Friday, February 21, 2014

Perhimpunan aman menentang kebiadapan Dr Kassim Ahmad selepas solat Jumaat hari ini


Satu perhimpunan aman akan diadakan selepas solat Jumaat hari ini di Masjid Sultan Idris Shah II (Masjid Negeri) bagi membantah kebiadapan Dr. Kassim Ahmad terhadap junjungan kita Nabi Muhammad SAW di satu seminar baru-baru ini. 

Orang ramai yang mencintai Rasulullah disarankan untuk beramai-ramai turut serta menyatakan bantahan hari ini. 

Tuesday, February 18, 2014

KASIM AHMAD HINA ISLAM : MANA SUARA MUFTI


KENYATAAN MEDIA 
(18 februari 2014)

Dewan Pemuda PAS Perak amat kesal dengan Kasim Ahmad ketika beliau memberi ucapan dalam "Seminar Pemikiran Kassim Ahmad: Suatu Penilaian" di Putrajaya baru-baru ini.

Antara dakwaan beliau dalam ucapannya ialah Islam sebenar di negara ini telah diseleweng kerana mengikut satu sistem “kasta paderi” yang dipanggil ulama, umat Islam seperti mendewa-dewakan Nabi Muhammad SAW dengan syahadah kedua dan rambut bukanlah aurat wanita.

Setelah meneliti kenyataan beliau, Dewan Pemuda PAS Perak dengan tegas menyatakan beberapa pendirian seperti berikut :

1. Membantah sekeras-kerasnya ucapan beliau yang menghina Islam secara terbuka yang diadakan di Yayasan Kepimpinan Perdana dan dirasmikan oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Penghinaan ini menggambarkan aqidah pemikiran dan kefahaman terhadap Islam sudah menyimpang daripada landasan yang sebenar.

2. Menggesa pihak Kerajaan menggunakan kuasa yang ada untuk mengambil tindakan terhadap Kasim Ahmad atas ucapan beliau yang menghina Islam.

3. Menggesa Mufti dan Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan kenyataan balas dan menyatakan pendirian terhadap ucapan ini. Inilah peranan Mufti sebenar dalam menegur ketelanjuran umat Islam yang semakin songsang akidah dan akhlak Islamiah. 

4. Menuntut agar Kasim Ahmad membuat permohonan maaf daripada beliau kepada seluruh umat Islam di atas keceluparan ucapan beliau dalam tempoh 3 hari. 

5. Dewan Pemuda PAS Perak kesal kerana lokasi seminar dan Perasmi adalah seorang Mantan Perdana Menteri yang beragama Islam. Ini jelas menunjukkan bahawa Umno bukanlah pejuang Islam yang sebenar.

6. Dewan Pemuda PAS Perak menyeru kepada seluruh ummat Islam supaya turut serta dalam bantahan secara aman di Masjid Negeri, Ipoh  pada 21 februari 2014 bermula selepas solat jumaat sebagai membantah sikap pihak berkuasa yang hanya menjadi penonton setia kepada kebiadapan Kasim Ahmad.

AKMAL HJ KAMARUDIN
Timbalan Ketua,
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak
Bertarikh : 18 Rabi’ul Akhir 1435H bersamaan 18 Februari 2014

Sunday, February 16, 2014

Perlu Bersabar Bersama Dengan Pas

Sabar merupakan sifat mahmudah. Ia merupakan sifat para Nabi dan Rasul Alaihissalam. Ia adalah tonggak kepada kejayaan dalam amal, samaada amal dunia atau amal Islami ( kerja harakah Islamiah). Tanpa kesabaran nescaya Islam tidak akan sampai ke negara kita. Para Nabi menyampai dakwah tanpa jemu-jemu penuh dengan kesabaran. Penentang dakwah mereka ialah orang yang akrab dengan mereka, seperti anak, isteri dan saudara terdekat. Nabi Muhammad SAW berhadapan dengan bapa saudaranya Abu Lahab, Abu Jahal dan bangsanya sendiri. Nabi Nuh Alaihissalam, isteri dan anaknya sendiri. Nabi Ibrahim dengan bapanya. Nabi Lut dengan isterinya. Semua halangan ini dapat diatasi dengan kesabaran. Apakah tanpa kesabaran dakwah mereka akan berjaya?.

Begitu juga kesabaran yang ditunjuk oleh pendakwah yang datang ke negara kita dengan kelengkapan yang tidak seberapa. Namun kerana menyahut seruan Allah, mereka merentasi lautan dan gelombang yang besar untuk menyampai seruan Islam. Semoga Allah sahaja yang membalas jasa mereka, tanpa usaha mereka, kita tidak pasti agama apa yang menjadi anutan kita.

