Sunday, June 29, 2014

Sedekah Di Bulan Ramadhan

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم 

Salah satu pintu yang dibuka oleh Allah untuk meraih keuntungan besar dari bulan Ramadhan adalah melalui sedekah. Islam sering menganjurkan umatnya untuk banyak bersedekah. Dan bulan Ramadhan, amalan ini menjadi lebih dianjurkan lagi. Demikianlah sepatutnya akhlak seorang mukmin, iaitu dermawan. Maka bulan puasa inilah Akademinya, tarbiyyah dan madrasahnya.

PENCERAHAN :
Sifat kedekut dan bakhil adalah akhlak yang buruk dan bukanlah akhlak seorang mukmin sejati. Begitu juga, sifat suka meminta-minta. Bahkan sebaliknya seorang mukmin itu banyak memberi. Sebagaimana sabda SAW:

اليد العليا خير من اليد السفلى واليد العليا هي المنفقة واليد السفلى هي السائلة

“Tangan yang di atas lebih baik dari tangan yang di bawah. Tangan di atas adalah orang yang memberi dan tangan yang dibawah adalah orang yang meminta.” 
(HR : Bukhari)

Bersedekahlah setiap hari pada bulan Ramadhan, tinggi pahalanya kerana kelebihan dan kemuliaan Ramadhan. Bersedekah dibulan puasa diampunkan dosa yang banyak dan berlipat kali ganda pahalanya. Dicurahkan rahmat oleh Allah, dijauhkan dari azab neraka, didekatkan syurga dan terjauh dari bala bencana. Qaul ulama' sedekah itu ada 10 kepujian. 5 di dunia dan 5 di akhirat, iaitu;

5 Di Dunia :
1. Menyuburkan harta
2. Menyucikan badannya
3. Menolak bala' dan penyakit
4. Menggembirakan orang miskin dan mukmin
5. Menambah berkat hartanya dan diluaskan rezekinya

5 Di Akhirat :
1. Dinaungi Allah di hari kiamat 
2. Diringankan hisabnya
3. Diberatkan timbangan amalannya di akhirat
4. Dimudahkan melalui titian sirat
5. Ditambah darjatnya didalam syurga

Nabi Muhammad SAW adalah teladan terbaik bagi kita, baginda adalah orang yang paling dermawan, dan kedermawanan beliau lebih dahsyat lagi di bulan Ramadhan. Hal ini diceritakan oleh Ibnu Abbas r.a:

كان رسول الله صلى الله عليه وسلم أجود الناس ، وكان أجود ما يكون في رمضان حين يلقاه جبريل ، وكان يلقاه في ك
ل ليلة من رمضان فيُدارسه القرآن ، فالرسول الله صلى الله عليه وسلم أجودُ بالخير من الريح المرسَلة

“Rasulullah SAW adalah orang yang paling dermawan. Dan baginda lebih dermawan lagi di bulan Ramadhan saat baginda bertemu Jibril. Jibril menemuinya setiap malam untuk mengajarkan Al Qur’an. Dan kedermawanan Rasulullah SAW melebihi angin yang berhembus.” 
(HR : Bukhari)

Salah satu sebab Rasulullah SAW memberi teladan untuk lebih bersemangat dalam bersedekah di bulan Ramadhan adalah kerana bersedekah di bulan ini lebih dahsyat dibanding sedekah di bulan lainnya. Diantara keutamaan sedekah di bulan Ramadhan adalah:

1. Puasa digabungkan dengan sedekah dan solat malam sama dengan jaminan syurga.

إن في الجنة غرفا يرى ظاهرها من باطنها وباطنها من ظاهرها أعدها الله لمن ألان الكلام وأطعم الطعام وتابع الصيام وصلى بالليل والناس نيام

“Sesungguhnya di surga terdapat ruangan-ruangan yang bagian luarnya dapat dilihat dari dalam dan bagian dalamnya dapat dilihat dari luar. Allah menganugerahkannya kepada orang yang berkata baik, bersedekah makanan, berpuasa, dan solat dikala kebanyakan manusia tidur.” (HR : At-Tirmizi)

2. Mendapatkan tambahan pahala puasa dari orang lain.
Kita telah mengetahui betapa besarnya pahala puasa Ramadhan. Bayangkan jika kita boleh menambah pahala puasa kita dengan pahala puasa orang lain, maka pahala yang kita raih lebih berlipat lagi. Subhanallah! Dan ini dapat terjadi dengan sedekah, iaitu dengan memberikan hidangan berbuka puasa untuk orang lain yang berpuasa. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda:

من فطر صائما كان له مثل أجره ، غير أنه لا ينقص من أجر الصائم شيئا

“Orang yang memberikan hidangan berbuka puasa kepada orang lain yang berpuasa, ia akan mendapatkan pahala orang tersebut tanpa sedikitpun mengurangi pahalanya.” (HR. At Tirmizi)

Padahal hidangan berbuka puasa sudah cukup dengan tiga butir kurma atau bahkan hanya segelas air, sesuatu yang mudah dan murah untuk diberikan kepada orang.

