Wednesday, December 31, 2008

Selamat Datang 2009, Selamat Tinggal 2008


Semoga tahun 2009 membawa sesuatu yang bermakna dan lebih indah daripada tahun 2008 yang kita tinggalkan. Perbaiki segala kelemahan dan kesalahan yang lalu dan tingkatkan keimanan dan jati diri agar menjadi seorang insan yang berguna kepada agama, bangsa dan negara. Teruskan muhasabah diri dan istiqamah di dalam perjuangan memartabatkan Islam di bumi Perak dan Malaysia yang kita cintai ini.

Sudahkah menetapkan azam yang baru tahun 2009 ini? Bagaimana pula dengan azam yang lalu? Sudahkah tertunai ataupun terpaksa dibawa ketahun baru ini? Walau apapun caranya, doa adalah kenderaan terbaik untuk memandu azam kita ke arah yang ikhlas dan benar.

SELAMAT TAHUN BARU 2009 kepada pengunjung blog ini dan terima kasih diatas sokongan dan kunjungan anda semua selama ini. Diharapkan agar ianya dapat diteruskan.



PMR 2008 cemerlang. Benarkah begitu?

Hampir kesemua akhbar-akhbar tempatan membawa tajuk yang sama iaitu keputusan peperiksaan PMR 2008 begitu cemerlang. BI makin mantap.

Dan kecemerlangan ini adalah kerana PPSMI (Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik di dalam Bahasa Inggeris) kata mereka. Benarkah begitu?

Dipertengahan desakan demi desakan pelbagai pihak untuk menggugurkan PPSMI, termasuklah ugutan GAPENA untuk menyaman Kementerian Pelajaran, tiba-tiba keluar satu keputusan yang amat diluar jangkaan. Hampir semua negeri cemerlang PMR.

Diharap agar tidak ada permainan 'silap mata' untuk meneruskan agenda PPSMI ini disamping meraih undi untuk Menteri Pelajaran, Hishamudin Hussein merebut jawatan Naib Presiden Umno. Janganlah nasib pelajar-pelajar bangsa Melayu dijadikan umpan untuk meraih sokongan pihak-pihak tertentu.

Usah cabar pelaksanaan Sains, Matematik dalam BI, kata Datuk Alimuddin Mohd Dom, Ketua Pengarah Kementerian Pelajaran.

Adun Titi Serong dilantik Timbalan Exco Agama


IPOH, 30 Dis :- Pengerusi Kelab penyokong Kerajaan yang juga ADUN Titi Serong, Drs. Khalil Idham Lim telah dilantik sebagai Timbalan Pengerusi,Jawatankuasa Agama, Pendidikan Islam, Wanita dan Kebajikan, demikian satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Pengerusi, Jawatankuasa Agama, Pendidikan Islam,Wanita dan Kebajikan,Y.B. Tuan Haji Mohd. Zainudin bin Mohd.Yusof disni hari ini.
Satu surat perlantikan rasmi akan dikeluarkan dalam kadar segera oleh pejabat Exco agama.
YB. Mohd Zainuddin ketika dihubungi menyatakan perlantikan itu adalah dengan tujuan melicinkan lagi pentadbiran Kerajaan negeri khususnya dalam portfolio yang diwakilinya.
Beliau juga mengatakan antara perkara yang dirancang bersama timbalan barunya ialah mengadakan lawatan rasmi kesemua daerah di negeri Perak, diharapkan lawatan itu dapat diatur secepat mungkin dengan kerjasama dari Pegawai Tadbir Agama (PTA) Daerah dan agensi yang berkaitan dengan Jawatankuasa yang beliau wakili.
Ajijoi ~ Tahniah di atas perlantikan YB. Semoga exco agama menjadi lebih mantap dengan bantuan YB.

Tuesday, December 30, 2008

Ingkar MB? Isu terus dipanaskan


Ingkar MB: 2 pemimpin PKR pertahan pemilihan ketua kampung baru

PETALING JAYA: Dua wakil Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini mempertahankan tindakan mereka meneruskan proses penamaan calon pemilihan ketua Kampung Baru bagi Kampung Gunung Rapat, Ipoh Ahad lalu walaupun kerajaan negeri telah mengeluarkan larangan berhubung perkara itu.

Ahli Parlimen Gopeng, Dr. Lee Boon Chye dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Simpang Pulai, Chan Ming Kai menyifatkan tindakan mereka meneruskan proses penamaan calon itu sebagai proses menyatakan hasrat penduduk untuk memilih ketua kampung yang dimahukan oleh mereka.

Dr Lee ketika dihubungi mStar Online sebentar tadi berkata, beliau akan berjumpa dengan Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin pada malam ini bagi menjelaskan keadaan itu. Nizar sebelum ini melahirkan rasa terkilan dengan tindakan Dr Lee dan Chan yang mengingkari arahan itu.

"Bila Menteri Besar kata kita tidak mematuhi arahan, ia sebenarnya satu salah faham kerana apa yang kita lakukan itu tidak bercanggah dengan dasar kerajaan negeri.

"Ia (penamaan calon) adalah satu proses supaya penduduk dapat menyatakan hasrat mereka," katanya.

Beliau berkata, apabila penduduk telah memilih calon ketua kampung Khamis ini, beliau dan Chan akan mencadangkan nama itu kepada kerajaan ini bagi urusan lantikan.

Ditanya kemungkinan calon yang menang itu nanti tidak dipersetujui oleh kerajaan negeri, Dr Lee berkata, beliau tidak mahu membuat sebarang andaian tentang perkara itu.

Sementara itu, Chan berkata, beliau menerima sebarang keputusan kerajaan negeri sama ada akan menerima atau sebaliknya nama calon yang akan dicadangkan nanti.

"Kuasa lantikan masih terletak kepada kerajaan negeri, jadi apa sahaja keputusannya, kita terima," katanya.

Berhubung laporan yang diminta oleh Nizar berhubung pemilihan ketua kampung itu, Chan berkata, beliau akan menyerahkan laporan itu selepas proses pemilihan tersebut berlangsung Khamis ini.

"Kita akan serahkan laporan lengkap termasuk masalah-masalah yang timbul pada hari pemilihan itu nanti," katanya.

Semalam, Mohammad Nizar melahirkan rasa terkilan dengan tindakan Dr Lee dan Chan apabila mereka enggan mematuhi larangan kerajaan negeri tidak membenarkan proses penamaan calon bagi pemilihan ketua Kampung Baru, Gunung Rapat.

Justeru, beliau telah mengarahkan mereka menyerahkan laporan berhubung pemilihan ketua kampung yang akan diadakan pada Khamis ini.

Mohammad Nizar berkata, beliau juga telah mengarahkan proses penamaan calon bagi jawatan berkenaan yang diadakan semalam dibatalkan dan tidak membenarkan mana-mana pihak mengadakan pemilihan bagi jawatan berkenaan.

Dalam proses penamaan calon yang diadakan di Dewan Fook Tat Chee itu, seramai lima penduduk kampung berkenaan berusia 39 hingga 68 tahun menawarkan diri bagi merebut jawatan itu.

Jumaat lepas, Menteri Besar membuat kenyataan bahawa kerajaan negeri tidak membenarkan mana-mana pihak termasuk parti dalam Pakatan Rakyat mengadakan pemilihan ketua Kampung Baru kerana mesyuarat Exco kerajaan negeri telah memutuskan jawatan berkenaan hanya dibuat secara lantikan.

Jawapan bagi isu Ketua Kampung Baru

YB Drs. Khalil Idham Lim, Adun Titi Serong :

Saya kesal dengan sikap media yang tidak habis-habis memutar belit berita Kerajaan Negeri Perak dengan pemberitaan yang berat sebelah serta mengambarkan apa yang dilakukan semuanya salah dan tidak betul. Terkini dalam isu pemilihan Ketua Kampung Baru Gunung Rapat di DUN Simpang Pulai yang hangat diperkatakan media arus perdana sekarang.

Sebenarnya tidak ada percangahan antara Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Pulai, Chan Ming Kai dan Ahli Parlimen Gopeng, Dr. Lee Boon Chye dengan dasar Kerajaan Negeri seperti yang digambarkan oleh Utusan .Yang berlaku cuma kesilapan maklumat dan salah faham yang sedang dan akan diselesaikan segera oleh kedua-dua belah pihak.Pemilihan ketua kampung tradisional yang kebanyakannya didiami oleh orang Melayu telah selesai dilakukan di semua kampung di Negeri Perak dengan cara pemilihan. Namun begitu pemilihan ketua kampung baru tertangguh beberapa ketika dan akan diselesaikan pada tahun 2009.Sedangkan apa yang berlaku di Kampung Baru Gunung Rapat adalah kes yang terpencil yang cuba diperbesarkan malah digunakan oleh media yang tidak bertanggungjawab bagi melagakan YAB Menteri besar dengan dua orang wakil rakyat tersebut.

Sebetulnya apa yang dilakukan adalah tidak bercanggah kerana mereka mengambil kira keputusan asal cara memilih ketua kampung tradisional sebelum pengumuman baru yang dikeluarkan oleh Menteri Besar seperti disiarkan malaysiakini.Disebabkan proses yang diumumkan lebih awal dengan cara pengundian bagi memilih ketua kampung itu , adalah satu kewajaran ianya diteruskan bagi menentukan calon dan seterusnya calon yang terpilih akan disahkan oleh Kerajaan Negeri seperti yang dinyatakan oleh YAB Menteri Besar siapakah yang paling layak.

