Saturday, March 30, 2013
Keselamatan pimpinan menurut sunnah
"Mengikut sebuah hadis diriwayatkan oleh Muslim daripada Abu Musa al-Asy'ari r.h.m. Pada suatu hari, Abu Musa Al-Asy'ari berazam untuk mengikuti pergerakan Rasulullah SAW. Lantas beliau pergi mencari Baginda di Masjid Nabawi tetapi tidak menjumpainya di situ.
Beliau terus mencarinya sehinggalah beliau mendapati Rasulullah SAW berada di dalam sebuah kebun. Baginda sedang duduk di pinggir telaga dengan kakinya terjuntai ke dalam telaga Aris itu. Beliau pun memberi salam kepada Baginda dan kembali semula ke pintu telaga itu sambil berazam untuk menjadi pengawal kepada Baginda untuk hari itu.
Tiba-tiba pintu telaga ditolak dari luar dan Abu Musa mendapati Sayidina Abu Bakar al-Siddiq r.a. berada di pintu tersebut. Abu Musa pergi memberitahu Rasulullah SAW tentang kedatangan Abu Bakar itu. Rasulullah SAW menyuruh Abu Musa membenarkannya masuk dan mengkhabarkan berita gembira bahawa dia (Abu Bakar al-Siddiq r.a.) adalah ahli syurga. Abu Musa pun mempersilakan Abu Bakar r.a. masuk.
Kemudian, Abu Musa terus menunggu di pintu itu sambil mengharapkan agar ada saudaranya yang datang. Tiba-tiba pintu diketuk lagi. Sayidina Umar bin al-Khattab r.a. pula muncul di muka pintu. Beliau pun pergi memberitahu Rasulullah SAW dan Baginda memberi arahan seperti sebelumnya. Umar bin al-Khattab r.a. pun masuk dan duduk di sebelah kiri Rasulullah SAW. Manakala ABu Bakar r.a. duduk di sebelah kanan Rasulullah SAW dengan kaki mereka terhulur ke dalam telaga itu.
Abu Musa pun kembali semula ke pintu tersebut dengan perasaan tertunggu-tunggu siapakah lagi orang yang bertuah pada hari itu. Pintu telaga diketuk lagi dan kali ini Sayidina Usman bin Affan r.a. pula yang muncul. Abu Musa pergi meminta keizinan Rasulullah SAW dan Usman juga dibenarkan masuk. Rasulullah SAW juga menjaminkan syurga buatnya dengan sebab musibah dan fitnah yang bakal menimpa dirinya.
Apabila Usman mendengarnya beliau pun mengucapkan:
Allahu musta'an (Allah Maha penolong)
Kemudian, apabila Usman r.a. hendak duduk di telaga itu, tempat di sebelah Rasulullah SAW telah penuh, lalu beliau pun duduk berhadapan dengan mereka bertiga."
Kisah di atas di petik daripada buku Madinah Munawwarah, Kelebihan dan Sejarah karangan Dr. Abdul Basit Abd. Rahman.
Kisah ini apabila diteliti, ianya tersirat sebuah sunnah dalam melindungi, mengawal dan juga menjaga keselamatan pimpinan.
Dalam konsep yang ada pada hari ini, kita yang bekerja dalam satu jamaah sudah pasti ingin memberikan sedikit sumbangan dalam kerja-kerja jamaah bersesuaian dengan kemampuan dan kelebihan yang ada pada diri kita.
Begitu juga dengan bahagian keselamatan para pimpinan jemaah yang sentiasa di intai pihak lawan tak kira tempat dan masa.
Seperti mana kisah di atas yang mana Abu Musa al-Asy'ari yang berazam untuk berkhidmat kepada Baginda Rasulullah SAW telah mengambil peluang untuk menjaga dan mengawal keselamatan Baginda. Kawalan dan khidmatnya itu pula dilakukan dengan cara yang beliau mampu dan tahu, tanpa bantahan mahupun tolakan daripada Baginda Rasulullah SAW sendiri.
Kisah ini membawa mesej bahawa peri pentingnya dalam menjaga keselamatan pimpinan kita setiap masa, apatah lagi saat dan ketika ini, fitnah dan kekacauan sering dilakukan untuk menggugat para pemimpin yang kita sayangi.
Hadis di atas telah memberikan contoh terbaik agar sunnah menjaga keselamatan pemimpin itu diberi perhatian yang serius dan penting.
Agak sedih juga apabila terdapat sekumpulan ahli jemaah yang rela berkhidmat mengikut kemampuan yang mereka ada untuk memastikan keselamatan pemimpin kita, tanpa meminta balasan wang ringgit dan pujian, sanggup menginfaqkan masa, tenaga dan harta, telah dikesampingkan usaha dan niat mereka.
Langsung tiada ruang untuk mereka mencurahkan bakti, mengumpul sedikit pahala.
Siapalah kita untuk menafikan sunnah Nabi seperti yang disampaikan melalui hadis di atas?
Wallahu aklam
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment