Thursday, July 18, 2013

Kenapa Pengundi Kuala Besut Mesti Pilih Pas?

Siri 1 oleh: Dr Azman Ibrahim

1. Dengan memilih Pas, kedudukan bilangan kerusi di DUN Terengganu akan menjadi seimbang 16:16 antara PR dan BN. Sekalipun tampuk pentadbiran negeri tidak akan bertukar dengan munculnya angka 16:16 sebagaimana yang dicanangkan kepimpinan Umno, kedudukan genting bagi Umno/BN ini dengan sendirinya akan menjadi faktor pendesak semulajadi untuk BN menunaikan janji-janjinya yang ditabur sepanjang kempen. Kita memaklumi 'ketulusan' Umno berkhidmat kepada rakyat adalah demi kelangsungan kuasa dan undi, projek-projek yang telah diletakkan batu asas sepanjang kempan PRK walaupun dikatakan perancangannya telah lama, cuma 'kebetulan' berlakunya kematian wakil rakyat, hakikatnya adalah 'perletakkan batu asas pancing undi'. Perlaksanaannya? Belum tentu! Kalahnya BN dalam PRK Kuala Besut ini akan memberi kekuatan jaminan untuk rakyat Kuala Besut melihat tegak 'sengoti' Sekolah Kebangsaan Alor Peroi dan Rumah Pangsa Mampu Milik Tok Saboh sebagaimana dijanjikan, jika hal sebaliknya, menangnya BN akan menjadikan mereka selesa, lena tidur dan persetankan dengan segala janji-janji yang telah ditabur. Semaklah rekod-rekod perlaksanaan janji BN dalam beberapa siri PRK sebelum ini. Mudah kata, undi Pas di Kuala Besut, rakyat tak akan rugi apa-apa.

2. Tentunya ada yang tak bersetuju dengan pandangan di atas, sebaliknya berpendapat dengan 16:16, Kuala Besut akan mencatat sejarah baru! PR akan memerintah Terengganu. Nah! Ini pastinya lebih baik sebab ianya akan memberikan peluang kepada PR Terengganu melaksanakan janji-janji manifesto yang telah dibentangkan kepada rakyat. Siapa yang tidak mahu masalah tanah diselesaikan, pinjaman Yayasan Terengganu dimansuhkan, bonus tahunan untuk warga emas yang tidak berpencen, cuti bergaji penuh 30 hari untuk kakitangan awam yang kematian suami, 17,000 peluang pekerjaan, pengecualian cukai pintu rumah kediaman, dasar merakyatkan ekonomi, bekalan air percuma bagi 20 meter padu dan beberapa lagi janji manifesto Pas Terengganu yang terhalang perlaksanaannya disebabkan angka 15:17. Seluruh pencinta keadilan dan kesaksamaan akan menyanjung tinggi dan berterima kasih kepada para pengundi Kuala Besut apabila anda menjadi perintis kepada perubahan ini.

3. Undilah Pas kerana terbukti BN gagal mengubah taraf hidup rakyat Kuala Besut. Dengan bajet tahunan Terengganu yang mencecah angka RM2 bilion, satu jumlah bajet yang tertinggi antara negeri-negeri di semenanjung, tetapi rata-rata rakyat Terengganu secara amnya dan Kuala Besut fokusnya masih dihimpit kemiskinan dan kemiskinan tegar khususnya rakyat di sekitar daerah mengundi Seberang Barat Luar dan Tok Saboh di Kuala Besut.

Masalah kemiskinan ini tidak akan selesai hanya dengan hanya perletakkan batu asas projek dan pengagihan anak ayam. Tambah mendukacitakan apabila MB memberi respon sinis terhadap isu kemiskinan ini dengan menuduh bahawa rumah-rumah buruk milik rakyat miskin adalah rumah orang Pas! Tidak timbul sebenarnya isu orang Pas atau Umno bila kita membincangkan berkenaan sosio-ekonomi rakyat apatah lagi seorang MB yang sepatutnya menjadi MB bagi rakyat dan negeri Terengganu, bukan MB untuk orang-orang Umno sahaja.

Isunya bagaimana kekayaan negeri boleh dimanfaatkan secara optimum supaya status negeri Terengganu sebagai negeri dengan bilangan rakyat miskin tegar yang kedua tertinggi di Malaysia mampu diubah. Dengan makna lain bagaimana sumber kekayaan ini boleh dinikmati oleh keseluruhan rakyat secara adil dan telus.

4. Calon Pas, Che Long mempunyai rekod kebersamaannya dengan penduduk setempat pada sebahagian besar tempoh hidupnya. Walaupun dicanangkan oleh tukang-tukang kempen BN calon Pas tak berpendidikan tinggi, beberapa kelebihan dan 'aset' semulajadi beliau perlu dipertimbangkan dengan adil oleh pengundi.

