Saturday, October 25, 2014

PERUTUSAN PRESIDEN PAS SEMPENA HIJRATURRASUL 1436


"Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad SAW), yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat inginkan kebaikan bagi kamu, (dan) ia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman." (at-Taubah: 128)

1. Hijraturrasul dari Makkah ke Yathrib antara usaha memilih kehidupan bersama masyarakat pelbagai kaum secara aman harmoni serta menegakkan keadilan dalam negara, sekaligus menghindari pertempuran, kezaliman, penindasan dan perampasan hak.

2. Inilah sikap Islam disepanjang zaman yang berkolaborasi dengan semua pihak dan memimpin gagasan keamanan sejagat berpaksikan syariat Allah SWT.

3. Rasulullah bukan sahaja menjadi pembawa rahmat kepada dunia, tetapi juga menunjukkan model kehidupan manusiawi seorang pemimpin dalam menyantuni realiti rakyat di negara yang dibangunkan atas nama Madinah al-Munawarah.

4. Pun begitu, usaha Baginda tidak sunyi dari dihadapkan dengan pergerakan musuh Islam baik berupa propaganda dan konfrontasi perang secara terbuka dari kalangan kafir musyrikin, mahupun komplot dan pengkhianatan tersembunyi dari munafik dan penduduk kaum Yahudi.

5. Kini dunia menyaksikan disepanjang tempoh 1436 tahun ini bahawa sejarah tersebut sentiasa berulang atas umat manusia di atas muka bumi ini.

6. Umat Islam di seluruh dunia menjadi mustad'afin yang diperangi dengan kekuatan persenjataan dan ketenteraan serta ditindas oleh kuasa asing atau regim pemerintah di negara mereka dan dibunuh sewenang-wenangnya tanpa alasan munasabah melainkan hanya kerana mereka itu beriman kepada Allah. Firman Allah SWT:

"Iaitu mereka yang diusir dari kampung halamannya dengan tidak berdasarkan sebarang alasan yang benar, (mereka diusir) semata-mata kerana mereka berkata: "Tuhan kami ialah Allah"...." (al-Hajj: 40)

7. Negara-negara umat Islam juga digoncang keamanan dan keharmoniannya dengan jarum adu domba dan perebutan kuasa hingga membangkitkan pertempuran sesama muslim serta kemusnahan khazanah dan kekayaan negara.

8. Maruah dan hak umat Islam juga dicabar dengan pelbagai label ekstrem, penghinaan ke atas Rasulullah SAW dan al-Quran serta ajaran Islam, selain mewujudkan pelbagai rupa bentuk ajaran baru yang mengeliru dan menyesatkan atas nama juzuk-juzuk Islam.

9. Natijahnya, apabila Islam yang pernah memayungi kesejahteraan di dua pertiga dunia ini dimusuhi dan disingkirkan dari teraju umat, bukan kaum muslim sahaja sengsara, tetapi seluruh penghuni dunia menerima bahana dari perbuatan manusia berkepentingan.

10. Antaranya kapitalisma yang meraja hingga menghambakan rakyat menerusi pelbagai sistem ciptaan serta merakusi hak umum dan memilikperibadikan hasil mahsul negara.

11. Mereka yang di atas memperalat kerajaan dan undang-undang serta memanipulasi material untuk mengikat dan menyekat rakyat hingga menodakan kehidupan dalam dosa dan ketidaktenteraman.

12. Malangnya, perkara sama turut berleluasa di dalam negara kita biarpun gah dicanang telah merdeka bebas dari penjajah melepasi 57 tahun.

13. Oleh itu PAS adalah wadah Islam di negara ini yang komited membangunkan nilai-nilai kehidupan Islam menerusi pemerintahan dan penegakan syariat.

14. Maka bersempena Hijraturrasul 1436 ini marilah kita melakukan tajdid dan hijrah kepada kehidupan bernuansa wahyu Allah dan panduan Rasulullah SAW secara istiqamah. Moga-moga tertegak kembali 'rahmat untuk sekalian alam'. Rasulullah SAW bersabda:

“Tiada lagi hijrah sesudah pembukaan kota Makkah, tetapi yang tetap ialah jihad atau berjuang dan niat untuk jihad (apabila keadaan memaksa) dan apabila dipanggil untuk berjuang (dan sebagainya) hendaklah kamu bersiap sedia.” (Riwayat Aisyah RA)


DATO' SERI TUAN GURU ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
1 Muharram 1436 / 25 Oktober 2014

Monday, October 6, 2014

Qurban dan Aqiqah Surau Al-Ehsan 2014


Alhamdulillah, majlis ibadah qurban dan aqiqah anjuran Surau Al-Ehsan semalam telah selamat dijayakan dengan 8 ekor lembu ditumbangkan.

