Tuesday, June 4, 2013

Larang motosikal masuk bandar besar tidak relevan - Pesuruhjaya Pas Perak

Di Sediakan Oleh: Hafez Sabri

Ipoh, Pesuruhjaya PAS Perak yang juga merupakan ADUN Titi Serong Ustaz Abu Bakar Hussian menyatakan cadangan ketua polis negara supaya kerajaan melarang motosikal memasuki bandar-bandar besar di seluruh negara bagi mengekang jenayah ragut di negara ini dilihat tidak relevan untuk dipraktikkan.

Menurut beliau tinjauan pihaknya mendapati, rata-rata rakyat yang ditemui memberikan reaksi kurang senang terhadap cadangan tersebut. Hal ini sekiranya cadangan itu dilaksanakan, ia dikhuatiri akan hanya mengundang kesulitan kepada orang ramai meskipun mempunyai pilihan menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam.

Memetik ucapan beliau,

''Kerajaan tidak boleh mengehadkan penggunaan motosikal di bandar-bandar besar sedangkan pelbagai urusan termasuk kerja seharian dibuat di bandar.

''Ia akan menyukarkan orang ramai terutama mereka yang sememangnya menaiki motosikal untuk melakukan tugas masing-masing,'' katanya.

Beliau juga menyatakan larangan kemasukan motosikal di bandar-bandar besar tidak boleh diterima pakai kerana ia dilihat tidak bersesuaian dengan faktor persekitaran dan sistem pembangunan di negara ini.

Sebagai contoh, di Kuala Lumpur sendiri, jarak dari satu tempat ke satu tempat lain dalam bandar agak jauh, tak kan hendak suruh orang jalan kaki pula, katanya. 

Menurut beliau lagi, beliau yakin jenayah ragut masih akan terus berlaku meskipun langkah melarang motosikal memasuki bandar-bandar besar dilaksanakan.

Peragut tidak semestinya menggunakan motosikal untuk melakukan jenayah, bahkan kemungkinan menggunakan pelbagai cara yang disifatkan sebagai 'kreatif' dan tidak masuk akal untuk mencari mangsanya, jelas beliau.

Jenayah berlaku di mana-mana, kadang-kadang penjenayah juga sanggup melakukan apa sahaja untuk berbuat jahat.

Beliau juga mempersoalkan apakah pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) gagal membanteras kegiatan jenayah sehingga mereka perlu melarang kemasukan motosikal ke dalam kawasan Bandar?

Justeru beliau menyatakan, terdapat pelbagai cara lain lagi yang boleh dipraktikkan kerajaan bagi membendung jenayah ragut.

Tambah beliau lagi, pengunaan motosikal dilihat relevan di bandar-bandar besar terutama dalam mengatasi masalah kesesakan lalu-lintas selain menjimatkan penggunaan bahan bakar.

Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan dan pihak polis mempertimbangkan semula cadangan tersebut dengan mengambil kira semua aspek termasuk masalah yang akan timbul kelak.

No comments:

Followers