Monday, September 8, 2008

Dahaga paling mencabar


Melihat raut wajahnya, jelas terpancar kesungguhan dan keghairahan mengerjakan ibadah puasa walaupun baru pertama kali menghadapi suasana dan cabaran berpuasa.





"INILAH detik-detik indah yang dinantikan selama ini. Akhirnya terkabul juga penantian saya untuk menunaikan ibadah puasa pada bulan Ramadan."

Baru memasuki bulan kelapan memeluk Islam, inilah kali pertama Mark Iman Malim Abdullah atau nama asalnya, Mark Glenn menunaikan Rukun Islam ketiga iaitu berpuasa pada bulan Ramadan.


Bagi yang pernah menonton program realiti TV, One In A Million (OIAM) musim kedua, pasti sudah dapat meneka siapa gerangan pemuda berusia 24 tahun ini.



PUASA tidak menghalang Mahathir untuk aktif.

Peserta top five OIAM 2 ini, mengakui walaupun masih 'kekurangan' ilmu, pendedahan serta pengalaman, dia sebenarnya sangat bersemangat untuk melaksanakan ibadah puasa bersama umat Muslim lain.


Jejaka yang lebih mesra dengan panggilan Mark ini memberitahu, cabaran paling hebat yang harus ditempuhinya ketika berpuasa ialah menahan diri daripada dahaga, berbanding lapar.

"Kalau tak makan, tak mengapa sebab ketika hari biasa pun jadual makan saya tidak menentu kerana sibuk dengan urusan kerja. Tetapi kalau tak minum, terasa tekak begitu kering," katanya ketika ditemui Kosmo! di Mutiara Damansara, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Mark yang berasal dari Kota Kinabalu, Sabah dan menganut agama Kristian sebelum ini menyifatkan ibadah puasa merupakan amalan mulia yang penuh berkat.



BAGI Mahathir, puasa juga mengeratkan hubungan bersama ahli keluarga terutama isteri tersayang, Anita.

Menurutnya, ibadah ini mengingatkan kita saat-saat getir yang terpaksa dilalui orang susah terutamanya ketika krisis kebuluran melanda negara miskin di dunia.


"Kesusahan ini menimbulkan keinsafan dalam diri saya," luahnya.
Mark mendedahkan, keinginan untuk cuba berpuasa timbul dalam dirinya sejak belajar di universiti lagi walaupun ketika itu, dia belum memeluk Islam.

"Ketika belajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Sabah dua tahun lalu, saya pernah terikut-ikut dengan kawan-kawan Islam lain untuk berpuasa selama sehari.



BARU memeluk Islam lapan bulan lalu, ini pengalaman pertama Mark berpuasa.

"Tetapi percubaan tersebut menemui kegagalan apabila saya tidak mampu menahan lapar dan dahaga. Hanya separuh hari sahajalah masa itu. Mungkin ketika itu, jiwa saya belum cukup kuat dan kental.


Akui Mark, selepas melafaz dua kalimah syahadah dan menghayati ajaran-ajaran suci Islam, hatinya dengan sendiri dikurniakan kekuatan oleh Allah.

"Perkara yang amat sukar dan luar biasa untuk saya selesaikan dahulu, kini dihabiskan dengan mudah dan penuh gembira," ujarnya.


Jejaka tinggi lampai dan berlesung pipi ini mengakui, keluarganya yang tinggal di Sabah berasa gusar dan marah apabila menerima khabar bahawa dia telah memeluk agama Islam sekitar Februari lalu.




Namun, setelah melihat keghairahan dan keikhlasan Mark dalam menjiwai ajaran ini, ibu bapa kesayangannya menghormati keputusan itu dan mula memberi dorongan dan sokongan supaya melakukan yang terbaik untuk diri sendiri.


"Sewaktu berbuka puasa nanti, saya pasti akan merindui masakan ibu yang tiada tolok bandingnya dengan mana-mana masakan lain. Antara yang menjadi kegemaran saya ialah ayam goreng ala Barat," cerita Mark.

Walaupun begitu, kerinduan dan kesepian menetap jauh dari keluarga sedikit sebanyak terubat apabila dia mendapat sokongan keluarga angkat yang menetap di ibu kota.


"Mujur saya tinggal bersama mereka. Ini memberi kelebihan kepada saya untuk menghadapi cabaran berpuasa dalam suasana berkeluarga," kata anak bongsu daripada enam orang adik-beradik ini.