Saya yakin ini adalah masalah kecil yang sengaja diperbesarkan bagi menutup masalah yang lebih besar. Pihak yang memutar belit berita ini difahamkan tidak menemui semua pihak untuk memberitakan keadaan yang sebenar. Pemberitaan yang dilihat sangat berat sebelah itu adalah andaian dan rekaan orang yang tidak bertanggungjawab semata-mata.

Perkataan MB Perak "terkilan" adalah perkataan yang tidak pun diucap oleh YAB Menteri Besar.Nasihat saya kepada semua ADUN Pakatan Rakyat dalam BBC supaya sentiasa berhati-hati dalam melaksanakan tugas kerana ada saja "pihak" yang ingin mencuri peluang bagi memutar belit setiap tindakan yang dilakukan kerana mereka mempunyai "agenda tersembunyi" yang semua sudah maklum.Berita awal yag disiarkan mengenai ketua kampung bari itu sila lihat disini http://www.malaysiakini.com/news/95486. dan di http://www.utusan.com.my/utusan/info.aspy=2008&dt=1230&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_05.htm

Ajijoi ~ Pada pemerhatian saya, segala isu dan serangan terhadap kerajaan negeri Perak terletak dibahu Menteri Besar seorang untuk menjawabnya. Tiada seorangpun exco kerajaan negeri yang tampil memberikan sokongan mahupun penjelasan terhadap tuduhan-tuduhan yang dilemparkan. Biarpun sesuatu isu itu melibatkan parti PKR mahupun DAP, Menteri Besarlah yang terpaksa berhadapan dengan wartawan dan juga menangani kritikan-kritikan yang dihambur pihak lawan. Seolah-olah kerajaan negeri Perak adalah dibawah tanggungjawab MB seorang.

Sudah tiba masanya segala kepayahan yang ditimpakan keatas perjalanan kerajaan negeri Perak di tanggung bersama oleh kesemua exco-exco mahupun adun-adun yang membentuk kerajaan negeri.

Di pihak Pas pula, hanya ada MB dan juga YB Zainuddin Exco Agama. Tugasan yang dipikul mereka berdua ini telah teramat berat, janganlah ditambah lagi dengan perkara-perkara yang diluar tugasan mereka, wahai pimpinan, ahli-ahli dan penyokong Pas sekalian.

Monday, December 29, 2008

MB Perak terkilan tindakan dua wakil rakyat PKR


IPOH: Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin melahirkan rasa terkilan dengan tindakan dua wakil rakyat Parti Keadilan Rakyat (PKR) apabila mereka enggan mematuhi larangan kerajaan negeri iaitu tidak membenarkan proses penamaan calon bagi pemilihan ketua Kampung Baru.

Sehubungan itu, beliau telah mengarahkan anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Simpang Pulai Chan Ming Kai dan anggota Parlimen Gopeng Dr Lee Boon Chye menyerahkan laporan berhubung pemilihan ketua Kampung Baru Gunung Rapat yang akan diadakan Khamis ini.

"Saya terkilan dengan tindakan kedua-dua mereka kerana larangan itu sudah dimaklumkan sebelum ini. Justeru, saya mengarahkan mereka supaya menghantar laporan mengenai perkara itu kepada saya secepat mungkin.

"Saya ingin melihat kewajaran Chan dan Dr Lee untuk meneruskan niat mereka sebelum tindakan susulan dilakukan ke atas kedua-dua mereka," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis sambutan Maal Hijrah 1430 peringkat negeri di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan Chan dan Dr Lee yang masih meneruskan proses penamaan calon ketua Kampung Baru bagi Kampung Gunung Rapat di sini semalam walaupun kerajaan negeri telah mengeluarkan larangan berhubung perkara itu.

Mohammad Nizar berkata, beliau juga telah mengarahkan proses penamaan calon bagi jawatan berkenaan yang diadakan semalam dibatalkan dan tidak membenarkan mana-mana pihak mengadakan pemilihan bagi jawatan berkenaan.

Dalam proses penamaan calon yang diadakan di Dewan Fook Tat Chee itu, seramai lima penduduk kampung berkenaan berusia 39 hingga 68 tahun menawarkan diri bagi merebut jawatan itu.

Jumaat lepas, Menteri Besar membuat kenyataan bahawa kerajaan negeri tidak membenarkan mana-mana pihak termasuk parti dalam Pakatan Rakyat mengadakan pemilihan ketua Kampung Baru kerana mesyuarat Exco kerajaan negeri telah memutuskan jawatan berkenaan hanya dibuat secara lantikan.

Mohammad Nizar berkata, proses pelantikan sudah diluluskan oleh mesyuarat Exco kirakira tiga minggu lepas dan kerajaan negeri akan membuat pelantikan mengikut peringkat mulai bulan depan. BERNAMA

Tunku Mukhriz dimasyhur Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ke-11


KUALA PILAH: Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir, 60, hari ini dimasyhurkan sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.

Istiadat pemasyhuran itu dilakukan oleh Undang Luak Sungai Ujong Datuk Klana Petra Datuk Mubarak Dohak di Balairong Seri, Istana Besar Seri Menanti pada 3.45 petang.
Upacara itu disiarkan secara langsung menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Pemasyhuran Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ke-11 dilakukan berikutan kemangkatan Tuanku Ja'afar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman.
Pelantikan Yang Dipertuan Besar itu dilakukan mengikut Adat Perpatih Negeri Sembilan.
Tuanku Muhriz dilantik sebagai Yang Dipertuan Besar daripada antara Putera Yang Empat menurut perlembagaan negeri dalam satu majlis ringkas di sini.
Tiga putera lagi, Tunku Laxamana Tunku Naquiyuddin Ibni Almarhum Tuanku Ja'afar, Tunku Muda Serting Tunku Imran Ibni Almarhum Tuanku Ja'afar dan Tuanku Panglima Besar Tunku Nazaruddin Ibni Almarhum Tuanku Ja'afar turut hadir.
Semalam, empat Undang iaitu Undang Luak Sungai Ujong, Undang Luak Johol, Undang Luak Jelebu dan Undang Luak Rembau bersama-sama Tunku Besar Tampin mengadakan persidangan tertutup bagi memilih Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan yang baru.
Dilahirkan pada 14 Jan 1948, Tuanku Muhriz menerima pendidikan awal di Sekolah Menengah King George V, Seremban dan meneruskan pengajiannya di Aldenhem School, United Kingdom.
Tuanku Muhriz memperoleh Sarjana Muda Undang-undang dari University College of Wales, Aberystwyth, United Kingdom.

Mufti Perak, ilmuan Islam Syria Tokoh Maal Hijrah 2008



PUTRAJAYA: Cendekiawan Islam dari Syria Dr Wahbah AlZuhaili dan Mufti Perak Datuk Seri Harussani Zakaria hari ini diumum tokoh Ma'al Hijrah Peringkat Kebangsaan bagi tahun 1430 Hijrah.

Wahbah, 79, yang juga tenaga pakar di Akademi Antarabangsa Fiqh AlIslami di Syria, dipilih berdasarkan sumbangan beliau dalam dunia Islam menerusi karya-karya tulisannya yang banyak digunakan sebagai rujukan oleh universiti-universiti di negara ini selain dijadikan sumber rujukan ahli ekonomi di bidang perbankan.
Harussani,69, pula dipilih bukan sahaja berdasarkan sumbangan beliau sebagai mufti Perak tetapi juga dalam badan-badan Islam termasuk sebagai Pengerusi Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Percetakan Teks al-Quran.
Kedua-dua tokoh itu menerima hadiah wang tunai RM100,000 termasuk wang tunai RM20,000 sumbangan Yayasan Ubaidi, pingat dan plak yang disampaikan Timbalan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah pada sambutan Ma'al Hijrah peringkat kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini.
Turut hadir pada majlis itu Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan isteri Datin Seri Jeanne Abdullah serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Pada sidang akhbar kemudian, Wahbah melalui seorang jurubahasa berkata, penganugerahan itu adalah satu bentuk penghormatan yang besar daripada pemimpin dan rakyat negara ini kepada ulama.
"Ia menunjukkan kejayaan Malaysia dalam membentuk satu keserasian dan hubungan yang harmoni antara pemimpin, rakyat dan ulama," katanya.
Beliau berkata, wang tunai yang dianugerahkan itu pula akan digunakan untuk menampung keperluan sekolah yang sedang diusahakan olehnya bagi mendidik belia dalam usaha melahirkan generasi Islam sejati.
"Bukan nilai wang menjadi ukuran tetapi apa yang lebih penting ialah menerusi penganugerahan itu secara tidak langsung menunjukkan sumbangan besar Malaysia dalam membantu melahirkan generasi muda Islam sejati di Syria," katanya.
Wahbah juga kagum dan memuji persembahan muzikal yang menarik pada majlis itu yang menampilkan wanita dan lelaki bercampur tetapi dalam keadaan yang begitu islamik dengan menutup aurat.
Harussani pula berpendapat penganugerahan yang diterimanya adalah terlalu besar serta tidak setanding dengan apa yang disumbangkan.
"Terima kasih atas pengurniaan yang diberikan...ternyata pendapat dan pandangan yang disuarakan selama ini dihargai dan sudah tentu anugerah itu akan dijadikan penguat semangat untuknya meneruskan perjuangan yang masih jauh dan belum selesai," katanya. Ditanya apakah yang akan dilakukan selepas ini, beliau yang sememangnya dikenali sebagai seorang mufti yang tegas berkata, tegas atau tidak bukan persoalan.
"Saya hanya menyatakan yang benar kerana saya takut sekali kalau menyatakan perkara yang tidak benar dan jika sesuatu perkara itu salah, saya akan kata ia salah tak kira dengan siapa saya berdepan walaupun terpaksa menerima kecaman kerana itu adalah tugas dan tangunggjawab saya," tegas beliau. BERNAMA

Ajijoi ~ Tahniah kepada Mufti Perak.


