Monday, August 31, 2009
Harga minyak naik sebagai hadiah merdeka
RON95 naik dari RM1.75 ke RM1.80 manakala RON97 naik dari RM1.80 ke RM2.05. kenaikan ini berkuatkuasa tengah malam ini.
Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub telah terlebih awal mengecam sebarang kenaikan harga minyak tersebut.
"Ketika ekonomi rakyat meleset dan bakal berhadapan dengan hari raya Aidil Fitri, inilah hadiah kerajaan BN kepada kita," ujarnya.
PAS bersama dengan rakan-rakannya dalam Pakatan Rakyat serta NGO prihatin telah beberapa kali membantah kenaikan minyak sehingga ramai antara mereka terpaksa bermalam dalam lokap.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengadakan debat khas dengan Menteri Penerangan sebelum ini, Datuk Ahmad Shabery Cheek bagi membincangkan isu kenaikan harga minyak ini.
Dipercayai, kenaikan kali ini akan membuatkan kemarahan rakyat kembali semula dan bakal menjana protes sekali lagi.
Ini kerana, barangan keperluan harian sebagaimana biasa akan naik menjelang hari perayaan nanti.
"Kenaikan harga minyak akan menambahkan lagi beban rakyat," kata Salahudin.
Sementara itu banyak pihak menyatakan kenaikan harga minyak oleh kerajaan Barisan Nasional adalah kerana pemborosan kerajaan BN di dalam mengurus dana negara sehingga tidak mampu untuk menampung kenaikan harga minyak pasaran sekalipun ia bersifat sementara sepertimana yang berlaku di era Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai PM.
"Namun ia juga petanda kejatuhan kerajaan UMNO BN dengan lebih cepat," Razman, 51, dipetik sebagai berkata.
Ajijoi ~ Amat tidak prihatin di dalam keadaan persiapan menjelang raya yang bakal tiba, harga minyak dinaikkan lagi.
Hari ini, harga bawang dan ikan telah mula melambung tinggi. Ditambah pula dengan pengumuman kenaikan harga minyak.
Minyak yang biasa digunakan iaitu RON97 telah tidak lagi dijual dikebanyakan tempat kerana digantikan dengan RON95 yang ternyata lebih rendah mutunya. Kita rakyat negara pengeluar minyak dipaksa menggunakan minyak yang bermutu rendah.
Berbeza dengan pengumuman yang dibuat pada bulan Mei, harga yang dinaikkan pada hari ini lebih RM0.05 daripada yang dijangka.
Beban rakyat makin ditambah dengan laungan 1Malaysia sempena 52 tahun kita merdeka. Apakah bezanya kehidupan hari ini dengan zaman penjajah yang mengaut keuntungan negara dikala rakyat menderita?
Program Rayuan 'Sekampit Beras Sekilo Gula'
Pusat Khidmat Masyarakat (PR) Dun Sg Rapat menganjurkan program yang diberi nama 'Sekampit Beras Sekilo Gula' bagi membantu meringankan bebanan hidup fakir miskin, anak-anak yatim, ibu tunggal, OKU, warga emas dan juga muallaf yang berada di dalam dun Sg Rapat.
Program tahunan ini membuka peluang kepada anda untuk menghulurkan bantuan kepada masyarakat yang kurang bernasib baik ini agar mereka dapat sama-sama merasakan sedikit keriangan sebagaimana yang kita rasakan dalam bulan yang mulia ini dan perayaan yang bakal menjelang.
Pusat Khidmat ini tiada sumber pendapatan sendiri dan amat memerlukan sumbangan bagi memanjangkan bantuan kepada mereka-mereka yang memerlukannya agar dapat anda sekalian menghulurkan sekampit beras sekilo gula atau apa jua sumbangan bagi Pusat Khidmat agihkan.
Sumbangan berbentuk kewangan juga boleh disalurkan terus ke akaun Pusat Khidmat Masyarakat Dun Sungai Rapat, Bank Muamalat Malaysia Berhad, Cawangan Ipoh, No. Akaun 0804-0002651-71-8. Boleh juga menghubungi Sdr Nazrin di talian 019-5747231.
Segala sumbangan ikhlas anda pasti akan mendapat ganjaran dari Allah SWT dan didahului dengan ucapan Jazakhallah Khairan Khatira.
Sampul Raya Pas untuk jualan
Bersempena Hari Raya Aidilfitri yang menjelang tiba, Pas Kawasan Gopeng ingin menawarkan sampul duit raya hanya dengan harga RM2.50 bagi setiap 10 keping (1 plastik mengandungi 10 keping sampul).
Bagi yang berminat, sila hubungi Sdr Nazrin di talian : 019-5747231 untuk mendapatkan sampul duit raya tersebut.
Mohon bantuan diteruskan
Di dalam posting blog saya pada 3 Ogos yang lalu, sahabat kita saudara Ahmad Bin Osman merayu bantuan untuk menghantar anak perempuannya melanjutkan pelajaran perubatan ke Mesir bulan September ini.
Di sini, sekali lagi saudara Ahmad Bin Osman memohon untuk bantuan perbelanjaan pembiayaan pelajaran tahun pertama anaknya (biasiswa hanya dikeluarkan pada tahun kedua dan seterusnya), melanjutkan pelajaran ke Mesir memandangkan masa untuk berangkat tidak lama lagi.
Segala bentuk bantuan bolehlah disalurkan kepada Sdr Ahmad sendiri di akaun Maybank No. 558118503975. Beliau juga boleh dihubungi melalui no. telefon
Segala jasa baik anda di bulan Ramadhan yang mulia ini didahului dengan ucapan ribuan terima kasih.
1 MALAYSIA :RETORIK MENYATUKAN RAKYAT, TETAPI BN SENDIRI SEMAKIN BERPECAH – PESURUHJAYA PAS PERAK
1 Malaysia adalah istilah yang digunapakai oleh Perdana Menteri hari ini. Sudah pasti ia akan terus berubah apabila berubahnya perdana menteri. Tetapi, apa yang dilihat hari ini, rancangan untuk menyatukan rakyat pelbagai bangsa ini, gagal dilaksanakan di peringkat dalaman BN itu sendiri. Sesama pimpinan BN sendiri sudah berpecah sesama sendiri.
Mengulas tentang hal ini, Ustaz Abu Bakar Hussain, Pesuruhjaya PAS Perak berkata, “BN mengajak kita supaya bersatu, tetapi mereka sendiri berpecah sesama mereka”.
Dalam masa yang sama, beliau menyifatkan bahawa kesatuan dan perpaduan yang didakwa oleh BN hanyala retorik semata-mata. BN hanya pandai berkata dan berteori, tetapi mereka sendiri bertentangan dengan teori yang mereka bawa. Contohnya apa yang terjadi di kalangan pimpinan BN sendiri.