Sementara itu, seorang lagi mualaf, Mahathir Abdullah yang cukup terkenal kerana statusnya sebagai suami kepada penghibur tersohor tanah air, Anita Sarawak berkata:

"Tanpa disedari, sudah enam kali saya menyempurnakan Rukun Islam ketiga ini bersama isteri dan saudara-mara tanpa sebarang kemusykilan dan halangan.

"Ibadah puasa selama 30 hari bersama larangan dan ibadah-ibadah yang lain tidak pernah dianggap sebagai sesuatu yang menyusahkan walaupun sedikit 'perit' kerana meninggalkan rutin biasa," katanya kepada Kosmo! ketika dihubungi baru-baru ini.


Sambil ketawa kecil, Mahathir menyifatkan keharmonian rumah tangga dan silaturahim antara kaum keluarga semakin utuh sepanjang menjalani ibadah puasa.

"Mana tidaknya, bayangkan betapa meriahnya apabila berbuka. Semua berkumpul di meja. Itu belum lagi kalau sama-sama memasak," katanya.


Walaupun berpuasa, Mahathir tidak pernah menjadikan itu alasan untuk beliau mengehadkan aktiviti riadah dan rekreasinya.

"Kadang-kadang saya akan berada di gim sampai tiga jam," ujarnya yang mesra membahasakan dirinya sebagai abang Mahathir.


Beliau turut mengakui dia dan Anita lebih gemar berbuka di rumah berbanding di hotel atau membeli-belah di Bazar Ramadan.

"Kak Nita memang berhati-hati dalam soal pemakanan. Dia selalunya menyediakan masakan kegemaran misalnya rendang, ayam panggang dan salad.


"Ketika bersahur pula, sup ayam atau ikan menjadi pilihan saya dan isteri," ujarnya lagi.

Sunday, September 7, 2008

Ketabahan jiwa ibadat puasa

BERPUASA Ramadan bukan sekadar berlapar atau dahaga, malah mempunyai rahsia dan nikmat lebih daripada itu. Dr Yusuf Qardhawi dalam kitabnya al-Ibadah Fil Islam mengungkapkan ada lima rahsia utama puasa yang membolehkan kita merasakan kenikmatan dalam ibadat ini.

Menguatkan Jiwa

Dalam hidup, kita mendapati ada manusia yang dikuasai hawa nafsu. Manusia seperti ini, menuruti apa yang menjadi keinginannya, meskipun ia sesuatu yang batil serta mengganggu dan merugikan orang lain.

Oleh itu, dalam Islam ada perintah untuk memerangi hawa nafsu dengan maksud berusaha untuk menguasainya, bukan membunuh nafsu yang membuat kita tidak mempunyai keinginan terhadap sesuatu bersifat duniawi. Sekiranya dalam peperangan ini (hawa nafsu) manusia mengalami kekalahan, malapetaka besar akan berlaku. Ini kerana manusia yang kalah itu akan mengalihkan pengabadiannya daripada Allah kepada hawa nafsu yang cenderung mengarahkan manusia pada kesesatan.

Allah memerintahkan kita memerhatikan masalah ini dalam firman-Nya bermaksud : “Maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhannya dan Allah membiarkannya sesat berdasarkan ilmu-Nya.” (Surah al-Jaathiyah, ayat 23)

Dengan puasa, manusia akan berjaya menguasai nafsunya yang membuat jiwanya menjadi kuat. Dengannya manusia memperoleh darjat tinggi serta menjadikannya mampu mengetuk dan membuka pintu langit hingga segala doanya dimakbulkan Allah.

Rasulullah bersabda, ertinya : “Ada tiga golongan orang yang tidak ditolak doa mereka: Orang yang berpuasa hingga berbuka, pemimpin yang adil, dan doa orang yang dizalimi.” (Hadis riwayat Tirmidzi).

Mendidik Keinginan Ke Arah Kebaikan.

Puasa mendidik seseorang untuk memiliki keinginan kepada kebaikan, meskipun menghadapi pelbagai rintangan. Puasa yang dikerjakan secara terbaik akan membuatkan seseorang itu terus mempertahankan keinginannya yang baik.

Rasulullah menyatakan bahawa puasa itu setengah daripada kesabaran. Rasulullah bersabda, maksudnya: “Puasa itu sebagai benteng (daripada serangan keburukan).”