Segalanya berjalan dengan lancar dan teratur sepertimana yang dirancang ahli jawatankuasa pengelola majlis tahunan ini. Pada tahun ini, peningkatan mutu kerja serta jadual waktu selesai dengan cepat dan lebih awal daripada tahun-tahun yang lepas.

Tahniah diucapkan kepada semua yang terlibat dalam menjayakan majlis ibadah qurban dan aqiqah di Surau Al-Ehsan pada tahun ini. Semoga segala sumbangan kita dalam menyempurnakan ibadah ini diterima Allah Taala serta bakal diberi ganjaran pahala yang berlipat ganda.





Tahun ini saya bertindak sebagai setiausaha kerja yang menyelaraskan perjalanan majlis. Maaf kerana tidak dapat mengambil gambar-gambar yang menarik sepertimana tahun-tahun yang lalu. 


























Pengacara majlis yang juga penglipur lara bagi majlis tahun ini, Haji Daud al-Banjari.

Hidangan tengahari yang disediakan di surau semalam. 

Sunday, October 5, 2014

PERUTUSAN HARI RAYA QURBAN PAS PERAK


PAS adalah sebuah gerakan Islam yang mengadunkan secara bersepadu antara amal tarbawi, usaha dakwah dan gerak kerja siasah dalam perjuangan menegakkan Islam sebagai din wa daulah. Prinsip yang digenggam oleh setiap ahli PAS adalah al-Qur'an, Hadith, Ijma' dan Qias yang menjadi dustur perlembagaan tertinggi parti.

Demi memastikan perjalanan PAS terus berada di atas landasan perjuangannya yang betul, dan demi memastikan PAS tidak tersasar daripada matlamat asalnya akibat daripada gangguan anasir-anasir yang tidak Islamik, maka gerakan Islam ini sangat-sangat memerlukan kewujudan sinergi ahli-ahli daripada pelbagai latar belakang pendidikan dan profesion bersama-sama Majlis Syura Ulama' yang berperanan sebagai penunjuk arah dan pemantau kepada hala tuju perjuangan parti.

PAS memilih pendekatan muwajahah silmiyyah dalam gelanggang politik demokrasi, dengan menggunakan pelbagai ijtihad siyasi dan strategi yang masyru' (terikat dengan syariat), agar terlaksana cita-cita dan matlamat berjihad bagi meninggikan Kalimah Allah (li takuna kalimatuLlahi hiyal 'ulya). Ahli-ahli PAS di setiap peringkat diseru untuk memahami abjadiyat atau asas-asas perjuangan ini.

Sempena menyambut hari raya qurban pada tahun 1435H ini, adalah wajar bagi para pejuang PAS untuk merenung kembali kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail a.s untuk diambil ibrah.

Nabi Ibrahim a.s telah diuji dengan perintah Allah s.w.t yang terlalu bercanggah dengan kehendak naluri. Walaupun begitu baginda tanpa ragu-ragu mendahulukan perintah Allah s.w.t yang menyuruh baginda mengorbankan Ismail a.s, seorang anak yang menjadi cita-cita, idaman, impian dan permohonan baginda sejak sekian lama.

Ujian ini membuktikan kekuatan pegangan prinsip akidah dan ketinggian kualiti keimanan seorang hamba kepada Tuhannya.

Pengajaran yang dapat diambil daripada kisah pengorbanan ini sebagai peringatan kita bersama, apa jua strategi dan perancangan bagi mencapai matlamat dan cita-cita janganlah sampai menggoyahkan prinsip dan jatidiri kita sebagai amilin  gerakan Islam yang dicintai ini.

Selamat menyambut hari raya qurban kepada seluruh umat Islam. Semoga segala pengorbanan yang dicurahkan selama ini mendapat keredhaan Allah s.w.t.

HJ RAZMAN HJ ZAKARIA
PESURUHJAYA PAS PERAK

Followers

Video ajijoi

Loading...