Tuesday, July 22, 2008

Skuter ganti kereta

Populariti kenderaan dua roda seperti skuter semakin melonjak di New York menjadikan bandar raya itu seperti bandar Rom.


SEORANG lelaki menunggang vespa sebagai langkah menjimatkan minyak.

JIKA rakyat Jepun sudah terlalu sinonim dengan penggunaan basikal, rakyat Amerika Syarikat (AS) pula adalah sebaliknya. Namun, akibat kenaikan harga minyak yang melambung tinggi, rakyat negara Uncle Sam itu mula mencari alternatif lain untuk menjimatkan kos iaitu basikal dan vespa.

"Rakyat AS sukakan kereta terutamanya yang bersaiz besar. Justeru, untuk mereka membuat keputusan bagi menggunakan sesuatu yang berbeza ia tidak semudah yang disangka," kata Paolo Timoni, Ketua Eksekutif Piaggio Group Amerricas, sebuah syarikat yang mengeluarkan motosikal jenis Vespa Italian dan skuter Piaggio.

"Tetapi memandangkan harga gas dan bahan api semakin melonjak, mereka terpaksa membuat perubahan yang besar."

Penjualan skuter telah meningkat dengan begitu ketara di AS antara tahun 1997 hingga 2007 apabila naik daripada 12,000 kepada 131,000.

Dalam tempoh suku pertama tahun ini, penjualan skuter naik 24 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu, kata Mike Mount dari Motorcycle Industry Council.

"Kami fikir bahawa harga minyak telah menjadi beban kepada sesetengah individu hingga menyebabkan mereka mengambil keputusan untuk membeli kenderaan dua roda seperti motosikal," ujar Mount.

Pada Mei lalu, skuter Piaggio merekodkan penjualan sebanyak 2,758 di AS untuk bulan tersebut sahaja. Pegawainya meramalkan bahawa pasti ada peningkatan dalam penjualan pada bulan Jun. Ini bermakna bahawa penjualan untuk kedua-dua bulan tersebut menyamai hampir setengah penjualan pada tahun 2007.

"Hari di mana harga minyak adalah murah sudah berakhir. Kebanyakan orang memilih untuk menjual kereta-kereta besar milik mereka dan mendapatkan kenderaan yang lebih menjimatkan," kata Bob Chase, 72, yang baru membeli sebuah skuter bulan lalu.

"Saya tinggal di San Francisco. Saya kini telah mempunyai Piaggio MP3-50 di dalam garaj di rumah saya. Justeru, saya boleh menunggangnya ke mana saja saya mahu kerana ia lebih menjimatkan," jelasnya.

Peningkatan mereka yang menunggang skuter telah memberi gambaran seperti di Eropah, kata rakan Chase, Buddy Rosenbaum.

"Saya berasal dari New York dan ia begitu bermakna kepada saya apabila New York kelihatan seperti Rom dengan Vespa terdapat di mana-mana.

"Saya hanya menggunakan kereta apabila keadaan benar-benar memerlukan. Biasanya apabila isteri saya turut serta untuk ke sesuatu tempat. Tetapi jika tidak, saya lebih senang menunggang vespa," tambahnya.

SELAIN praktikal, skuter juga sebuah kenderaan bergaya.

Skuter mula mengambil tempat di AS pada tahun 2000 dan ramai rakyat negara itu memilihnya sebagai pengangkutan, bukan hanya sekadar kenderaan bergaya yang membuatkan anda kelihatan seperti pelakon tambahan dalam klip video penyanyi pop Itali, Eros Ramazzotti.
"Situasi tersebut yang dapat dilihat di Eropah di mana berjuta-juta penduduknya menaiki skuter setiap hari, kini menjadi realiti di AS," jelas Timoni.
Menunggang skuter boleh mengelak daripada kesesakan jalan raya dan mencelah-celah di sebalik kereta yang berada di jalanan. Tetapi perlu diingat tidak semua orang memerlukannya, kata Dean Thompson, jurucakap Motorcycle Safety Foundation (MSF).
"Jika anda ingin mengelak daripada risiko kemalangan teruk, anda harus berfikir semula jika skuter adalah pilihan pengangkutan terbaik untuk anda," ujarnya. - AFP

No comments:

Followers