Dalam kaitan ini, puasa akan menjadikan rohani seorang Muslim semakin ampuh. Kekuatan rohani unggul ini akan membuatkan seseorang itu tidak akan lupa diri meskipun sudah mencapai kejayaan atau kenikmatan duniawi. Kekuatan rohani juga akan membuat seorang Muslim tidak akan berputus asa meskipun penderitaan yang dialami sangat sulit.

Menyihatkan Badan

Di samping kesihatan dan kekuatan rohani, puasa memberikan pengaruh positif berupa kesihatan jasmani (tubuh dan anggota badan). Hal ini tidak hanya dinyatakan oleh Rasulullah, malah dibuktikan oleh doktor atau ahli perubatan.

Mengenal Nilai Kenikmatan Dan Bersyukur

Dalam hidup ini, sebenarnya terlalu banyak kenikmatan diberikan oleh Allah kepada manusia, tetapi ramai yang tidak mensyukurinya. Dapat satu tidak terasa nikmat kerana menginginkan dua. Dapat dua tidak terasa nikmat kerana menginginkan tiga dan begitulah seterusnya.

Maka, dengan puasa manusia bukan hanya disuruh memperhatikan dan merenungi kenikmatan yang diperoleh, malah diminta merenung nikmat Allah kepada kita.

Di sinilah, pentingnya puasa bagi mendidik untuk menyedari betapa tingginya nilai kenikmatan yang Allah berikan supaya kita menjadi orang yang pandai bersyukur dan tidak mengecilkan erti kenikmatan daripada Allah. Rasa syukur memang akan membuat nikmat itu bertambah banyak, baik dari segi jumlah atau paling tidak dari segi rasanya.

Allah berfirman bermaksud : “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.” (Surah Ibrahim, ayat 7).

Mengingati Dan Merasakan Penderitaan Orang Lain

Berlapar dan dahaga memberikan pengalaman bagaimana beratnya penderitaan yang dirasakan orang lain. Pengalaman berlapar dan haus itu akan segera berakhir hanya dengan beberapa jam (lebih kurang 12 atau 13 jam), sementara penderitaan orang lain entah bila berakhir. Dari sini puasa akan melahir dan memantapkan rasa simpati kita kepada kaum Muslimin lainnya yang hidup dalam kemiskinan dan menderita.

Oleh kerana itu, sebagai simbol dari rasa simpati itu, sebelum Ramadan berakhir, kita diwajibkan untuk menunaikan zakat (fitrah). Ini supaya dengan itu setahap demi setahap kita mampu mengatasi persoalan umat yang menderita. Bahkan, zakat tidak hanya bagi kepentingan orang miskin dan menderita, malah menghilangkan kekotoran jiwa berkaitan harta seperti gila harta dan kikir.

Allah berfirman bermaksud : “Ambillah zakat daripada sebahagian harta mereka, dengan zakat itu kamu membersih dan menyucikan mereka dan berdoalah untuk mereka. Sesungguhnya doa kamu itu (menjadi) ketenteraman jiwa bagi mereka. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Surah at Taubah, ayat 103)

Saturday, September 6, 2008

Kuliah Subuh MB Perak

Subuh tadi saya bergegas ke Masjid Raja Nazrin Shah di Kg Rapat Jaya Tambahan, Ipoh setelah mendapat sms mengatakan Menteri Besar Perak, Dato Seri Ir Mohammad Nizar Jamaludin akan memberikan kuliah subuh di masjid tersebut.

Hampir tiga suku masjid dipenuhi jemaah yang menunaikan solat subuh bersama MB. Setelah selesai solat subuh, MB memberikan kuliah subuhnya dengan penekanan keatas puasa dan solat.

Menurutnya, didalam Al-Quran, hanya ada satu ayat sahaja daripada 6 ribu lebih ayat yang mewajibkan berpuasa. Namun begitu, seluruh umat Islam sedunia amat patuh dan taat malah begitu menjaga sekali puasa mereka berbanding dengan solat yang terdapat banyak ayat tentangnya namun masih banyak umat yang ingkar mengerjakannya.

Beliau juga dengan rendah diri mengaku amat sukar untuk berhadapan dengan Allah Taala kelak diakhirat apabila ditanya tentang solat rakyat Perak yang dibawah pimpinannya. Atas kesedaran itu, beliau cuba mengembangkan pemahaman tentang betapa pentingnya solat di dalam kehidupan serta betapa besarnya peranan pemimpin dalam mengajak orang bawahan mereka untuk menegakkan solat.