Pas sebagai sebuah jamaah yang menjadi Islam sebagai dasar seperti yang tertera di dalam Perlembagaan Pas. Tanpa kesabaran Pas tidak mampu bernafas dan bergerak maju. Bukan senang hendak meyakinkan orang ramai mengenai prinsip perjuangan Pas. Seruan kepada perkara yang tidak nampak, bukan kepada kebendaan yang terbentang luas. Tetapi penuh ranjau dan duri. Inilah yang membezakan dengan orang lain.

Untuk mencari kebenaran dan makna diri memerlukan kepada kesabaran yang tinggi. Pastinya godaan dan halangan yang datang daripada berbagai sudut samaada berupa manusia atau syaitan yang terus bekerja tanpa penat dan pencen. Penentang ini tidak membiarkan kita berada di zon selesa. Mereka akan mencari helah dan tipu daya untuk menggagalkan usaha kita.

Firman Allah yang bermaksud
"Wahai orang -orang yang beriman bersabarlah, sabar dan teguhkan pendirian"

Kita perlu sabar jika kita ada idea untuk dikemukakan kepada Pas. Jangan marah jika idea yang kita lontar tidak diterima. Mungkin idea ini akan diterima dua puluh tahun lagi. Yang penting ada kesabaran di dalam berjuang. Contoh yang ditunjuk oleh Almarhum Profesor Zulkifli Muhammad, beliau pernah mencadangkan kepada Ahli Jawatankuasa Pas Pusat untuk membuka keahliah Pas kepada bukan Islam sebagai ahli bersekutu pada tahun 60 an dahulu. Cadangan itu ditolak oleh Jawatankuasa Pas Pusat, dituduh sebagai pengkianat kepada perjuangan. Beliau menarik balik cadangan tersebut kerana mendapat kencaman yang teruk. Ustaz Zulkifli sabar, dia tidak gopoh, dia tidak buat kenyataan akhbar, dia tidak keluar parti. Akhirnya cadangan beliau 50 tahun dahulu menjadi kenyataan pada hari ini dengan tertubuhnya Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP).

Begitu juga cadangan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang yang mencadangkan Kerajaan Perpaduan pada tahun 2009 lebih kurang sama dengan Konsensus Nasional cadangan Datuk Seri Anuar Ibrahim sekarang. Walau pun cadangan beliau di tentang dan difitnah kononnya beliau hendak bawa Pas sertai BN. Pas berada di dalam keadaan yang kelam kabut kerana isu ini. Sehingga hari ini masih ada fitnah terhadap Presiden Pas , kononnya hendak masuk Umno. Inilah tuduhan yang biadab dan tidak ada akhlak. Namun Tuan Guru Haji Abdul Hadi sabar, tunggu dan lihat. Hampir 5 tahun idea beliau telah menjadi kenyataan, walaupun namanya lain. Jika dulu ikan kembung sekarang ikan temenung. Pokok pangkalnya kena sabar.

Sabar ketika menyampaikan risalah perjuangan. Bukan senang manusia hendak menerima seruan Islam. Seruan yang tidak menjanjikan benda, hanya bermotivasi akhirat, dosa dan pahala. Hanya mereka yang kental Iman dan semangat yang tinggi sahaja yang akan mampu menghadapi tribulasi ini. Saya teringat kisah yang pernah dicerita oleh Almarhum Ustaz Harun Taib mengenai kesabaran di dalam dakwah yang ditunjukkan oleh Almarhum Profesor Zulkifli Muhammad dengan seorang penyokong tegar Umno di kawasan Bachok Kelantan yang beliau pernah menjadi Ahli Parlimen. Pada suatu hari Ustaz Zulkifli berhenti di rumah seorang yang kuat Umno kebetulan di depan rumah beliau ada pokok nangka yang masih kecil. Beliau memberi tahu kepada tuan rumah tersebut, isterinya mengidam nangka. Beliau hendak tempah nangka tersebut, walaupun pada awalnya penyokong tegar Umno ini tidak berapa hendak layan. Arwah berulang kali singgah di rumah tersebut sehingga nangka itu masak. Akhirnya si Umno ini menyertai Pas setelah melihat akhlak dan watak pemimpin Pas yang sabar walaupun beliau seorang penyokong yang tegar Umno. Inilah dakwah yang memerlukan kesabaran dan ketekunan.

Ustaz Idris Ahmad
12/2/14

Friday, February 14, 2014

Bolehkah guru terus menjadi lilin?

TANGGUNGJAWAB guru dalam membangunkan generasi besar sekali.

Di sekolah, guru mengajar, menjadi kerani, mengisi data dan maklumat murid, menjadi jurulatih, dan pelakon di pentas. Pun begitu, guru tetap seronok dengan tugas mereka.

Namun, dengan terlaksananya sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) pada tahun 2011, keseronokan guru berubah.

Guru tidak senang dengan PBS bukannya kerana beban tugas yang bertambah, tetapi tidak tahan dengan karenah merekodkan penilaian pelajar ke dalam sistem
komputer berpusat.

Ini kerana sistemnya lembab dan selalu tergantung.

