Monday, November 5, 2012

PAS Perak sedia khidmat guaman percuma kepada mangsa kamera AES



IPOH: PAS Perak menerusi Jawatankuasa Strategik dan Isunya hari ini menyatakaan kesediaannya untuk memberi khidmat guaman secara percuma kepada mangsa kesalahan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES).

Timbalan Pesuruhjayanya, Ustaz Misbahul Munir Masduki berkata, ini adalah respon daripada kenyataan Menteri Besar Perak, Dato’ Dr Zambry kadir yang enggan menangguhkan sistem pemantauan trafik itu.

Menurut Misbahul, tawaran tersebut adalah untuk rakyat Negeri Perak yang telah menerima notis saman tersebut tanpa mengira bangsa, agama mahupun parti politik.

Katanya, barisan peguam daripada Jawatankuasa Strategik dan Isu akan mengelola proses saman tersebut.

“Tawaran ini adalah untuk mangsa saman AES yang inginkan pembelaan dan mempertahankan haknya dan kami secara terbuka akan membantu mereka tanpa sebarang caj guaman,” katanya dalam sidang media di Pejabat PAS Perak.

Hadir sama ialah Ahli Jawatankuasa Strategik dan Isu, Safarizal Saleh serta barisan peguam iaitu Zamri Ibrahim dan Fitri Asmuni.

Misbahul Munir menjelaskan, PAS Perak telah menyediakan perkhidmatan talian secara hotline kepada mangsa sistem tersebut.

“Kepada yang inginkan bantuan guaman bolehlah menghantar butiran kepada pihak kami di talian 0133493848.

“Kami sekali menggesa kerajaan negeri Perak untuk menanggungkan perlaksanaan sistem tersebut seperti yang dilakukan oleh negeri-negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat kerana ianya jelas ditentang oleh rakyat yang melihatnya sebagai cara kerajaan membolot duit rakyat,” tegas beliau.

Sementara itu, Zamri Ibrahim yang juga Pengarah Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia Dewan Pemuda PAS Perak (Juham) berkata, berdasarkan penelitian pihaknya, saman yang dikeluarkan mengelirukan kerana menggunakan seksyen79(2) yang tiada kena mengena dengan had laju.

Menurutnya, kesalahan had laju mempunyai seksyen khusus yang termaktub didalam Akta Pengangkutan Jalan.

Kata beliau, tawaran ini juga telah dibuat oleh Pengerusi Kempen Anti Saman Ekor (KASE), Dato’ Mahfuz Omar baru-baru ini diparlimen dan pihaknya telah meneruskan usaha yang dilakukan itu untuk membela mangsa sistem yang mendapat bantahan ramai itu.

Zamri berkata, pihaknya telah menerima banyak respon daripada rakyat yang telah menerima saman tersebut dan secara keseluruhannya tidak berpuas hati dan ingin mencabar di mahkamah.


“Pihak kami akan memaklumkan kepada semua mangsa saman yang telah menghantar butiran kepada kami untuk mengadakan perjumpaan serta memberi taklimat tentang proses tersebut,” jelasnya lagi.


No comments:

Followers

Video ajijoi

Loading...