Berlatarbelakangkan seorang kontraktor kelas A serta usahawan setor kayu yang berjaya, seorang yang beragama dan terus tekun mendalami ilmu agama, Che Long dikenali sebagai insan dermawan yang suka membantu masyarakat. Kekayaan anugerah Ilahi kepadanya menerusi kejayaan usahaniaga tidak dihabiskan untuk diri dan keluarganya semata-mata. Hampir tidak ada program parti di sekitar Besut yang tidak menerima sumbangan Che Long. Jumlah masjid dan surau yang menerima sumbangan beliau juga sangat banyak. Belum lagi termasuk sumbangan-sumbangan kebajikan yang lain. Beliau lahir di Kuala Besut, membesar di Kuala Besut, bersekolah di Kuala Besut atau istilah orang tempatan, sentiasa 'bertumah' di kampung sepanjang masa. Suka duka, susah senang, jatuh bangun masyarakat Kuala Besut adalah sebahagian dari kehidupan Che Long…

Sunday, July 14, 2013

(Video) Tazkirah Ramadhan: Fungsi Al-Quran

Biarlah daripada rebungnya

Kaum muslimin sejak zaman dahulu lagi telah menunaikan ibadah puasa. Bahkan mereka telah membiasakan anak-anak mereka untuk berpuasa sejak kecil lagi. Sehinggakan mereka telah menyediakan beberapa alat permainan untuk mereka agar mereka leka bermain dan impak keletihan dapat dikurangkan kerana berpuasa.

Ada di antara ibu bapa yang menyediakan bulu-bulu daripada haiwan sebagai hamparan untuk mereka rehat dan lena di atas hamparan tersebut. Ada juga beberapa permainan yang boleh melekakan mereka agar mereka bersenang-senang hingga waktu berbuka.

Menjadi suatu kewajipan bagi seorang muslim untuk melatih anak-anaknya berpuasa sehingga mereka membesar terbiasa dengan ibadah ini.

Nota tambahan:

Biasanya, anak-anak dilatih dengan memberi ganjaran kepada mereka apabila mereka mencukupkan puasa. Contohnya, memenuhi permintaan anak-anak dengan menyediakan juadah berbuka puasa yang diminta, memberi duit raya dan sebagainya. Namun ia tidak perlu berlebih-lebihan. Cukuplah sekadar untuk memberi sedikit momentum sebagai pembakar semangat untuk mereka meneruskan ibadah puasa.

Hukum melatih anak-anak yang mumaiyiz berpuasa sama seperti hukum melatih anak untuk solat kerana kedua-duanya merupakan rukun daripada rukun-rukun Islam.

Walaupun kanak-kanak yang belum baligh tidak diwajibkan berpuasa, ia bukanlah satu larangan kepada ibu bapa melatih anak-anak berpuasa. Rasulullah SAW menyuruh ibu bapa melatih anak-anak mengerjakan solat walaupun mereka belum mencapai usia baligh. Hadis yang bermaksud: "Suruhlah anak-anakmu mengerjakan sembahyang ketika umur mereka tujuh tahun dan pukullah mereka jika mereka enggan melakukannya ketika umur mereka sepuluh tahun." - Hadis riwayat Imam Ahmad dan Abu Daud

Sekiranya arahan Nabi SAW untuk melihat kanak-kanak terbiasa dengan amalan solat sebelum ia diwajibkan ke atas mereka, maka begitu juga dengan amalan puasa.

Layakkah aku?

Beberapa orang yang soleh telah menziarahi gurunya. Ketika itu, gurunya sedang nazak dan hampir menemui ajal. Pertemuan mereka telah berlaku sebuah kisah yang boleh dijadikan peringatan buat mereka yang masih hidup dan akan menemui tuhannya suatu hari nanti. Mereka melihat gurunya menangis. Lalu murid-murid tersebut bertanya kepada guru itu: 'Mengapakah engkau menangis sedangkan Allah SWT telah memberikan taufiq kebaikan kepadamu? Lihat sahaja, berapa banyak ibadah solat yang telah engkau kerjakan? Begitu juga dengan puasa, haji dan umrah?'

Maka dijawab oleh guru tersebut: 'Adakah di antara kalian yang boleh memberitahu kepadaku mana-mana amalanku yang dijamin telah diterima oleh Allah SWT? Sedangkan Allah SWT berfirman yang bermaksud: 'Sesungguhnya Allah hanya menerima (amal ibadah) daripada orang-orang yang bertaqwa.' (Al-Maidah: 27). Adakah aku dijamin tergolong daripada mereka?

