Kenyataan Media (6 Mac 2014)
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak tidak bersetuju kaedah keras dan bersifat zalim yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri Perak terhadap ‘peneroka haram’ Kelapa Sawit yang telah ditanggani di kawasan seluas 40 hektar di Sahom, Kampar baru-baru ini. Kerajaan Negeri Perak sewajarnya menggunakan mekanisma ‘menang-menang’ dengan tidak menafikan hak ‘peneroka’ terbabit dengan tidak mengadilinya dengan hikmah sebagai sebuah kerajaan yang membela rakyatnya dengan sebaik mungkin. Kami dalam masa yang sama boleh bersetuju dengan tindakan tegas kerajaan negeri, akan tetapi tidak bersetuju dengan tindakan drastik tersebut sebagai satu tindakan yang tidak berperikemanusiaan.
Tanpa menafikan hak dan kuasa kerajaan negeri bertindak tersebut, amatlah tidak wajar dalam keadaan Kelapa Sawit tersebut yang sudah boleh membuahkan hasil dan bukannya baru menjalankan kegiatan yang disifatkan sebagai ‘penerokaan haram’. Keadah perbincangan dan ‘tolak ansur’ perlu diberikan keadilan kepada ‘peneroka’ terbabit oleh kerana faktor-faktor yang menjadi kekangan ‘peneroka’ yang terlibat. Bagi kami juga, jika benar pihak kerajaan negeri ingin membuat ketegasan terhadap semua ‘peneroka haram’ dan wajarlah semua tindakan serupa mesti dilakukan tanpa ‘memilih bulu’ yang bukan sahaja di Sahom.
Kami tegaskan, akan terus membela mereka-mereka yang berada di luar sana yang memerlukan pembelaan. Dan kami tegaskan juga, bersedia bertemu dengan kepimpinan utama kerajaan negeri untuk mencari penyelesaian di atas kemelut yang berlaku. Kami harapkan pihak kerajaan negeri membuangkan sifat ‘ego’ dan ‘sombong’ dalam menyelesaikan masalah yang menimpa rakyat seperti di Sahom. Kewajaran tindakan perlu disusuli dengan ruang perbincangan dan penyelesaian yang konkrik agar pembelaan kepada mereka yang terlibat setimpal dengan apa yang berlaku. Jangan kerana tindakan yang diambil bersifat tertentu sahaja kerana mereka semua adalah rakyat Perak yang berhak dan memerlukan keadilan yang sewajarnya!
DR RAJA AHMAD ISKANDAR AL-HISS
Ketua,
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak.
No comments:
Post a Comment