Thursday, February 6, 2014

Memori 5 tahun rampasan kuasa di Perak


Tarikh 5 Februari 2009 diingati kerana berlakunya rampasan kuasa oleh Barisan Nasional (BN) terhadap kerajaan Pakatan Rakyat (PR)  Perak. Pada tarikh tersebut, Najib dengan megahnya di Putrajaya dalam satu sidang akhbar mengumumkan 3 orang Adun PR meninggalkan PR menjadi Bebas dan menyokong BN dan kerajaan PR pimpinan saya hilang majoriti serta tumbang.

Sebenarnya usaha merampas kerajaan di buat oleh kerajaan BN dari Putrajaya bermula dari hari pertama PR menerajui kerajaan Perak dengan membuat berbagai tawaran kepada Adun-Adun PR untuk melompat dan tinggalkan PR. 

Mulanya saya ditawar jawatan Menteri Besar (MB), kemudian 4 jawatan Exco  di peruntukan kepada PAS dengan syarat kami menyertai UMNO. Mereka   menggunakan Mufti Perak, Pegawai Pembangunan Perak, abang saya Dato Ikram Jamaluddin untuk memujuk saya menyertai Umno bermula pada malam 8 Mac 2008. Kesemua tawaran ini kami tolak. Akhirnya mereka cuba mempengaruhi Pesuruhjaya PAS ketika itu AF Ustaz Ahmad Awang untuk memaksa  6 orang Adun PAS menyertai Umno, tetapi gagal. Mufti Perak di peralatkan untuk bertemu dengan TG Nik Aziz dan TG Haji Hadi Awang  bagi tujuan sama tapi juga gagal.

Disebaliknya pula, PAS Perak di ketuai oleh Haji Asmuni Awi, Ustaz Ahmad Awang dan Dr Khairuddin telah berbincang dengan pimpinan DAP dan PKR Perak  bagi menubuhkan PR Perak. 

Boleh dikatakan PR telah tertubuh buat pertama kalinya di Perak. Mulai  hari pertama sehingga 5 Februari 2009, berbagai usaha dan cara dibuat oleh  Umno/BN Negeri dan Putrajaya bagi  mengganggu perjalanan kerajaan PR Perak. Keputusan kerajaan di sabotaj, arahan  serta kelulusan tidak dilaksana bahkan arahan bercanggah di buat oleh  Setiausaha Sulit (SS) kerajaan Negeri untuk mengkucar kacirkan serta menghuru harakan pentadbiran kerajaan negeri. Usaha menyusun semula pentadbiran kerajaan terbantut serta terlengah akibat di sabotaj dengan menggunakan kuasa SS.

Dalam masa sama setiap Adun PR dari DAP dan PKR masih di beri tawaran lumayan untuk melompat sehingga akhirnya mereka berjaya dengan  kerjasama BPR ketika itu memerangkap Adun Behrang dan Changkat Jering  dengan cara yg tidak bermaruah, sogokan dan suapan, rakaman vcd, ugutan dan menyamar sebagai kontraktor oleh BPR yg akhirnya berjaya mengena kepada Adun Behrang dan Changkat Jering. Adun DAP dari Jelapang juga berjaya dihasut untuk keluar dan ketiga-tiga mereka hilang di culik pada akhir bulan Januari 2009. 

Usaha menghubungi mereka dalam tempoh seminggu gagal sampailah pada tarikh 5 Februari 2009, bila mana ketiga-tiga mereka menjelma di corong TV jam 5 petang  bersama Najib dan beberapa menteri kanan Umno di Putrajaya, bagi mengisytiharkan mereka bertiga keluar PR dan menjadi Adun bebas menyebelahi BN. Najib mengumumkan MB haram BN yg baru, Zambry Abdul Kadir pada 6 Februari 2009 serta beliau mengangkat sumpah di Istana  Iskandariah pada hari Jumaat petang, 6 Februari 2009 disertai demonstrasi besar-besaran di Bukit Chandan selepas solat Jumaat.

Bila 3 Adun daripada Jelapang, Behrang dan Changkat Jering hilang dan gagal di hubungi, maka dengan persetujuan pimpinan PR Perak dan Pusat, saya telahmenghantar sepucuk surat bertarikh 4 Februari 2009, memohon perkenan Sultan untuk membubarkan 59 Dewan Undangan Negeri Perak untuk rakyat Perak memilih semula kerajaan baru, oleh  kerana kedudukan politik Perak yang  tidak stabil dan tidak menentu, tetapi malangnya permohonan saya di tolak oleh Tuanku Sultan. Saya dititah mengadap Tuanku Sultan pada jam 1.30 tengahari pada 5 Februari 2009.

Disaat berdepan dengan Tuanku Sultan di Istana Kinta, Ipoh, saya diberitahu berkenaan pertemuan Najib dengan  Baginda Sultan serta 3 orang bekas Adun PR dan 28 Adun BN yg mengadapTuanku membuat akujanji. 

Setelah saya dengar dengan teliti  penerangan dari Tuanku Sultan, maka saya memohon untuk memberi penjelasan dan penerangan kepada  Tuanku Sultan. Tuanku membenarkan saya berhujah selama 15 minit dengan saya nengemukakan 11 perkara berserta rayuan dan ikhtiar terakhir bagi menyelamatkan kerajaan PR Perak.

Setelah Tuanku mendengar kesemua hujahan saya, maka tuanku menitahkan agar saya mesti meletak jawatan sebagai Menteri Besar. 

