Saturday, October 25, 2014

PERUTUSAN PRESIDEN PAS SEMPENA HIJRATURRASUL 1436


"Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad SAW), yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat inginkan kebaikan bagi kamu, (dan) ia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman." (at-Taubah: 128)

1. Hijraturrasul dari Makkah ke Yathrib antara usaha memilih kehidupan bersama masyarakat pelbagai kaum secara aman harmoni serta menegakkan keadilan dalam negara, sekaligus menghindari pertempuran, kezaliman, penindasan dan perampasan hak.

2. Inilah sikap Islam disepanjang zaman yang berkolaborasi dengan semua pihak dan memimpin gagasan keamanan sejagat berpaksikan syariat Allah SWT.

3. Rasulullah bukan sahaja menjadi pembawa rahmat kepada dunia, tetapi juga menunjukkan model kehidupan manusiawi seorang pemimpin dalam menyantuni realiti rakyat di negara yang dibangunkan atas nama Madinah al-Munawarah.

4. Pun begitu, usaha Baginda tidak sunyi dari dihadapkan dengan pergerakan musuh Islam baik berupa propaganda dan konfrontasi perang secara terbuka dari kalangan kafir musyrikin, mahupun komplot dan pengkhianatan tersembunyi dari munafik dan penduduk kaum Yahudi.

5. Kini dunia menyaksikan disepanjang tempoh 1436 tahun ini bahawa sejarah tersebut sentiasa berulang atas umat manusia di atas muka bumi ini.

6. Umat Islam di seluruh dunia menjadi mustad'afin yang diperangi dengan kekuatan persenjataan dan ketenteraan serta ditindas oleh kuasa asing atau regim pemerintah di negara mereka dan dibunuh sewenang-wenangnya tanpa alasan munasabah melainkan hanya kerana mereka itu beriman kepada Allah. Firman Allah SWT:

"Iaitu mereka yang diusir dari kampung halamannya dengan tidak berdasarkan sebarang alasan yang benar, (mereka diusir) semata-mata kerana mereka berkata: "Tuhan kami ialah Allah"...." (al-Hajj: 40)

7. Negara-negara umat Islam juga digoncang keamanan dan keharmoniannya dengan jarum adu domba dan perebutan kuasa hingga membangkitkan pertempuran sesama muslim serta kemusnahan khazanah dan kekayaan negara.

8. Maruah dan hak umat Islam juga dicabar dengan pelbagai label ekstrem, penghinaan ke atas Rasulullah SAW dan al-Quran serta ajaran Islam, selain mewujudkan pelbagai rupa bentuk ajaran baru yang mengeliru dan menyesatkan atas nama juzuk-juzuk Islam.

9. Natijahnya, apabila Islam yang pernah memayungi kesejahteraan di dua pertiga dunia ini dimusuhi dan disingkirkan dari teraju umat, bukan kaum muslim sahaja sengsara, tetapi seluruh penghuni dunia menerima bahana dari perbuatan manusia berkepentingan.

10. Antaranya kapitalisma yang meraja hingga menghambakan rakyat menerusi pelbagai sistem ciptaan serta merakusi hak umum dan memilikperibadikan hasil mahsul negara.

11. Mereka yang di atas memperalat kerajaan dan undang-undang serta memanipulasi material untuk mengikat dan menyekat rakyat hingga menodakan kehidupan dalam dosa dan ketidaktenteraman.

12. Malangnya, perkara sama turut berleluasa di dalam negara kita biarpun gah dicanang telah merdeka bebas dari penjajah melepasi 57 tahun.

13. Oleh itu PAS adalah wadah Islam di negara ini yang komited membangunkan nilai-nilai kehidupan Islam menerusi pemerintahan dan penegakan syariat.

14. Maka bersempena Hijraturrasul 1436 ini marilah kita melakukan tajdid dan hijrah kepada kehidupan bernuansa wahyu Allah dan panduan Rasulullah SAW secara istiqamah. Moga-moga tertegak kembali 'rahmat untuk sekalian alam'. Rasulullah SAW bersabda:

“Tiada lagi hijrah sesudah pembukaan kota Makkah, tetapi yang tetap ialah jihad atau berjuang dan niat untuk jihad (apabila keadaan memaksa) dan apabila dipanggil untuk berjuang (dan sebagainya) hendaklah kamu bersiap sedia.” (Riwayat Aisyah RA)


DATO' SERI TUAN GURU ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
1 Muharram 1436 / 25 Oktober 2014

1 comment:

Anonymous said...

ckp lain buat lain. rakyat lantik dia jadi ahli parlimen Malaysia utk menyampaikan hasrat rakyat. tp bila parlimen bersidang, tanpa uzur syarie dia ponteng pi UK.

kalau tak nak jadi ahli parlimen sila berhenti. biar rakyat lantik org yg boleh berjuang utk rakyat.

adakah pi uk semata2 nak brainwash justify pd pelajar2 kat sana supaya sokong segala kluk klek flip flop fitnah khianat dia kpd pakatan rakyat?

Followers