Kalau kita perhatikan batang tubuhnya sebagai penceramah Pas yang biasa, kita tidak akan terasa keistimewaannya. Tetapi, apabila yang berdiri dihadapan kita itu memberikan kuliah subuh adalah seorang Menteri Besar sebuah kerajaan negeri, keistimewaannya amat terasa. Ini kerana menteri besar yang lepas-lepas seingat saya tidak pernah pun memberikan apa-apa kuliah apatah lagi kuliah subuh seperti ini.

Laporan selanjutnya ada di blog Alhusseyn.



MB menyampaikan kuliah subuh.


Para jemaah kusyuk mendengar.



Jemaah bersalaman dengan MB selesai kuliah.

Pengendali blog tersengeh menumpang semangkuk.


Ketua-ketua kampung bergambar bersama MB. Dari kiri: Haji Wahid (Kg Rapat Jaya Tambahan), Sdr Ahmad Osman (Kg Melayu Sg Rapat), MB, Cikgu Ali @ Alhusseyn (Kg Sg Rokam) dan Ahmad Wardi (Kg Rapat Jaya)

Bandung, Indonesia

Selamat datang ke kota Bandung, Indonesia. Begitulah kata-kata aluan yang menyambut tetamu dan pelancong yang membanjiri kota itu untuk membeli-belah dan menjamu mata.
Minggu lepas, adik saya serta teman-teman bercuti ke Bandung, Indonesia. Pesan saya, ambilkan gambar-gambar menarik untuk blog saya.

Inilah koleksi gambar-gambar yang diambil semasa disana. Saya bahagikan kepada dua bahagian. Suka dan Duka.

Mari kita menikmati pemandangan dari lensa kamera tentang kehidupan di kota Bandung, Indonesia yang kini menjadi salah satu lokasi tarikan pelancong terutamanya dari Malaysia untuk membeli belah.

Tidak kurang menariknya senario dan suasana kedaifan masyarakat kota ini yang terlindung oleh kepesatan pusat membeli belah dan juga tarikan pelancungan yang lain.

Sila layari http://www.bandungtourism.com/ untuk keterangan lanjut tentang Bandung, Indonesia.


Tangkuban Parahu, Kolam Gunung Berapi



Kolam air panas.


Restoran makanan Padang. Jangan terkejut. Sop buntut itu adalah sup ekor...


Jagung bakar yang ditabur dengan keju hiris.






Kedaifan yang menghambat kehidupan masyarakat di sini.




Selamat tinggal kota Bandung. Semoga kisah duka bisa bercantum kedalam kisah suka dan masyarakat kebanyakannya bisa merasa apa itu erti merdeka.

Friday, September 5, 2008

Menanti Sinar 16 Sept



Semalam saya ada menerima sms yang berbunyi :

15 Sept, 6.15 petang - Dato Seri Anwar Ibrahim mengadap DYMM Agong.
15 Sept, 9.20 malam - Dato Seri Anwar Ibrahim mohon restu Agong.
16 Sept, 10.00 pagi - Dato Seri Anwar Ibrahim angkat sumpah sebagai Perdana Menteri.

Cantik sungguh susunan tatacara yang diatur. Benar atau tidak...Wallahualam.
Sama-samalah kita nantikan.

Thursday, September 4, 2008

Pak Samad Ismail meninggal dunia


Tokoh Kewartawanan Negara Tan Sri Abdul Samad Ismail meninggal dunia kira-kira 5.58 petang tadi di Pusat Perubatan Pantai selepas menghadapi jangkitan paru-paru penghujung bulan lalu.

Kesihatan keadaan allahyarham semakin merosot hari ini, dengan buah pinggangnya sangat lemah, kata anaknya Nuraina.

"Keadaannya tidak bagus langsung, walaupun mesin dialisis sudah dipasang ia tidak menunjukkan perubahan.

"Malah doktor memberitahu buah pinggang ayah sangat lemah ketika ini dan hari ini doktor akan melakukan dialisis lagi untuk melihat perkembangan seterusnya," katanya tengah hari tadi.

Abdul Samad, 84, yang lebih dikenali sebagai Pak Samad, dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Pusat Perubatan Pantai pada 25 Ogos lalu akibat jangkitan paru-paru.

Keadaan kesihatan beliau, yang juga mesra dengan panggilan Pak Samad, menunjukkan kemajuan pada peringkat awal sebelum kembali tenat sejak Sabtu lepas setelah masalah jangkitan paru-parunya merebak ke organ lain.