Keadaan inilah yang menyebabkan terdapat guru yang bangun sebelum Subuh sewaktu trafik internet lancar bagi memasukkan data ke dalam sistem PBS kementerian.

Kementerian menyedari rungutan guru ini dan berjanji untuk mengatasinya pada April 2014 nanti.

Maka, guru diminta bersabar. Pun begitu, terdapat guru yang hilang sabar.

Pada 22 Februari ini, sekumpulan guru yang menamakan Suara Guru Masyarakat Malaysia (SGMM) merancang untuk mengadakan bantahan di Putrajaya.

Persoalannya, mengapa mereka mahu mengadakan bantahan ini?

Apa masalahnya dengan sistem PBS ini? Perlukah sistem ini diteruskan atau
dihapuskan?

Bagi saya, sistem ini mempunyai banyak kelemahan yang mewajarkan Kementerian melihat semula pelaksanaannya?

Apa kelemahannya? Saya perturunkan hujahnya di bawah.

Masalah dengan sistem PBS?

1. Sistem ini tiada peperiksaan akhir tahun dan tiada peperiksaan berpusat seperti UPSR dan PMR. Jika tanpa peperiksaan, bagaimana menilai pencapaian murid? Bagaimana ibu bapa dapat mengetahui pencapaian anak mereka?

2. Sistem ini tidak sesuai dilaksanakan selagi nisbah guru-murid dan kemudahan sekolah bandar-luar bandar tidak seimbang. Di sekolah pedalaman misalnya, bagaimana mereka mahu mendapatkan kemudahan internet untuk merekodkan maklumat pelajar?

3. Sistem ini memerlukan kemudahan sekolah yang mencukupi. Bagaimana melaksanakannya dengan baik jika mendapatkan kertas dari pejabat
sekolah pun sukar? Tinjauan saya mendapati guru membeli sendiri
kertas, pencetak dan toner yang diperlukan mereka.

4. Cara pembahagian band tidak konsisten. Guru-guru sendiri mengakui
hal ini dengan mengatakan sistem ini sebenarnya tidak jujur; adakalanya mereka terpaksa meluluskan band setiap pelajar atas dasar simpati dan hendak mengejar band.

5. Sistem ini menyebabkan tugas utama guru mengajar menjadi semakin kurang kerana masa banyak ditumpukan kepada merekodkan maklumat pelajar dan membuat kerja-kerja perkeranian. Jika macam ini, bagaimanakah kita boleh menghasilkan insan yang cemerlang?

6. Sistem ini mewujudkan murid dan pelajar yang malas membaca, malas berusaha, malas berfikir dan hilangnya sifat ingin berlumba menjadi yang terbaik. Ini kerana murid-murid tidak lagi mempunyai tekanan untuk bersedia bagi menghadapi peperiksaan.

Ibu bapapun tidak ghairah lagi untuk menghantar anak-anak ke pusat tuisyen. Bila malas berfikir, malas mengulangkaji, maka apa hasil cemerlangnya dengan sistem ini?

Mengatasi kelemahan PBS?

Hujah di atas menunjukkan kelemahan sistem PBS. Bagi mengatasinya saya
mencadangkan dua perkara.

Pertama, sistem peperiksaan berpusat UPSR dan PMR perlu diadakan semula. Bagi saya buatlah sistem PBS atau apapun, tetapi jangan hapus bentuk peperiksaan yang sedia ada sekarang.

Pelajar perlu dinilai, bukan sahaja untuk mengetahui tahap pencapaian mereka, tetapi untuk mereka mempunyai semangat berlumba, dan juga untuk membolehkan ibubapa menilai prestasi anak mereka.

Saya menekankan keperluan peperiksaan ini kerana saya tidak mahu melihat pelajar menjadi semakin malas dan tidak suka berfikir.

Bagi saya, UPSR dan PMR sudah elok, cumanya jika hendak menilai kedua-dua aspek akademik dan kokurikulum, buatlah 50 peratus peperiksaan dan 50 peratus kokurikulum dan kerja kursus, selesai masalah.

Kedua, jika sistem ini mahu diteruskan juga, maka guru-guru perlu diberikan pembantu untuk merekodkan data kerana tanggungjawab utama guru adalah mengajar.

Guru perlu diberikan kembali keseronokan mereka mengajar tanpa dibebankan dengan kesibukan mengisi maklumat dalam komputer.

Semoganya dengan mengembalikan keseronokan mengajar guru, maka guru kekal menjadi lilin yang menerangi perjalanan generasi akan datang. Amin

PROF MADYA DATUK DR MOHAMMAD AGUS YUSOFF

10 Februari 2014

Sunday, February 9, 2014

Pak Yazid penceramah terkenal meninggal dunia


Pak Yazid Jaafar, satu nama yang cukup terkenal sebagai penceramah dakwah di zaman sebelum kewujudan youtube dahulu. 

