Monday, March 10, 2014

MH370 terhempas?


Kehilangan pesawat MAS MH370 awal pagi Sabtu lalu sewaktu dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing adalah satu trajedi kemanusiaan yang bukan hanya melibatkan negara kita Malaysia sebagai pemunya kepada syarikat penerbangan MAS tersebut tetapi juga seluruh dunia kerana penumpangnya terdiri daripada rakyat pelbagai negara.

Kehilangannya secara tiba-tiba daripada radar dan perhubungan amat memeranjatkan serta mengundang pelbagai spekulasi.

Secara tiba-tiba ramai yang menjadi pengulas dan penganalisis tanpa tauliah apabila membincangkan dan memberikan pandangan mereka melalui platform media baru, tanpa mengambil kira sisi keselamatan negara, dan lebih teruk lagi, perasaan keluarga mangsa yang terlibat.

Ada yang mengatakan ianya telah jatuh terhempas di lautan, meletup di udara, di rampas pengganas dan pelbagai andaian lagi.

Ada juga yang lebih teruk apabila menjadikan tragedi malang ini sebagai bahan lelucun ataupun lawak jenaka. Apa perasaan kita jika yang terlibat itu adalah keluarga kita sendiri dan ianya menjadi bahan ketawa orang? 

Ramai juga yang lebih selesa mengambil dan mempercayai sumber-sumber berita dan laporan daripada luar negara sebagai bahan rujukan mereka.

Dalam masalah ini, mereka tidak boleh dipersalahkan secara langsung kerana media berita negara kita sendiri yang begitu lambat memberikan maklumat sepenting ini untuk pengetahuan rakyat umum. Seolah-olah ada penapisan dalam pemberitaan dan seperti mahu disembunyikan fakta-fakta dalam penyampaian. 

Penulis sendiri mendapat berita tentang kejadian malang ini melalui berita terkini CNN. 

Bukan saja rakyat negara ini malah rakyat negara luar juga merasakan ketidakpuasan hati dengan maklumat-maklumat dan berita yang diberikan oleh pihak pengurusan syarikat penerbangan MAS di dalam sidang media yang mereka adakan.

Kebanyakannya berulang-ulang dan berlapik-lapik seperti mahu merahsiakan sesuatu.

Pihak yang bertanggungjawab perlu lebih telus dalam memberikan maklumat kerana ianya teramat penting kepada keluarga mangsa yang terlibat serta rakyat amnya.

Dengan maklumat rasmi yang lebih lengkap dan tanpa berselindung, akan lenyaplah pelbagai spekulasi yang memenuhi ruang siber hari ini.

Akhir sekali, marilah kita bersatu dalam menghadapi tragedi yang buruk ini dengan menghulurkan doa bagi mangsa tragedi di dalam penerbangan MH370 ini serta keluarga mereka yang sejak hari pertama telah kering airmata menunggu berita nasib yang menimpa mereka.

*Sehingga artikel ini ditulis, masih belum ada khabar berita mengenai nasib pesawat MH370. Tajuk di atas hanyalah untuk menarik perhatian agar sama-sama kita mendoakan yang terbaik buat semua.

No comments:

Followers