Beliau berkata lagi, ketika zaman Nabi Muhammad SAW, orang Yahudi di Madinah pada mulanya tinggal dalam keadaan berpuak-puak. Demikian juga apa yang diamalkan oleh orang Musyrikin Mekah. Mereka hidup berpuak-puak, dan berperang sesama mereka dan kerap berlaku persengketaan sesama mereka.
“Walaupun mereka itu Yahudi, mereka tetap mempunyai suku-suku tertentu. Begitu juga Kaum Musyrikin Mekah. Mereka kesemuanya berbangsa Arab, tetapi masih lagi mengamalkan puak”, katanya.
Beliau berkata lagi, walaupun mereka itu hidup berpuak dan berperang sesama mereka, namun mereka bersatu apabila menentang Islam. Contohnya ketika usaha pembunuhan Nabi Muhammad SAW. Seramai 10 wakil daripada pelbagai puak dipanggil untuk melaksanakan usaha membunuh Nabi SAW. Mereka sanggup bersatu untuk menghapuskan Islam, walaupun pada mulanya mereka bergaduh sesama mereka.
Demikian juga Yahudi di Madinah. Walaupun mereka hidup berpuak, tetapi mereka bersatu menentang Nabi Muhammad SAW ketika Perang Ahzab. Mereka berpecah sesama mereka, tetapi bersatu apabila cuba menjatuhkan Islam.
Beliau berkata lagi, hari ini kita perlu melihat bahawa di sana terdapat iktibar yang perlu diperhatikan. Saya tidak kata UMNO itu Yahudi atau Musyrikin Mekah, tetapi kesatuan yang dicanang oleh BN hari ini, adalah bertujuan menolak Islam terlaksana di Malaysia. Dalam masa yang sama, mereka sendiri bertelagah sesama sendiri.
Perpecahan yang terjadi di dalam BN semakin membarah hari ini. Tetapi apabila mereka cuba untuk menafikan kedudukan Islam di Malaysia, mereka boleh bersatu. Hari ini kita melihat bahawa perkara ini semakin terserlah. Kerajaan memperjuangkan 1 Malaysia, akan tetapi sesama pimpinan BN sendiri tidak sekepala. Mereka mengatakan PKR, DAP dan PAS mempunyai kepentingan masing-masing, sedangkan MCA, MIC dan UMNO sendiri yang berbuat demikian.
Beliau berkata lagi, memang benar, 1 Malaysia hari ini hanyalah retorik semata-mata, tidak lebih melainkan teori yang dicipta oleh PM semata-mata. Sedangkan sesama pimpinan mereka sendiri berpecah dan memperjuangkan kepentingan masing-masing.
Selain itu, BN sering mendakwa bahawa PR semakin berpecah, sedangkan tohmahan ini lebih terpalit ke muka mereka sendiri. Mereka mendakwa bahawa PR hanya memperjuangkan kepentingan semata-mata, sedangkan tohmahan ini lebih terpalit ke muka mereka. Mereka memfitnah PR itu dan ini, sedangkan fitnah itu terpalit semula ke muka mereka sendiri.
Beliau memperingatkan bahawa Allah SWT Maha Adil. Kalau manusia hari ini menafikan keadilan Islam, maka mereka dipersilakan untuk mempersembahkan sebuah sistem yang lebih adil daripada Islam. Kalau mereka cuba mereka-reka fitnah, maka tunggulah fitnah yang lebih besar yang akan terpalit ke muka mereka semula. Kalau mereka cuba memecahbelahkan rakyat hari ini dengan perjuangan mereka, maka hari ini kita melihat mereka sendiri semakin berpecah.
Mufti perlu betulkan ajaran sesat di Shah Alam
Para mufti sepatutnya bertindak segera untuk membetulan ajaran sesat yang menghina Islam serta memalukan umatnya, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.
"Sebarang perbuatan yang mencetuskan provokasi supaya orang lain menghina Islam serta memberikan gambaran yang sangat buruk kepada Islam hakikatnya adalah perbuatan menghina Islam.
"Adakah para pemimpin Umno Selangor tidak terlibat dengan perarakan ajaran sesat yang memberikan gambaran buruk terhadap Islam itu?" soal beliau ketika mengulas penunjuk perasaan yang mengarak dan memijak kepala lembu di Shah Alam.
Beberapa NGO Melayu mengarak kepala lembu ke bangunan Setiausaha Kerajaan Selangor sebagai membantah cadangan pemindahan sebuah kuil Hindu ke Seksyen 23 Shah Alam..
Dari sepanduk-sepanduk bantahan mereka, adalah jelas mereka adalah penyokong Umno kerana melaungkan slogan yang sama dengan slogan yang dilaungkan oleh para pemimpin Umno.
Mereka turut disertai oleh beberapa orang yang mendakwa penduduk kawasan berkenaan.
Mahfuz menyifatkan perbuatan itu sebagai provokasi untuk mencetuskan api perkauman yang bertujuan menutup kelemahan dan keburukan Umno.
"Jika pemimpin Umno mendalangi perarakan ajaran sesat itu, mereka sepatutnya merujuk kepada mufti terlebih dahulu sebelum melakukan perbuatan yang akan menyebabkan pihak lain memburukkan Islam dan umatnya," katanya.
Bagi Ahli Parlimen Pokok Sena itu, mana-mana pihak sekalipun boleh membantah apa yang tidak mereka setujui.
"Tetapi, bantahlah secara bertamadun," kata beliau.
Perbuatan menghina agama lain, kata Mahfuz, adalah bertentangan dengan ajaran Islam kerana terdapat nas yang jelas mengenainya,
Di dalam surah al-An'am ayat 108, Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: "Janganlah kamu mencela atau memaki hamun sembahan mereka selain Allah, nanti mereka juga akan memaki hamun Tuhan kamu kerana marah tanpa sebarang ilmu pengetahuan".
Malaysiakini melaporkan, polis hanya memerhati sahaja perbuatan kumpulan itu.
Mengulas kejadian tersebut dalam blognya, Datin Paduka Marina Mahathir menulis posting yang bertajuk "Barbarians at the gate".
Beliau menyifatkan perbuatan kumpulan itu mencemarkan agama mereka sendiri.
Isu arak kepala lembu: Ulasan PJ Pas Perak
Beberapa hari sebelum ini, telah tercetus satu kontroversi tentang isu sensitiviti agama. Demostrasi itu dilakukan setelah selesai Solat Jumaat, luar kawalan pihak polis dan perkataan-perkataan pada banner yang mencurigakan. Mengulas tentang beberapa perkara yang berkaitan, Pesuruhjaya PAS Perak hari ini memberitahu bahawa isu sensitiviti tersebut sudah pasti bukan daripada ajaran Islam.
