Sambutan tahun baru Hijrah 1434 kali ini amat baik bagi semua umat Islam sama-sama bermuhasabah dalam meneruskan usia (nikmat) kehidupan agar sentiasa diredai Allah SWT. Lebih-lebih lagi dalam suasana umat Islam, termasuk di negara ini yang masih diselubungi dengan isu perpecahan dan perpaduan. Justeru perpaduan adalah pilihan terbaik demi mengukuhkan kedudukan umat Islam dan perpecahaan hendaklah dielak sama sekali. Inilah titik muhasabah dan pendirian yang sepatutnya dikongsi sama oleh semua pemimpin dan golongan Islam pada saat menyambut tahun baru Hijrah ini.
Sehubungan itu, saya terkenang kepada satu kunjungan lima orang kenamaan merupakan bekas pegawai tinggi kerajaan (pada 2 Zulhijah 1433), datang menyampaikan salam perpaduan mewakili pelbagai NGO Melayu. Mereka menjadi penyambung cita-cita perpaduan yang sedia dipupuk atas nama bangsa. Bicara dan luahannya dengan nada kecintaan yang tinggi kepada warisan bangsa yang digambarkan terlalu indah sekiranya perpaduan Melayu dapat dipupuk.
Malangnya, tiada nilai ‘hijrah’ diperhatikan dari setiap tutur bicara dan luahan itu. Mereka tegar dengan kepompong bangsa. Perpaduan yang dibina belum menyentuh persoalan teras seperti diajar oleh Islam. Mereka semacam tidak ambil penduli dengan kisah dan sirah para nabi dalam membina asas perpaduan sejati.
Malangnya, tiada nilai ‘hijrah’ diperhatikan dari setiap tutur bicara dan luahan itu. Mereka tegar dengan kepompong bangsa. Perpaduan yang dibina belum menyentuh persoalan teras seperti diajar oleh Islam. Mereka semacam tidak ambil penduli dengan kisah dan sirah para nabi dalam membina asas perpaduan sejati.
Oleh kerana itu, saya terus menzahirkan kebenaran dan mengajak mereka memahami nilai ‘hijrah’ ke arah membina perpaduan sejati.
Saya katakan, kita hendaklah bertitik (berpegang teguh) atas Islam bukan bertitik atas Melayu. Kita kena berhijrah dari kepompong Melayu kepada Islam. Ini kerana, kita dijadikan oleh Allah SWT ada tujuannya. Allah cipta Nabi Adam dan turut memberi peringatan agar tetap taat dan patuh kepada perintah-Nya. Namun tabiat manusia, meskipun Allah SWT sudah memberi peringatan, tetapi ada juga yang lupa perintah Allah sehingga berpecah-belah. Selepas Nabi Adam, berlaku pula kalangan anak dan cucunya, berbalah (berpecah-belah) sampai sekarang ini.
Sedangkan Allah SWT telah memperingatkan kita dengan firman-Nya:
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam (102). Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan-Nya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayah-Nya (103).”Surah Ali-Imran ayat 102-103)
Mana-mana puak yang berpecah-belah perlu kembali bersatu (membina perpaduan). Asas bersatu hendaklah berpaksikan hidayah Allah, bukannya pemikiran atau ikut selera manusia. Natijah inilah menafikan pemikiran manusia yang sering memikirkan asas bangsa sebagai teras perpaduan. Di sini tiada perpaduan (di sisi Allah) berlaku atas nama bangsa. Justeru jika mahu bersatu maka pakailah hidayah Allah SWT. Hidayah itu adalah tali Allah bukan tali kebangsaan.
Mana logiknya dipakai tali kebangsaan (memilih asas bangsa). Ia kerana tali agama (Islam) adalah perintah Allah. Maknanya, perpaduan semua kaum (Melayu, Cina, India), atau sesama kaum (kalangan Melayu) akan berjaya bila diasaskan atas nama Islam. Ini jaminan Allah SWT dalam Al-Quran, kerana Islam mengajar untuk bersatu-padu bukannya berpecah-belah.