Jenazah beliau akan disemadikan di perkuburan Islam Bukit Kiara selepas solat Jumaat, esok.

Pak Samad, dilahirkan di Geylang, Singapura pada 18 April 1924. Beliau menamatkan persekolahan Senior Cambridge pada 1940.

Pak Samad mula menempuh alam pekerjaan dengan Utusan Melayu ketika berusia 16 tahun, kemudian sebagai pengarang Berita Malai (1944) pada zaman Jepun sewaktu berusia 20 tahun.

Pada 1946, beliau dilantik sebagai penolong pengarang, Utusan Melayu. Beliau juga pernah bertugas sebagai wakil Utusan Melayu di Jakarta.

Pada 1959, Pak Samad dilantik sebagai pengarang pertama akhbar Berita Harian, sebelum menjadi pengarang urusan bagi kumpulan akhbar The New Straits Times (1974).

Pada 1984, Pak Samad dilantik sebagai penasihat jabatan pengarang bagi kumpulan akhbar berkenaan sehingga beliau bersara pada 1988.

Pak Samad aktif dalam pergerakan politik. Pada 1947, bersama-sama Abdul Aziz Ishak, beliau menubuhkan Gerakan Angkatan Muda (Geram). Penubuhan itu menjadi anggota Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA) bawah pimpinan Dr Buhanuddin Al-Helmi dan All-Malayan Council of Joint Action (AMCJA) di bawah pimpinan Tan Cheng Lock.

Pak Samad juga terbabit dalaqm pakatan Anti-British League bersama-sama PB Sharma, JJ Putucheary, Devan Nair dan John Eber.

Beliau pernah ditangkap dua kali di Singapura oleh pemerintah British (1946 dan 1951). Ekoran daripada Peristiwa Natrah pada 1951, beliau dipenjarakan di Pulau Sekinchan kerana dituduh sebagai penghasut yang menyebabkan peristiwa perkauman.

Pada 1976, Pak Samad ditangkap lagi, tetapi kali ini oleh kerajaan Malaysia, di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana dituduh bersimpati dengan komunis.

Beliau dibebaskan pada 1981 oleh pentadbiran Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad yang mengambil alih pentadbiran daripada Tun Hussein Onn (yang memenjarakan Pak Samad).

Pak Samad turut menyertai rombongan "Malaysia Merdeka" yang pertama ke London (1953). Pembabitan Pak Samad dalam politik secara aktif bermula pada pertengahan dekad 1950-an apabila beliau turut terbabit dalam penubuhan Parti Tindakan Rakyat (PAP) di Singapura pada 1954.

Beliau kemudian menyertai dan memimpin Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Umno) Singapura pada 1958.

Pak Samad menceburi bidang penulisan kreatif sejak zaman pemerintahan Jepun. Cerpen ciptaan awalnya terkumpul dalam antologi seperti Mekar dan Segar (1959) dan Karangan Bunga Dari Selatan (1963).

Cerpen yang ditulis pada dekad 1960-an dan belum pernah tersiar sebelum itu, akhirnya dikumpulkan dalam dua kumpulan persendiriannya yang berjudul Temasya Tinta (1967) dan Mastura (1967).

Antara 1966 hingga 1975, Pak Samad menghasilkan 11 buah novel dan empat buku bimbingan penulis dan wartawan. Antara novel yang dihasilkannya ialah Patah Sayap Terbang Jua (1966), Tembok Tidak Tinggi (1967), Kail Panjang Sejengkal (1967), Detik-Detik Cemas (1969), Hussen Zet (1960) dan Sutinah (1975).

Buku lain termasuklah Mengasah Bakat (1966), Kursus Wartawan (1966), Bimbingan Penulis (1967) dan Memoir A Samad Ismail di Singapura (1993).

Sebagai seorang aktivis bahasa dan budaya, Samad turut menyarankan peningkatan penggunaan bahasa Melayu dan di kemuncak perjuangannya, beliau menyokong penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang mula dicetuskan pada 1968.

Selaras dengan perjuangannya dalam bidang sastera, beliau menjadi pengasas Angkatan Sastewawan 50 (Asas 50) di Singapura dan Persatuan Penulis Nasional (Pena) di Kuala Lumpur.