Beliau berkata, Islam adalah agama yang menghormati agama lain. Islam berdakwah bukanlah dengan cara yang ditunjukkan oleh peserta demo tersebut. Perkara ini telah ditunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW dan para sahabat RA sendiri apabila tidak mengganggu tempat ibadah orang bukan Islam, ketika mereka menguasai sesebuah negeri tersebut.
“Sesiapa yang ingin beribadah dengan agama mereka, dipersilakan. Tetapi umat Islam diharamkan murtad..” katanya.
Beliau berkata lagi, demikian tersebut adalah di dalam situasi perang. Di dalam situasi perang sekalipun, tempat ibadah bagi orang Islam tidak diganggu, apatah lagi dalam keadaan Malaysia hari ini? Terdapat seseorang yang mendakwa bahawa mereka hanya tidak mahu kuil dibina di kawasan majoriti orang Islam. Adakah alasan ini cukup kukuh untuk kita menimbulkan isu keagamaan tersebut?
Sedikit pengajaran yang ditunjukkan oleh Baginda SAW ketika Perjanjian Hudaibiah. Antaranya ialah, mereka yang ditawan oleh orang Islam perlu dikembalikan kepada keluarga mereka. Manakala mereka ditawan oleh orang musyrikin, tidak akan dikembalikan. Lalu, perkara ini dilihat sebagai satu ketidakadilan, sedangkan Baginda SAW bersetuju dengan perjanjian tersebut.
Beliau menambah lagi, di dalam hasil Perjanjian Hudaibiah tadi, orang Islam yang ditawan oleh orang musyrikin akhirnya dapat menyebarkan dakwah mereka. Ini kerana mereka benar-benar bersungguh dalam penyebaran dakwah tersebut. “Kita kena bersungguh, Ini peluang kita” Katanya.
Selain itu, beliau juga menyelar UMNO yang menjadi dalang dalam demo ini. Sekiranya masih ada yang bertanya, apakah bukti saya untuk mengatakan bahawa ia adalah tindakan UMNO? Maka saya akan katakan bahawa setiap perkara yang terjadi, pasti ada petanda. Contohnya hujan, petanda turunnya hujan ialah mendung. Tetapi kadangkala hari mendung, tetapi tidak juga hujan. Tetapi kalau bunyi hujan sudah kedengaran, adakah kita masih lagi menafikan bahawa ia bukanlah hujan?
Beberapa perkara yang boleh dikatakan sebagai petunjuk bahawa ia adalah tindakan UMNO ialah, perkataan “TAKE BEER” yang kononnya dikatakan sebagai Takbir. “Makna pun sudah tidak kena” Katanya. Selain itu, tindakan polis yang agak pelik. Kalau sebelum ini, setiap demo anjuran PR, pasti ada bermacam-macam halangan dan rintangan. Walaupun demo tersebut adalah secara aman dan tidak menyentuh mana-mana sensitiviti.
Tetapi yang peliknya, polis boleh terlepas pandang dalam isu sensitiviti yang begitu kronik ini. Kenapakah tiada polis yang berkawal? Bukankah mereka mencetuskan isu perkauman? Soal beliau.
Saya yakin, UMNO pada mulanya ingin mencetuskan isu ini, lalu mereka akan mengkritik semula tindakan ini. Ini kerana mereka cuba menampakkan kepada umum bahawa mereka sangat sensitiviti tentang isu perkauman, dan mereka sangat membela golongan bukan Islam. Tetapi malangnya, mereka agak lemah dalam strategi, bahkan membahayakan Malaysia sendiri.
Beliau berkata, tindakan keterlaluan mereka ini hanya akan mengundang bahaya. Jangan burukkan Islam dengan gaya method UMNO. Ini kerana gaya menthod UMNO bukanlah untuk menaikkan Islam, bahkan lebih menjatuhkan. Kalau hendak bermain isu pun, berhati-hatilah, katanya.
Erti kemerdekaan dari perspektif Islam
Kemerdekaan yang sebenar menurut Islam terkandung di dalam kata-kata Rub'ie bin A'mir ketika bertemu panglima tentera rom yang bernama Rustum:الله ابتعثنا لنخرج من شاء من عبادة العباد إلى عبادة الله, ومن جور الأديان إلى عدل الإسلام ومن ضيق الدنيا إلى سعة الدنيا والآخرة:
Forum 'Siapa Speaker Dun Perak yang sah'
IPOH, 31 Ogos: Satu Forum "Siapa Speaker Dewan Undangan Negeri Perak yang sah" ("Who is the Lawful Speaker of Perak State Assembly) akan diadakan di Ipoh malam ini.
Forum ini akan diadakan di Hotel Excelsior bermula jam 8 malam. Ia bertujuan untuk mengupas mengenai kesahihan persidangan Dun dan perlantikan Speaker Dewan Undangan Negeri.
Forum ini akan turut dihadiri oleh para peguam dan anggota dewan undangan negeri Perak akan berusaha untuk menentukan speaker yang sah berdasarkan perlembagaan negeri Perak.
Sunday, August 30, 2009
Selamat Hari Kemerdekaan ke-52
Saya ingin mengucapkan SELAMAT MENYAMBUT HARI KEMERDEKAAN KE-52 kepada seluruh rakyat Malaysia tidak kira walau dimana anda berada.
Biarpun kita telah merdeka, namun hakikatnya kita masih lagi menjadi hamba....kepada Yang Maha Esa.
Bubur Lambuk percuma di Rapat Setia
Projek Amal Komuniti Rapat Setia memberikan bubur lambuk secara percuma kepada pengunjung bazaar Ramadhan Rapat Setia setiap hari bermula jam 5 petang.
Projek ini yang dibiayai daripada sumbangan orang ramai menyediakan bubur lambuk yang diberikan secara percuma.
Program tahunan ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai yang berpusu-pusu mendapatkan bubur lambuk ini.
Pengunjung bazaar Ramadhan yang menantikan giliran untuk mendapatkan bubur lambuk percuma.
Silalah berkunjung ke tapak Bazaar Ramadhan di Rapat Setia untuk mendapatkan bubur lambuk secara percuma.
DS Nizar, tokoh yang berwibawa
Nizar membuktikan dirinya sebagai seorang pemimpin yang sangat berkemampuan.Cakapnya berisi dan teratur.Penuh semangat dan berkeyakinan.Bijak berbicara dengan menggunakan pelbagai bahasa , lancar dan faseh sebutannya jelas dan lancar walaupun tanpa menggunakan teks ucapan sebagaimana pemimpin -pemimpin lain.
Inilah kelebihan kehebatan DS Nizar - seorang tokoh Pakatan Rakyat yang punya kewibawaan dan integriti yang kalau mahu dibandingkan dengan Zambry .... jauh panggang dari api.
