IPOH 13 MEI: Hampir 50,000 rakyat semua kaum memenuhi perkarangan Pejabat KEADILAN Perak, dekat Medan Istana, Ipoh, malam tadi dalam Himpunan 'Suara Rakyat, Suara Keramat: Tolak Penipuan PRU 13′ (Black 505) bersama Perdana Menteri Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Himpunan yang dijadualkan pada jam 8.30 malam itu bagaikan pesta apabila rakyat terutama anak muda hadir seawal 5 petang.
Ini demi menyatakan bantahan terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang bertanggungjawab melakukan penipuan keputusan PRU 13 sekaligus memberi kemenangan tidak sah kepada Umno BN.
Turut memeriahkan acara, deretan gerai makanan, warung-warung NGO, busana pro-perubahan dan pelbagai lagi menjadi pilihan hadirin.
Kebanjiran lautan rakyat menyebabkan lalu lintas bandaraya Ipoh sesak hingga menyebabkan ada di antara mereka terpaksa meletakkan kenderaan sejauh lima kilometer dari tempat himpunan.
Rata-rata yang hadir berpakaian hitam membawa plakad seperti 'BN tipu, SPR Tipu', 'Ini Tsunami Malaysia', 'Hentikan Perkauman' dan 'Demokrasi Sudah Mati Dibunuh Umno BN'.
Ucapan pimpinan dimulakan tepat jam 8.30 malam oleh Pengerusi KEADILAN Negeri, Dr Muhammad Nur Manuty; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Sepetang, Chua Yee Ling dan Naib Pengerusi KEADILAN Negeri, Baldip Singh.
Turut sama berucap, Adun Teja, Chang Lih Kang; Adun Simpang Pulai, Tan Kar Hing; Ketua Serikandi, Siti Aishah Shaik Ismail serta beberapa pemimpin Pakatan yang lain.
Acara kemuncak bermula sebaik Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua menyampaikan input penerangan kepada rakyat.
Ucapan diakhiri Anwar yang juga Ketua Umum dengan penuh bertenaga dan paling ditunggu-tunggu.
Himpunan 'Black 505′′ peringkat Perak adalah yang ketiga dalam siri jelajah penerangan penipuan pilihan raya selepas himpunan di Kelana Jaya pada 8 Mei dan Batu Kawan, Pulau Pinang (11 Mei).
Himpunan 'Black 505′′ turut diadakan di Kuantan, Pahang pada Selasa, 14 Mei dan Johor Bahru, Johor pada Rabu, 15 Mei.
- KeadilanDaily
1 comment:
50,000? Huh kesiannya. Rupanya masih ramai lagi yang kena tipu dengan Nuar Berahim
Post a Comment