Demo bantah serangan Israel keatas Palestin



IPOH (29/12/2008) - Satu demonstrasi/perhimpunan membantah serangan Israel ke atas Palestin telah diadakan selepas solat Zohor di Masjid Sultan Azlan Shah, Jalan Dairy, Ipoh.

Perhimpunan ini dianjurkan oleh Jama'i Bertindak Pantas Perak, Teras (Teras Keupayaan Melayu) serta beberapa NGO di negeri Perak.

Dimulai dengan solat Zohor, ucapan pimpinan, Solat Hajat dan seterusnya perarakan sambil melaungkan dan mengangkat slogan-slogan yang mengutuk serta membantah serangan rejim Zionis Israel Laknatullah keatas rakyat Palestin.

Perhimpunan yang berlangsung selama 20 minit itu diketuai oleh Tuan Hj Azmi (Teras) dan bersurai dengan satu matlamat iaitu kutukan keatas rejim zionis serta solat hajat diteruskan di masjid-masjid serta surau-surau agar umat Islam dinegara ini peka akan kesengsaraan saudara seagama kita dibumi para nabi iaitu Palestin.


Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Perak 1430H / 2008M


IPOH (29/12/2008) - Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Perak 1430H telah dilangsungkan pagi tadi di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh dengan tema Menjana Ummah Gemilang.

Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah telah merasmikan upacara yang disambut sederhana. Turut mengiringi Raja Muda ialah Raja Puan Besar Perak, Tuanku Zara Salim.

Turut serta menyerikan majlis ialah Duli Yang Amat Mulia Raja Dihilir Perak, Raja Jaafar serta isteri, Menteri Besar Perak, Dato Seri Ir. Hj Mohammad Nizar serta isteri, Exco Agama Islam Perak, YB Zainuddin serta isteri dan juga Adun-adun serta Ketua-ketua Jabatan.

Al Fadhil Ustaz Tuan Haji Muhammad Rivai Batubara (gambar atas sebelah kiri berbaju kuning) telah dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah 1430H bagi tahun ini.

Manakala Tan Sri Dato' Dr Wan Mohd Zahid Bin Mohd Nordin (gambar atas sebelah kanan berbaju hitam) pula dipilih sebagai penerima Anugerah Khas Maal Hijrah tahun ini.

Tumpu pembangunan, bebas daripada kemelut ekonomi - Raja Nazrin

Sunday, December 28, 2008

Selamat Menyambut Maal Hijrah / Awal Muharram 1430H


Diucapkan SELAMAT MENYAMBUT MAAL HIJRAH / AWAL MUHARRAM 1430H buat semua umat Islam.

Semoga tahun baru ini membawa cahaya yang lebih bersinar untuk umat Islam dan Islam itu sendiri khususnya. Berhijrahlah kepada yang lebih baik.
"Ya Allah, muliakan saudaraku yang membaca blog ini,
bahagiakan keluarganya, berkati rezekinya,
mantapkan imannya dan eratkan ukhwah kami."
SALAM MAAL HIJRAH 1430H

Sua Rasa TV9 di Ipoh


Sua Rasa TV9 berkunjung ke Ipoh pada 27 & 28 Disember 2008.

Bertempat di Dataran Bandaraya Ipoh, mereka berkampung disana selama 2 hari bermula semalam. Pelbagai gerai jualan dan pameran serta acara-acara yang menarik menanti pengunjung yang bertandang.

Beberapa rakaman tv secara langsung seperti Nasi Lemak Kopi O dan Halaqah dilakukan disana. Penampilan selebriti TV9 serta beberapa artis juga menarik perhatian.

Ruangan pameran Al-Risalah menjadi tumpuan utama kerana disana ada dipamirkan beberapa kesan tingalan sejarah Islam seperti Pedang Nabi Muhammad S.A.W. dan Saidina Ali serta Al-Quran tulisan tangan dan juga beberapa barangan lagi.

Penganjuran Sua Rasa yang buat julung kalinya berada di Ipoh mendapat kerjasama erat kerajaan negeri Perak. Acara ini juga menjadi medan kerajaan negeri memperkenalkan beberapa agenda kerajaan termasuklah pelancongan dan pertanian.

Program pagi Nasi Lemak Kopi O digunakan sepenuhnya untuk membantu memperkenalkan dan mempromosikan lagi industri pelancongan di Perak.

YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri Ir Nizar beserta isteri turut diberi peluang muncul sepenuhnya (buat pertama kali) untuk menerangkan lebih lanjut tentang perancangan kerajaan negeri Perak didalam rancangan Nasi Lemak Kopi O yang dihostkan oleh Aziz Desa.

Pada malam pertamanya, acara bermula dengan solat Maghrib berjemaah serta bacaan Al-Quran oleh juara Akedemi Al-Quran serta persembahan nasyid oleh peserta Akademi Nasyid dan beberapa artis.
Pada malam kedua pula diadakan siaran langsung program Halaqah.
(Program malam hari yang sebegini yang tidak dapat dilakukan oleh TV3 menyebabkan Jom Heboh tidak mendapat kelulusan untuk bertandang ke Perak suatu ketika dahulu.)

Dikhabarkan kesemua hotel di Ipoh telahpun habis ditempah selama 2 hari ini. Begitu ramai sekali pengunjung daripada serata tempat yang ingin melihat sendiri program yang diadakan disini.

Andai berkesempatan, kunjungilah tapak pameran di Dataran Bandaraya Ipoh (berhadapan Bangunan Majlis Bandaraya Ipoh, Greentown) sekeluarga. Sua Rasa TV9 menanti anda disana.






* Sua Rasa pada mulanya diperkenalkan dengan nama 'Perkampungan Hadhari' yang menjelajah kesegenap rantau di Malaysia. Kemudiannya diubah nama menjadi Sua Rasa dengan format program yang sama kecuali "Islam Hadhari". Mungkin TV9 juga segan untuk menggunakan perkataan Hadhari lalu menukarnya dengan Sua Rasa.

Saturday, December 27, 2008

Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan mangkat


Almarhum Tuanku Ja'afar mengadu sakit kepala, tidak selesa pagi tadi
SEREMBAN: Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Ja'afar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman mangkat di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) di sini pada pukul 11.45 pagi tadi.
Baginda berusia 86 tahun.

Demikian disahkan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Norzam Mohd. Nor, lapor Bernama.

Tuanku Ja'afar lahir pada 19 Julai 1922 di Klang, Selangor dan merupakan Yang di-Pertuan Agong yang ke-10 iaitu dari 26 April 1994 hingga 25 April 1999.

Norzam yang membuat pengumuman itu di hospital tersebut berkata, Almarhum baginda berada dalam keadaan tidak sihat pagi ini selepas mengadu sakit kepala dan tidak selesa.
"Baginda mengadu kurang sihat dan sakit kepala pada pukul 8.10 pagi dan pihak HTJ telah dihubungi dan dua Pakar Perunding Kanan HTJ, Datuk Dr. Tarmizi Thayaparan dan Datuk Dr K. Sree Raman telah bergegas ke Istana Hinggap di Seremban untuk memberikan rawatan kepada Tuanku," kata beliau pada sidang akhbar khas mengumumkan kemangkatan baginda di Bilik VIP HTJ hari ini.

Turut hadir ialah anggota kerabat diraja Negeri Sembilan, Ketua Polis Negeri, Datuk Osman Salleh dan Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Zainal Arifin Omar.

Norzam berkata, ketika dua pakar itu tiba di Istana Hinggap pada pukul 8.25 pagi, keadaan baginda terlalu lemah walaupun sedar dan selepas melihat keadaan itu, dua pakar berkenaan mengesyorkan supaya baginda di bawa ke HTJ untuk rawatan segera.

"Berdasarkan itu, baginda telah dibawa ke HTJ dan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) dan pelbagai usaha telah dilakukan oleh doktor pakar termasuklah memberi rawatan kecemasan.

"Saya ingin memaklumkan di sini bahawa Tuanku Ja'afar telah mangkat pada pukul 11.45 pagi di HTJ," katanya.

ISTIADAT PENGEBUMIAN ISNIN INI

Sehubungan itu, beliau memaklumkan bahawa jenazah Almarhum baginda akan dibawa pulang ke Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah petang ini untuk majlis penghormatan terakhir serta menunggu kepulangan anakanda baginda yang masih berada di luar negara.

Katanya, jenazah Almarhum baginda akan ditempatkan di Dewan Balairong Seri, Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah untuk penghormatan terakhir daripada kerabat Diraja, pemimpin dan orang ramai.

Istiadat pengebumian jenazah Almarhum baginda akan diadakan pada hari Isnin selepas solat asar.

Sehubungan itu, Norzam berkata tempoh berkabung berikutan kemangkatan baginda ialah selama 40 hari, bermula hari ini.