ADUN Pakatan Perak tetap hadir sidang DUN Rabu ini
Ianya sekaligus mengenepikan arahan Speaker Barisan Nasional, Datuk R. Ganesan agar ADUN mengabaikan jemputan yang dibuat Sivakumar itu.
Menteri Besar Pakatan Dato' Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin pagi tadi menegaskan bahawa Ganesan tidak layak berbuat demikian kerana bekas Adun Sungkai itu bukanlah Speaker Dun yang sah.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang dan Adun Pasir Panjang turut berkata, mustahil Ganesan boleh mengakui dirinya Speaker Dun Perak, sedangkan jawatan itu masih disandang V. Sivakumar secara sah sehingga sekarang.
"Dia (Ganesan) bukan Speaker yang sah. Dia tidak berhak berbuat begitu (menghalang sidang Dun Rabu depan) kerana Sivakumar masih Speaker yang sah. Dalam laporan Aturan Mesyuarat (Standing Order) Dewan Undangan Negeri, selagi Speaker (merujuk pada Sivakumar) masih ada di kerusinya, tidak ada orang lain boleh mempengerusikan persidangan."
"Jadi, persidangan tidak bermula pun. Ini kerana Speaker Sivakumar telah menunggu semua yang diarahkan keluar dewan berdasarkan Perintah Tetap 11, keluar dewan (Dun)," ujarnya ketika dihubungi.
Saturday, August 29, 2009
1 demo, 2 agama dihina
Kepala lembu, binatang yang dianggap suci oleh penganut agama Hindu telah dipijak untuk menimbulkan rasa benci serta permusuhan agama.
Kepala lembu modal baru rampas Selangor?
Kira-kira 50 orang yang membentuk jawatankuasa bertindak penduduk seksyen itu berkumpul di masjid negeri, beberapa ratus meter dari bangunan tersebut di Shah Alam, selepas solat Jumaat tadi.
Mereka berarak sebagai menyatakan bantahan kepada Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, exco kebajikan negeri Rodziah Ismail dan exco kesihatan Dr A Xavier Jayakumar.
Mereka juga mensasarkan kemarahan mereka kepada ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad.
Mereka membawa sepanduk, antaranya bertulis "Take beer", "Islam untuk semua, kuil untuk Khalid dan Rodziah", "Kuil haram sekangkang kera, bila pindah sebesar Putrajaya" dan "Pindahkan kuil ke Seksyen 22".
"Mana Xavier? Kami ada kepala lembu untuk dia," jerit seorang penyokong, setibanya di pintu masuk bangunan kerajaan tersebut yang segera ditutup kerana kehadiran mereka.
Baca seterusnya disini
Ajijoi ~ Nampak sangat kumpulan ini dipergunakan pihak-pihak tertentu untuk mencetuskan perbalahan kaum apabila kepala lembu yang dianggap suci oleh penganut agama Hindu diperlakukan sebegitu untuk membantah pemindahan kuil.
Jika tidak didalangi, mengapa perlu membawa sepanduk memburukkan pas?
Satu lagi usaha untuk menggoncang kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor?
Friday, August 28, 2009
Jangan mendedahkan aibkan orang - Pesuruhjaya Pas Perak
Ipoh, 28/8/09, Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar bin Husein mengingatkan kepada UMNO/BN supaya tidak mengulangi amalan mereka yang sengaja mencari dan mendedahkan keaiban orang lain. Ini kerana sekiranya mereka tidak mahu keaiban mereka didedah oleh Allah SWT sendiri. Beliau berkata demikian sebagai ulasan tentang kes Chua Soi Lek baru-baru ini.
Beliau berkata lagi, BN yang selama ini sengaja memburuk-burukkan identiti beberapa individu, seperti Elizabeth Wong, seharusnya menerima padah apabila keaiban mereka didedahkan oleh Allah SWT sendiri.
Usaha-usaha ini seharusnya dilihat sebagai satu perbuatan yang terkutuk, yang sepatutnya tidak dilakukan oleh sebuah parti yang memperjuangkan kemanusiaan. Oleh itu, terimalah balasan yang setimpal oleh Allah SWT di atas perbuatan yang telah mereka lakukan.
Beliau berkata lagi, selain itu, pemecatan Soi Lek ini mendedahkan bahawa BN sekarang sedang menghadapi situasi yang serius. Mereka (BN) asyik menghebahkan bahawa PR sekarang berada dalam kemelut, sedangkan mereka sendiri merasai sedemikian. Mereka sendiri sedang berada dalam keadaan tidak stabil untuk menghadapi beberapa kesalahan pimpinan tertinggi mereka.
“Mereka gemar menunding jari kepada orang lain, sedangkan keaiban sendiri tidak pernah diperhati” katanya lagi.
Apabila diminta mengulas tentang perpecahan dalaman BN hari ini, beliau berkata “Ya, BN sememangnya sedang berpecah. Berpecahnya BN hari ini disebabkan usaha mereka memecahbelahkan PR dan PAS itu sendiri. Mereka suka menyebarkan fitnah, akhirnya mereka sendiri memfitnah sesama sendiri. Allah itu Maha Adil”.
Dalam pada itu, beliau juga menjawab tentang beberapa isu sebat baru-baru ini. “Kenapakah baru sekarang keadilan itu dipersoalkan? Kenapakah hari ini tolak ansur baru dipermainkan? Sebelum ini kita melihat ISA begitu kejam melakukan kezaliman di merata tempat. Itu tidak zalimkah?”
Beliau berkata lagi “Hari ini orang mempersoalkan tentang keadilan undang-undang syariat di dalam menjatuhkan hukuman, tetapi kenapakah ISA itu sendiri tidak dipersoalkan? Kalau Kartika itu baru seorang perempuan, ISA sudah menzalimi ribuan orang yang tidak bersalah. Dimanakah keadilan?” Katanya.
Beliau menyifatkan bahawa UMNO selamanya tidak akan releven sekiranya masih meneruskan perjuangan jahiliyyah. Ini kerana jahiliyyah itu telah pun dihapuskan ketika zaman Nabi Muhammad SAW. Tetapi hari ini, ia telah dikembalikan semula oleh UMNO sendiri. Sebab itulah UMNO/BN akan terus berpecah, kerana mereka memperjuangkan perjuangan nasionalisme yang juga diperjuangkan oleh Jahiliyyah.
Sememangnya masyarakat Jahiliyyah itu berpecah, tetapi disatukan oleh Nabi Muhammad SAW. Tetapi, hari ini ia telah dipecahkan semula. Maka, siapakah yang memecahbelahkan masyarakat kalau bukan BN?
Sumber:
http://ustazabubakar.wordpress.com/Tarian poco-poco menyesatkan?