Mendengarkan titah Tuanku tersebut, maka sekonyong konyong saya mengeluarkan ungkapan keramat yang  masyhur yang di putar belit oleh Umno, ia itu "Ampun Tuanku beribu ribu ampun sembah patik pohon diampun, patik pohon sembah durhaka Tuanku". 

Bilamana Tuanku mendengar respon saya untuk enggan meletakkan jawatan, terus Tuanku bangun dan beredar. Saya keluar dan sebelum meninggalkan istana, sempat saya menegur penasihat undang-undang, Dato Kamal Sahid dan saya berkata kepadanya, "Dato  bertanggungjawab dunia akhirat dengan  apa yang terjadi di negeri Perak sekarang". 

Maka bermulalah krisis di Perak apabila saya enggan meletak jawatan sebagai MB. Pada 6 Februari 2009, saya masih ke pejabat tapi dihalau keluar oleh SS dari bangunan SUK. Zambry mengangkat sumpah sebagai MB haram di tengah-tengah rakyat yang  berdemonstrasi di hadapan Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar. 

Pada 13 Februari 2009, saya telah membuat filing di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk judicial review bagimendapatkan perisytiharan mahkamah bahawa saya adalah Menteri Besar yang sah dan menghalang Zambry  dari menyamar sebagai MB dan seterusnya melaksanakan urusan MB. 

Setelah hampir 3 bulan terlibat dalam  perbicaraan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan Mahkamah Persekutuan, Putrajaya, akhirnya hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Yang Arif Abdul Aziz Rahim memutuskan bahawa disetiap ketika material Nizar adalah Menteri Besar yang sah.

Pada 12 Mei 2009, saya dan exco PR masuk ke pejabat MB dan terus adakan mesyuarat dengan pegawai-pegawai di  pejabat, kemudian bergegas ke Istana Iskandariah di Kuala Kangsar bagi menghadiri majlis penganugerahan  bintang kehormat. Balik semula ke pejabat jam 2 petang, kemudian di arah oleh SS kosongkan pejabat dan keluar kerana Zambry dapat perintah Mahkamah Rayuan bahawa keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur   semalam telah diketepikan oleh hanya seorang Hakim iaitu Dato Ramli Ali. 3 bulan perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dipunahkan dengan arahan 5 minit sahaja dari Hakim Dato Ramli Ali untuk diketepikan dan tiada apa-apa sebab bertulis yang diberikan. 

Kami hanya berada di pejabat MB selama 18 jam sahaja sebelum dirampas semula oleh BN menggunakan Mahkamah Rayuan. 

Maka saya buat rayuan ke Mahkamah Persekutuan  dan diterima oleh Mahkamah Persekutuan (leave granted) pada 9 Julai 2009. Saya mohon jemaah 11 orang hakim bagi mendengar dan mengadili kes ini. Namun ditolak tinggal 5. Saya telah ulang alik ke Mahkamah  Persekutuan di Putrajaya sehinggalah keputusan dibuat pada 9 Februari 2010 yang menolak saya dan mengangkat Zambry sebagai MB haram semula.

Kesimpulanya ialah krisis politik di negeri Perak menyaksikan beberapa kepincangan yg dilakukan oleh Umno dan BN Negeri dan Putrajaya bagi merampas kerajaan yang dipilih rakyat. 

Umno terpaksa rampas dengan cara yang zalim sehingga memaksa Speaker  diseret keluar dewan, menggunakan Perkasa dan NGO yang lain untuk menahan Adun PR daripada bersidangdi dewan  kerana jika mereka lambat bertindak maka kerajaan PR Perak akan lebih mantap, kukuh dan sukar di ambil semula seperti Kelantan dan Pulau Pinang. 

Umno menggunakan semua ajensi kerajaan bagi membantu mereka merampas kerajaan seperti PDRM, institusi kehakiman, BPR (sekarang ini SPRM), Istana, Mufti, SPR, NGO luar, dan lain-lain semata-mata untuk  menafikan hak rakyat kepada kerajaan yang mereka pilih iaitu Pakatan Rakyat.

Makanya, Umno akan buat apa saja bagi meneruskan kerajaan mereka walaupun menyalahi perlembagaan negeri dan persekutuan, melanggar peraturan dan peradaban demokrasi, termasuklah menggunakan kekerasan melalui PDRM. 

Oleh itu Umno akan bertindak zalim dan lebih dahsyat dari apa yang kita fikirkan. Mereka hanya bermain wayang dengan berlagak  sopan dan elok tetapi Umno juga mampu bertindak amat zalim jika mereka hilang kuasa.

Janganlah ada walau sekelumit niat untuk berbaik-baik atau berhajat hati untuk bersama dengan Umno. Wala tarkanuu illalazina zolamuu fatamasaa kumunnar, jangan sesekali kamu cenderung kepada mereka yg melakukan kezaliman, kelak kamu akan di sambar api neraka. Namun perancangan Allah jauh mengatasi perancangan dan muslihat manusia, sejarah akan pasti berulang dan Umno dan BN Perak , inshaAllah pasti akan tumbang sedikit masa lagi kerana perbuatan jahat dan zalim mereka. Allah cuma menguji sedikit kesabaran kita untuk melihat siapa yg ikhlas dan tulen sifat mereka dalam memperjuangkan serta menegakkan  kalimahNYA di Perak dan bumi Malaysia yang tercinta ini. 

Semoga episod rampasan kuasa ini dijadikan iktibar dan pengajaran buat kita semua agar ianya tidak berulang lagi. 

Dato' Seri Nizar Jamaluddin
Pengerusi Pakatan Rakyat Perak

No comments:

Followers