"Semua premis termasuk pejabat kerajaan dan bangunan hendaklah mengibarkan bendera negeri separuh tiang dalam tempoh tersebut.

Dalam tempoh berkabung itu juga, semua kakitangan kerajaan dikehendaki memakai songkok berlilit putih manakala wanita memakai lilitan putih di lengan.

"Semua majlis rasmi kerajaan akan ditangguh dalam tempoh tujuh hari. Premis pusat hiburan dan aktiviti keraian juga hendaklah ditangguhkan selama tujuh hari bermula hari ini,'' katanya.

Katanya, Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan yang kini bercuti di London telah dimaklumkan mengenai kemangkatan Tuanku Ja'afar pagi ini dan dijangka tiba di sini pada pukul 10 pagi esok.

Perak larang pemilihan Ketua Kampung Baru


Kerajaan Perak tidak membenarkan ketua Kampung Baru* di negeri itu memegang jawatan berkenaan secara pemilihan, sebaliknya ia hanya akan dibuat secara lantikan, kata Menteri Besar Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Bernama melaporkan beliau sebagai berkata, keputusan yang dibuat oleh exco kerajaan negeri ialah ketua Kampung Baru akan dilantik oleh kerajaan negeri dalam tempoh dua tahun akan datang, berbeza dengan kampung tradisional yang mana pemilihannya telah dibuat sebelum ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Simpang Pulai, Chan Ming Kai, bahawa proses penamaan calon bagi pemilihan ketua Kampung Baru Gunung Rapat akan diadakan Ahad ini dan jika ada pertandingan, pengundian akan dijalankan pada 1 Januari.

"Saya ingin perbetulkan, tidak ada pemilihan dalam jawatan ketua Kampung Baru, itu ketetapan yang sudah dibuat. Pelantikan itu pula berdasarkan kriteria yang ditetapkan iaitu jika terbukti dia (calon ketua kampung) ada rekod jenayah, kami tidak akan melantiknya," kata Mohammad Nizar.

Rabu lalu, Chan dilaporkan berkata, pemilihan itu terbuka kepada semua penduduk Kampung Baru termasuk bekas banduan yang dianggap sudah kembali semula ke dalam masyarakat.

Chan juga dilaporkan berkata proses pemilihan ketua kampung di Gunung Rapat akan menjadi projek percubaan kepada 133 Kampung Baru lain yang terdapat di Perak yang mana penamaan calon dan pemilihannya akan diumumkan kemudian.

Mengenai satu perkara lain, Mohammad Nizar mengumumkan bonus satu setengah bulan atau minimum RM1,200 kepada semua kakitangan Lembaga Air Perak.


* dibaca sebagai Ketua Kampung Baru (penempatan masyarakat Cina) bukannya pemilihan ketua kampung yang baru bagi menggantikan ketua kampung yang sedia ada.

Friday, December 26, 2008

Selamat Hari Jadi, Nasuha


Hari ini, 26/12/2008, puteri sulung saya, Nur Aqilah Nasuha menyambut ulang tahunnya yang ke-9.

Diharap agar Nasuha boleh berfikir dengan lebih matang. Jadi contoh terbaik kepada adik-adik. Rajin solat tanpa disuruh. Ilmu perlu diutamakan.
Taat perintah Allah, juga taat kepada kedua ibu bapa dan guru-guru.

Kalau nak lakukan sesuatu, ingat Allah, ingat ibu ayah, ingat adik-adik, ingat keluarga. Setiap perbuatan ada balasannya. InsyaAllah...selamat dunia dan akhirat.
Semoga panjang umur, terang hati menerima pelajaran, anak yang solehah, berakhlak mulia dan dimurahkan rezeki. Amin.
'SELAMAT HARI JADI, NASUHA'.


Thursday, December 25, 2008

Datin Seri menjemput lagi


Datin Seri Fatimah Taat menjemput kita semua sekali lagi ke Dewan Kediaman Rasmi YAB Menteri Besar Perak pada 1 Januari 2009 (Khamis) jam 10.00 pagi untuk Majlis Ceramah Hijaratul Rasul S.A.W. yang akan disampaikan oleh Tuan Hj Azmi Abd Hamid (Presiden Teras) sempena tahun baru Hijrah 1430.
Sekalian Muslimin dan Muslimat dijemput hadir.

Wednesday, December 24, 2008

Pas tetap perjuangkan hudud

ALOR STAR 24 Dis. - Pas tidak akan melupakan perjuangannya untuk melaksanakan hukum hudud di negara ini kerana ia adalah satu tuntutan dalam agama Islam dan asas perjuangan parti itu.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, walaupun Pas telah menyertai Pakatan Rakyat ini tidak bererti parti itu telah mengabaikan hukum hudud.

"Isu hudud yang hangat diperkatakan sekarang hanya sekadar isu pilihan raya terutama menjelang pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu Januari ini.

"Isu ini dah lama dan ia di korek kembali setelah lama ditutup," katanya ketika di temui di Wisma Darul Aman di sini hari ini. - Utusan

Hudud tidak masuk dalam sistem pentadbiran Perak - YB Ngeh Koo Ham

IPOH 23 Dis. - Pelaksanaan hukum hudud langsung tidak termasuk dalam sistem pentadbiran kerajaan negeri campuran di Perak kerana sudah mempunyai prinsip pemerintahan tersendiri.
Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham berkata, dasar kerajaan negeri sedia ada adalah untuk memerintah negeri ini berlandaskan prinsip keadilan, kewibawaan, ketelusan, amanah dan kebajikan.

Beliau yang juga Exco kanan kerajaan negeri berkata, prinsip berkenaan mesti sentiasa dipegang kuat kerana telah dipersetujui secara bersama antara Pas, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebelum ini.

''Kelima-lima prinsip yang dipersetujui itu merupakan nilai yang diamalkan dalam semua agama di negara ini dan pelaksanaan hukum hudud sebenarnya tidak menjadi isu.

''Tambahan pula, pakatan pembangkang masih belum mengambil alih pemerintahan kerajaan Pusat,'' katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa kelmarin bahawa parti itu tidak pernah melupakan dasar perjuangannya untuk menegakkan pemerintahan Islam di negara ini termasuk melaksanakan hukum hudud.

Koo Ham berkata, niat Pas melaksanakan hukum hudud adalah baik kerana ia bertujuan membanteras jenayah atau kejahatan tetapi malangnya tidak dipersetujui oleh semua pihak. Jelas beliau, ini kerana semua pihak mempunyai matlamat untuk meningkatkan nilai moral masyarakat berdasarkan cara atau kaedah tersendiri.

''Di sini saya berpendapat undang-undang sedia ada di negara kita sudah cukup bagus tetapi ia harus dilaksanakan untuk membawa kebaikan kepada masyarakat.

''Saya rasa Perak telah diperintah dengan baik berdasarkan lima prinsip tadi dan mungkin selepas mengambil alih kerajaan pusat cara pemerintahan di Perak boleh dijadikan contoh," katanya.

Sementara itu, Koo Ham juga mempertahankan pendirian Menteri Besar Perak, Datuk Seri Muhammad Nizar Jamaluddin yang mahu pembawa HIV dan penghidap AIDS dikuarantin untuk rawatan dan tidak dibenarkan berkahwin.

''Niat beliau (Muhammad Nizar) sebenarnya adalah baik iaitu tidak mahu pasangan pembawa HIV menyusahkan mereka yang tidak bersalah.

''Perkahwinan melibatkan pembawa HIV boleh menyebabkan penyakit itu terus merebak kepada generasi akan datang,'' katanya.

Kapten (B) Datuk Zahar Hashim sah menyertai PAS

KUALA LUMPUR: Ketua Umno Bahagian Petaling Jaya Selatan, Kapten (B) Datuk Zahar Hashim hari ini sah menyertai PAS.

Penyertaan beliau turut disertai oleh 28 ketua cawangan dan 13 ahli jawatankuasa bahagian berkenaan dalam satu majlis khas yang diadakan di sini, hari ini.

Dalam sidang medianya, Zahar berkata, beliau menyertai PAS kerana dasar perjuangan parti itu yang memperjuangkan kaum Melayu dan Islam.

"Bagi orang-orang Melayu yang mahu aktif dalam politik, kita tidak ada pilihan lain kerana Umno pada hari ini banyak berbeza dengan Umno dengan yang saya sertai 26 tahun dulu.

"Saya tidak terfikir untuk menyertai PAS kerana ia parti alternatif sebaliknya PAS adalah lebih baik dari Umno," katanya selepas menyerahkan borang keahliannya dan 41 pemimpin bahagian tersebut kepada Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa.

Zahar berkata, keputusan untuk keluar daripada Umno dan menyertai parti pembangkang itu tidak ada kena-mengena dengan keputusan Majlis Tertinggi (MT) parti itu menggantung keahliannya selama tiga tahun berkuat kuasa 2 Disember lalu.

"Saya tahu kemasukan saya ke dalam PAS telah menimbulkan banyak spekulasi. Rata-rata media menganggap keputusan saya ini dibuat setelah saya digantung.

"Sebenarnya saya dan rakan-rakan di PJ Selatan sudah mula kecewa dengan Umno semasa berlaku peralihan pentadbiran di Selangor pada Mac atau April lalu lagi.

"Daripada situ, kita berbincang baik buruk kekal dalam Umno...mahu terus bersara dari politik atau menyertai parti lain. Tapi bila MT dah buat keputusan begitu (menggantung keahliannya), tak payah lah fikir lagi...kita terus keluar," katanya.