Salam...pada kali ini penulis ingin kongsikan kepada anda tentang sesuatu yang menggemparkan kerana penulis sendiri pernah buat(masa dalam PLKN,secara paksa rela).Iaitu tarian Poco-poco. Secara jujurnya penulis tidak pernah tahu dan ambil tahu tentang tarian ini,asal-usulnya dan motif tarian ini.Namun segalaya berubah apabila satu kiriman emel daripada sahabat penulis,membuatkan penulis tersentak dan kaget sebentar. Mari sama-sama baca e-mel ini.
"Assalammualaikum.
Alhamdulillah kerana kita semua masih bernafas lagi dgn keizinanNya. Saya ingin berkongsi dgn rakan2 semua tantang tarian pocoh2 yang sedang hangat ditarikan oleh semua lapisan masyarakat,umumnya masyarakat kita yg beragama islam terutama suri2 rumah dan badan2 kerajaan ketika manghadiri kursus.
Sebenarnya tarian pocoh2 ini berasal dari Filipina bukannya dari Indonesia. Ia ditarikan oleh masyarakat yg berugama kristian ketika mereka menghadiri upacara sembahyang mingguan mereka.Lihatlah sahaja bagaimana pergerakannya, yg membentuk salib.
Mungkin kita tak perasan kerana kita suka mengikut2 sesuatu yg baru tanpa usul periksa. Inilah cara musuh2 islam mengenakan kita sedangkan kita tahu apabila kita melakukan sesuatu yg menyerupai sesuatu agama maka kita dikira merestui agama itu seperti amalan yoga yg telah difatwakan haram kerana menyerupai agama hindu. Cuma tarian pocoh2 ini belum difatwakan haram lagi. Marilah kita sama2 fikirkan."
Masya Allah...penulis pernah terfikir dulu,kenapa tarian itu dimulakan dari kiri?dan apa jenis senaman ini? relevankah tarian ini,yang kelihatan seperti tidak siuman? Dengan emel ini 'terungkailah' persoalan itu semua.
Jadi,penulis menyeru kepada diri penulis dan anda semua supaya mengambil inisiatif untuk tidak lagi 'menarikan' lagi tarian ini yang ternyata mensyirikkan Allah tanpa kita sedar.Dan paling utama memohon keampunan daripada Allah S.W.T atas kejahilan kita tentang perkara ini sebelum ini.
Semoga mendapat perhatian pihak berkenaan agar mengkaji secara terperinci tentang kesahihan perkara ini,asal usul dan kes anny a kepada akidah Umat islam dan mengeluarkan fatwa tentang tarian ini,agar Umat Islam tidak berterusan di dalam kelalaian dan 'keasyikkan' menarikan tarian ini.
WALLAHUALAM. ...
Ustaz Ismail Kamus sihat, kini di Makkah
KUALA LUMPUR, 28 Ogos: Berita kematian bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Ustaz Dato' Ismail Kamus yang kini merupakan pendakwah bebas yang tersebar melalui Sistem Pesanan Ringkas (SMS) hanyalah khabar angin semata-semata.
Menurut ahli keluarganya, Ismail Kamus kini sedang mengerjakan umrah di Makkah dan berada dalam keadaan sihat walafiat sekaligus menafikan berita itu.
Semalam tersebar SMS yang melaporkan bahawa beliau telah menghembuskan nafas terakhir petang semalam akibat serangan sakit jantung.
Malah SMS tersebut turut mengajak umat Islam menyedekahkan surah al-fatihah supaya roh beliau dicucuri rahmat dan di tempatkan di kalangan orang-orang yang soleh.
Sebaliknya berita yang sebenar ialah kematian tokoh ekonomi terkenal iaitu Prof Dato' Dr Ismail Salleh di Singapura petang semalam.
Ismail Kamus merupakan penasihat Persatuan Perubatan Islam Darussalam yang terletak di Gombak Setia. - Harakahdaily.com
Ajijoi ~ Saya juga ada menerima panggilan telefon dan sms untuk mengesahkan berita tersebut. Agak terkejut juga pada mulanya. Sempat sedekahkan fatihah buat ust ismail kamus.
Setelah diselidiki, ternyata berita tersebut disalah ertikan dengan kematian Prof. Dr Ismail Salleh.
Semoga berita-berita yang diterima terlebih dahulu disahkan kebenarannya sebelum disebar ke khalayak ramai.
Thursday, August 27, 2009
Kemana menghilangnya program Ehya Ramadhan di Perak?
Program yang dirasmikan oleh Menteri Besar Perak, Dato Seri Ir Haji Nizar Jamaludin bermula pada 15 Ramadhan sehinggalah berakhirnya Ramadhan.
Acara akan dimulakan dengan majlis berbuka puasa beramai-ramai, solat Maghrib, Isyak dan bertarawih secara berjemaah.
Selepas selesai bersolat tarawih, majlis tazkirah pula menyusul yang disampaikan oleh
penceramah-penceramah yang diundang khas dari seluruh pelusuk negara. Diantara penceramah yang hadir pada tahun lalu ialah Ustaz Nasaruddin Daud, Ustaz Halim Hassan, Ustaz Datuk Mohd Nor Mansor Al-Hafiz, Ustaz Kamal Ashaari, Ustaz Nor Azli Musa, Ustaz Dr Badrul Amin dan beberapa penceramah yang lain.
Program ini berjaya menarik kehadiran ratusan penduduk Ipoh untuk bersolat berjemaah walaupun sekadar di bawah khemah dan berlantaikan papan dan tikar namun setiap malam para hadirin semakin ramai yang datang ke sini untuk berjemaah.
Pihak penganjur juga menyediakan segala kemudahan untuk berwudhuk, tandas, juadah berbuka (moreh), dan sistem siaraya yang begitu baik. Daripada segi keselamatan pula, pasukan Unit Amal Pas Ipoh berjaya memastikan program ini berjalan dengan lancar.
Rata-rata para jemaah yang datang amat berpuas hati dan menaruh harapan yang tinggi agar program ini dapat diadakan setiap tahun.
Tetapi itu semua kini hanyalah tinggal kenangan. Segala-gala perancangan yang membawa masyarakat negeri Perak mendekati dan menghayati erti sebenar Ramadhan telah lenyap dengan rampasan kuasa yang zalim.
Tahun ini tiada langsung kedengaran program yang seakan ehya Ramadhan dianjurkan kerajaan bn perak di mana-mana pun.
Rakyat tidak disatukan lagi didalam program yang mengimarahkan bulan Ramadhan yang mulia ini. Tiada lagi usaha untuk mendekatkan rakyat dengan Maha Pencipta.
Adakah anda tidak merasa bersalah kerana telah menghilangkan program ibadah daripada masyarakat Ipoh? Bersediakah anda untuk menjawab dihadapan Allah kenapa program agama dilenyapkan daripada masyarakat?