Di tahun 80-an dan 90-an, siapa yang tidak kenal akan nama Pak Yazid Jaafar melalui siri ceramah-ceramah beliau yang tersebar luas melalui jualan kaset. 

Suara beliau yang selalu berkumandang melalui kaset-kaset dahulu dalam menyampaikan dakwah Islam, kini hanyalah satu tinggalan pahala yang di wasiatkan buat umat kerana Pak Yazid telah menghembuskan nafas terakhir beliau hari ini dirumahnya di Hospital Kuala Lumpur akibat sakit tua.

Antara jasa-jasa Allahyarham Pak Yazid adalah: 

1. Mengetuai perbarisan hari merdeka pada 31.8.57

2. Bekas YDP  Persatuan Bekas Perajurit Force 136. 

3. Menyertai parti PAS pada tahun 1956

4. Pernah menjadi Pesuruhjaya PAS Selangor dari tahun 1970 hingga 1974

5. Pernah bertanding dalam Pilhanraya Umum pada 1969 menentang Tun Razak di Pekan, Pahang 

6. Merupakan petugas sepenuh masa di pejabat agung PAS  semenjak 1964 hingga 1974

7. Menjadi guru agama dan pendakwah terkenal di Lembah Kelang semenjak 1960-an hingga 2014

(Sumber: Jabatan Arkib PAS)

Menurut kenyataan ringkas Pesuruhjaya PAS Perak, Tuan Haji Razman Zakaria sewaktu menziarahi jenazah Pak Yazid: "Allahyarham istiqamah dalam perjuangan hingga akhir hayat. Ada masa tidak sependapat dengan keputusan mesyuarat tetapi tidak pernah keluar parti. Memahami amal jamaie."

Jenazah Allahyarham Pak Yazid akan dibawa ke rumah beliau di Kg Baru, Kuala Lumpur untuk disemadikan hari ini.

Al-Fatihah buat seorang lagi permata dakwah yang dijemput pulang menghadap Maha Pencipta. 

Semoga roh beliau dicucuri rahmat beserta dengan orang-orang yang beriman dan segala jasa bakti beliau berjuang menyampaikan dakwah buat kita semua dibalas syurga.


Thursday, February 6, 2014

Memori 5 tahun rampasan kuasa di Perak


Tarikh 5 Februari 2009 diingati kerana berlakunya rampasan kuasa oleh Barisan Nasional (BN) terhadap kerajaan Pakatan Rakyat (PR)  Perak. Pada tarikh tersebut, Najib dengan megahnya di Putrajaya dalam satu sidang akhbar mengumumkan 3 orang Adun PR meninggalkan PR menjadi Bebas dan menyokong BN dan kerajaan PR pimpinan saya hilang majoriti serta tumbang.

Sebenarnya usaha merampas kerajaan di buat oleh kerajaan BN dari Putrajaya bermula dari hari pertama PR menerajui kerajaan Perak dengan membuat berbagai tawaran kepada Adun-Adun PR untuk melompat dan tinggalkan PR. 

Mulanya saya ditawar jawatan Menteri Besar (MB), kemudian 4 jawatan Exco  di peruntukan kepada PAS dengan syarat kami menyertai UMNO. Mereka   menggunakan Mufti Perak, Pegawai Pembangunan Perak, abang saya Dato Ikram Jamaluddin untuk memujuk saya menyertai Umno bermula pada malam 8 Mac 2008. Kesemua tawaran ini kami tolak. Akhirnya mereka cuba mempengaruhi Pesuruhjaya PAS ketika itu AF Ustaz Ahmad Awang untuk memaksa  6 orang Adun PAS menyertai Umno, tetapi gagal. Mufti Perak di peralatkan untuk bertemu dengan TG Nik Aziz dan TG Haji Hadi Awang  bagi tujuan sama tapi juga gagal.

Disebaliknya pula, PAS Perak di ketuai oleh Haji Asmuni Awi, Ustaz Ahmad Awang dan Dr Khairuddin telah berbincang dengan pimpinan DAP dan PKR Perak  bagi menubuhkan PR Perak. 

Boleh dikatakan PR telah tertubuh buat pertama kalinya di Perak. Mulai  hari pertama sehingga 5 Februari 2009, berbagai usaha dan cara dibuat oleh  Umno/BN Negeri dan Putrajaya bagi  mengganggu perjalanan kerajaan PR Perak. Keputusan kerajaan di sabotaj, arahan  serta kelulusan tidak dilaksana bahkan arahan bercanggah di buat oleh  Setiausaha Sulit (SS) kerajaan Negeri untuk mengkucar kacirkan serta menghuru harakan pentadbiran kerajaan negeri. Usaha menyusun semula pentadbiran kerajaan terbantut serta terlengah akibat di sabotaj dengan menggunakan kuasa SS.