3. Bersedekah di bulan Ramadhan lebih dimudahkan.
Salah satu keutamaan bersedekah di bulan Ra
madhan adalah bahawa di bulan mulia ini, setiap orang lebih dimudahkan untuk berbuat amalan kebaikan, termasuk sedekah. Di bulan Ramadhan ini Allah mudahkan hamba-Nya untuk berbuat kebaikan, sebagaimana disebut oleh Rasulullah SAW:

إذا جاء رمضان فتحت أبواب الجنة ، وغلقت أبواب النار ، وصفدت الشياطين

“Bila datang bulan Ramadhan, pintu syurga akan dibuka, pintu neraka ditutup dan syaitan-syaitan dibelenggu.” 
(HR : Bukhari)

KESIMPULAN :
“Sesungguhnya Allah mencatat setiap amal kebaikan dan amal keburukan.” Kemudian Rasulullah SAW menjelaskan: “Orang yang meniatkan sebuah kebaikan, namun tidak mengamalkannya, Allah mencatat baginya satu pahala kebaikan sempurna. Orang yang meniatkan sebuah kebaikan, lalu mengamalkannya, Allah mencatat pahala baginya 10 sampai 700 kali lipat banyaknya.” (HR : Muslim) 

Bayangkanlah kalau amal kebaikan tersebut seperti sedekah di buat pada bulan Ramadhan pula.

Wallahu a'lam - Berkata yang baik / menulis perkataan yang baik-baik juga satu sedekah. 

CUIT-CUIT UST KAY 
(Ahad, 1 Ramadhan 1435H)

Saturday, June 28, 2014

Selamat menyambut Ramadhan 2014



Esok akan bermulalah bulan baru, bulan yang mulia, bulan Ramadhan. Segala aktiviti dan gerakerja akan bernilai ibadah di samping peluang yang terbentang luas untuk memperbanyakkan amalan seharian.

Madrasah Ramadhan yang kita akan masuki esok diharapkan lebih baik daripada tahun-tahun sebelum ini. Cuma kita perlu tingkatkan usaha untuk mencapai kecemerlangan dan seterusnya meraih taqwa yang dijanjikan.

Ibadah puasa kali ini seelok-eloknya digunakan sepenuhnya untuk merubah gaya hidup kita ke arah yang lebih baik. Dan apabila kita keluar daripadanya, kekalkanlah segala kebaikan dan amalan yang telah dilalui selama sebulan itu. 

Bulan Ramadhan juga merupakan bulan tarbiyyah, bulan dakwah. Dengan segala kebaikan dan manfaat yang diperolehi, beserta dengan contoh terbaik sebagai seorang muslim yang kita pamerkan, mungkin ianya dapat membuka ruang dan peluang untuk yang belum muslim mendekati dan mempelajari agama suci kita, Islam.

Dikesempatan ini, saya memohon seribu kemaafan seandainya terdapat salah dan silap dari pihak diri ini. 

Marilah bersama memasuki bulan Ramadhan dengan bermaaf-maafan serta berganding bahu mempertingkatkan amalan seharian. Semoga kita semua beroleh barokah dan istiqamah dalam perjalanan harian menuju Ilahi.

Selamat Menyambut Ramadhan al Mubarak bagi tahun ini.

Wednesday, June 25, 2014

Sahabat Baik, Jamaah Cemerlang

Manusia sebagai makhluk sosial yang sentiasa berhubung antara satu sama lain. Jika manusia hidup bersendirian yang tidak mahu berkawan dengan orang lain, maka individu tersebut ada masalah di dalam dirinya. Manusia tidak dapat mengelak dirinya bersahabat dengan orang lain dan berhubung dengan orang lain. Oleh itu Islam mengajar kepada pemeluknya supaya memilih sahabat yang benar-benar boleh memberi makna dan erti kepada individu tersebut.


Allah SWT mencipta makhluk di atas muka bumi ini berpasang-pasangan. Begitu juga manusia, tidak akan hidup bersendirian. Kita tidak boleh lari dari berkawan dan menjadi kawan kepada seseorang. Jika ada manusia yang tidak suka berkawan atau melarang orang lain daripada berkawan, dia dianggap ganjil dan tidak memenuhi ciri-ciri sebagai seorang manusia yang normal.

Inilah antara hikmah, kenapa Allah SWT mencipta manusia daripada berbagai bangsa, warna kulit dan bahasa. Firman Allah SWT yang bermaksud,
“Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal (dan beramah mesra antara satu sama lain). Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.” (surah al-Hujurat [049] ayat 13)

Banyak watak peribadi seorang dibentuk oleh rakan dan sahabat. Peribadi seorang  itu berubah, apabila dicorak oleh sahabatnya. Ada yang menjadi baik atau ada yang menjadi sebaliknya. Semua itu bergantung kepada keadaan sahabat yang beliau damping. Benarlah  seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud "Manusia bersama rakannya, maka kamu perhatikan siapa rakannya". 