Saya tinggalkan persoalan itu untuk renungan kita semua.
Wallahu a'lam.
Siak, Bilal seluruh Perak dapat bonus raya
IPOH – Seramai 1,975 siak serta bilal di seluruh negeri Perak bakal menerima bonus khas sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, kesemua siak dan bilal bakal menerima RM500 setiap seorang sebagai sagu hati daripada pihak Kerajaan Negeri.
Menurutnya, bonus berkenaan adalah sebagai penghargaan terhadap pengorbanan mereka selama ini.
“Peranan mereka (siak dan bilal) ini adalah penting, terutamanya bagi mengurus serta menjaga masjid di seluruh pelosok negeri.
“Mereka telah mengurus dan menjaga masjid atau surau tanpa menerima apa-apa bayaran melainkan elaun berjumlah RM300 sebulan.
“Saya berharap agar perkara ini menjadi berita gembira buat mereka menjelangnya sambutan Hari Raya Aidilfitri kelak,” katanya.
Zambry berkata demikian kepada pemberita setelah mempengerusikan mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di pejabatnya semalam.
Hadir sama, Ketua Penerangan Negeri Perak, Datuk Hamdi Abu Bakar.
Zambry berkata, bonus berkenaan tidak diperuntukkan kepada para imam kerana difahamkan mereka (imam) ada menerima elaun berjumlah RM400 sebulan daripada pihak kerajaan.
Link : sinarharian.
Ajijoi ~ Bukan itu saja, ramai pegawai-pegawai atasan kerajaan negeri dihantar untuk mengerjakan umrah di dalam bulan puasa ini dengan tanggungan kerajaan negeri. Belanja besar nampaknya zambry untuk beli jiwa rakyat perak.
Dia peduli apa pun. Bukannya duit dia. Duit siapa? Duit kita rakyat perak la. Bagaikan perumpamaan, lembu punya susu sapi dapat nama.
Tapi, kenapa imam tak dapat bonus pulak? Sebab kes imam masjid Simpang semasa prk Bukit Gantang dulu ke?
Gadis mati terjun kuarters polis
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Supt Abdul Ghafar Mohamad berkata, mangsa dikenali sebagai Kwek Lee May berasal dari Taman Chandan Puteri di sini ditemui mati dalam keadaan cedera parah di kepala dan badan pada pukul 8 pagi.
Mayatnya dihantar ke Hospital Kuala Kangsar untuk bedah siasat, katanya di sini.
Abdul Ghafar berkata, tiada sesiapa yang melihat wanita itu memasuki kuarters dan hanya mengetahui ada seorang wanita terbaring berlumuran darah oleh beberapa penghuni kuarters berkenaan.
Polis mengklasifikasikan kes itu sebagai bunuh diri, katanya.
Punca wanita berkenaan berbuat demikian sedang disiasat. BERNAMA
Ajijoi ~ Apakah akan berulang kes seperti Teoh Beng Hock? Atau perlukah bangunan pihak keselamatan dibina setingkat sahaja? Perlukah polis juga disiasat seperti sprm? Perlukah diadakan inkues?
Kalah, bukti dasar kebangsaan Umno terus ditolak
KOTA BHARU, 27 Ogos: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan penolakan demi penolakan rakyat terhadap Umno dalam siri pilihanraya kecil sebagai isyarat mereka tidak menerima dasar kebangsaan parti itu.
Ketika mengulas kemenangan PAS pada pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir beliau berkata, salah satu punca kekalahan Umno di DUN berkenaan ialah dasarnya yang bercanggah dengan Islam.
"Penolakan-penolakan yang begitu banyak terhadap Umno ni satu daripada sebabnya berpunca daripada dasar yang dibuat parti Umno. Parti yang memerintah sekarang ni tak betul dengan dasar Islam.
"Kelantan telah hampir 20 tahun guna dasar Islam dengan segala praktikalnya. Alhamdulillah dapat penerimaan daripada semua bangsa dan agama," ujar Menteri Besar Kelantan itu kepada pemberita selepas mesyuarat exco di pejabat setiausaha kerajaan semalam.
Sehubungan itu, beliau sekali lagi menyeru Umno mengubah dasar kebangsaan mereka kepada dasar Islam selaras ajaran Al-Quran.
"Saya dengan penuh ikhlas minta saudara-saudara-saudara kita dalam umno tolong fikir, tolong ubah dasar Umno kepada dasar Islam. Bulan Ramadhan ni bulan Quran.Bila kita orang Islam buat dasar lain kedaulatan Allah ke atas manusia makin terhakis.Tiba-tiba kita tak mahu pakai Quran, ambil dasar yang dibuat oleh manusia.Ini tak betul,"katanya.
Sidang Dun Perak: Bahas titah Tuanku, gantung Zambry
KUALA LUMPUR, 27 Ogos: Dato' Seri Nizar Jamaluddin yakin Persidangan Dun Perak 2 September depan akan berjalan lancar sekaligus tidak akan mengulangi insiden 7 Mei lalu akibat tindakan BN yang melanggar lunas peraturan dan undang-undang sedia ada.
Sidang minggu depan itu, katanya amat penting kerana titah Sultan Perak, Sultan Azlan Shah belum dibahaskan lagi malah pada 7 Mei itu, tiada persidangan pun yang berlangsung memandangkan kekecohan yang berlaku berikutan pelantikan Speaker 'haram' yang baru, yang tidak mengikut peraturan Dun.
Adun Pasir Panjang dan Ahli Parlimen Bukit Gantang itu berkata kepada Harakahdaily pagi ini bahawa sidang itu juga akan membentangkan usul pengantunggan Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan Timbalan Speaker Hee Yit Foong oleh Jawantankuasa Hak dan Kebebasan yang dipengerusikan oleh Speaker V. Sivakumar.
Masing-masing dikehendaki membayar denda sejumlah RM500,000 dan RM250,000 setiap seoarang akibat tindakan mereka yang menghina DUN dan kuasa Speaker, katanya.
Bagaimanapun, berhubung status Speaker 'haram' Datuk M Ganesan yang dilantik 7 Mei lalu, Nizar menjelaskan, satu permohonan injuksi akan dibuat untuk menghalang dalam menjalankan tugas Speaker yang masih disandang oleh Sivakumar.
"Selama ini, Adun-adun Pakatan Rakyat Perak senantiasa mengikut peraturan dan yang memulakan kekacauan serta menggunakan pihak keselamatan untuk campur tangan serta mengheret keluar Speaker adalah pihak yang lagi satu.
"Mereka sebenarnya yang menghina Dewan dan Tuanku Sultan. Kita patuh pada peraturan...apabila Speker panggil, kita wajib hadir," katanya ketika dihubungi.