Pada 1971, Pak Samad dilantik sebagai ahli panel Hadiah Karya Sastera anjuran kerajaan. Pada 1974, Pak Samad menerima Anugerah Ramon Magsaysay.

Pada 1976, Kerajaan Malaysia menganugerahkan Hadiah Pejuang Sastera kepada Pak Samad di atas jasa dan sumbangannya dalam bidang penulisan.

Pada 1987, beliau dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah oleh UKM, sementara Institut Akhbar Malaysia (IAM) memberikannya gelaran Tokoh Wartawan Negara.

Tan Sri Samad dilantik sebagai Karyawan Tamu selama dua tahun di UKM (1991-1993). Kemudian mulai Oktober 1993, beliau menjadi Karyawan Tamu di Jabatan Penulisan Universiti Malaya.

Sejak 1992, Pak Samad dilantik sbeagai pengerusi Panel Menggubal Dasar Komunikasi Negara. Pada tahun itu beliau dianugerahi darjah kebesaran daripada Yang di-Pertuan Agong yang membawa gelaran Tan Sri.

Ramadhan: Bulan menambah kebaikan



RAMADAN adalah bulan yang ditunggu-tunggu oleh orang soleh. Bulan yang disebut oleh Rasulullah sebagai bulan umatku, satu-satunya umat yang dikurniakan dengan bulan mulia dalam sejarah kewujudan manusia.

Kaum nabi terdahulu tidak pernah dikurnia Allah dengan mana-mana bulan mulia. Bukan saja Ramadan itu, mengandungi seribu rahmat, malah menunggu-nunggu datangnya pun adalah rahmat Ilahi. Ini seperti sabda Rasulullah, maksudnya: "Sesiapa yang bergembira dengan datangnya Ramadan, Allah akan mengharamkan jasadnya daripada api neraka." (Hadis riwayat Ibn Majah).

Sebagai mana pintu syurga dibuka pada Ramadan, pintu keberkatan, kebaikan, pintu kasih-sayang, kemaafan, hidayah dan petunjuk juga terbuka. Pintu neraka tertutup rapat, sebagaimana jalan ke neraka juga tersekat. Jalan ke syurga terbentang luas, hingga Rasulullah sendiri menjelaskan dalam sabdanya: "Tidur orang yang berpuasa pada bulan puasa adalah ibadat, diamnya adalah tasbih, manakala ibadatnya dilipatgandakan pahalanya oleh Allah."

Ramadan adalah bulan kerehatan dan kelapangan daripada segala hiruk pikuk dan kesibukan dunia. Bulan kita berhenti sebentar daripada keserabutan kejar-mengejar di pentas dunia, untuk melihat ke dalam diri sendiri terhadap cebis iman yang masih tinggal serta dosa pahala yang pernah diperbuat selama setahun. Justeru, kita dianjurkan agar meningkatkan keimanan.

Keempat-empat komponen kewujudan manusia hendaklah diperkukuhkan dengan neraca iman. Tubuh badan bertambah taat, roh makin bercahaya, akal penuh bijaksana dan nafsu bak air tasik tenang tidak berkocak.

Berhenti sebentar berfikir dengan rasional status perhubungan kita dengan Allah selama ini, ketaatan kepada Rasulullah serta apa yang dibuat untuk agama, bangsa, negara, ibu bapa, keluarga, jiran tetangga dan diri sendiri?

Rasulullah bersabda: "Sesiapa saja yang berpuasa pada Ramadan dengan penuh iman dan menghisab diri sendiri akan diampunkan dosanya yang lalu." (Hadis riwayat Imam Muslim).

Bagi mereka yang mencari kebaikan Ramadan, pelbagai peluang diberikan. Malah, bagi mereka yang belum mampu mengerjakan haji, sama ada kerana masalah kewangan, kekurangan ilmu atau belum dapat kuota mengerjakannya, dia boleh saja sekurang-kurang mengerjakan umrah pada Ramadan.

Seperti kisah yang diceritakan Ibnu Abbas bahawa Rasulullah pernah bertanya kepada seorang wanita dari kaum Ansar, baginda bersabda: "Apakah yang menghalang kamu daripada mengerjakan ibadat haji bersamaku."

Wanita itu menjawab: Sebenarnya tidak ada halangan bagi kami, cuma kami hanya mempunyai dua unta. Suami dan anakku sudah pergi mengerjakan haji dengan seekor unta. Tinggallah kepada kami seekor unta untuk mengangkat air.

