Friday, March 2, 2012

Zambry diminta perjelas projek Pulau Matangor

IPOH, 2 Mac: Pemuda PAS Perak mempertikaikan pentadbiran kerajaan negeri Perak pimpinan Datuk Seri Zambry Abdul Kadir yang masih gagal menjelaskan kegagalan projek marina di pulau Matangor, Pangkor.

Ini kerana,  projek yang menelan belanja RM28 juta ini terbiar dan tidak digunakan walaupun sudah siap sejak lima tahun lalu.

Projek yang dilaksanakan oleh Jabatan Laut dan Kementerian Pengangkutan bagi kemudahan pelayar dari seluruh dunia yang melalui Selat Melaka perlu penjelasan lanjut daripada pihak Kerajaan Negeri Perak dan Kerajaan Persekutuan. 

Walaupun ianya telah didedahkan awal bulan Oktober tahun lepas, tetapi hasil penyiasatan yang dimaklumkan oleh Datuk Seri DiRaja Dr Haji Zambry Abdul Kadir masih belum menampakkan puncanya, kata Setiausaha Dewan Pemuda PAS Perak, Salman Haji Salleh(gambar kanan).

"Datuk Seri Zambry hanya mampu mengistilahkannya sebagai satu projek 'Gajah Putih' dan kini cuba membentuk satu Jawatankuasa Khas untuk memantau projek-projek yang akan dibina pada masa akan datang," katanya.

"Apa yang terjadi dengan projek marina di Pulau Matanggor hingga ke saat ini? Syarikat siapakah yang terlibat di dalam memastikan pelaksanaan projek marina tersebut?" soal Salman lagi.

Tetapi yang paling penting, katanya, siapakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kawasan Pangkor ketika pelaksanaan projek tersebut? 

Bagi beliau, rakyat dan penduduk Pulau Pangkor tentu kesal dengan projek yang menelan belanja RM28 juta tersebut yang telah berlaku ketirisan sehingga merugikan wang rakyat seluruhnya.

"Sudah tentu nilai RM28 juta tersebut boleh digunakan sebagai bantuan khas kepada penduduk di Pulau Pangkor yang masih tidak mempunyai bekalan elektrik dan air yang sempurna sepertimana yang pernah kami dedahkan sebelum ini," katanya.

Bercakap tentang RM28 juta tersebut, kata Salman, jika digunakan untuk kebaikan rakyat sudah tentu kemudahan rakyat di sana akan lebih baik daripada hanya membina satu projek 'Gajah Putih' yang tidak mendapat manafaat rakyat seluruhnya atau penduduk Pulau Pangkor sedia ada di sana!

- Harakahdaily

No comments:

Followers