Nizar turut mengulas sidang Dun 'bawah pokok' 3 Mac lalu, berpunca daripada perbuatan menghalang Speaker dan Adun-Adun memasuki bangunan Dewan Undangan Negeri Perak.
Semalam Sivakumar telah memfailkan saman terhadap Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Datuk Dr Abdul Rahman Hashim untuk menuntut ganti rugi, ganti rugi teruk dan ganti rugi contoh.
Writ saman itu yang difailkan melalui Tetuan Chan & Associates di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Ipoh tengah hari semalam, mendakwa Setiausaha Kerajaan Negeri itu atau pekerja atau ejennya telah menghalang beliau dan anggota DUN daripada menghadiri dan memasuki Dewan Negeri yang terletak di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada 3 Mac lepas.
Pada 21 Ogos lalu, pihak Adun Pakatan Rakyat telah menghantar notis guaman dan memberi tempoh selama 48 jam kepada Abd. Rahman untuk memberi aku janji supaya tidak campur tangan pada persidangan Dewan 2 September ini.
Sebelum ini turut mengulas isu krisis yang berlaku di Perak ialah pakar perlembagaan, Profesor Dr Abdul Aziz Bari yang berpendapat sidang Dun 7 Mei itu sebagai tidak sah.
Aziz menjelaskan dari awal lagi sidang telah menyingkirkan kedudukan dan kuasa Speaker V. Sivakumar yang kemudian berlanjutan kepada bermacami arahan dibuat oleh Setiausaha Dun dan Setiausaha Kerajaan yang tidak mempunyai bidang kuasa yang sah.
"Hari itu Hee Yit Foong yang bertindak memulakan sidang meskipun Sivakumar ada dan masih belum disingkirkan. Itu belum lagi mengambilkira kedudukan Hee yang sebenarnya masih di dalam penggantungan.
"Bagaimana Hee boleh dibenarkan memulakan prosiding yang kemudian memilih Datuk M Ganesan," soal Aziz.
Paling menyedihkan, kata Aziz lagi, sebagaimana sidang di bawah pokok Mac lalu ,sekali lagi polis memainkan peranan utama.
Aziz menyifatkan kekecohan di Dun Perak itu adalah yang kedua selepas rampasan kuasa oleh BN pada 5 Februari dan pihak polis juga menghalang sidang Dun Perak Mac lalu sehingga ia terpaksa diadakan di bawah pokok kira-kira 100 meter dari premis rasmi.
"Apa yang berlaku di Perak itu bagaikan persetubuhan haram yang melahirkan anak dan cucu yang kemudiannya melibatkan komplikasi dan kekeliruan tentang taraf dan hak anak-anak yang tidak berdosa itu," katanya.
Pembohongan Muhyiddin disanggah Mahathir
Menurut Muhyiddin, semasa perbicangan antara Dr. Mahathir, Menteri Kewangan ketika itu, Tun Daim Zainuddin, Lee dan beliau, Lee mahukan bekalan air yang mencukupi disalurkan kepada republik itu dari Johor.
“Lee berkata Singapura bersedia untuk berperang sekiranya Malaysia tidak mahu membekal air yang mencukupi dan melahirkan rasa kesal berhubung projek bekalan air dari Sungai Lingu yang tertangguh.
Muhyiddin semasa berceramah di Tanjung Putus, Permatang Pauh semasa kempen pilih raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir, menjelaskan perkara itu sebagai menolak dakwaan pembangkang bahawa beliau telah menjual sekeping tanah kepada Singapura berhubung loji rawatn air di Sungai Lingu, Bandar Tenggara Johor.
Ini pula komen Dr. Mahathir dalam blognya:
“Tan Sri Muhyiddin bercakap benar mengenai desakan saya kepadanya untuk membekal air kepada Singapura, tetapi Lee Kuan Yew tidak mengancam untuk berperang sekiranya kita tidak membekalkan air.
“Sekiranya beliau (Lee) melakukan itu, saya fikir saya akan menghentikan sebarang bekalan air seterusnya,” kata Dr. Mahathir.
Dr. Mahathir berkata, beliau tidak mengetahui mengenai penjualan tanah kepada Singapura, tetapi kerana telah dipersetujui bahawa loji rawatan air akan dibina oleh Singapura di Johor, maka tanah perlu disediakan.
“Namun setelah kita memeterai perjanjian bekalan air, Singapura menimbulkan banyak isu mengenai tanah kereta api kita, pusat kastam, imigresen dan kuarantin di Tanjong Pagar, latihan pesawat perang Singapura di kawasan udara Malaysia dan Kumpulan Wang Simpanan Pusat.
“Pada ketika itu, saya sedar bahawa berbaik-baik dengan Singapura adalah tidak berbaloi,” kata Dr. Mahathir.
Muhyiddin jual tanah Johor kepada Singapura dengan mudah, kemudian menggunakan isu yang sama untuk terus membekalkan sumber air kepada Singapura.
- Kerana kepentingan peribadi dan kaum kerabatnya, Muhyiddin Yassin mengorbankan hak dan kepentingan Rakyat Johor. Malangnya masih ramai manusia bahalol di Johor yang mati hati dan menyokong si perompak Muhyiddin.
- Baru perintah satu negeri Johor, hampir separuh tanah Johor digadai, dilelong dan dijual oleh Muhyiddin Yassin. Bayangkan jika si Muhyiddin ini jadi Perdana Menteri - Hancur Negara, Musnah Bangsa. Rosak Agama dibuat oleh manusia perakus bernama Muhyiddin Yassin.
Senator, profesor OKU terhebat meninggal dunia
Pakar ekonomi Senator Prof Datuk Dr Ismail Md Salleh meninggal dunia semasa dalam penerbangan dari China ke Singapura awal hari ini.
Menurut pegawai Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura, Prof Dr Ismail disahkan meninggal dunia di Hospital Besar Singapura sebaik tiba di hospital itu pada kira-kira pukul 8 pagi.
Allahyarham Dr Ismail, 61, mencipta sejarah sebagai senator pertama yang dilantik daripada kalangan Orang Kurang Upaya (OKU) dan cacat penglihatan di Malaysia.
Beliau juga ialah bekas timbalan ketua pengarah Institut Kajian Strategik Antarabangsa (ISIS).
Bapa kepada enam orang anak itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Twintech Holdings dan Naib Canselor Universiti Kolej Antarabangsa Teknologi Twintech.
Beliau dilahirkan di Pasir Mas, Kelantan pada 2 Sept, 1947 dan pernah mendapat pelbagai anugerah atas kecemerlangannya di bidang pengajian, antaranya, anugerah Guiness Book of Records sebagai orang cacat penglihatan pertama di dunia mendapat ijazah Doktor Falsafah.