Dalam masa sama setiap Adun PR dari DAP dan PKR masih di beri tawaran lumayan untuk melompat sehingga akhirnya mereka berjaya dengan  kerjasama BPR ketika itu memerangkap Adun Behrang dan Changkat Jering  dengan cara yg tidak bermaruah, sogokan dan suapan, rakaman vcd, ugutan dan menyamar sebagai kontraktor oleh BPR yg akhirnya berjaya mengena kepada Adun Behrang dan Changkat Jering. Adun DAP dari Jelapang juga berjaya dihasut untuk keluar dan ketiga-tiga mereka hilang di culik pada akhir bulan Januari 2009. 

Usaha menghubungi mereka dalam tempoh seminggu gagal sampailah pada tarikh 5 Februari 2009, bila mana ketiga-tiga mereka menjelma di corong TV jam 5 petang  bersama Najib dan beberapa menteri kanan Umno di Putrajaya, bagi mengisytiharkan mereka bertiga keluar PR dan menjadi Adun bebas menyebelahi BN. Najib mengumumkan MB haram BN yg baru, Zambry Abdul Kadir pada 6 Februari 2009 serta beliau mengangkat sumpah di Istana  Iskandariah pada hari Jumaat petang, 6 Februari 2009 disertai demonstrasi besar-besaran di Bukit Chandan selepas solat Jumaat.

Bila 3 Adun daripada Jelapang, Behrang dan Changkat Jering hilang dan gagal di hubungi, maka dengan persetujuan pimpinan PR Perak dan Pusat, saya telahmenghantar sepucuk surat bertarikh 4 Februari 2009, memohon perkenan Sultan untuk membubarkan 59 Dewan Undangan Negeri Perak untuk rakyat Perak memilih semula kerajaan baru, oleh  kerana kedudukan politik Perak yang  tidak stabil dan tidak menentu, tetapi malangnya permohonan saya di tolak oleh Tuanku Sultan. Saya dititah mengadap Tuanku Sultan pada jam 1.30 tengahari pada 5 Februari 2009.

Disaat berdepan dengan Tuanku Sultan di Istana Kinta, Ipoh, saya diberitahu berkenaan pertemuan Najib dengan  Baginda Sultan serta 3 orang bekas Adun PR dan 28 Adun BN yg mengadapTuanku membuat akujanji. 

Setelah saya dengar dengan teliti  penerangan dari Tuanku Sultan, maka saya memohon untuk memberi penjelasan dan penerangan kepada  Tuanku Sultan. Tuanku membenarkan saya berhujah selama 15 minit dengan saya nengemukakan 11 perkara berserta rayuan dan ikhtiar terakhir bagi menyelamatkan kerajaan PR Perak.

Setelah Tuanku mendengar kesemua hujahan saya, maka tuanku menitahkan agar saya mesti meletak jawatan sebagai Menteri Besar. 

Mendengarkan titah Tuanku tersebut, maka sekonyong konyong saya mengeluarkan ungkapan keramat yang  masyhur yang di putar belit oleh Umno, ia itu "Ampun Tuanku beribu ribu ampun sembah patik pohon diampun, patik pohon sembah durhaka Tuanku". 

Bilamana Tuanku mendengar respon saya untuk enggan meletakkan jawatan, terus Tuanku bangun dan beredar. Saya keluar dan sebelum meninggalkan istana, sempat saya menegur penasihat undang-undang, Dato Kamal Sahid dan saya berkata kepadanya, "Dato  bertanggungjawab dunia akhirat dengan  apa yang terjadi di negeri Perak sekarang". 

Maka bermulalah krisis di Perak apabila saya enggan meletak jawatan sebagai MB. Pada 6 Februari 2009, saya masih ke pejabat tapi dihalau keluar oleh SS dari bangunan SUK. Zambry mengangkat sumpah sebagai MB haram di tengah-tengah rakyat yang  berdemonstrasi di hadapan Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar. 

Pada 13 Februari 2009, saya telah membuat filing di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk judicial review bagimendapatkan perisytiharan mahkamah bahawa saya adalah Menteri Besar yang sah dan menghalang Zambry  dari menyamar sebagai MB dan seterusnya melaksanakan urusan MB. 

Setelah hampir 3 bulan terlibat dalam  perbicaraan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan Mahkamah Persekutuan, Putrajaya, akhirnya hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Yang Arif Abdul Aziz Rahim memutuskan bahawa disetiap ketika material Nizar adalah Menteri Besar yang sah.

Pada 12 Mei 2009, saya dan exco PR masuk ke pejabat MB dan terus adakan mesyuarat dengan pegawai-pegawai di  pejabat, kemudian bergegas ke Istana Iskandariah di Kuala Kangsar bagi menghadiri majlis penganugerahan  bintang kehormat. Balik semula ke pejabat jam 2 petang, kemudian di arah oleh SS kosongkan pejabat dan keluar kerana Zambry dapat perintah Mahkamah Rayuan bahawa keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur   semalam telah diketepikan oleh hanya seorang Hakim iaitu Dato Ramli Ali. 3 bulan perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dipunahkan dengan arahan 5 minit sahaja dari Hakim Dato Ramli Ali untuk diketepikan dan tiada apa-apa sebab bertulis yang diberikan. 

