Thursday, July 10, 2008

Ayat-Ayat Cinta : Novel vs Filem


Setelah selesai membaca novel Ayat-Ayat Cinta karya agung Habiburrahman El-Shirazy dan juga menonton filemnya arahan Hanung Bramantyo, ternyata emosi lebih terbuai melalui bait-bait kata yang diatur rapi serta perjalanan cerita yang lebih lembut dan terkesan yang dipaparkan di dalam novel berbanding filem yang diadun dan diolah semula menjadikan permainan cerita yang sedikit laju dan terkadang sedikit tersasar dari maksud asal si penulis.

Perbezaan yang agak ketara dari segi watak pemain-pemain utama didalam cerita ini. Menerusi novel, watak-watak utama Fahri, Maria, Aisha, Nurul dan Noura agak lebih beradab sopan dan perhubungan diantara mereka sepertikan jauh dari jasad namun dekat dihati. Dan jika dibandingkan watak-watak ini didalam filem, lebih keterbukaan didalam perhubungan dan kurangnya batas-batas malu dan pendam perasaan.

Bagi saya, keasyikan lebih terasa apabila membaca novelnya berbanding menonton terus filemnya dan hilang segala kemanisan cerita yang ingin dihantar jauh kesudut hati pembaca. Saranan dari saya agar membaca novelnya dahulu sebelum menonton filemnya agar lebih terkesan dengan sari wangi kesucian Islam yang dipaparkan didalam sebuah cerita cinta berlandaskan agama ini.

Saya yang telah selesai membaca novel ini melalui handphone, terasa ingin menghadiahkan novel cinta agung ini buat isteri tercinta agar sama-sama merasa kehebatan cinta yang dikisahkan sang penulis. Tambahan pula terdapat babak dimana pertama kali dipertemukan diantara pengantin lelaki dan pengantin perempuan yang seakan sama keadaannya diantara kami berdua dahulu. Nostalgia bagaikan menggamit memori silam. Novel ini berjaya juga saya hadiahkan buat isteri tercinta setelah mencari dibeberapa kedai buku terkemuka.

Antara komentar untuk novel Ayat-Ayat Cinta ini :

"Ambillah novel Ayat-Ayat Cinta dan masukilah keindahannya, nescaya akan engkau dapati luasnya pengetahuan dan goresan pena yang penuh berkhasiat. Kadang kala ia mengundang airmata, tetapi hujungnya tetap ilmu yang berguna. Kadang kala ia membuat hati kita tergoda, tetapi nafasnya tetaplah ajakan untuk kembali pada agama yang mulia. Ajakan yang lembut dan penuh makna. Kalaulah tidak ditulis dengan kehausan ilmu yang kuat, tentulah ia akan menjadi tempelan-tempelan ayat yang membuat penat."

"Nuansa Islam yang amat kental mengukuhkan novel ini sebagai media dakwah. Banyak hikmah yang dapat dipetik, terutama mengenai bagaimana berinteraksi dengan sesama manusia, baik muslim mahupun non-muslim, muhrim dan bukan muhrim. Tersusun dalam bahasa yang indah dan halus. Tiap kejadian tersusun secara kompak, satu kejadian akan berhubungan dengan kejadian selanjutnya. Nyaris tidak ada kejadian yang sia-sia. Tiap babnya menghadirkan kejutan-kejutan tersendiri, hingga pembaca dibuat penasaran untuk terus mengikuti kisahnya dari awal hinga akhir."


Muat-turun lagu-lagu daripada filem Ayat-Ayat Cinta.

No comments:

Followers