Ucap takziah
Sementara itu, Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) mengucap takziah kepada keluarga allahyarham Dr Ismail.
Dalam satu kenyataan hari ini, Ketuanya, Nasrudin Hassan berkata, pihaknya melihat Dr Ismail sebagai seorang ikon yang berjaya walaupun dalam keadaan kurang upaya.
"Namun peranan serta semangat beliau melebihi daripada orang kebiasaan.
"DPP menghargai peranan beliau terutama dalam memperjuangkan nasib serta hak golongan orang kurang upaya di Malaysia dan berharap agar kerajaan melaksanakan segala usaha dan peranannya sebagai satu tanda penghargaan kepada beliau," tegas Nasrudin.
MCA pecat Dr Chua Soi Lek kerana seks
Majlis Presiden MCA lewat malam ini memecat Timbalan Presidennya Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berhubung skandal seks yang dihadapi bekas menteri itu awal tahun lalu.
Keputusan itu dicapai setelah ia bermesyuarat selama beberapa jam sejak 9 malam ini susulan syor yang dikemukakan oleh jawatankuasa disiplin yang menyiasat kes itu awal bulan ini.
Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat berkata beliau sendiri akan memaklumkan keputusan yang dibuat "dengan berat hati" dan "kolektif" itu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, selaku pengerusi BN.
Dalam sidang media di Wisma MCA kira-kira tiga jam sebelum keputusan itu dicapai, Dr Chua memaklumkan beliau dikehendaki keluar mesyuarat majlis tersebut kerana ia ingin memutuskan tindakan terhadapnya.
Beliau sebelum itu hadir lebih kurang dua jam di mesyuarat Majlis Presiden MCA.
Baca seterusnya disini
Jangan gopoh laksana hukuman sebat - Presiden PAS
"Apa yang seharusnya berlaku ialah arak haruslah di haramkan penjualannya secara menyeluruh terlebih dahulu kepada semua orang Islam.
"Masyarakat dan kerajaan juga perlu dididik supaya faham bahawa arak adalah haram di sisi agama Islam," kata beliau dalam kenyataannya.
Dalam masa yang sama "kita berharap supaya wanita yang disabitkan itu bertaubat kerana Allah Maha Pengampun," kata beliau.
Abdul Hadi mengulas isu hukuman rotan enam kali ke atas Kartika, model sambilan yang didapati bersalah minum arak di sebuah hotel oleh Mahkamah Tinggi Shariah, Kuantan.
Ia kini menjadi perdebatan umum dan menarik perhatian termasuk wartawan dari luar negara.
Baca seterusnya disini
PESURUHJAYA PAS PERAK MEMBIDAS KENYATAAN HISHAMUDDIN TENTANG ISU SEBAT
Isu sebat yang menjadi perbualan kita hari ini telah dipermainkan oleh sebilangan pihak yang cuba untuk menyindir Islam. Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein berkata bahawa beliau mengakui Jabatan Penjara di bawah kementeriannya tidak mempunyai kemahiran dan kepakaran untuk melakukan hukuman sebat mengikut undang-undang syariah terhadap Kartika.
Menjawab persoalan ini, Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussein berkata bahawa ia tidak menjadi masalah yang perlu dijadikan alasan supaya proses ini tergendala. Dari segi penangguhan disebabkan Bulan Ramadhan, ia adalah satu perkara yang munasabah dan tidak perlu dipertikaikan. Tetapi, apabila terdapat sebilangan pihak menyifatkan bahawa “tiada kepakaran”, ialah satu alasan yang tidak boleh diterima.
Beliau berkata lagi, ketika zaman Nabi Musa AS, Bani Israel cukup banyak alasan untuk menolak arahan Nabi Musa. Kes yang terjadi ketika zaman Nabi Musa AS ialah pembunuhan seorang hamba Allah. Lalu, Nabi Musa AS mengadili kes tersebut dengan memerintahkan kepada Bani Israel untuk mendapatkan ekor binatang tersebut, berdasarkan perintah Allah SWT, untuk membuktikan pesalah.
Namun, Bani Israel melontarkan pelbagai persoalan, dengan bertujuan tidak mahu melaksanakan perkara tersebut. Mereka bertanya, warna apakah lembu tersebut? Jenis apakah ia? Dan sebagainya. Hakikatnya mereka tidak mahu menurut perintah Nabi Musa AS, bahkan mereka sengaja mempermainkan perkara tersebut. Alasan semata-mata.
Demikianlah yang berlaku hari ini. Pelbagai alasan yang tidak boleh diterima, sengaja direka-reka. Sekiranya kita lihat dari segi logik akal, mereka yang berada di bawah Jabatan Penjara sudah dilatih untuk merotan dengan cara tertentu terhadap pesalah. Contohnya yang berlaku selama ini, setiap perotan akan memastikan hayunan rotan tersebut tepat mengenai punggung pesalah. Sekiranya tersilap, perotan tersebut akan dibicarakan.
Beliau berkata lagi, perkara ini merupakan perkara yang kecil. Sekiranya menyebat orang dengan kasar pun sudah pandai, apatah lagi menyebat dengan cara Islam? Cara yang diajar oleh Islam agak lembut dan tidak bertujuan menzalimi. Apa susahnya? Adakah disebabkan biasa membuat kezaliman, sudah payah untuk melakukan perkara yang baik? Hakikatnya itu adalah alasan semata-mata.
Beliau menambah lagi, sekiranya tidak pandai untuk memukul cara Islam, kami bersedia menunjuk ajar. Selama ini, para penyebat penjara hanya diajar dengan memukul secara kejam. Maka, apa susahnya untuk belajar cara sebatan dalam Islam pula? Ia lebih mudah. Sebatan cara Islam tidak memerlukan tenaga yang banyak untuk menghayun rotan tersebut. Juga tidak perlu ditelanjangkan pesalah tersebut. Apa yang susahnya? Mereka hanya beralasan sahaja untuk tidak melaksanakan hukum Allah.
Selain itu, beliau bersetuju dengan kenyataan yang dikeluarkan Presiden PAS sendiri telah menjelaskan perkara tersebut. Beliau juga menasihati kepada mereka yang tidak tahu supaya mendalami Islam terlebih dahulu, jangan terlalu cepat menghukum Islam itu sebagai kejam. Beliau juga menasihatkan kepada mereka yang terlibat dalam mengemukakan alasan-alasan yang tidak sepatutnya, supaya tidak meniru kelakuan Bani Israel yang hanya bijak mencari alasan untuk tidak melaksanakan sesuatu hukuman.
Majalah kartun yang ditakuti PM
Mungkin kerana 'usikan-usikan' nakal Zunar terhadap PM membuatkan KDN menyerbu pejabat majalah tersebut serta merampasnya.
Tidak cukup dengan itu, kilang penerbitannya juga diserbu.