Monday, January 24, 2011

Isu salam: Mungkinkah Soi Lek belajar daripada Zambri?

Mula-mula, baca yang ini dulu. Syabas buat Harussani dengan teguran dibawah.

Isu bersalam: Harussani anggap Soi Lek hina Islam, perlu minta maaf

January 24, 2011

LABIS, 24 Jan — Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria menyifatkan tindakan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, yang menyentuh soal wanita Islam bersalam — calon PAS-Pakatan kerusi DUN Tenang, sebagai satu pendirian menghina agama Islam yang merupakan agama rasmi negara ini.

Justeru, Harussani(gambar) menggesa Dr Chua yang juga Presiden MCA supaya meminta maaf kepada orang Islam kerana mempertikaikan tertib bersalam seorang wanita Islam.

Kempen Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Tenang dilihat memberikan tumpuan kepada cara bersalam calon PAS-Pakatan Rakyat Normala Sudirman yang tidak bersalam dengan lelaki.

Kontroversi itu terlebih dahulu ditimbulkan Dr Chua dan ia diikuti beberapa pemimpin MCA yang turut mempertikaikan pendekatan Normala itu.

Selain itu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin turut menyokong tindakan Dr Chua yang membangkitkan agenda PAS untuk menubuhkan sebuah negara Islam jika Pakatan Rakyat berkuasa adalah baik bagi “mengingatkan” masyarakat Cina di DUN Tenang.

“Beliau (Dr Chua) perlu tahu, kalau tahu beliau kena hormati pendirian agama masing-masing, kalau tidak tahu itu adalah kejahilan.

“Kalau tahu tapi buat-buat tidak tahu itu menghina Islam namanya... saya bukan sebut ini untuk pertahankan calon PAS tapi ini melibatkan ajaran agama.

“Jadi beliau perlu minta maaf kerana menghina orang Islam,” kata Harussani ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Pada pilihan raya kecil DUN Tenang ini, Pakatan Rakyat meletakkan Normala, Ketua Muslimat PAS Labis sebagai calon manakala BN pula diwakili bekas Penolong Pentadbir Tanah Daerah Kecil Rengit, Mohd Azahar Ibrahim.

Normala, seorang bekas guru juga merupakan Exco Dewan Muslimat PAS pusat.

Menurut Harussani, sebagai seorang wanita yang beragama Islam sudah menjadi kewajiban beliau untuk menjaga adab termasuk dari aspek bersalam.

“Barangkali beliau (Dr Chua) tidak tahu, beliau tak tahu apa itu hukum Islam.

“Kalau lelaki dan wanita itu bukan muhrim maka mereka tidak boleh bersalam, itu haram namanya.

“(Dr) Chua kena tahu itu adalah hukum agama, bagi orang Islam yang beriman tindakan itu adalah betul kerana agama jelaskan katakan ia haram,” katanya.

Dalam satu temubual bersama The Malaysian Insider semalam, Normala menyifatkan Umno telah gagal membantu MCA memahami konsep Islam yang sebenar sehingga menyebabkan parti komponen BN itu tidak dapat menghormati nilai dan tertib orang Islam khususnya kaum wanita.

Beliau juga meminta MCA memahami adat dan tatatertib orang Islam terutamanya wanita Islam sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menimbulkan kontroversi.

Menurut Normala, sepatutnya setelah 53 tahun merdeka MCA sepatutnya sudah memahami tertib seorang wanita Islam.

Kempen pilihan raya kecil ke-14 ini masuk hari kedua hari ini. Pengundian akan diadakan pada 30 Januari.

Dalam pada itu, Harussani turut menyifatkan tindakan bekas menteri besar Perak Datuk Seri Nizar Jamaluddin mengeluarkan “fatwa” baru sebagai bertentangan dengan ajaran Islam.

“Beliau (Nizar) tidak boleh gunakan ajaran agama sewenang-wenangnya, kalau tiada dalam tuntutan (agama) tidak boleh kata haram.

“Kalau nak keluarkan (fatwa) mesti ada nas-nas, jangan main cakap sahaja.

“Kalau tiba-tiba kata haram ia melebihi Tuhan, melebihi Tuhan adalah syirik,” katanya.

Beliau juga menggesa mana-mana parti politik supaya tidak menggunakan agama dalam kempen pilihan raya kecil DUN Tenang.

“Jadi jangan gunakan agama sewenang-wenangnya, jangan kerana politik agama dipolitikkan.

Saya tidak sebelah mana-mana, apa yang saya cakap berdasarkan agama Islam,” katanya.

- Malaysian Insider

Chua Soi Lek belajar daripada Zambri?

Berkenaan isu salam sepertimana yang dikatakan oleh Chua Soi Lek menunjukkan bahawa kejahilan beliau didalam perkara-perkara yang membabitkan agama Islam. Ini memang jelas.

Umno selaku parti rakan kepada MCA juga telas jelas nyata GAGAL didalam menerangkan konsep Islam sebagai cara hidup yang sebenar.

Gesaan Mufti Perak agar Chua Soi Lek memohon maaf kepada umat Islam dinegara ini adalah amat wajar dan tindakan yang tepat sekali.

Namun begitu, sekiranya Chua Soi Lek menunjukkan gambar seperti dibawah, dimana seorang Exco AGAMA yang juga merangkap Menteri Besar? Perak, Zambri Abdul Kadir bersalaman dengan seorang wanita yang jelas bukan muhrimnya, dikhalayak ramai pula, sebagai bahan bukti akan kenyataannya tempohari tentang 'tertib bersalam seorang wanita Islam', apakah jawapan yang hendak diberikan (atau diterangkan) oleh Mufti Perak akan hal tersebut?

Ini kerana bukan sahaja MCA, malah seluruh rakyat Malaysia yang bukan beragama Islam telah diajar dan ditunjukkan contoh oleh pimpinan Umno selama 53 tahun bahawa apa yang dilarang oleh agama Islam, boleh dilakukan tanpa batasan oleh mereka. Contohnya: bersalam lelaki dan wanita, tidak menutup aurat, rasuah, minum arak dan banyak lagi.

Kita sebagai umat Islam dinegara ini perlulah menunjukkan contoh yang sebenarnya kepada yang bukan Islam agar jangan kita dipersoalkan kelak....akan kejahilan kita yang telah lama tahu berbanding kejahilan mereka yang tidak diberitahu.

Mungkin Mufti Perak boleh merenungkan akan hal ini sambil menatap gambar dibawah sedalam-dalamnya. Pasti Mufti akan berfikir bahawa bukan hanya Chua Soi Lek seorang sahaja yang perlu ditegur didalam hal ini.

No comments:

Followers

Video ajijoi

Loading...