Zahar berkata, beliau sudah 'meluat' dengan Umno terutamanya di Selangor termasuk pelantikan Tan Sri Muhammad Muhd Taib sebagai Ketua Penerangan parti peringkat negeri dan Senator.

Sambil mengakui bahawa hubungan beliau yang pada satu ketika dahulu amat baik dengan Muhammad kini telah menjadi renggang, Zahar berkata, ia berlaku disebabkan sikapnya yang suka berterus terang dalam menyuarakan pendapatnya termasuk tindakan pemimpin itu yang kadangkala tidak dipersetujuinya.

Beliau berkata, pemimpin Umno tidak menitikberatkan tentang isu agama dan banyak keputusan yang dibuat parti itu tidak mengambil kira kepentingan rakyat.

"Secara terus terang, saya tidak menghormati pemimpin tertinggi dalam Umno. Banyak keputusan yang dibuat tidak mengambil kira keperluan dan kehendak rakyat khususnya orang-orang Melayu," katanya.

Ditanya sama ada kritikannya terhadap Umno ada kaitan dengan pembelian Eurocopter yang tidak memihak kepada syarikatnya, Mentari Services Sdn Bhd, Zahar berkata, hal itu memang dipertikaikannya berikutan pembelian Eurocopter tidak mengikut prosedur yang ditetapkan.

Beliau berkata, dengan penyertaannya hari ini ke dalam PAS, pejabat Umno di PJ Selatan akan menjadi pejabat PAS bahagian itu mulai esok.

Beliau percaya, baki 68 ketua cawangan bahagian itu akan turut sama menyertai PAS selepas pejabat parti itu mula beroperasi.

Beliau turut menafikan bahawa beliau menyertai PAS kerana inginkan jawatan sebaliknya beliau mahu menjadi sebahagian daripada jentera PAS yang memperjuangkan kepentingan Islam dan orang Melayu.

"Saya sebelum ini pernah ditawarkan untuk bertanding menjadi ahli Parlimen selama tiga penggal dan Speaker Dewan Undangan Negeri pada tahun 2007 tetapi saya menolaknya kerana merasakan peluang itu patut diberikan kepada orang lain," katanya.

Zahar berkata, beliau dan rakan-rakannya akan ke Kuala Terengganu pada 5 Disember ini bagi mengukuhkan jentera PAS untuk menghadapi pilihan raya kecil kawasan itu 17 Disember ini.

Banglo untuk dijual


Banglo yang terletak di Jalan Berkat, Rapat Setia ini ingin dijual oleh tuan punya dengan harga tawaran sebanyak RM580,000.00 (boleh dirunding).

Untuk pertanyaan lanjut dan rundingan, sila hubungi Liza ditalian 012-6050930.


Nik Aziz pertahan wartawan Iraq baling kasut ke arah Bush


KOTA BHARU, 23 Dis (Hrkh) - Keberanian wartawan Iraq, Muntazer al Zaidi membaling kasut ke arah George W Bush turut dipertahankan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat.

"Saya puji wartawan yang lempar kasut kerana telah menggunakan ruang yang ada untuk menentang perbuatan mungkar.

"Hak bagi mencegah mungkar boleh dilakukan menggunakan tangan, lidah, hati atau kasut seperti dilakukan wartawan di Iraq.

"Bagi mereka yang pandai melukis boleh guna kartun dan bagi mereka yang tiada kaedah lain bolehlah guna kasut," katanya selepas seminar anjuran Kelantan Biotech Corporation Sdn Bhd di Dewan Teratai semalam.

Baru-baru ini seorang wartawan penyiaran Iraq membaling kasut ke arah Presiden Amerika Syarikat pada satu sidang media ketika lawatan perpisahannya ke Iraq pada 14 Disember lalu.
Ekoran insiden itu wartawan terbabit ditahan pihak berkuasa Iraq. Bagaimanapun tindakan beraninya mendapat sokongan pelbagai pihak di seluruh dunia.
Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am PAS berkata, tindakan membaling kasut ke arah Presiden Amerika merupakan tanda penentangan terhadap kemungkaran dan penganiayaan yang dilakukannya terhadap masyarakat dunia.
"Langkah yang diambil wartawan terbabit adalah jelas mewakili masyarakat Iraq yang telah ditindas penjajahan Amerika Syarikat dan ia merupakan satu tindakan bijak," katanya.

Sementara itu dalam perkembangan lain beliau berkata, tindakan kerajaan BN melalui Jabatan Pembangunan mewujud kembali Jawatankuasa Kemajuan Kampung Persekutuan (JKKP) di Kelantan akan merosakkan perpaduan rakyat.

"JKKP lah yang menyebabkan manusia berpecah belah, di Kelantan sepatutnya rakyat berada di bawah satu parti dan parti lain tak perlu masuk campur.

"Kami dah ada penghulu dan penggawa, apa kerja nak tubuh JKKP lagi.. mulut pemimpin mereka hari-hari kata nak bersatu, tetapi mereka inilah yang menjadi punca berpecah belah," katanya.

Baru-baru ini Timbalan Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan, Yahaya Mohamad dilaporkan berkata, JKKP akan ditubuh bagi merancang projek kerajaan persekutuan di setiap mukim.

Mahfuz menang RM120,000 saman Utusan

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengarahkan Utusan Melayu Bhd dan bekas ketua pengarangnya membayar RM120,000 kepada ahli parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar dalam kes saman fitnah yang difailkan oleh pemimpin PAS tersebut.
Pesuruhjaya Kehakiman Mohd Yazid Mustafa dalam penghakimannya memutuskan perkataan yang diterbitkan dalam akhbar Utusan Malaysia bertajuk "Demonstrasi-Mahfuz isytihar bersama Keadilan" pada 4 Mac, 2001, adalah fitnah dengan niat untuk mencemarkan reputasi Mahfuz."Perkataan itu tidak memenuhi elemen komen yang adil, perkataan yang diterbitkan bukan fakta, bukan komen yang adil kerana ia tidak berasas. Perkataan itu juga tidak memenuhi kepentingan awam seperti ditegaskan oleh para defendan" katanya dalam penghakiman bertulis, lapor Bernama.

Katanya, perkataan yang digunakan itu menggambarkan Mahfuz sebagai seseorang yang mempunyai agenda politik dan sedang berusaha menggulingkan kerajaan sedia ada, "yang menyokong keganasan dan paksaan, yang tidak percaya dengan proses demokrasi untuk membawa perubahan dalam kerajaan yang memerintah dan berniat menimbulkan kekacauan dan ketidakstabilan terhadap keharmonian negara.
"Hakikat yang plaintif ialah seorang tokoh politik yang lantang bersuara adalah tidak relevan kerana isu yang perlu ditentukan ialah sama ada perkataan itu diungkapkan oleh plaintif. Para defendan, saya dapati, bukan sahaja gagal memberikan justifikasi bagi penggunaan perkataan itu tetapi juga gagal menunjukkan yang perkataan itu sebenarnya diungkapkan oleh plaintif," katanya.
Berhubung pemberian ganti rugi RM120,000 itu, Hakim Mohd Yazid berkata beliau memberikan pertimbangan kepada kedudukan plaintif sebagai tokoh politik, ahli Parlimen dan tokoh terkenal di kalangan rakannya.Beliau juga berkata perkataan fitnah itu telah menjejaskan kedudukan politik dan sosial dan reputasi plaintif kerana diterbitkan secara meluas kerana akhbar defendan mempunyai edaran 200,000 naskhah sehari termasuk 800,000 pelawat dan 7.8 juta pelayar laman webnya sebulan bagi penerbitan dalam talian akhbar itu."Lebih memburukkan lagi keadaan, para defendan tidak mengemukakan sebarang permohonan maaf untuk mengurangkan kesan buruk terhadap reputasi plaintif," katanya.
Mahfuz, diwakili peguam Mohamed Hanipa Maidin, memfailkan saman pada 2001, menamakan ketua pengarang kumpulan Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia ketika itu, Datuk Khalid Mohd, dan penerbit akhbar itu, Utusan Melayu Berhad, sebagai defendan.Dalam pernyataan tuntutannya, beliau berkata Khalid secara sengaja dan berniat jahat membenarkan penerbitan dan pencetakan perkataan yang memfitnah beliau dalam akhbar Utusan Malaysia pada 4 Mac, 2001.
Beliau mendakwa perkataan itu telah mengaibkannya dan menjejaskan kredibilitinya di kalangan masyarakat.Para defendan, dalam pernyataan pembelaan mereka, mendakwa artikel itu adalah betul daripada segi isi kandungan dan fakta dan menafikan ia satu fitnah.
Di luar mahkamah, Mahfuz memberitahu pemberita yang beliau berpuas hati dengan keputusan itu."Ini bukan soal amaun, tapi saya hendak membersihkan imej yang tercalar yang dipalitkan media sebelum ini," katanya.Peguam M Reza Hassan yang mewakili defendan berkata beliau akan mengkaji alasan penghakiman itu sebelum membuat sebarang keputusan untuk merayu.

Perak tiada hak?

PUTRAJAYA: Hak milik tanah pegangan kekal tidak boleh sewenang-wenangnya diberi kepada penduduk Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) dan Kampung Baru tanpa persetujuan Majlis Tanah Negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menegaskan, Dasar Tanah Negara menetapkan pegangan tanah secara kekal hanya boleh diberi bagi maksud kegunaan Kerajaan Persekutuan, awam dan keadaan istimewa yang terhad.

