Sunday, July 27, 2008

Tunggang motor ke pejabat - Ia menjimatkan petrol iaitu satu liter untuk 50 kilometer

PENUNGGANG motosikal boleh bergerak lebih pantas dalam kesesakan jalan raya.

USAHAWAN berjaya, Raja Mat Nor, 40, sebenarnya lebih selesa bergerak menggunakan Toyota Harrier atau BMW 3 Series untuk menguruskan perniagaannya. “Badan juga tak penat kerana ada pemandu,” kata pemilik syarikat agensi pelancongan dan kilang percetakan di Cheras dan Kajang ini.

Tiga bulan lalu, anak jati Banting, Selangor ini membeli motosikal berkuasa tinggi, Ducati Monster S4R berharga RM124,000 bagi memenuhi hobinya. Jentera dua roda seberat 177 kilogram itu boleh mencecah kelajuan 240 kilometer sejam - ia amat mengujakan.
Bagaimanapun, sejak kenaikan harga minyak awal Jun lalu, kenderaan yang sepatutnya dibawa bersiar-siar pada hujung minggu itu lebih kerap digunakan Raja Mat Nor untuk membuat urusan perniagaan berbanding kereta mewahnya.

“Walaupun seorang usahawan, saya turut merasai beban kenaikan harga minyak yang paling tinggi dalam sejarah negara itu. Saya juga perlu menjimatkan perbelanjaan semasa,” ujar beliau.
Menurut Raja Mat Nor, sebelum ini beliau menghabiskan RM2,000 untuk perbelanjaan minyak sebulan. Namun selepas lebih kerap menggunakan motosikal, kosnya turun serendah RM500 sebulan.

“Sekali isi penuh minyak cuma RM22 dan boleh bergerak jauh.

“Saya boleh sampai ke lokasi dengan segera. Memang motosikal menjadikan urusan saya lebih lancar, cepat dan fleksibel. Hanya baju sejuk, sarung tangan dan topi keledar yang menjadi pelengkap,” katanya yang pernah bekerja sebagai mat despatch.

RAJA MAT NOR mengakui, penggunaan motosikal lebih praktikal.

Pengurus Jualan Naza Bikers Dream Sdn. Bhd., Mohd Alimunawar Idris memberitahu, jualan motosikal berkuasa tinggi cukup mengagumkan dengan 150 buah motosikal telah terjual setakat Jun lalu.

“Ini merupakan peningkatan 50 peratus berbanding tahun lepas. Antara motosikal yang menjadi tumpuan ialah Yamaha R1/R86, Honda CBR 100 rr, CBR 600 rr, Suzuki GSXR 1000 dan GSXR 750.

“Kami juga menyediakan bengkel motosikal dengan harga kadar harga pembaikan yang berpatutan,” katanya.

Boleh dikatakan permintaan terhadap motosikal kebelakangan ini amat memberangsangkan khususnya kapcai dua atau empat lejang.

“Kenaikan harga minyak bagaikan rahmat bagi kami penjual motosikal,” kata Pengerusi Penjual Motosikal dan Skuter Malaysia, Wee Hong, 61.

Hong yang berpengalaman selama 30 tahun dalam industri pemotoran mempunyai tiga buah kedai menjual motosikal di Kajang.

“Pada bulan Jun sahaja, sebanyak 48,000 unit motosikal dijual berbanding 37,173 unit tahun lalu. Motosikal sememangnya menjimatkan petrol iaitu satu liter untuk perjalanan sejauh 50 kilometer,” kata Hong.

Jelasnya lagi, kebanyakan pengguna terdiri daripada golongan berumur 25 tahun ke atas terutamanya lelaki yang mula memilih motosikal sebagai kenderaan untuk pergi ke tempat kerja.

“Mereka hanya guna kereta untuk pulang ke kampung. Bagi wanita pula, kebanyakan adalah penuntut universiti,” ujarnya.

Katanya lagi, strategi yang unik memberi tumpuan kepada remaja berumur 16 tahun turut memberi impak kenaikan jualan tersebut.

“Bila bekerja nanti, mereka lebih berminat dengan motosikal,” kata Hong ketawa.

Harganya juga berpatutan iaitu bagi empat lejang ialah RM3,000 hingga RM7,000, dua lejang RM3,000 sehingga RM7,000 manakala skuter pula RM4,000 hingga RM8,000.

Hong menambah, motosikal ada banyak kelebihan lain termasuk penggunanya tidak perlu membayar tol, ruang parkir kecil serta kos membaik pulih yang rendah.

Sehingga kini terdapat sebanyak tujuh juta pengguna motosikal di negara ini.

No comments:

Followers