Rasulullah bersabda: "Apabila tiba Ramadan pergilah mengerjakan umrah kerana mengerjakan umrah pada bulan itu pahalanya sama dengan pahala mengerjakan haji." (Hadis riwayat Imam Muslim).

Begitu juga pada malam Ramadan, peluang terbuka luas untuk menghidupkan malamnya dengan mendirikan solat Tarawih, Saidina Abu Hurairah ada menjelaskan bahawa Rasulullah bersabda: "Sesiapa yang mendirikan sembahyang malam pada Ramadan kerana keimanan (kepada Allah) dan mengharapkan keredaan Allah semata-mata, maka diampunkan segala dosanya yang lalu." (Hadis riwayat Imam Muslim).

Namun ada juga orang yang terlampau-lampau dalam mengaut pahala Ramadan hingga mengganggu orang lain. Golongan itu memerangkap atau memaksa orang lain turut dalam apa yang hendak diperbuatnya, tanpa memikir bahawa setiap orang ada hak masing-masing yang haram diganggu.

Contohnya, ada jawatankuasa surau atau masjid yang menghentikan solat pada pertengahannya dengan memberi laluan kepada tazkirah, kononnya supaya orang mendapat ilmu. Tetapi, sebenarnya adalah paksaan yang mengandungi agenda tidak baik yang tersirat dalamnya. Buatlah tazkirah selepas selesai solat atau pada waktu lain. Mengapa perlu pada pertengahan Tarawih?

Jika ia baik, tentu cara yang sama dilakukan oleh Rasulullah, setidak-tidaknya pada zaman sahabat atau oleh ulama muktabar.

Ramadan walaupun bulan kerehatan, ia bukanlah bulan untuk bermalas-malasan, menjadikan orang Islam tidak produktif atau menjadikan alasan berpuasa untuk tidak membereskan sebarang pekerjaan.

Sepatutnya pada Ramadan, umat Islam bertambah cergas, kuat kerja, aktif dan lebih kuat semangat. Ini kerana setiap tanggungjawab yang dibereskan pasti mendapat ganjaran berlipat ganda.

Ramadan juga adalah bulan kemurahan, murah hati dengan mengeluarkan zakat dan sedekah. Namun, Ramadan bukan bulan pembaziran dan menambah daya nafsu serakah. Bulan ini kita berkongsi kebaikan, pahala dan keberkatannya. Jangan sampai dikatakan orang awak sajakah yang hendak buat pahala? Ini pernah berlaku seorang yang mengaji al-Quran dengan pembesar suara masjid dihidupkan, sampai dinihari masih belum berhenti. Jiran tidak boleh tidur, sedangkan esok semua orang hendak bekerja, yang tidur siang dia seorang.

Kerajaan Negeri Perak kembalikan bantuan RM1.3juta kepada SAR


IPOH, 3 Sep (Hrkh) - Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Perak akan mengembalikan semula bantuan berjumlah RM1.3juta kepada 18 buah sekolah Agama Rakyat di Negeri Perak bagi tahun 2008 ini.

"Bantuan kepada sekolah agama rakyat telah dinafikan oleh kerajaan BN/Umno yang memerintah Perak dahulu sejak pentadbiran Tun Mahathir lagi tetapi kini dibawah pentadbiran Kerajaan Pakatan Rakyat, bantuan tersebut telah diberikan semula.

"Bantuan tersebut akan diagih-agihkan dalam bulan Ramadan, sedikit masa lagi," kata Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Perak, Ustaz Misbahul Munir bin Masduki
Terdapat 9 buah Sekolah Menengah Agama Rakyat dan 9 buah lagi Sekolan Agama Rendah yang menjadikan jumlah keseluruhannya 18 buah.

Menurut beliau, Kerajaan Pakatan Rakyat sangat prihatin dan mengambil berat untuk menyelesaikan masalah yang telah dicipta oleh kerajaan BN/Umno sebelum ini.

"Merekalah yang menyekat bantuan kepada Sekolah Agama Rakyat dahulu hingga menimbulkan masalah dan kerumitan kepada sekolah dan juga para guru yang bertugas di Sekolah-Sekolah Rakyat," jelas Misbah.

Beliau melahirkan rasa kesal apabila Umno mahu menunjukan rasa prihatinnya terhadap Sekolah Agama Rakyat yang mana sebelum ini merekalah yang menjadi `penghalang' dan menindas Sekolah Agama Rakyat dengan menafikan pemberian per kapita tersebut.