Kami hanya berada di pejabat MB selama 18 jam sahaja sebelum dirampas semula oleh BN menggunakan Mahkamah Rayuan. 

Maka saya buat rayuan ke Mahkamah Persekutuan  dan diterima oleh Mahkamah Persekutuan (leave granted) pada 9 Julai 2009. Saya mohon jemaah 11 orang hakim bagi mendengar dan mengadili kes ini. Namun ditolak tinggal 5. Saya telah ulang alik ke Mahkamah  Persekutuan di Putrajaya sehinggalah keputusan dibuat pada 9 Februari 2010 yang menolak saya dan mengangkat Zambry sebagai MB haram semula.

Kesimpulanya ialah krisis politik di negeri Perak menyaksikan beberapa kepincangan yg dilakukan oleh Umno dan BN Negeri dan Putrajaya bagi merampas kerajaan yang dipilih rakyat. 

Umno terpaksa rampas dengan cara yang zalim sehingga memaksa Speaker  diseret keluar dewan, menggunakan Perkasa dan NGO yang lain untuk menahan Adun PR daripada bersidangdi dewan  kerana jika mereka lambat bertindak maka kerajaan PR Perak akan lebih mantap, kukuh dan sukar di ambil semula seperti Kelantan dan Pulau Pinang. 

Umno menggunakan semua ajensi kerajaan bagi membantu mereka merampas kerajaan seperti PDRM, institusi kehakiman, BPR (sekarang ini SPRM), Istana, Mufti, SPR, NGO luar, dan lain-lain semata-mata untuk  menafikan hak rakyat kepada kerajaan yang mereka pilih iaitu Pakatan Rakyat.

Makanya, Umno akan buat apa saja bagi meneruskan kerajaan mereka walaupun menyalahi perlembagaan negeri dan persekutuan, melanggar peraturan dan peradaban demokrasi, termasuklah menggunakan kekerasan melalui PDRM. 

Oleh itu Umno akan bertindak zalim dan lebih dahsyat dari apa yang kita fikirkan. Mereka hanya bermain wayang dengan berlagak  sopan dan elok tetapi Umno juga mampu bertindak amat zalim jika mereka hilang kuasa.

Janganlah ada walau sekelumit niat untuk berbaik-baik atau berhajat hati untuk bersama dengan Umno. Wala tarkanuu illalazina zolamuu fatamasaa kumunnar, jangan sesekali kamu cenderung kepada mereka yg melakukan kezaliman, kelak kamu akan di sambar api neraka. Namun perancangan Allah jauh mengatasi perancangan dan muslihat manusia, sejarah akan pasti berulang dan Umno dan BN Perak , inshaAllah pasti akan tumbang sedikit masa lagi kerana perbuatan jahat dan zalim mereka. Allah cuma menguji sedikit kesabaran kita untuk melihat siapa yg ikhlas dan tulen sifat mereka dalam memperjuangkan serta menegakkan  kalimahNYA di Perak dan bumi Malaysia yang tercinta ini. 

Semoga episod rampasan kuasa ini dijadikan iktibar dan pengajaran buat kita semua agar ianya tidak berulang lagi. 

Dato' Seri Nizar Jamaluddin
Pengerusi Pakatan Rakyat Perak

Wednesday, February 5, 2014

Memperingati tarikh hitam rakyat Perak dikhianati

5 Februari adalah satu tarikh yang dianggap hitam dalam sejarah negeri Perak. 

Tarikh berlakunya satu rampasan kuasa yang membelakangi sistem demokrasi amalan negara kita apabila sebuah kerajaan pilihan rakyat ditumbangkan secara rakus dan kejam. 

Mengulas perkara ini sempena memperingati hari hitam yang berlaku 6 tahun yang lalu, Pesuruhjaya Pas Perak, Tuan Haji Razman Zakaria berkata, "Peristiwa hitam yg melanda pada 5 Februari 2008 lalu yang mana menyaksikan majoriti rakyat Perak telah memilih kerajaan Pakatan Rakyat yang memenangi PRU12  telah dirampas dan digulingjan oleh Umno/BN secara tidak democratik. Umno telah melanggar undang-undang tubuh negeri Perak dengan mengangkat DS Zamri daripada  Umno walaupun pada masa yg sama DS Nizar masih lagi menjadi Menteri Besar yang sah disisi undang-undang." 

Sambung beliau lagi, " Pada PRU13 yang lepas, menyaksikan majoriti rakyat Perak iaitu 54% masih mahukan Pakatan Rakyat. Sejarah hitam ini hendaklah dijadikan peringatan untuk seluruh rakyat Perak untuk terus berjuang mengembalikan keadilan undang-undang  dan menghormati demokrasi serta pilihan rakyat. Teruskan perjuangan."