Sahabat merupakan orang yang rapat dengan kita Ia juga boleh dikatakan sebagai teman yang sentiasa ada untuk seseorang ketika dia senang mahupun susah. Ramai orang yang mempunyai kawan, dan kawan yang diperoleh juga adalah ramai. Namun hanya sedikit orang yang mempunyai sahabat, teman yang sanggup berkorban apa saja demi sahabatnya itu. 


Kehidupan di dalam berjamaah, kita amat memerlukan kekuatan dalaman, motivasi yang tinggi untuk menghadapi segala macam rintangan dan dugaan yang mendatang. Selain itu, kita juga amat memerlukan seseorang yang setia menemani kita dalam apa keadaan, untuk sama-sama mengharungi setiap saat dalam kehidupan. Inilah yang dinamakan sebagai sahabat atau teman, teman sejati hingga ke akhir usia.

Menurut Imam Al-Ghazali telah menyatakan 12 sifat sahabat sejati.

1. Jika engkau berbuat bakti kepadanya, ia akan melindungimu.

2. Jika engkau rapatkan persahabatan dengannya, dia akan membalas baik persahabatanmu itu.

3. Jika engkau perlukan pertolongan daripadanya berupa wang dan sebagainya, ia akan membantumu.

4. Jika engkau menghulurkan sesuatu kebaikan kepadanya, ia akan menerima dengan baik.

5. Jika ia mendapat sesuatu kebajikan (bantuan) daripadamu, ia akan menghargai atau menyebut kebaikanmu.

6. Jika ia melihat sesuatu yang tidak baik daripadamu, ia akan
menutupnya.

7. Jika engkau meminta sesuatu bantuan daripadanya, ia akan mengusahakannya.

8. Jika engkau berdiam diri (kerana malu hendak meminta), ia akan menanyakan kesusahanmu.

9. Jika datang sesuatu bencana menimpa dirimu, ia akan meringankan kesusahanmu (membuat sesuatu untuk menghilangkan kesusahan itu).

10. Jika engkau berkata kepadanya, nescaya ia akan membenarkanmu.

11. Jika engkau merancangkan sesuatu, nescaya ia akan membantumu.

12. Jika kamu berdua berselisih faham, nescaya ia lebih senang mengalah untuk menjaga kepentingan persahabatan.

Sebagai ahli Pas perlu memilih sahabat yang boleh memberi kekuatan kepada pembentukan peribadi dan pengukuhan jamaah. Jangan silap pilih kawan, jika tidak ia akan membawa padah. Banyak ahli jamaah, daripada seorang yang aktif, tiba-tiba menjadi golongan yang futur (terhenti) malahan ada yang menjadi golongan mutasaqitun ( gugur) di dalam perjalanan dakwah, malahan menjadi tali barut kepada jamaah.

Kita akan menjadi ahli yang baik apabila bersahabat dengan sahabat yang baik.

1. Taqwa. 
Sahabat yang melaksanakan perintah Allah dan meninggalkan larangan Allah SWT. Seperti Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud,

“Teman yang paling baik adalah apabila kamu melihat wajahnya, kamu teringat akan Allah, mendengar kata-katanya menambahkan ilmu agama, melihat gerak-gerinya teringat mati.”

2. Istiqamah dalam jamaah.
InsyaAllah kita akan mendapat motivasi yang tinggi bila memperolehi sahabat yang komited dengan jamaah. Mereka sentiasa memberi rangsangan kepada kita untuk terus bergerak. Kita rasa malu, bila kita malas bekerja kerana melihat kegigihan sahabat kita.

3. Pandai Menyimpan rahsia parti.
Menjadi kebiasaan di dalam jamaah, ada perkara yang menjadi strategi yang orang lain tidak boleh ketahui melainkan orang tertentu sahaja. Amat malang jika kita mendapat sahabat yang tidak pandai menyimpan rahsia parti, sehingga balanya akan menimpa kepada jamaah.

4. Tidak boros 
Sifat ini akan mempengaruhi watak seseorang sehingga ia akan bertukar menjadi seorang yang boros. Mungkin sahabatnya seorang yang kaya, sedangkan kita bukan orang yang kaya akan mempengaruhi watak kita untuk membelanja secara boros kerana terpengaruh dengan cara hidup sahabat kita.

5. Sahabat yang sentiasa memberi nasihat.
Sebagai manusia yang tidak lari daripada kesilapan dan kealpaan amat memerlukan sahabat yang boleh memberi peringatan. Sabda Rasulullah SAW bermaksud
"Siapa yang dikehendaki oleh Allah kebaikan maka Allah akan anugerahkan kepadanya sahabat yang bersifat jika ia lupa, maka kawannya tolong peringatkan. Jika kita memperingatkan kepada sahabat maka ia turut sama untuk menolong kebaikan"

6. Tidak kedekut.
Ertinya jangan terlalu boros dan jangan terlalu kedekut. Jika kawan kita kedekut maka ia juga akan mempengaruhi watak kita. Apabila mendapat sahabat yang kedekut, walau pun pada mulanya kita seorang yang pemurah. Kita bersikap demikian kerana sahabat kita terlalu kedekut, asyik-asyik kita sahaja yang membelanja sedangkan beliau tidak, walau pun beliau seorang yang kaya.

