Sunday, February 12, 2012

Kajian: PAS lebih dipercayai jaga agama berbanding Umno


Penulis TamuOleh: Mat Zain Mat Isa

Setiausaha Politik kepada Presiden PAS, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar baru-baru ini ke Terengganu membentangkhttp://pinkturtle2.files.wordpress.com/2009/03/pas23.jpgan beberapa dapatan kajian berhubung persepsi pengundi terhadap parti itu, khususnya di negeri itu sendiri. Menurutnya, fakta dan angka diberikannya itu adalah sebagai rumusan kepada kajian lima pihak berasingan dalam tempoh berbeza.

Dua daripada lima pihak dimaksudkan itu ada hubungkait secara langsung dengan PAS. Salah satunya ialah Kelab Anak-Anak Terengganu Penyokong PAS di Perantauan (Perantau), yang mana beliau sendiri turut terlibat. Manakala satu pihak lagi ialah Jabatan Pilihan Raya Negeri (JPN), salah satu unit ditubuhkan PAS sendiri di setiap negeri.

Kajian telah dibuat di seluruh Terengganu selama tiga tahun, antara 2009 hingga 2011. Kedua-dua pihak ini mensasarkan khalayak pengundi yang telah dikenalpasti sebagai 'atas pagar', 'condong kepada PAS' dan 'condong kepada Barisan Nasional (BN)' sebagai responden. Dalam istilah yang biasa disebut para pendukung parti itu, mereka ini ialah golongan 'A, C dan E', yakni yang tidak ada pendirian pasti dalam politik.

Tiga badan lain yang turut dirujuk hasil kajian mereka ialah Merdeka Center, sebuah badan penyelidikan politik dan sosial yang terkemuka dalam negara ini. Badan ini sangat aktif dan senantiasa melakukan kajian demi kajian secara berterusan. Ada pun yang dirujuk untuk tujuan pembentangan ini ialah dalam julat Mac 2008 hingga Disember 2011 sahaja.

Turut dirujuk ialah hasil kajian oleh Muslim Youth Survey 2011. Manakala sebuah badan atau pihak lain sekadar disebutkan sebagai Agensi Bebas. Berbeza dengan dua pihak terdahulu, ketiga-tiga pihak ini memilih responden dari khalayak berbagai status pendirian politik, latar belakang sosial dan sebagainya.

Rumusan daripada hasil kajian kelima-lima pihak ini menampakkan betapa PAS Terengganu sebenarnya ada kekuatan dan peluang untuk dimanfaatkan demi mencipta kejayaan dalam Pilihan Raya Umum nanti. Wujud persepsi amat positif terhadap PAS dalam beberapa aspek tertentu, walau pun kelemahan dan ancaman juga turut ada.

Salah satu persoalan dilontarkan kepada responden umum ialah berhubung apakah yang paling dikehendaki oleh rakyat dari sebuah kerajaan. Urutan butiran yang mendapat undian tertinggi ialah menyediakan peluang pekerjaan, menurunkan harga barang keperluan, memberi wang ehsan, program kerohanian, pembangunan fizikal dan hiburan.

Dua butiran tertinggi itu sebenarnya ancaman buat BN, sekaligus peluang bagi PAS. Walau pun dalam dapatan berasingan turut dinyatakan betapa responden lebih percayakan BN untuk menyediakan peluang kerja berbanding PAS, namun apabila ia masih kekal sebagai harapan tertinggi rakyat terhadap kerajaan, bermakna masalah peluang kerja masih membelenggu mereka. Dalam ertikata lain, ia masih belum berjaya diselesaikan BN.

Begitu juga soal kenaikan harga baranag keperluan yang sejak sekian lama memang menjadi ratib pilu di kalangan masyarakat. Akronim BN sebagai 'Barang Naik' masih kekal meniti di bibir rakyat, menandakan betapa rakyat mensinonimkan parti itu dengan kenaikan harga barang keperluan mereka.

Menariknya, apabila soalan sama diajukan kepada responden khusus dari golongan muda, mereka meluahkan harapan berbeza terhadap sebuah kerajaan. Selama ini rupa-rupanya kita dipesongkan fakta, terutama oleh parti pemerintah, kononnya yang paling diperlukan anak-anak muda ialah sukan dan hiburan, selain peluang pekerjaan.

Percaya atau tidak, kajian tadi mendapati program kerohanian sebenarnya yang menjadi pilihan utama mereka, diikuti peluang pekerjaan. Manakala perkara paling tidak popular di kalangan mereka ialah rekreasi dan sukan serta hiburan.

Ertinya, yang paling dikehendaki anak-anak muda kini ialah program keagamaan, khususnya yang memaut mereka dan masyarakat kepada Islam. Jika benar sikap golongan muda ini bagai diperolehi kajian itu, bermakna ia suatu peluang yang mampu ditukar oleh PAS menjadi kekuatan.

Beberapa dapatan lain memberikan kelebihan kepada PAS, berbanding Umno dalam memenuhi kebutuhan rakyat ini, khususnya di kalangan golongan muda. Pertama, ceramah umum masih menjadi kaedah kempen paling popular di kalangan pengundi dengan 57% meminati pendekatan itu berbanding kempen rumah ke rumah atau pengedaran risalah.

Manakala majoriti responden yang memilih ceramah umum sebagai medan maklumat mengenali parti-parti ialah kalangan muda bawah 30 tahun. Hakikat ini sudah tentu lebih menguntungkan PAS, memandangkan yang lebih menguasai pentas ceramah umum ialah parti itu.

Responden turut ditanya mengenai gejala sosial dan kadar jenayah. Sekali lagi apabila diminta membandingkan antara pemerintahan PAS dengan BN, jawaban diberikan responden menunjukkan kekuatan buat PAS.

Majoriti responden mengakui wujud perbezaan ketara antara dua zaman itu. Zaman pemerintahan PAS dikaitkan dengan kemerosotan kadar jenayah dan kes-kes sosial. Sebaliknya, di zaman BN mengambil alih semula kini dikatakan menyaksikan peningkatan.

Persepsi ini sebenarnya peluang lagi bagi PAS. Lebih-lebih lagi apabila majoriti responden juga mengakui betapa jalan penyelesaian terbaik kepada permasalahan sosial dan jenayah yang semakin meningkat di Terengganu kini ialah dengan mengemukakan penyelesaian Islam.

Lebih memberikan kelebihan kepada PAS ialah apabila sudah ada persepsi di kalangan anggota masyarakat bahawa parti itu lebih Islam atau lebih memperjuangkan Islam berbanding BN, khususnya Umno. Justeru, dalam konteks menjaga kedaulatan dan ketinggian agama, mereka lebih mengharapkan PAS berbanding kerajaan yang ada.

Sumber: DetikDaily

No comments:

Followers