Laporan Bernama melaporkan tentang desakan Pergerakan Pemuda Umno, Zainol Fadzi supaya Menteri Besar Perak Dato Seri Mohammad Nizar Jamaluddin turut memberikan lot tanah kepada Sekolah Agama Rakyat milik persendiran dan Sekolah Agama Pondok dalam usaha memaju dan memartabatkan agama Islam di Perak.

Misbah memberitahu Kerajaan negeri menyedari bahawa pemberian RM30,000 setahun kepada 9 buah sekolah Cina itu(bukan setiap satu sekolah sebagaimana laporan tersebut) adalah tidak memadai.

Oleh itu sebagai langkah jangka panjang, kerajaan negeri memutuskan untuk memberikan tanah kepada sekolah tersebut bagi membolehkan mereka menubuhkan sebuah syarikat untuk mengusahakan tanah berkenaan," katanya.

Mengikut sumber yang boleh dipercayai, tanah tersebut akan diusahakan dengan tanaman Kelapa sawit dimana dalam jangka masa lima tahun akan memulakan pengeluaran hasil, maka bantuan RM30,000 setahun itu akan diberhentikan.

Misbah juga turut menjelaskan bahawa pemberian 400 hektar tanah kepada sembilan buah sekolah menengah persendirian Cina di Perak itu adalah atas tempoh pajakan selama 30 tahun.

"Projek seumpana ini telah lama dilaksanakan oleh Kerajaan Kelantan dimana kerajaan Kelantan telah memperuntukan 3,000 hektar tanah untuk sekolah-sekolah Cina di sana," katanya

"Kerajaan Pakatan Rakyat mahu bersikap adil kepada semua sekolah-sekolah di Negeri Perak ini, bukan macam Umno/BN yang sehingga kini gambar Menteri Besar dari Pakatan Rakyat di lima buah negeri pun tidak dibolehkan digantung dibilik-bilik darjah sekolah-sekolah kerajaan Pusat," ujarnya.

Menurut Misbah lagi, Kerajaan Pakatan Rakyat juga sedang mengenal pasti tanah untuk Sekolah-Sekolah Agama Rakyat bagi tujuan yang sama dan akan di umumkan sedikit masa lagi.

Wednesday, September 3, 2008

Majlis Perasmian Berbuka Puasa dan Tarawikh di Dataran MBI


InsyaAllah, pada 4 Ramadhan1429H / 4 Sept 2008 (Khamis), bermula jam 6.30 petang, Kerajaan Negeri Perak akan mengadakan Majlis Perasmian Berbuka Puasa, Solat Terawih dan Tazkirah di Dataran MBI.
Majlis Perasmian ini akan meliputi sembahyang Terawih dan Tazkirah yang akan dipimpin oleh Menteri Besar Perak, Dato Ir Mohamad Nizar Jamaluddin sendiri.
Jamuan untuk berbuka turut disediakan.
Semua di jemput hadir.

Monday, September 1, 2008

Siri Pantun Ramadhan

HMS Abu Bakar ataupun Haji Mohammed Salleh Bin Abu Bakar ada mengirimkan kepada saya satu envelop besar yang berisi koleksi pantun dan puisi beliau untuk saya siarkan diblog ini.

Dengan penuh rasa hormat saya berterima kasih kepada beliau kerana kirimannya itu dan saya telahpun sediakan suatu ruang disebelah kanan blog untuk menyiarkan kesemua pantun dan puisi kirimannya. Insya-Allah.

Buat masa sekarang, saya siarkan siri pantun ramadhan beliau untuk tatapan dan bacaan kita semua. Koleksi yang lainnya akan menyusul kemudian.

Berikut adalah ucapan sekapur sirih yang beliau titipkan:

'Saya bersyukur kepada Allah s.w.t. kerana dapat menghasilkan Koleksi Pantun Ramadhan 1429 Hijriah sebelum akhir bulan Rejab.
Dikesempatan ini saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada hamba Allah yang membantu menjayakan koleksi ini. Semoga setiap malam sebelum tazkirah diadakan ditempat anda pantun ini boleh dideklamasikan oleh AJK surau atau masjid.'
Tanam padi dalam sawah
Tanam pula disiang hari
Sambil berpantun sambil berdakwah
Semoga iman menghiasi diri
HMS Abu Bakar
26 Rejab 1429 Hijiriah
{29-7-2008}
Taman Meru, Ipoh

Followers