Tuesday, August 20, 2013

CCRIS TERHADAP PEMINJAM PTPTN : SATU LAGI PROJEK MENJERUT RAKYAT

(20 Ogos 2013)
Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) membantah cadangan kerajaan untuk melaksanakan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) terhadap peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mulai bulan ini. DPPM menganggap tindakan terbaharu kerajaan ini sebagai zalim kerana akan menggelapkan masa depan peminjam khususnya dari golongan generasi muda. Apakah ini hadiah paling berharga dan mahal bagi kerajaan terhadap rakyatnya khususnya golongan muda yang memberi undi kepada mereka dalam PRU ke 13 yang lalu?

Kerajaan bersikap tidak prihatin dan menunjukkan belas kasihan khususnya kepada golongan generasi muda. Kebanyakan anak muda pada hari ini terpaksa bersaing untuk mendapatkan pekerjaan dan bukan semua yang bertuah mendapat kerja. Ada kalangan graduan yang tidak bekerja tetap selama bertahun-tahun lamanya atau bekerja dengan pendapatan yang rendah dan di bawah kelayakan akademik mereka. Dengan hutang PTPTN yang masih ditanggung, mereka juga mempunyai komitmen lain seperti mahu berkeluarga, rumah, kenderaan, ibu bapa dan lain-lain yang mesti diselesaikan.

Melaksanakan sistem ini bererti menyenaraikan golongan ini sebagai senarai hitam di Bank Negara dan secara automatik peminjam tidak layak membuat pinjaman dengan bank untuk apa juga urusan seperti membeli kereta, rumah dan lain-lain lagi. Jika cadangan ini dilaksanakan, golongan muda akan lebih menderita untuk menampung kehidupan mereka yang baru bernafas di alam realiti setelah tamat pengajian.

Sepatutnya kerajaan menunjukkan jalan keluar dan bersimpati terhadap golongan muda yang sedang terkial-kial mencari kehidupan. Generasi muda perlu dipandu, dibimbing serta diberi peluang untuk meneruskan kehidupan mereka dan kaedah terbaik membayar PTPTN secara ansuran dan mengikut kadar kemampuan mereka.

Tindakan kerajaan menggunakan CCRIS berkemungkinan melanggar akta PTPTN sendiri kerana senarai hitam (blacklist) tidak diperuntukkan di bawah Akta PTPTN. Ini berbeza dengan tindakan menyekat peminjam yang gagal melunasi PTPPTN ke luar negara seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 22A Akta PTPTN.

Dalam keadaan hutang syarikat gergasi yang dimiliki oleh kroni pemimpin tertentu seperti Eric Chia sebanyak RM 2 bilion, konglomerat Tajuddin Ramli sebanyak RM 580 juta, hutang Datuk Seri Shahrizat Jalil sebanyak RM 250 dibayarkan atau 'bail out' oleh kerajaan, mengapa hutang peminjam PTPTN begitu diteliti sehingga sanggup memburu mereka dengan tindakan yang begitu agresif? Apakah kroni pemimpin negara yang jumlahnya beberapa kerat itu lebih bernilai dari jutaan rakyat yang hidup merempat di bumi mereka sendiri?

Jika beginilah dasar kerajaan, ia menunjukkan wajah sebenar pemimpin negara terhadap rakyat. Ketika rakyat dirayu, ditatang, dijulang dan di sogokkan dengan pelbagai hadiah menjelang PRU ke 13, rakyat itu pula diratah dan di dimamah sehingga menderita selepas mereka mendapat undi rakyat.

DR RAJA AHMAD AL HISS
Naib Ketua
Dewan Pemuda PAS Malaysia

No comments:

Followers

Video ajijoi

Loading...