7. Jangan Pilih pengampu.
Dia setuju dengan semua yang kamu lakukan tidak kira betul atau salah, yang parahnya dia setuju dengan hal yang tidak berani untuk menjelaskan kebenaran, di hadapanmu ia memuji dirimu, dan di belakangmu ia merendahkan dirimu.

Idris Hj Ahmad
21/6/14

Monday, June 23, 2014

Ustaz Abu Bakar Chik meninggal dunia kemalangan


23 Jun 2014.KUALA TERENGGANU: AJK PAS Pusat, Datuk Abu Bakar Chik dan pembantunya, Hasmizi Hasan terlibat dalam kemalangan di KM 390 laluan Bukit Besi-Ajil jam 3.16 pagi tadi.

Beliau meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Hulu Terengganu sementara pembantunya cedera.

Kereta yang dinaiki Ustaz Abu Bakar melanggar sebuah van Vannete yang dinaiki enam penumpang.

Sebaik sahaja beliau dan Hasmizi dibawa keluar, kereta yang dinaiki itu terbakar.



Jenazah akan dibawa balik dari Hospital Hulu Terengganu ke MTT Tok Jiring untuk disolat dan dikebumikan.


Biodata Dato’ Ustaz Haji Abu Bakar Bin Chik

Tarikh Lahir:18 Ogos 1950
Tempat Lahir:Kg. Masjid Tepoh, Kuala Terengganu
Nama Isteri:To’ Puan Zaitun Binti Salleh
Bil. Anak        :8 Orang (5 Lelaki, 3 Perempuan)
Alamat Rumah        :1026, KM 14 Jalan Kelantan, Kampung Tok Jiring, Kuala Terengganu
Alamat Email:ust_abc@yahoo.com
Pendidikan
1973 – 1977       :Ijazah Sarjana Muda (Hons) Pengajian Islam (Syariah) Dan
Diploma Pendidikan UKM.
1987 – 1988:Melawat Sambil Belajar Bahasa Inggeris Di Fort Wayne Community 
College, Indiana, USA
1995 – 1996:Melawat Sambil Belajar Bahasa Arab Di Jami’ah Afriqiyyah Alamiyyah, 
Khourtoum, Sudan.
2011 – 2012 :Ijazah Master Pengajian Islam, Open Universiti Malaysia (OUM)
Pengalaman Kerja
1977 – 1981:Pengetua Institut Berakan. Kuala Terengganu.
1982 – 1986:Wakil Rakyat (ADUN Jeram), Terengganu
1997 – 1999:Pengarah Urusan Ilmu Amal Sdn. Bhd, Pemilik Rangkaian 
Sek. Rendah Islam Pintar (SRIP)
1999 – 2004:Exco Pertanian & Pembangunan Luar Bandar Negeri Terengganu
2000 – 2004: Pengerusi Ladang Rakyat Terengganu
2004 – Kini:Pengerusi Maahad Tahfiz Wal Tarbiyah Darul Iman (MTT)  
2008 – Kini:Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi 
Dan Teknologi Hijau Negeri Kelantan
Politik
1981:Menyertai Parti Islam Semalaysia (PAS)
1984 – 1986:Tahanan Politik (ISA) Di Kem Tahanan Kemunting
1989 – 1999:Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat Ke- 13
1999 – 2011:Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu
2000 – Kini:Ahli Jawatankuas PAS Pusat
2000 – 2007:Pengerusi JK Pertanian & Pembangunan Luar Bandar PAS Pusat
2007 – Kini:Timbalan Pengerusi Lujnah Tarbiyah PAS Pusat
2008 – Kini:Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat
Kegiatan Pelajar & Belia
1968 – 1970:Setiausaha Gabungan Pelajar Islam Terengganu.
1975 – 1977:Naib Presiden Persatuan Mahasiswa UKM
1976 – 1977:Presiden Persatuan Mahasiswa Fakulti Pengajian Islam UKM
1977 – 1981:Setiausaha Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Daerah
Kuala Terengganu & Negeri Terengganu.
Kegiatan Kemasyarakatan & Pendidikan
1979 :Mengasaskan Pusat Pendidikan Pra Sekolah TASKI ABIM
1983:Mengasaskan Maahad Darul Quran, Terengganu
1987:Mengasaskan Pusat Pendidikan Islam Darul Taqwa, Terengganu
1989 – 1999 :Pengerusi PASTI Malaysia
2006 – 2008 :Penasihat (Luar) Yayasan Amal Malaysia
2009 – Kini:Timbalan YDP Yayasan Kebajikan & Pembangunan Pendidikan (YAKEP)
2013:Pengerusi Majlis Kebajikan Dan Pembangunan Pendidikan Malaysia 
(MAKPEN)
Kegiatan Antarabangsa
1989:Ahli Persidangan Buruh Antarabangsa, Karachi, Pakistan
1989 & 1993:Pengarah Ijtima’ Perpaduan Ummah Antarabangsa Kali 1 & 2
1994, 1995 & 1996:Ahli Persidangan Perpaduan Masyarakat Islam Antarabangsa, Turki
1997 & 1998:Anggota JK Nadwatul Shabab Al-Alami, Khortoum, Sudan.
2003:Ahli Persidangan Islamic Development Bank, Tajikistan & Uzbekistan
2005 – 2013:Presiden AFMY
2007:Mengasaskan  Internasional Muslim Busines Network (IMBNet)
Penulisan Buku
1987:Individu Muslim Dan Jamaah Islam – Angkatan Edaran Sdn Bhd
1998:Ketahanan Gerakan Islam – Ilmu Amal Sdn Bhd
1999:Al Hizbul Islami Al Malizi (Bahasa Arab) – Darul Biarak, Beirut, Lubnan
2007:Pilihanraya: Satu Tuntutan Jihad – Pustaka Damai
2011: PAS 60 Tahun – Pustaka Damai
2013:Negara Berkebajikan Menurut Pandangan Syed Qutb – Pustaka Damai
Darjah Kebesaran & Anugerah Tokoh
2002:Setia Mahkota Terengganu (SMT)
2003:Dato’ Setia Mahkota Terengganu (DSMT)
2003:Anugerah Tokoh Sempena Sambutan Jubli Emas Dewan Pemuda PAS Trg
2003:Anugerah Tokoh Tarbiyyah Sempena Sambutan Jubli Emas 
Dewan Pemuda PAS Pusat
2009:Tokoh PASTI Malaysia