Tarikh hari ini pastinya akan dikenang sampai bila-bila sebagai satu sejarah hitam yang perlu dijadikan pengajaran agar ianya tidak berulang. 

Jentera Penerangan PAS Perak akan turut membantu menangkan calon PR di Kajang

Kemenangan ini penting untuk memastikan BN tidak akan menambah kerusi di Dun Selangor.

Soal siapa MB tidak timbul. Yang penting kerusi yang telah dikosongkan mesti diganti dengan Adun lain dari PR melalui PRK Dun Kajang. PAS Perak menyahut seruan Presiden PAS untuk menurunkan jentera bagi memastikan PR kekal menang dikerusi tersebut.  

Apapun kesilapan bekas Adun Kajang yg letak jawatan tanpa sebarang sebab tidak seharusnya dijadikan isu besar kerana pasti ada hikmah disebalik itu, paling kurang ia boleh dijadikan penilaian  tahap sokongan rakyat ke atas PR di Selangor dengan segala kemelut yg di besar-besarkan oleh media. Perletakan jawatan Adun Kajang jauh lebih bermaruah berbanding Adun-Adun yang  melompat sehingga menumbangkan sebuah kerajaan. Perbuatan melompat lebih hina dan jijik serta tidak menghormati keputusan rakyat berbanding perletakan jawatan.

Rakyat masih diberi peluang mengundi di dalam PRK kecil nanti. Siapapun yg menang kerajaan sedia ada tetap kekal kerana ia tidak mengurangkan majoriti. 

PRK juga adalah peluang untuk menjelaskan isu rakyat dalam kempen dan memberi peluang terbaik semua pemimpin dari kedua dua pihak bertemu rakyat.

Justeru itu PAS Perak menyeru semua ahli parti dan jentera pilihanraya dan penerangan turun secara berjadual bagi  memastikan kemenangan di pihak PR.

Misbahul Munir Masduki
Ketua Penerangan PAS Perak.

PJ Pas Perak dengar sendiri pandangan bloggers dan facebookers


IPOH (4 Feb) : Program 'Ramah Mesra Pesuruhjaya Pas Perak bersama Bloggers & Facebookers Pas' anjuran Lajnah Penerangan dan Huhungan Media Pas Perak dengan kerjasama Perakite telah berjaya mencapai sasaran dua hala yang ditetapkan. 

Tuan Haji Razman Zakaria selaku Pesuruhjaya Pas Perak yang baru telah  berbesar hati dan merendah diri untuk turun bersama-sama dengan para bloggers dan facebookers dari kalangan ahli Pas untuk mendengar sendiri pandangan dan saranan daripada mereka untuk dibawa ke peringkat negeri bagi melancarkan perjalanan parti di Perak ini. 


Sebelum itu, beliau sendiri telah menyampaikan hasrat dan harapan Pas Perak kepada para bloggers dan facebookers yang beliau sifatkan sebagai ejen parti dalam menyampaikan suara parti kepada awam. 

Dengan kuasa media internet masakini, Tuan Haji Razman percaya matlamat dan aktiviti Pas Perak dapat disalurkan kepada orang ramai dengan rangkaian para bloggers dan facebookers semua. 


Ketua Penerangan Pas Perak yang baru juga, Ustaz Misbahul Munir turut sama mengalu-alukan para bloggers dan facebookers Pas dalam perjalanan lajnah  pimpinannya yang kini telah berjenama baru apabila ditambah dengan Hubungan Media sebagai tugasan dan cabaran terkini. 


Program sebegini mendapat pujian daripada bloggers dan facebookers yang telah lama memendam hasrat untuk menyampaikan pandangan dan cadangan untuk tindakan parti kepada pimpinan tertinggi negeri. 

Mereka begitu teruja dan berterima kasih kepada Haji Razman yang sudi menerima  mereka serta mendengar sendiri luahan hati dan rasa mereka tanpa ada protokol yang menghalang perhubungan antara pimpinan dan ahli. 

Kehadiran lebih 30 orang bloggers dan facebookers Pas itu digunakan sepenuhnya dalam menyampaikan segala idea, pandangan, cadangan dan tidak terlepas juga teguran yang mana semuanya diterima baik oleh Pesuruhjaya dan Ketua Penerangan serta dicatit untuk tindakan parti di peringkat negeri. 

Terdapat saranan dan harapan daripada yang hadir agar program sebegini diadakan seberapa kerap yang boleh bagi menyampaikan maklumat dan pandangan secara dua hala dengan bertentangan mata dan menadah telinga. 

Program berakhir dengan beberapa rumusan dicapai yang memberikan kebaikan kepada kedua-dua pihak yang bertemu pada malam ini. 





Tuesday, February 4, 2014

Itu surat palsu, kata YB Kesavan

Surat yang ligat dikongsi kebanyakan pelayar internet mengenai pengisytiharan keluar parti oleh Adun Hutan Melintang, YB Kesavan adalah palsu, menurut beliau. 

