Sunday, January 23, 2011

Prk Tenang: PAS vs BN

CALON bagi pilihanraya Dun Tenang, Mohd Azahar Ibrahim (BN), 39, (kanan) dan calon PAS Normala Sudirman, 38, melambaikan tangan kepada jurugambar selepas menyerahkan borang pencalonan masing-masing di Pusat Penamaan Calon bagi pilihanraya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang (N.09) di majlis Daerah Labis, hari ini.


LABIS: Pilihan raya kecil N.05 Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang menyaksikan saingan dua penjuru antara Barisan Nasional (BN) dan PAS apabila hanya dua kertas pencalonan yang diterima sehingga tempoh penyerahan borang tamat.

Barisan Nasional diwakili oleh calonnya, Mohd Azhar Ibrahim 39n bekas Penolong Pegawai Daerah Rengit sementara PAS meletakkan calon wanita, Normala Sudirman,38, bekas guru.

Keputusan tersebut diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Md Asri Amir pada pukul 11.28 pagi di perkarangan Majlis Daerah Labis di sini pada Sabtu.

Md Asri berkata walaupun terdapat tiga bantahan diterima sepanjang tempoh bantahan berlangsung namun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menolak kesemuanya.

Sementara itu, Mohd Azhar berkata, beliau akan berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk meraih sokongan daripada pengundi pelbagai bangsa di Tenang.

"Kita akan cuba meraih undi daripada penduduk Melayu, Cina dan India di Tenang," katanya kepada pemberita selepas diumumkan sebagai calon di pusat penamaan calon, Majlis Daerah Labis di sini, Sabtu.

Beliau juga yakin Umno mempunyai peluang untuk mempertahankan kerusi DUN Tenang.

Mengenai calon wanita yang diturunkan oleh PAS pada pilihan raya kecil kali ini, Mohd Azhar berkata: "Bagi saya tak ada masalah sama calon wanita atau lelaki. Masing-masing punya kelebihan.

"Kita ada cara dan pendekatan tersendiri begitu juga dengan mereka," katanya.

Bagi calon PAS, Normala pula beliau turut melaungkan kenyakinan untuk menang dan percaya pengundi di Tenang akan membuat kejutan demi mengubah bangsa dan negara pada masa hadapan.

"Saya yakin pengundi akan buat perubahan dan anjakan paradigma demi masa depan mereka.

"Malah saya yakin dan optimis mandat akan diberikan dan pengundi akan buat pilihan terbaik untuk pilih wakil rakyat," katanya.

Namun bekas guru ini menegaskan nasibnya terletak kepada keputusan dan mandat yang akan diberikan oleh pengundi di Tenang pada hari pengundian nanti.

Pilihan raya kecil DUN Tenang akan diadakan pada 30 Januari ini.

Ia diadakan ekoran kematian penyandanya, Datuk Sulaiman Taha,59, akibat jangkitan kuman dalam darah dan penyakit kencing manis di Hospital Pakar Ampang Puteri, Kuala Lumpur pada 17 Disember tahun lalu.

DUN Tenang mempunyai 14,753 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 14,735 pemilih biasa dan 18 pengundi pos, dengan kebanyakan penduduk bekerja sebagai petani, pekerja di ladang getah dan kelapa sawit.

Daripada jumlah itu, 7,014 orang (47.54 peratus) terdiri daripada kaum Melayu; Cina (5,766); India (1,780); Bumiputera Sabah (enam), Bumiputera Sarawak (lima) dan Orang Asli (171).

No comments:

Followers