Solat jenazah akan diadakan selepas Asar di Masjid Madrasah Tahfiz Wal Tarbiyyah (MTT), Kampung Tok Jiring, Kuala Terengganu.

Semua muslimin dan muslimat dijemput bersama-sama.

Al fatihah.

Thursday, June 12, 2014

Penyebar Fitnah, Orang Yang Sakit Jiwa

Orang yang suka menyebar fitnah sebenarnya adalah seorang yang sakit jiwa, kerana kosong makanan rohaninya. Makanan penyebar fitnah ialah bahan fitnah, mereka sentiasa lapar, seperti lembu yang kehausan apabila tidak ada makanan. Segala makanan dan minuman yang mereka makan sebenarnya dimakan oleh iblis dan syaitan yang bersarang di dalam batang tubuh mereka. Mereka ini tidak kenyang dengan makanan ruji, sebaliknya merasakan satu kepuasan apabila dapat  menyebarkan fitnah kepada orang lain. Seolah-olah mereka merasa lapar dan dahaga apabila jari mereka tidak menyentuh huruf-huruf di skrin Ipad atau tab mereka. Nafsu Ammarah yang menguasai mereka sudah hilang karamah Insaniah dengan diganti dengan nafsu syaitaniah sehingga hilang harga diri.

Di zaman langit terbuka penyebar fitnah amat gemar  menggunakan segala kemudahan yang Allah anugerahkan tanpa menghitong dosa dan pahala. Pendekatan Matlamat Menghalalkan Cara telah menjadi makanan kepada golongan ini. Tanpa mereka sedar bahawa fitnah yang berbentuk tulisan lebih merbahaya daripada fitnah yang diungkap oleh lidah. Fitnah lidah ia akan habis begitu sahaja kerana orang mudah lupa, sedangkan di dalam tulisan ia akan melekat dan dibaca berkali-kali. Jika disebar melalui media baru, entah berapa puluh juta orang like dan share posting mereka.

 Abu Zhar Al-Ghiffari berkata, Rasullullah s.a.w. bersabda :”Barangsiapa menyiarkan terhadap orang muslim satu perkataan untuk memalukannya dengan tidak sebenarnya, nescaya dia akan diberi malu oleh Allah dalam neraka pada hari kiamat” (diriwayatkan oleh Ibnu Abid Dunya)

 Imam Al-Ghazali mengatakan bahawa tukang fitnah tidak dapat dipercayai kata-katanya dan tidak diterima sedekahnya. Sesungguhnya fitnah ditegakkan di atas kedustaan, kedengkian dan kemunafikan. Kesemua sifat ini adalah tungku dapur kehinaan.

Dosa membuat fitnah digolongkan sebagai dosa sesama manusia. Justeru, dosa itu tidak akan diampunkan Allah, melainkan orang yang difitnah itu memberi keampunan terhadap perbuatan itu. Mungkin ramai menyangka perbuatan menyebarkan berita fitnah sekadar satu kesalahan kecil. Sebab itu, perbuatan seumpamanya dilakukan seperti tiada apa merugikan.

