Saturday, November 2, 2013

Pemuda Pas Perak perlu memilih antara Tarbiyyah atau Mendepani Isu


Esok, Pemuda Pas Perak akan membuat pilihan untuk memilih pucuk pimpinan mereka bagi sesi yang baru.

Pemilihan yang akan diadakan di Hotel Tower Regency, Ipoh itu bakal menyaksikan pertembungan yang panas apabila secara jelas dua kumpulan bertembung untuk merebut jawatan tertinggi Dewan Pemuda Pas Perak. 

Penyandang Ketua Pemuda, Ustaz Ahmad Zawawi Abu Hassan yang juga Adun Gunung Semanggol dicabar oleh Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss yang sebelum ini merupakan timbalan beliau. 

Bagi jawatan Timbalan Ketua Pemuda pula, dua muka baru akan berentap setelah jawatan tersebut tidak dipertahankan oleh Dr Raja Ahmad Iskandar. Salman Saleh, bekas Setiausaha akan bersaing dengan Ustaz Akmal Kamaruddin bagi merebut kedudukan tersebut.

Manakala jawatan Naib Ketua Pemuda pula, penyandangnya Ustaz Ahmad Khairie Jamaluddin akan mempertahankannya menentang Ustaz Nazri Din. 

Kempen pertandingan ini dapat dilihat di media-media sosial terutamanya Facebook dengan gabungan Dr Raja Ahmad Islandar, Salman Saleh dan juga Nazri Din menaikkan gambar-gambar lama mereka memberikan sidang media dan menghulurkan bantuan kepada rakyat. 

Team ini membawa tagline 'Mendepani Isu' di dalam poster-poster kempen mereka.

Manakala team penyandang, YB Ustaz Ahmad Zawawi dan Ustaz Ahmad Khairie bersama-sama dengan Ustaz Akmal Kamaruddin lebih memperkatakan mengenai Tarbiyyah ahli. 

"Pemuda perlu dibentuk dengan tarbiyyah, sesuai dengan Islam sebagai dasar parti. Bukannya membicarakan isu-isu semata. Pemuda bukan perlu dirai sentiasa, tapi mesti selalu dipimpin dengan agenda agama" kata seorang pemuda kepada saya.

Saya bukanlah salah seorang daripada perwakilan Dewan Pemuda Pas Perak yang akan memilih pemimpin yang akan mewarnai halatuju pemuda. 

Dan bukanlah niat saya untuk mempengaruhi para perwakilan kerana saya percaya mereka adalah insan yang matang serta tentu sekali telahpun membuat pemilihan mereka di dalam hati sebelum menterjemahkannya ke kertas undi esok pagi. 

Buat yang bertanding, terimalah apa jua keputusan yang akan dibuat para perwakilan esok. Anda semua memang layak untuk bertanding, tetapi yang terpilih sahaja yang akan memimpin. 

Setelah selesai nanti, rapatkanlah saf kembali, bekerjalah kerana Allah, bukan yang lain.

Saya ingin ucapkan salam takziah buat siapa jua, yang telah dipilih sebagai pemimpin Dewan Pemuda Pas Perak esok kerana amanah yang dipikulkan ke bahu anda itu tentunya amatlah berat dan akan dipersaksikan dihadapan Allah Taala nanti. 

Selamat bermuktamar dan memilih pemimpin buat semua perwakilan Dewan  Pemuda Pas Perak. 



2 comments:

Anonymous said...

Takkanlah kelompok tiga orang ini sahaja yang mendapat tarbiyah PAS selama ini? Tanpa mereka pemuda PAS akan kehilangan sumber tarbiyah ke? Biarlah misi dan visi diperjelaskan bukan main samar-samar sahaja

ANAKSENGAT' ( aku tak rela diperdaya umNO) said...

Hanya yg biasa menghadiri tarbiah mengenali erti tarbiah

Followers