Friday, June 5, 2009

Komponen Pakatan setuju konsep kerajaan perpaduan - TGH Hadi



SHAH ALAM: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sekali lagi menegaskan bahawa konsep kerajaan perpaduan yang disyorkannya merupakan penyelesaian terbaik untuk pembangunan negara.

Beliau berkata, gabungan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP dalam Pakatan Rakyat menerima cadangan tersebut untuk membentuk kerajaan perpaduan.

"Ya, mereka menerima cadangan saya, sebelum saya mengemukakan kepada umum, saya terlebih dahulu memaklumkan kepada rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat dan mereka menerima cadangan itu... terima demi kebaikan negara," katanya dalam sidang media selepas majlis perasmian Muktamar Tahunan PAS ke-55 di sini hari ini.

Bagaimanapun jelasnya, cadangan pembentukan kerajaan perpaduan tersebut perlu difahami secara terpeinci sebelum dapat dilaksanakan untuk kebaikan semua pihak yang pada hari ini mempunyai tahap perpaduan yang rapuh.

"Gagasan yang saya cadangkan itu bukan sahaja merapatkan rakyat tapi termasuklah merapatkan parti-parti politik supaya berbeza pendapat, tetapi tidak berkelahi dalam sebuah negara," katanya.

Ditanya sama ada dasar kerajaan perpaduan tersebut akan dilasanakan dalam konteks politik akan datang, beliau berkata, perkara tersebut bergantung kepada respons parti-parti politik.

"Respons sahaja tidak cukup kerana perkara tersebut perlu diperhalusikan dengan perbincangan yang lebih mendalam.

"Saya juga percaya bahawa ini adalah penyelesaian untuk menyelesaikan masalah negara," katanya.

Hadi sebelum ini pernah mengesyorkan agar Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat membentuk kerajaan perpaduan.

Bagaimanapun candangan Hadi agar diwujudkan kerajaan perpaduan juga pernah ditentang oleh Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Syor kerajaan perpaduan yang dicetuskan Hadi ini dianggap oleh sesetengah pihak sebagai satu pendekatan 'politik damai' bagi mengelak kemelut politik berpanjangan yang merugikan negara dan menjejaskan keamanan.

Sementara itu ketika diminta mengulas sama ada PAS mahu jawatan Perdana Menteri diberikan kepada parti itu sekiranya Pakatan Rakyat berjaya membawa perubahan besar semasa pilihan raya umum akan datang, beliau berkata, PAS sememangnya telah bersedia untuk memimpin perubahan dan memikul amanah kepimpinan negara dalam sesebuah masyarakat majmuk.

Jelasnya, pada dasarnya semua pihak dalam Pakatan Rakyat mempunyai tanggungjawab bersama untuk membangunkan negara.

"Saya tegaskan bahawa kita mempunyai tanggungjawab bersama untuk menangani krisis dalam negara.

"Yang penting ialah prinsip dan kerjasama, bukan pertahankan orang, kita perlu tegakkan keadilan untuk semua," katanya.

Oleh yang demikian katanya, PAS mahu memperkenalkan Islam sebagai cara untuk menyelesaikan masalah dalam pelbagai aspek.

"Tidak semestinya kita memerintah negara, pada peringkat ini kita menjadi penasihat kepada kerajaan, bukan pembangkang yang membuta tuli.

"Menjadi penasihat kepada kerajaan untuk menyampaikan mesej kita supaya membuat perubahan dengan Islam," katanya.

Mengulas lanjut, Hadi berkata, jika kerajaan Barisan Nasional hari ini masih belum bersedia untuk melakukan perubahan tersebut, beliau percaya satu perubahan yang besar bakal dilakukan oleh rakyat dalam pilihan raya akan datang.

"Kita akan buat perubahan yang didukung oleh rakyat di mana kita akan bergerak secara kolektif bersama Pakatan Rakyat untuk memimpin negara," katanya.

3 comments:

Yong said...

Nak tukar sistem berparti atau nak tukar sistem pemerintahan dua2 kena tukar perlembagaan Malaysia. Sebab dalam perlembagaan cuma kumpulan yang dapat majoriti je jadi executive. Takde peruntukan kata parti yang menang bentuk executive bersama parti yang kalah. Macam kabinet Presiden Amerika. Itule yang Yong faham dari konsep yang sedang dipromosi. Ia bukannya kerajaan campuran atau unity government yang hanya memerlukan parti2 bergabung dalam ikatan yang longgar. Boleh keluar masuk.

Tapi yang selama ni Yong baca, ade kumpulan jumpa dalam gelap dengan UMNO nak buat kerajaan campuran. Kononnya unity government. Kenapa yong kata jumpa dalam gelap? Sebab PKR dan DAP dicicirkan dalam perjumpaan itu. Yang lebih baik, bila dah menang, buat le referendum, tanya rakyat suka ke kerajaan perpaduan?

Ajijoi said...

Entah le Yong. Benda tu dah lama senyap, tiba-tiba je sekarang ni dibangkitkan balik.

Unknown said...

Wa cukup tak gemor ler UG ni senada dgn TGNA (the only 1 i trust right now). Bukan masalah nak berdakwah & bertorelansi dgn orang-2 Islam dlm UMNO..tu lantak pi ler TGHA nak dakwah TAPI cara lain drp muqabalah & rundingan rahsia...Mentang ler TGHA & Us. Nasha menang kerusi Presiden & TP, depa nak gak bawak ke tgh benda ni...leceh ler..cam tak der benda lain (gagasan) nak buat? Ni yg ramai orang cam wa kata ..Pemimpin LEMBIK & TAK KARISMATIK..memang tak boleh PAS langkah jauh & dikagumi kawan & lawan. Dlm keadaan PR teguh dan ada momentum nak menang, ada gak pemimpin bingai & disokong oleh perwakilan yg 'syok sendiri'...Baik TGHA tarik balik (simpan ajer ler) isu power sharing ni..OR we all mufarakah drp kepimpinan yg khinat kpd ahli sendiri & rakan perjuangan hanya kerana depa ni nak kongsi kuasa dgn UMNO-BN.

Followers