Berikutan itu, katanya, cadangan kerajaan Perak untuk memberi hak milik tanah pegangan kekal kepada penduduk RPT dan kampung baru di negeri itu tidak boleh dilaksanakan sehingga Majlis Tanah Negara membuat keputusan.

"Dari segi dasar dan Perlembagaan Persekutuan, ia tidak boleh dibuat secara sendirian, tetapi mesti melalui Majlis Tanah Negara. "Sebagaimana kita sedia maklum, Majlis Tanah Negara diwujudkan mengikut Perlembagaan Persekutuan untuk menyelaraskan Dasar Tanah Negara supaya wujud keseragaman antara negeri,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat ke-23 majlis itu di sini, semalam. Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, turut menghadiri mesyuarat itu.

Najib berkata, perkara itu dibangkitkan pada mesyuarat berkenaan tetapi Majlis Tanah Negara membuat keputusan untuk mengadakan mesyuarat khas tidak lama lagi bagi membincangkan kertas kerja berhubung cadangan kerajaan Perak itu.

Sebelum ini, Mohammad Nizar berkata, pemberian hak milik tanah pegangan kekal itu akan diberi secara berperingkat kepada 110,000 pemilik iaitu 60,000 di RPT dan 50,000 Kampung Baru membabitkan kawasan seluas 6,000 hektar. Mohammad Nizar berkata, ini kerana ia hanya membabitkan saiz tanah yang kecil iaitu 6,000 hektar atau 0.01 peratus daripada jumlah keluasan tanah di Perak.

Ditanya alasan yang diberi kerajaan Perak untuk berbuat demikian, Timbalan Perdana Menteri berkata: "Dia ada alasan, tetapi apa-apa pun tidak boleh bertentangan dengan Dasar Tanah Negara yang diputuskan oleh majlis." Najib berkata, Majlis Tanah Negara juga bersetuju mengembangkan pelaksanaan e-tanah di Negeri Sembilan dan Melaka mulai tahun depan selepas projek perintis di Pulau Pinang.

"Sekiranya projek ini memberi kesan dan manfaat yang besar, ia akan diperluaskan ke seluruh negara," katanya.

Sementara itu, Exco Kanan Perak, Datuk Ngeh Koo Ham bertegas menyatakan cadangan kerajaan negeri itu mematuhi Dasar Tanah Negara dan boleh dilaksanakan. “Kita ada kriteria yang dipanggil sebagai ’keadaan khas’ untuk meluluskan pegangan sedemikian,” katanya kepada pemberita di Ipoh.

Monday, December 22, 2008

Makan Malam sambil menderma


Majlis Makan Malam bersama Menteri Besar Perak anjuran Pas akan berlangsung pada 26 Disember 2008 jam 8.30 malam di Silveritage, Medan Gopeng, Ipoh.
Tiket berharga RM30.00 seorang.
Untuk maklumat lanjut dan tempahan, sila hubungi 013-530 5237.

Gerakan bidas cadangan MB Perak supaya pembawa HIV dikuarantin

IPOH: Timbalan Presiden Gerakan Datuk Chang Ko Youn hari ini membidas cadangan yang dikemukakan Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin semalam bahawa pembawa HIV tidak boleh dibenarkan berkahwin dan sebaliknya harus dikuarantin untuk rawatan.

Menyifatkan idea itu sebagai primitif, Chang berkata idea seumpamanya telah dikutuk di seluruh dunia dan tidak diterima untuk menyelesaikan masalah Aids.

"Pembawa penyakit ini mesti dilayan sebagai manusia dan bukannya dipinggirkan. Ia hanya memisahkan mereka daripada masyarakat dan menyebabkan pembawa merahsiakan masalah mereka," katanya dalam satu kenyataan.

"Ini akan meningkatkan lagi jangkitan penyakit jika perkara ini disembunyikan dan pembawa tidak bersedia untuk mendapatkan rawatan secara terbuka," katanya.

Chang, yang juga Pengerusi Gerakan Perak, berkata cadangan Mohammad Nizar itu menunjukkan ketidakprihatinan dan kegagalan Menteri Besar Perak itu memahami penyakit berkenaan. Beliau berkata ia juga menunjukkan kegagalan kempen kerajaan mengenai kesedaran penyakit HIV kerana pemimpin politik sendiri masih jahil, apatah lagi rakyat biasa.

Chang menggesa para pemimpin politik mengkaji masalah dengan teliti sebelum mengemukakan cadangan yang tidak membantu dan menimbulkan perbalahan sehingga boleh menyebabkan masyarakat kembali ke Zaman Kelam. BERNAMA

Tulisan Jawi dimartabatkan semula

YB Wong bergambar bersama DPP Kawasan Ipoh Timor dihadapan papan tanda Taman Cempaka.

IPOH, 19 Dis :-Satu Kenyataan akbar dan sidang media oleh Dewan Pemuda Pas Kawasan Ipoh Timur telah berlangsung di hadapan papan tanda Taman Cempaka.

Kenyataan ini di lakukan di atas menjawab isu penggunaan 4 bahasa pada papan tanda Taman tersebut iaitu tulisan rumi, tulisan jawi, tulisan cina dan tulisan india.

Dalam media utama, kerajaan umno telah mempolitikkan isu ini dengan mengatakan seluruh papan tanda jalan di taman tersebut akan ditukar kepada tulisan cina dan india. Ini adalah pembohongan yang nyata dilakukan oleh media massa yang pro kepada kerajaan persekutuan.

Dalam kenyataan media ini, Ketua Dewan Pemuda Pas Kawasan Ipoh Timur (DPPK IT), Salman b. Saleh telah menjelaskan yang Dewan Pemuda Pas Kawasan menyokong penuh penambahan tulisan jawi pada pada papan tanda tersebut.

Dimana tulisan jawi yang suatu ketika dahulu telah dimatikan dan dikuburkan tanpa nisan oleh pemimpin kerajaan. Dan kini tulisan jawi dimartabatkan kembali dengan tetulisnya tulisan ini pada papan tanda tersebut.

Turut hadir pada sidang media tersebut adalah ADUN Canning, YB Wong Kar Woh dan barisan Kepimpinan Pemuda PAD Ipoh Timur.

Pada akhirnya DPPK IT mengharapkan isu ini tidak di politikkan lagi sehingga menimbulkan sentimen perkauman dan memecah belahkan masyarakat yang hidup aman dan harmoni kini.

Dimana Agama Islam juga menekankan supaya kita menghormati agama dan bangsa-bangsa lain seperti yang diajar oleh Al-Quran.

Diharapkan dengan usaha ini bahasa melayu dan tulisan jawi dapat dimartabatkan semula oleh orang-orang melayu.


Hudud menjadi gendang perang Umno di KT?

Bagaikan tiada lagi isu untuk berkempen, Hudud dijadikan gendang perang Umno menentang Pas menjelang pilihanraya kecil P36 Kuala Terengganu bulan depan.

Ianya dimulakan dengan 'jerat' Khairy kepada Husam semasa debat antara mereka di Kelantan Sabtu lalu. Khairy menjolok soalan tentang perlaksanaan hukum Hudud kepada Husam dan disambut Husam bagaikan pahlawan perang Islam bahawa Pas tetap laksanakan hukum Hudud apabila berkuasa kelak. Dan diterjahnya kembali dengan perkataan 'menjadi kewajipan setiap umat Islam untuk melaksanakannya, apakah Umno tidak mahu melaksanakan hukum Hudud?'

Akhbar-akhbar perdana mulai menyiarkan isu Hudud ini sebagai kempen Umno walaupun hari penamaan calon masih berbaki 2 minggu lagi. Antaranya ialah :

Utusan

Pakatan pembangkang retak menanti belah - Khairy

DAP bantah rancangan Pas laksana Hudud

Berita Harian

Isu Hudud semata-mata slogan politik Pas : Najib

Perlu pinda perlembagaan jika hendak laksana hudud : Zahid Hamidi

The Star

PAS akui pelaksanaan hudud mungkin lambat


Kita nantikan apa lagi yang diperkatakan mereka apabila isu lapuk ini dimainkan semula.

Pas tetap laksana hudud – Husam

KOTA BHARU 21 Dis. – Setelah lama tidak menyentuh mengenai hukum hudud, Pas memberi jaminan untuk melaksanakannya di seluruh negara sekiranya pakatan pembangkang berjaya memerintah pada masa depan.

Naib Presidennya, Datuk Husam Musa berkata, parti itu tidak pernah melupakan dasar perjuangannya untuk menegakkan pemerintahan Islam di negara ini, termasuk melaksanakan hukum itu.

Buktinya ujar beliau, kerajaan Pas Kelantan terus mengadakan perayaan Hari Hudud setiap tahun kerana tidak berupaya melaksanakan undang-undang Islam itu disebabkan kuasa mutlak berada pada Kerajaan Persekutuan.

“Kita memang mahu melaksanakan hudud tetapi dihalang oleh UMNO. Kalau UMNO tumbang Insya-Allah kita boleh melaksanakan hukum hudud.

“Saya memberi jaminan, kita akan buat (laksana hudud sekiranya pakatan pembangkang memerintah pada masa depan),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diasak beberapa kali oleh Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang bertanyakan pendirian sebenar Pas dalam Wacana Transformasi Politik Negara di Balai Islam Lundang di sini malam tadi.