Hakikatnya, dosa membuat fitnah menjauhkan diri dari syurga. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Tidak masuk syurga orang yang suka menyebarkan fitnah.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Dosa menyebar fitnah umpama api membakar ranting kering kerana ia cepat merebak dan akan menjadi abu sepenuhnya. Dosa menyebar fitnah menyebabkan pahala terdahulu dihilangkan sehinggakan penyebar fitnah akan menjadi muflis di akhirat nanti.

Sikap kita untuk melawan fitnah.

@Tabayyun terlebih dahulu sebagaimana diajar oleh Allah SWT, iaitu menganalisis dan mengkaji terlebih dahulu maklumat yang kita perolehi. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan. (al-Hujurat: 6)
Sikap tabayyun ini sangat perlu kerana berkemungkinan maklumat yang sampai kepada kita adalah tidak benar ataupun merupakan fitnah yang sengaja diciptakan untuk memburukkan seseorang.

@Bersangka baik terlebih dahulu, jangan terus menerima bulat-bulat apa yang diterima. Lebih-lebih lagi jika melibatkan sahabat yang kita kenali hati budi
Dalam hal ini pendekatan yang betul sangat penting agar kita tidak terperangkap. Justeru, apabila menerima satu-satu maklumat jangan mudah menerimanya tanpa terlebih dahulu dipastikan kebenarannya atau difahami maklumat berkenaan. Ambillah sikap yang diajar oleh Islam apabila mendengar berita mengenai fitnah terhadap sahabat.

Firman Allah SWT. menurunkan surat An-Nuur : 12, ‘’Mengapa di waktu kamu mendengar berita bohong itu orang-orang mukminin dan mukminat tidak bersangka baik terhadap diri mereka sendiri, dan (mengapa tidak) berkata: "Ini adalah suatu berita bohong yang nyata."


@Menyedari besarnya dosa fitnah yang dilakukan oleh kita. Apa akan terjadi kepada kita jika orang yang kita fitnah telah meninggal dunia, sedangkan kita tidak sempat memohon maaf kepada mangsa fitnah.

@Banyakkan zikir dan melakukan program tazkiah al Nafs ( bersih jiwa) supaya hati kita jijik untuk melibatkan diri dengan fitnah.

@Sentiasa berada di dalam majlis ilmu yang memberi ingatan tentang bahayanya penyakit fitnah.

@Bacalah buku-buku yang boleh mengubat jiwa dan hati, supaya sifat mazmumah diganti dengan sifat mahmudah.

Kesimpulannya bagi kita yang difitnah mengambil sikap, biarlah seluruh media sosial, Facebook., twitter,  Wassap, Telegram,  blog, portal hendak memfitnah kita. Kita akan terus melaksanakan kerja jamaah. Biarlah tangan pemfitnah ini menulis sehingga tangan mereka kaku ketika sakaratulmaut menjemput mereka. Kita tidak ada kuasa untuk menghentikan tangan mereka daripada menulis, kerana kita insan kerdil. Hanya kematian sahaja yang dapat menghentikan tangan mereka untuk menulis. Kita bertemu di Medan Mahsyar yang lebih hebat daripada Media Sosial. Teruskan usaha Mu jika itu yang dirasakan boleh memberatkan timbangan amalanmu di akhirat kelak.

Idris Hj Ahmad
5/6/14

CATATAN AMALAN

Dakwaan yang mengatakan catatan amalan ditutup pada akhir Zulhijjah, dan dibuka pada awal Muharram tidak didasari dengan dalil al-Quran, tidak juga daripada hadith Nabi saw.

Hadith2 yang sahih/ thabit menyebut bahawa amalan kita dibentangkan pada:
1. Setiap hari (setiap pagi dan petang.)
2. Dua kali setiap minggu (setiap Isnin dan Khamis)
3. Setiap tahun, iaitu pada bulan Syaaban. (Bukan nisfu Syaaban. -Hadith palsu juga banyak berkisar tentang nisfu syaaban-)

Hadith2 sahih/thabit bagi setiap kategori adalah seperti berikut :

✅ 1. Amalan diangkat/dibentang 2 kali setiap hari :
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ " يَتَعَاقَبُونَ فِيكُمْ مَلاَئِكَةٌ بِاللَّيْلِ وَمَلاَئِكَةٌ بِالنَّهَارِ، وَيَجْتَمِعُونَ فِي صَلاَةِ الْفَجْرِ وَصَلاَةِ الْعَصْرِ، ثُمَّ يَعْرُجُ الَّذِينَ بَاتُوا فِيكُمْ، فَيَسْأَلُهُمْ وَهْوَ أَعْلَمُ بِهِمْ كَيْفَ تَرَكْتُمْ عِبَادِي فَيَقُولُونَ تَرَكْنَاهُمْ وَهُمْ يُصَلُّونَ، وَأَتَيْنَاهُمْ وَهُمْ يُصَلُّونَ ".
Rasulullah saw bersabda, maksudnya :
"Para malaikat (syif) malam dan malaikat (syif) siang silih berganti turun kepada kalian. Mereka berkumpul pada setiap waktu Subuh dan setiap waktu Asar. Kemudian, malaikat yg menjaga kalian (jika waktu Subuh, malaikat malam, jika waktu Asar, malaikat siang) naik ke atas. Allah pun bertanya kepada malaikat2 itu - walhal Dia lebih mengetahui tentang hamba2-Nya :
'Dalam keadaan bagaimana kamu semua tinggalkan hamba2Ku itu?'

