Monday, December 29, 2008

Tunku Mukhriz dimasyhur Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ke-11


KUALA PILAH: Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir, 60, hari ini dimasyhurkan sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.

Istiadat pemasyhuran itu dilakukan oleh Undang Luak Sungai Ujong Datuk Klana Petra Datuk Mubarak Dohak di Balairong Seri, Istana Besar Seri Menanti pada 3.45 petang.
Upacara itu disiarkan secara langsung menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Pemasyhuran Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ke-11 dilakukan berikutan kemangkatan Tuanku Ja'afar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman.
Pelantikan Yang Dipertuan Besar itu dilakukan mengikut Adat Perpatih Negeri Sembilan.
Tuanku Muhriz dilantik sebagai Yang Dipertuan Besar daripada antara Putera Yang Empat menurut perlembagaan negeri dalam satu majlis ringkas di sini.
Tiga putera lagi, Tunku Laxamana Tunku Naquiyuddin Ibni Almarhum Tuanku Ja'afar, Tunku Muda Serting Tunku Imran Ibni Almarhum Tuanku Ja'afar dan Tuanku Panglima Besar Tunku Nazaruddin Ibni Almarhum Tuanku Ja'afar turut hadir.
Semalam, empat Undang iaitu Undang Luak Sungai Ujong, Undang Luak Johol, Undang Luak Jelebu dan Undang Luak Rembau bersama-sama Tunku Besar Tampin mengadakan persidangan tertutup bagi memilih Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan yang baru.
Dilahirkan pada 14 Jan 1948, Tuanku Muhriz menerima pendidikan awal di Sekolah Menengah King George V, Seremban dan meneruskan pengajiannya di Aldenhem School, United Kingdom.
Tuanku Muhriz memperoleh Sarjana Muda Undang-undang dari University College of Wales, Aberystwyth, United Kingdom.

No comments:

Followers