prihatin dengan permasalahan rakyatnya, untuk memimpin mereka ke jalan kebenaran menuju Allah SWT. Dengan lain perkataan baginda ingin mengeluarkan manusia dari penyembahan berhala dan manusia kepada penyembahan Tuhan segala manusia dalam gambaran aspeknya yang luas dan menyeluruh, termasuk soal ibadat, ekonomi, sistem kewangan, politik, institusi kemasyarakatan dan banyak lagi.
Tidakkah baginda Rasulullah seorang pemimpin nombor satu negara? Tetapi mengapakah baginda menitik-beratkan aspek mauizhah/tarbiyyah? Ini tidak lain kerana hati-hati manusia sering lalai daripada mengingati kebesaran Tuhan mereka lantaran pencapaian aspek kebendaan yang menjauhkan mereka daripada Allah SWT.
     Justeru, sebagai umat Islam dan hamba Allah yang serba kerdil dan tidak sempurna ini, kita perlu mendaulatkan kepimpinan baginda Rasulullah s.a.w. dalam segenap aktiviti harian hidup kita yang tercatat dalam kitab-kitab Sirah Nabawiyyah yang muktabar bagi mengembalikan kemulian dan keagungan Islam di persada alam ini, kerana sesungguhnya Sirah Nabi itu adalah pelaksanaan Islam secara praktikal.
   Tuan Guru Menteri Besar, bukan sahaja menerajui kepimpinan negeri dengan acuan Islam, malah pada masa yang sama sentiasa bertindak mencontohi baginda Rasulullah s.a.w. dengan menyampaikan segenap ajarannya secara praktikal, maka pada pagi Jumaat, beliau akan menyampaikan kuliah bertujuan untuk menyedarkan rakyatnya kepada Islam dalam segenap pendekatan dan dimensi Islam.
   Beliau juga mahukan agar kepimpinan negeri yang menjadi cabinet pentabiran negeri juga adalah terdiri daripada mereka yang memiliki hati nurani yang sentsitif dengan elemen Islam, mengapa demikian? Kerana bagaimana mungkin Islam akan dapat didaulatkan jika para pemimpin tidak menjadi golongan pengamal malah menjadi pelampau agama. Inilah aspek yang sering menjadi keutamaan kepimpinan Tuan Guru yang meletakkan mauidzah dan tarbiyyah sebagai teras kejayaan kepimpinannya.

Di mana mauizhah dan tarbiyyah disebar-luaskan hingga mencakupi segenap bentuknya, iaitu
Tarbiyyah Ruhiyyah
Tarbiyyah Aqliyyah
Tarbiyyah Nafsiyyah
Tarbiyyah Siyasiyyah
Tarbiyyah Akhlaqiyyah
Tarbiyyah Imaniyyah
Tarbiyyah Jasadiyyah dan bermacam-macam lagi yang tidak dapat disenaraikan semuanya.
Bagi memastikan matlamat dan momentum penjenamaan negeri Kelantan dengan Islam, Tuan Guru sentiasa meletakkan ‘Mauizhah dan Tarbiyyah’ sebagai agenda utama kerajaan negeri, justeru di samping mengurus tadbir negeri, pada masa yang sama Tuan Guru meletakkan kepimpinan Rasulullah s.a.w. sebagai rujukan, iaitu di samping mentadbir, beliau juga menghasilkan bahan-bahan ilmiah yang terdiri daripada nukilan al-Quran, hadis dan Sirah Nabi serta pandangan sarjana Islam, antara hasil karya Tuan Guru :
1- MAUIZHAH
2- Tafsir Surah-surah Pilihan
3- Muhammad Bukan Nasionalis
4- Bertemu Janji Allah
5- Ingatlah Tempat Kamu Di Akhirat
6- Muhammad s.a.w. Insan Teladan Sepanjang Zaman
7- Muhammad s.a.w. Jejak Junjungan Mulia
8- Taqwa
9- Asmaul Husna
10- Air Mata Di Mahsyar
11- Menjelang Turunnya Wahyu
12- Tazkiyah Jiwa dan Nafsu dan banyak lagi
Sesungguhnya pemilihan dan penabalan YAB Tuan Guru Dato’ Bentara Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai ‘Tokoh Pendidik Nusantara’ sebagai satu pengiktirafan bahawa seorang pendidik tidak sahaja duduk di sekolah, masjid atau surau menyampaikan ilmu, maklumat dan kefahaman, akan tetapi pendidik juga mempunyai peranan yang lebih besar dalam mendidik rakyat dengan Islam untuk menuju keselamatan sebenar di dunia dan akhirat, sesuai dengan makna Islam itu sendiri iaitu menjamin keselamatan total daripada Allah SWT, mudah-mudah Kelantan salah satu negeri di Malaysia menepati piawaian ayat 15 surah Saba’ yang bermaksud : “Negeri yang baik, Tuhan (bersedia) mengampunkan rakyat-rakyatnya.”

No comments:

Followers