Jawab para malaikat : 'Kami tinggalkan mereka dalam keadaan mereka sedang solat. Begitu juga ketika kami datang kepada mereka, mereka sedang solat.'"
(Sahih Bukhari, Kitab Waktu-Waktu Sembahyang, Bab Fadilat Sembahyang Asar. ) -Hadith Sahih-

Berbahagialah bagi mereka yang menunaikan solat Subuh dan solat Asar, lebih-lebih lagi di awal waktu.

✅ 2. Amalan juga diangkat setiap Isnin dan Khamis, dua kali seminggu :
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ " تُفْتَحُ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ يَوْمَ الاِثْنَيْنِ وَيَوْمَ الْخَمِيسِ فَيُغْفَرُ لِكُلِّ عَبْدٍ لاَ يُ
شْرِكُ بِاللَّهِ شَيْئًا إِلاَّ رَجُلاً كَانَتْ بَيْنَهُ وَبَيْنَ أَخِيهِ شَحْنَاءُ فَيُقَالُ أَنْظِرُوا هَذَيْنِ حَتَّى يَصْطَلِحَا أَنْظِرُوا هَذَيْنِ حَتَّى يَصْطَلِحَا أَنْظِرُوا هَذَيْنِ حَتَّى يَصْطَلِحَا " .
Rasulullah saw bersabda, maksudnya :
"Amalan2 manusia dibentangkan setiap minggu pada hari Isnin dan Khamis. Allah pun mengampunkan dosa setiap hamba-Nya yang beriman, kecuali hamba yang saling bermusuhan. Lalu dikatakan kepada para malaikat, 'Tinggalkan dahulu mereka berdua ini, sehinggalah mereka berdamai."
(Sahih Muslim, Kitab al-Birr wa al-Silah wa al-Adab, Bab Larangan Saling Bermusuhan Dan Saling Tidak Mempedulikan.) -Hadith Sahih.-

✅ 3. Amalan dibentangkan setiap tahun, pada bulan Syaaban. (Bukan Nisfu Syaaban)

عن زيد بن أسامة رضي الله عنهما قال: قلت: يا رسول الله لم أرك تصوم من شهر من الشهور ما تصوم في شعبان؟ قال: ذلك شهر يغفل الناس عنه بين رجب ورمضان، وهو شهر ترفع فيه الأعمال إلى رب العالمين، فأحب أن يرفع عملي وأنا صائم.
Usamah bin Zaid ra melaporkan, katanya, "Saya pernah bertanya, 'Wahai Rasulullah, mengapa saya tidak pernah lihat tuan berpuasa dalam bulan lain, sebanyak puasa tuan dalam bulan Syaaban?'

Jawab Rasulullah saw, "Itulah bulan yang ramai manusia lalai, antara bulan Rejab dan Ramadan. Ia adalah bulan yg diangkatkan amalan kepada Tuhan sekelian alam, dan saya suka amalan saya diangkat dalam keadaan saya sedang berpuasa.'"
(Al-Sunan al-Sughra, Kitab Puasa.) -Hadith Hasan-

Oleh Dr Abu Anas Madani 
(Dr Abdul Basit Hj Abdul Rahman)

Friday, June 6, 2014

Forum Kembara Ilmu malam ini


Malam ini di Surau Diri Jumaat Nur Ramadhan, Taman Seri Raia, Kg Kepayang, Simpang Pulai, Ipoh akan diadakan Forum Kembara Ilmu dengan panelis yang cukup terkenal melalui rancangan TV9 Tanyalah Ustaz. 

Mereka adalah Dr Shauki Othman dan juga Ustaz Ghazali Ibrahim. 

Forum akan bermula sejurus selepas Solat Maghrib.

Muslimin dan muslimat dijemput beramai-ramai memenuhi ruangan surau untuk menimba ilmu daripada dua insan istimewa ini. 

Wednesday, June 4, 2014

JANGAN BELASAH KAWAN BILA KALAH


1. Amat menghairankan, tiba-tiba "hudud" dijadikan salah satu faktor kekalahan DAP dalam Prk P76 Teluk Intan.

2. Dalam meraikan hubungan dan semangat PR, kenyataan dan analisa "separa masak" oleh Yb. Gobind Singh, AP Puchong yang mengaitkan isu "hudud" sebagai salah satu faktor yang menyumbang kepada kekalahan calon DAP di Teluk Intan amat-amat dikesali. Sebaliknya isu "hudud" sedikit pun tidak terkesan ke atas pengundi-pengundi bukan Melayu dalam Prk Bukit Gelugor yang berlaku hanya selang beberapa hari.