Nota Tambahan:

Janji Allah SWT kepada mereka yang memiliki sifat taqwa. Hasil mujahadah yang tinggi, serius serta istiqamah, Allah SWT akan kurniakan kepada mereka sifat taqwa.

Bermacam-macam kebaikan yang Allah SWT janjikan dalam Al-Quran kepada mereka yang memiliki sifat taqwa ini. Ini adalah janji Allah yang pasti tepat dan pasti ditunaikan-Nya. Ia tidak terhingga nilainya dan tidak dapat diukur dengan mana-mana mata wang di dunia ini.

Riya', ujub dan lain-lain sifat mazmumah itu paling sukar untuk dihindari kerana gerakannya terlalu halus.

Para Salafussoleh (orang-orang yang soleh terdahulu), apabila mengenangkan hal-hal begini, mereka selalu menangis. Mereka paling takut terhadap syirik khafi (syirik yang tersembunyi). Mereka khuatir ibadah mereka tidak ada harga di sisi Allah SWT.

Mereka takut mereka akan muflis di akhirat sedangkan untuk mendapatkan ikhlas terlalu susah.

Ikhlas hanya milik Allah SWT. Ia adalah rahsia-Nya yang Dia sahaja yang tahu. Hatta para malaikat pun tidak tahu.

Friday, July 12, 2013

Agak-agaknya diterima ke?

Mungkin Allah SWT membuka pintu ketaatan untuk anda, tetapi harus diingati bahawa mungkin juga Allah SWT tidak membuka pintu penerimaan. Bahkan Allah SWT mentakdirkan adanya kemaksiatan yang anda lakukan kemudian anda bertaubat nasuha menyebabkan sampainya amal anda ke hadrat Allah SWT.

Kemaksiatan yang menimbulkan kehinaan dan kesedihan lebih baik daripada ketaatan yang menimbulkan perasaan bangga dan sombong. Ibadah tersebut terkeluar daripada penerimaan Allah SWT apabila anda berkata: 'Siapa yang boleh menandingiku? Aku berpuasa dan aku melakukan solat sunat. Aku juga melakukan solat tarawikh dan solat malam. Sepanjang waktu aku akan bersedekah dan memberi makan kepada yang memerlukan.'

Oleh itu anda haruslah bersyukur apabila diberikan anugerah untuk taat kepada Allah SWT. Jangan sesekali berasa riya' dan bangga diri terhadap diri sendiri.

Nota tambahan:

Bagi kita, adalah bertuah dan beruntung jika kita sedar dan ingat setiap kesalahan yang kita lakukan sendiri. Sebaliknya, dengan melupakan kejahatan dan keburukan yang pernah kita lakukan akan menyebabkan kita lupa diri dan sentiasa berasa betul dan benar.

Walhal, diri kita penuh dengan dosa dan noda. Sebaliknya dengan mengingati kejahatan dan kesilapan yang pernah kita lakukan, akan membuatkan kita ingat siapa diri kita ini pada pandangan Allah SWT.

Oleh itu, kita akan sentiasa patuh dan menginsafi setiap yang telah kita lakukan. Jangan pula kita sentiasa mengingati keburukan orang lain tetapi melupakan keburukan diri kita sendiri.

(Video) Bersedekahlah kerana Allah - Ustaz Radzi Kamarul Hailan

Wednesday, July 10, 2013

Lillahi Ta'ala

Jangan berasa pelik dengan ketaatan yang diberikan oleh Allah SWT kepada anda. Jangan tertipu dan terpedaya kerana anda tidak tahu apakah ketaatan anda diterima oleh Allah SWT atau ditolak-Nya. Mungkin berlaku beberapa kesalahan dalam ketaatan yang sedang anda lakukan.

Mungkin dalam ketaatan timbul perasaan riya'. Mungkin apa yang anda kerjakan tidak ikhlas. Sikap-sikap sebegini yang akan mencacatkan ibadah anda. Oleh itu, Saidina Ali RA berkata yang bermaksud: "Keburukan yang engkau lakukan lebih baik di sisi Allah SWT daripada kebaikan yang engkau kagumi."

Keburukan yang anda lakukan kemudian anda sesali serta memohon keampunan daripada Allah SWT itu lebih baik berbanding anda melakukan kebaikan sedangkan kebaikan yang anda lakukan adalah semata-mata untuk dibangga-banggakan.

Nota Tambahan:

Di antara syarat diterimanya amal soleh adalah bersih daripada riya' dan sesuai dengan sunah.

Orang yang melakukan ibadah dengan maksud agar dilihat orang lain, maka dia telah terjerumus ke dalam perbuatan syirik kecil dan amalnya menjadi sia-sia belaka. Misalnya, berpuasa agar dipuji oleh orang lain.

(Video) Siasah Ramadhan - Ustaz Abu Bakar Hussein

Followers