Khairy, Husam dan Pensyarah Fakulti Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa, Prof. Dr. Abdul Aziz Bari adalah ahli panel forum terbabit.

Ia dipengerusikan oleh Pensyarah Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Madya Dr. Mohammad Agus Yusoff serta dihadiri lebih 3,000 orang.

Hukum hudud mencetuskan polemik politik yang berpanjangan kerana rakan Pas dalam pakatan pembangkang, DAP menentang keras pelaksanaannya malah parti itu pernah membatalkan kerjasama yang dijalin pada pilihan raya umum sebelum ini.

Husam menafikan tanggapan Khairy bahawa parti itu menjadi penumpang atau parti terkecil dalam pakatan pembangkang selepas pilihan raya umum lalu, walaupun Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP dilihat lebih berkuasa dalam membuat keputusan.

“Saya tidak terima hujah ini kerana Pas ada Menteri Besar di Kedah, Kelantan dan Perak serta menang di beberapa di bahagian di Selangor.

“Dalam konteks Kedah, buat pertama kali Pas tadbir negeri itu dan dapat menakluk Kedah selatan melalui kerjasama dengan PKR, kita boleh lihat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) paling banyak dimenangi oleh Pas, adakah ini bererti Pas parti terkecil?

“Dari segi prinsip ketatanegaraan Islam, Pas tidak pernah tinggalkan prinsipnya,” kata beliau.
Katanya, hukum hudud lebih mudah dilaksanakan apabila semua kaum di negara ini dapat menerima Islam sebagai asas perjuangan Islam yang berteraskan keadilan.

Beliau berkata, hanya agama suci itu sahaja yang dapat menjadi kuasa politik masa depan disebabkan sifatnya yang sejagat dan boleh diterima oleh semua bangsa.

“Bila keadilan diterima oleh semua, Melayu, Cina dan India, hudud akan dapat dilaksanakan dan untuk transformasi politik masa depan hanya Islam boleh jadi kuasa tersebut,” ujarnya.

Husam berkata, mana-mana parti politik yang mengamalkan kemelayuan tidak dapat diterima oleh kaum Cina atau India kerana politik berteraskan kebangsaan atau Melayu akan terus ketinggalan di belakang.

'Pramugara Yang Terlampau' terlepas hukuman penjara


Bekas pramugara syarikat penerbangan MAS yang menggemparkan negara empat tahun lalu terlepas hukuman menerbitkan cakera padat video (VCD) lucah Kehidupan Seorang Pramugara Yang Terlampau.

Mahkamah Tinggi Shah Alam menerima rayuan Mohd Rizal Mat Yusuf yang didapati bersalah pada 2004 dan dikenakan hukuman penjara 18 bulan oleh mahkamah seksyen.

Hakim P Nallini mendapati hukuman tersebut sebagai "kegagalan sistem keadilan" kerana pendakwaan tidak berjaya membuktikan lelaki itu pernah membuat atau mengeluarkan VCD di No 12, Jalan Sri Banang, Taman Sri Andalas, Klang antara 1999 dan Mei 2003.

Dalam penghakimannya setebal 21 halaman, hakim berkata saksi-saksi pihak pendakwaan gagal mengaitkan antara VCD lucah itu dengan Mohd Rizal.Tambahnya, tidak wujud hubungan langsung bahawa lelaki tersebut mengeluarkan VCD tersebut kerana bukti-bukti hanya mengaitkan beliau dengan beberapa aksi hubungan seks yang dirakamkan dengan kaset video yang dikawal oleh alat kawalan jauh.

Mohd Rizal, sewaktu membela diri, mengakui membuat rakaman babak-babak seks tersebut dengan pramugari menggunakan kamera video untuk kegunaan peribadinya.

Tambah lelaki itu, apabila hubungannya terputus dengan gadis itu, beliau berjanji memusnahkan rakaman tersebut dan tidak memindahkan kandungannya kepada VCD kerana tidak mempunyai kelengkapan untuk berbuat demikian.

Dalam rayuannya, Mohd Rizal melalui peguam bela Rakhbir Singh, berkata hakim yang mendengar kesnya gagal mengambil kira bahawa tiada bukti dikemukakan bahawa beliau pernah membuat atau mengeluarkan VCD.

Lagi berita lanjut di sini.

Manchester United Juara Piala Kelab Dunia

PEMAIN Manchester United meraikan kejayaan mereka muncul juara Piala Kelab Dunia selepas menewaskan Liga de Quito dari Ecuador 1-0 dalam saingan final di Yokohama, Jepun semalam.

YOKOHAMA (Jepun): Jaringan menakjubkan daripada Wayne Rooney pada minit ke-73 membolehkan Manchester United - yang beraksi dengan 10 pemain - menjulang Piala Kelab Dunia selepas memerah keringat menewaskan pasukan Equador, Liga de Quito (LDU), 1-0, semalam.
United menjadi kelab Inggeris pertama memenangi kejuaraan anjuran Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) selepas Liverpool gagal meraih kemenangan pada 2005 apabila mereka ditewaskan pasukan Sao Paulo dari Brazil.

Rooney berkata ia menjadi satu lagi kejayaan United dan nyata berasa amat gembira dapat menjaringkan gol kemenangan. “Saya amat gembira kami menang dengan 10 pemain. Adalah satu pencapaian besar untuk dimahkotakan sebagai kelab terbaik dunia dan kami semua bangga kerana kami bekerja keras untuk mengecapi kejayaan hari ini (semalam),” kata Rooney.
Juara Eropah itu berjaya mengatasi saat sukar selepas pemain pertahanan mereka, Nemanja Vidic dibuang padang ketika aksi separuh masa kedua baru berlangsung empat minit kerana menyiku muka penyerang LDU, Claudio Bieler.

Kad merah dilayangkan kepada pemain antarabangsa Serbia itu menyaksikan United bangkit dan Rooney menjaringkan gol kemenangan di depan ribuan penyokong di Yokohama selepas Cristiano Ronaldo menyungkit cantik bola ke arahnya. Ronaldo yang menjadi mangsa layanan keras daripada juara Piala Libertadores itu, tetap menjadi duri dalam daging terhadap pasukan Equador itu ketika United mendominasi perlawanan yang disaksikan hampir 69,000 penonton.
Kapten United, Rio Ferdinand, berkata mereka berdepan kesukaran untuk menjaring lebih banyak gol ketika berdepan dengan corak permainan keras dan kawalan ketat pemain LDU. “Namun apa yang penting ia satu kejayaan yang hebat dan kami dapat bermain dengan baik dan menguasai perlawanan. Kami seharusnya mampu meraih lebih banyak gol tetapi sukar melepasi benteng lawan dan terpaksa banyak menggunakan hantaran jauh,” katanya.

Pasukan bimbingan Alex Ferguson memenangi perlawanan format awal yang menyaksikan perlawanan antara juara Eropah dan Amerika Selatan, apabila mereka menundukkan pasukan Brazil, Palmeiras pada 1999, juga dengan keputusan 1-0. - AFP

Sunday, December 21, 2008

Pemain desak Pafa selesaikan gaji tertunggak


BUKAN sedikit, tetapi mencecah sehingga RM60,000. Itu baru tunggakan gaji pemain selama empat bulan tidak termasuk gaji jurulatih.

Inilah dilema Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) sebelum saingan Liga Super musim 2009 bermula.

Pemain pula terus menuntut agar diselesaikan segera.
“Mana gaji kami, bila nak bayar.”
Begitulah keluhan salah seorang bekas pemain Perak yang masih menunggu bayaran tunggakan gaji mereka yang perlu dilunaskan oleh Pafa.
Pemain terbabit yang enggan namanya disiarkan mewakili rakannya yang lain yang kini sedang dilanda kesempitan.

Menurutnya dia dan rakannya kini masih sabar menanti tindakan Pafa yang dilaporkan mahu menyelesaikan gaji pemain yang tertunggak sehingga empat bulan.

Ekoran kegagalan Pafa membayar gaji mereka, ramai pemain utama Perak bertindak meninggalkan pasukan kesayangan mereka itu untuk mencari ‘rezeki’ dengan pasukan lain.

Antara pemain yang berpindah ialah Mohd. Khalid Jamlus, Shahrulnizam Mustafa, K. Nantha Kumar, Mohd. Nasril Nourdin, Mohd. Hamsani Ahmad, Mohd. Danial Fadzly dan Chan Wing Hoong.

Pemain tersebut memberitahu bahawa Pafa berhutang antara RM6,000 hingga RM60,000 pada seorang pemain dan jumlah tersebut adalah untuk empat bulan gaji.

Selain gagal menjelaskan gaji pemain, Pafa juga gagal melunaskan bayaran gaji jurulatih skuad Seladang musim lalu, Steve Darby sebanyak RM120,000.

Darby menyatakan dia akan merujuk dengan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) jika Pafa gagal membayar tunggakan gajinya.

Sehubungan itu, Presiden Pafa, Datuk Seri Muhammad Nizar Jamaluddin berjanji akan menyelesaikan masalah tersebut secepat mungkin.

Bagaimanapun dia tidak menyatakan tarikh muktamad untuk menjelaskan bayaran tunggakan berkenaan.

“Kami juga memerlukan duit bagi menyelesaikan beberapa perkara yang masih tertunggak sejak beberapa bulan lalu seperti rumah, kereta dan perbelanjaan harian,” jelas pemain tersebut kepada Kosmo Ahad! semalam.