Jika dipakai tali kebangsaan, meskipun atas nama Melayu, Cina , India mahupun Arab, ia bukan tuntutan Islam dan tiada dalam ajaran Nabi Muhammad SAW. Ambilah pengajaran daripaada kisah hijrah Nabi Muhammad SAW. Baginda berhijrah dari Mekah ke Madinah bukannya untuk kepentingan bangsa Arab, tetapi kerana Allah (sabda baginda):
“Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan RasulNya , maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Baginda kemudian berjaya membina perpaduan atas hidayah Allah itu. Paling nyata, berlaku perpaduan antara golongan Muhajirin (dari Mekah) dan Ansar (penduduk Madinah), lalu bersama-sama membina keutuhan Islam dan sanggup pula berjuang menegak dan mempertahankan Islam.
Atas keharmonian perpaduan itulah menyebabkan pelbagai kabilah Arab yang belum Islam (Yahudi dan Nasara) turut memberi kepatuhan kepada pentadbir Madinah yang dipimpin oleh Nabi Muhammad SAW.
Pengajaran daripada perjalanan (model) perpaduan ditunjuk oleh Nabi Muhammad SAW itu telah memberi keyakinan bahawa Islam (dari segi tauhid) adalah penyatu dan boleh berperanan sebagai titik pertemuan. Justeru apalah hebatnya seruan “perpaduan Melayu” kerana ia bukan ajaran dari langit. Ia tidak lebih daripada impian sesetengah pemimpin yang tidak suka menoleh kepada ajaran tauhid (mengutamakan perintah Allah). Sedangkan kita ini (manusia)––diciptakan oleh Allah––adalah sebaik-baik ciptaan (firman-Nya):
“Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya).”(Surah At-Tiin ayat 4)
Munasabahnya, atas sifat insan bukan haiwan sudah tentu dapat menerima ajaran yang mulia (Islam). Ini kerana hanya Islam yuang mengajar soal hidup dan mati, pahala dan dosa serta adanya balasan syurga dan neraka. Ajaran seumpama ini tidak ada dalam fahaman kebangsaan dan sekularisme. Justeru kenapakah kita (insan yang taqwim––semulia-mulia kejadian) masih taksub dan berpaut kukuh pada dahan kebangsaan?
Seharusnya kita dapat mengambil perhatian akan bahayanya sekularisme yang hanya mengambil kira soal dunia semata-mata. Sedangkan kita akan bertemu Allah SWT di akhirat kelak, maka bagaimanakah kita akan berdepan dengan-Nya sedangkan sepanjang hidup di dunia kita tidak menerima hidayah dan ajaran-Nya (sebagai bekalan akhirat)? Sehingga sanggup menyeru dan berjuang ke arah perpaduan bermodelkan kebangsaan Melayu.
Atas semangat sambutan Hijrah 1434 ini, maka suka ditegaskan bahawa perpaduan yang diimpikan bermodelkan ‘kebangsaan Melayu’ sebenarnya tiada dalam kepala saya!
Bagi saya, teras dan model perpaduan sebenar hanyalah Islam––berpaksikan taqwa kepada Allah––suatu perpaduan yang ada nilainya di akhirat kelak. Ini kerana setiap perpaduan (bagi kita orang Islam) hendaklah meyakini bahawa ia akan berakhir di akhirat. Justeru itu, apa makna kita memakai dasar selain Islam. Maka ada baiknya jika pihak yang berkenaan, kalau ‘mahu sangat’ kepada perpaduan, terimalah dasar Islam dan buang (bubar) dasar kebangsaan yang jelas sekular.
Selamat menyambut tahun baru Hijrah 1434, semoga segala nikmat-Nya bakal memanjangkan usaha dan perjuangan Islam di dunia sampai ke akhirat. Allahu Akbar.
Sumber: Blog Tok Guru
No comments:
Post a Comment