Di saat cuaca pilihanraya kecil di Dun Kajang, Selangor kini semakin membahang, apa saja berita yang melibatkan parti PKR pasti akan meletupkan termometer politik tanahair sehingga ada yang mengambil kesempatan dalam suasana gawat sebegini. 

Setiap perkara yang disampaikan hari ini, baik melalui media cetak, elektronik mahupun internet, perlulah disemak, dikaji dan ditanya terlebih dahulu sebelum memanjangkannya walau dalam bentuk apa sekalipun. 

Teliti penafian YB Kesavan mengenai surat palsu itu di bawah ini:

Kesavan nafi hantar surat keluar PKR

Oleh SAYED HESHAM IDRIS

IPOH 4 Feb. - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hutan Melintang, S. Kesavan menafikan telah menghantar surat pengisytiharan keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) kepada Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Seri S.K. Devamany.

Beliau yang dihubungi Utusan Malaysia hari ini berkata, surat tersebut yang tersebar meluas dilaman sosial adalah palsu dan beliau tidak pernah menghantar surat seumpama itu. - UTUSAN ONLINE

Artikel Penuh:http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140204/po_14/Kesavan-nafi-hantar-surat-keluar-PKR#ixzz2sLDuDGJf 
© Utusan Melayu (M) Bhd 

GEMPAR! Adun Hutan Melintang isytihar keluar PKR?


Semuanya bermula daripada gambar sekeping surat seperti di atas yang giat berlegar di alam maya waktu ini. 

Surat tersebut yang bertarikh 2 Januari 2014 daripada YB Kesavan, Adun N54 Hutan Melintang, Perak kepada Speaker Dewan Undangan Negeri Perak, mengisytiharkan dirinya keluar daripada Parti Keadilan Rakyat berkuat-kuasa daripada tarikh tersebut atas alasan hilang kepercayaan dan tidak berpuas hati terhadap kepimpinan parti. 

Tetapi, nak tanya sedikit, tarikh surat dan pengisytiharan keluar daripada parti PKR adalah pada 2 Januari 2014, mengapa pula hanya pada 4 Februari 2014 baru Speaker Dewan Undangan Negeri Perak menandatangani penerimaan surat tersebut?

Sebulan jarak di antara tarikh penghantaran dan penerimaan surat, bolehkah diterima akal?

Patutlah ada yang mengatakan surat ini palsu, hanya perang saraf untuk menghangatkan suasana PRK Kajang yang melibatkan parti PKR dan pimpinan tertingginya, DS Anwar Ibrahim. 

Tetapi, mengapa di Perak? Tidak di Selangor?

Ataupun ada kebenaran di sebalik misteri surat ini?

Sama-sama kita tunggu pengesahan ataupun penafian pihak-pihak yang terlibat di dalam perkara ini. 

Insurans kenderaan naik 15% mulai 15 Februari ini?


Siapa yang punya cukai jalan yang akan tamat sebelum 14 Februari ini, eloklah segera memperbaharui insuran kenderaan anda kerana mulai 15 Februari, anda terpaksa membayar lebih untuk tujuan tersebut. 

Ya, tarif bagi insuran kenderaan akan naik lagi. Kali ini, dengan persetujuan Bank Negara Malaysia, syarikat-syarikat insuran akan mengenakan caj yang lebih bagi rakyat Malaysia membeli insuran kenderaan mereka bagi tujuan memperbaharui cukai jalan. 

Rakyat yang kini tersepit perit dengan kenaikan harga barangan dan kos sara hidup, akan diinjak lebih kuat dengan kadar kenaikan tarif insuran kenderaan pula. 

Media sosial seperti facebook bakal menjadi platform sekali lagi untuk rakyat meluahkan isi hati. 


Saturday, February 1, 2014

Program khas untuk para bloggers dan facebookers Pas untuk beramah mesra bersama Pesuruhjaya Pas Perak


Dengan sukacitanya Pas Perak menjemput para bloggers dan facebookers Pas untuk bersama dalam program 'Ramah Mesra bersama Pesuruhjaya Pas Perak, Tuan Haji Razman Zakaria' pada hari Selasa, 4 Februari 2014 jam 8.00 malam di Jade Hall (bawah pejabat Dap Perak dan berdekatan dengan Pejabat Perhubungan Pas Perak), Medan Istana, Ipoh.

Program anjuran Lajnah Penerangan dan Hubungan Media Pas Perak ini membuka peluang bagi semua bloggers dan facebookers Pas untuk lebih mendekati dan mengenali Pesuruhjaya Pas Perak yang baru sambil mendengar misi dan visi yang beliau akan sampaikan kepada anda semua.

Adalah diharapkan agar semua para bloggers dan facebookers Pas untuk hadir beramai-ramai bagi menjayakan program ini. Jemput rakan-rakan anda bersama.

Followers