Menurutnya, mereka sangat berharap agar Pafa dapat segera menyelesaikan gaji mereka yang sudah tertunggak selama empat bulan.

Menurutnya, dia dan rakannya yang lain sudah menghantar surat menuntut bayaran tunggakan itu kepada Pafa pada 10 Disember lalu.

Namun begitu katanya, sehingga kini masih tiada sebarang jawapan.

“Kami amat berharap agar Pafa dapat berbuat sesuatu untuk menyelesaikannya.”


Ajijoi ~ Sabo Yob! Yang berhutang dengan kome tu pengurusan Pafa yang lama. Entah kemana habih duit Pafa deme kerojekan, entah le.

Pengurusan Pafa yang baru diterajui MB dan kerajaan negeri Perak memerlukan masa untuk menyusun semula dan mendapatkan kewangan untuk Pafa. Sponsor sebanyak RM2 juta seperti yang dilaporkan akhbar baru-baru ini hanyalah berbentuk barangan (merchandise) bukannya wang ringgit.
Kenapa kome tak mintak duit gaji kome dengan orang-orang lama Pafa dulu? Sekarang ni baru nak beriya-iya beno mintak. Orang-orang lama Pafa dulu seronok le lepaskan beban pada orang-orang baru Pafa. Mana aci macam tu.
Tajuk gambo ateh tu patut kena tuko. Bukannya 'Banyaknya yob..' tapi tuko pada 'Sabo le yob..".

Ustaz, lebai buat persembahan


PASIR PUTEH: Kerajaan Pas Kelantan akan menampilkan kumpulan dikir barat dan mak yong dianggotai guru agama dan lebai, untuk membuat persembahan kebudayaan berkonsepkan Islam pada acara sambutan tahun baru, akhir bulan ini. Berucap ketika merasmikan bangunan Makmal Pengajian al-Quran dan Hadis di Masjid Majidiah, Kampung Wakaf Berangan, di sini, semalam.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, berkata usaha itu adalah langkah awal menggalakkan guru agama dan guru pondok negeri ini, menceburkan diri dalam persembahan kebudayaan tradisional rakyat Kelantan sebagai kaedah berdakwah.

Beliau yang juga Mursyidul Am Pas berkata, penyertaan mereka dalam seni budaya terbabit boleh membantu dalam usaha membawa perubahan dan dakwah kepada generasi muda.

"Jangan kita biarkan kepada generasi muda saja menceburi bidang berkenaan. Pada kali ini, kita akan buat satu kelainan pada sambutan tahun baru ini dengan menganjurkan persembahan kebudayaan berkonsepkan Islam oleh kumpulan ‘Tok Lebai’.

"Acara hiburan sambil berdakwah itu boleh diketengahkan lagi bagi menarik perhatian generasi muda supaya mereka tidak terpesong dengan hiburan yang melalaikan.

"Kita tidak mahu ada golongan belia menyambut acara sambutan tahun baru seperti masa lalu di Kuala Lumpur dan kini mula merebak ke Kelantan dengan acara mereka sendiri seperti lumba haram," katanya ketika berucap merasmikan bangunan Makmal Pengajian al-Quran dan Hadis di Masjid Majidiah, Kampung Wakaf Berangan, di sini, semalam.

Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am Pas, berkata menerusi penyertaan guru agama dan tok guru pondok, ketika berdikir atau menyertai mak yong mereka berpeluang menyelitkan bacaan ayat suci al-Quran. Mengenai pembukaan makmal pengajian al-Quran dan hadis itu masjid berkenaan, Nik Aziz berharap pelbagai pihak termasuk syarikat swasta dan korporat tampil memberi sumbangan.

Ajijoi ~ Satu pendekatan yang mengikut peredaran zaman untuk menyampaikan dakwah kepada seluruh kelompok dan peringkat ummat di negara kita.

Pas Perak juga boleh mengambil peranan untuk mengembangkan dakwah dengan cara yang begini. Ramai ustaz-ustaz dan lebai-lebai yang berkebolehan membuat persembahan agar dapat menerapkan nilai Islam kepada rakyat negeri Perak dengan persembahan mereka.

Saya pasti Alhusseyn yang berpengalaman didalam bidang persembahan senantiasa bersedia untuk membuat permulaan. Jangan terperanjat apabila Dewan Sg Rokam mengadakan persembahan daripada Ustaz-ustaz dan YDP-YDP kawasan.

Pokok Mempelam Pauh Bersejarah

Kakitangan Kompleks Sejarah Matang, Ahmad Khopapi menunjukkan pokok mempelam pauh sebesar dua pemeluk orang dewasa, benih pokok induk tempat tiga pejuang Melayu digantung mati.


Tempat tiga pejuang Melayu digantung pada pokok mempelam, Januari 1877 terbiar

SEPANJANG perjalanan dari Taiping ke Kuala Sepetang (Port Weld), yang jaraknya kira-kira 12 kilometer dari Bandar Taiping, Perak kelihatan banyak pokok besar di sepanjang jalan terutama di kawasan Matang yang mungkin usianya mencecah ratusan tahun.

Pokok besar itu dikatakan ditanam oleh penjajah Inggeris dengan tujuan tertentu, ada yang mendakwa sebagai penanda kawasan laluan, penanda pendudukan kolonial dan ada juga yang mengatakan ia satu daripada kempen alam sekitar.

Mungkin ramai yang tidak peduli atau tidak tahu, di situlah sebenarnya British menggantung sehingga mati tiga pejuang dan pemimpin Melayu yang disabitkan kesalahan bersubahat dan membunuh Residen Perak yang pertama, James Wheeler Woodford Birch atau JWW Birch di Pasir Salak.

Cerita seterusnya di sini.

Saturday, December 20, 2008

Wan Ahmad Farid Calon BN Bagi Pilihan Raya Kecil Kuala Terengganu


KUALA TERENGGANU, 20 Dis (Bernama) -- Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh hari ini dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu, 17 Jan depan.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga Timbalan Presiden Umno, mengumumkan perkara itu ketika berucap di hadapan lebih 4,000 penyokong BN di kediaman Menteri Besar, Datuk Ahmad Said di Sri Iman di sini.
Najib berkata pemilihan Wan Ahmad Farid, yang juga Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu mendapat restu daripada Perdana Menteri yang juga Presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.
"Untuk calon, bagi pihak Presiden Umno, telah diambil kira pandangan dan segala-galanya, BN dengan ini menampilkan Datuk Wan (Ahmad) Farid sebagai calon pilihan raya kecil P36 Kuala Terengganu," katanya.
Pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu diadakan berikutan kematian penyandangnya yang juga Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Razali Ismail pada 28 Nov lepas.
Najib berkata Wan Farid, 46, yang memegang jawatan Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu, selama dua penggal adalah pilihan tepat dan calon yang diyakini mampu mengekalkan penguasaan BN di kerusi Parlimen itu.
"Saya sudah beberapa kali berbincang dengan Presiden, saya nak beritahu Presiden dan saya mempunyai pendapat sama dalam menentukan calon ini," katanya.
Selain itu kata beliau pemilihan Wan Farid turut mendapat sokongan pemimpin Umno lain serta pemimpin parti komponen lain termasuk dari Terengganu sendiri.
"Dalam pilihan raya kecil, calon antara faktor penentu kemenangan sesebuah parti dan kita yakin calon kita ini mampu mencapai kemenangan pada 17 Jan nanti," kata Najib.
Beliau berkata pengumuman calon BN bagi pilihan raya kecil kali ini dibuat awal dari kebiasaannya, iaitu sehari atau pada malam penamaan calon, bagi memberi peluang calon terpilih memperkenalkan diri kepada pengundi.
Ia juga bagi memberi masa kepada BN menangani dan menyelesaikan sebarang masalah yang timbul sekiranya ada, katanya.
Beliau berkata pilihan raya kecil Kuala Terengganu besar maknanya dan perlu dimenangi BN kerana ia memberi kesan terhadap masa depan parti itu.
Antara yang turut hadir pada majlis itu termasuk bekas menteri besar Datuk Seri Idris Jusoh, Ketua Pergerakan Wanita Tan Sri Rafidah Aziz dan Ketua Pergerakan Pemuda Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein.-- BERNAMA
Ajijoi ~ Kita tunggu pula siapa calon pilihan PAS bagi menentang Wan Farid yang akan diumumkan esok.

Dengan sekali lafaz, Mawi sah bergelar suami


Tepat jam 11.40 pagi ini, Mawi & Ekin selamat diijabkabulkan di Masjid Sultan Abu Bakar, Johor Bahru.

Dengan hanya sekali lafaz, Asmawi Bin Ani ataupun Mawi (27) yang kelihatan tenang kini sah menjadi suami kepada Nora'ashikin Binti Rahmat ataupun Ekin (29).

Mas kahwin RM22.50 manakala wang hantaran pula sebanyak RM30,000.00 menjadi pengikat janji untuk sehidup semati.

Majlis pernikahan yang diadakan dengan penuh kemeriahan ini disiarkan secara langsung oleh Astro Oasis.

Tahniah buat pasangan bahagia ini dan selamat menempuh alam rumahtangga.

Berita selanjutnya di Utusan dan di Berita Harian.
Galeri foto pernikahan Mawi & Ekin : Galeri 1 dan Galeri 2

Galeri foto persandingan Mawi & Ekin.


Followers