3. Semangat dan rasa hormat menghormati dalam PR sepatutnya berlaku secara timbal balik, bukan hanya di satu pihak sahaja. PAS sentiasa berusaha menjaga perkara ini, malangnya DAP kerap kali selalu terlupa atau sengaja lupa akan hakikat perkara ini.

4. Isu hudud atau Enakmen Jenayah Syariah (II) Kelantan adalah isu di peringkat negeri Kelantan semenjak tahun 1993, sudah dibincang di pelbagai peringkat dan oleh pelbagai termasuk pimpinan DAP. Tetapi kenyataan Yb. Gobind tersebut, jelas menunjukkan kegagalan beliau dalam memahami isu tersebut.

5. Sebagaimana PAS tidak pernah mengkritik ideologi, prinsip dan strategi politik DAP secara terbuka lebih-lebih kepada media, maka sepatutnya secara bermoral DAP diharapkan dapat melakukan perkara yang sama. Buat  ke sekian kalinya DAP perlu faham walaupun enggan terima, bahawa "hudud" adalah sebahagian daripada ajaran Islam yang menjadi dasar PAS.

6. Pada asasnya PAS boleh menerima sikap kontra DAP dan Yb. Gobind terhadap isu hudud, sebab kita semua bersetuju untuk "semua pihak berhak tidak bersetuju". Tetapi meletakkan isu tersebut sebagai faktor kekalahan adalah jauh daripada kematangan berpolitik. Sepatutnya faktor calon, pengundi, isu setempat dan gerakerja parti bertanding yang menjadi bahan analisa. Amat malang sebuah parti yang sudah dianggap kuat dan berpengaruh dikatakan kalah, kerana suatu isu yang tiada hubungkait dengan kawasan berlakunya pilihanraya tersebut. Adakah ini menunjukkan parti yang bertanding gagal melaksanakan tanggungjawab penerangan kepada pengundi?.

7. Dalam beberapa siri pilihanraya kecil yang ditandingi oleh PAS dan berakhir dengan keputusan kalah pada pihak lawan, seingat saya belum ada kenyataan-kenyataan terbuka pemimpin PAS yang meletakkan isu dan rakan sekutu sebagai salah satu daripada faktor kekalahan. 

8. Secara peribadi kaedah membelasah kawan apabila kita kalah dalam sesuatu perlawanan adalah jauh daripada kematangan dan hanya menjarakkan lagi hubungan khasnya dalam PR. Jangan akhirnya kita sendiri mengeluh atas tindakan-tindakan yang "kurang manis" yang kita lakukan.

9. Sebahagian yang terlibat mengundi Yb. Gobind di Puchong dan melakukan gerakerja pilihanraya semasa Pru13 yang lepas adalah juga ahli dan penyokong PAS. Sehubungan dengan itu, nasihat saya ialah kita masing-masing menjaga perasaan dan sensitiviti prinsip dan ideologi perjuangan parti kita. Semoga keharmonian ini tidak tergugat dengan kenyataan-kenyataan yang melukakan, yang hanya bakal memanjangkan jangka hayat BN untuk terus berkuasa.

Muhammad Sufyan Ismail 
YDP PAS PUCHONG

Tuesday, June 3, 2014

Kenapa perlu keliru dengan kenyataan JAKIM?

Saya kira, pihak JAKIM tidak pernah membuat tindakan U-TURN sepertimana yang mewarnai ruangan komen terhadap kenyataan pihak JAKIM hari ini.. Saya nasihatkan supaya perbanyakkan pembacaan dari sumber yang sahih sebelum kita membiakkan fitnah2 di alam yang serba laju ini..

[sumber disertakan]

Mari kita ikuti kronologi isu ini terlebih dahulu. Bermula dengan ketirisan 'screenshot'  dokumen sulit pihak Kementerian Kesihatan Malaysia(KKM) tentang pencemaran DNA babi bagi 2 produk Cadbury ke laman sosial pada 23 Mei [rujuk: dokumen sulit]. Dalam masa tidak sampai satu hari isu ini dimainkan dengan panasnya oleh orang ramai sehingga 'memaksa' pihak KKM mengeluarkan kenyataan rasmi pada hari berikutnya. [rujuk: kenyataan media KKM]. Jika difikirkan kesahihannya, ya, berita ini memang benar kerana ia disahkan sendiri oleh pihak KKM.. 

Namun perlu diingat, pengesahan seperti ini sepatutnya tidak berlaku kerana tidak mengikut prosedur yang sepatutnya. Ketua Pengarah JAKIM, sebaik sahaja menerima berita ini seolah2 terkejut lalu terus mengambil tindakan serta merta menggantung sijil halal untuk produk yang terlibat bertindak memulakan siasatan. Beliau menyatakan sepatutnya hal ini dimaklumkan kepada beliau terlebih dahulu untuk tindakan peringkat dalaman sebelum sampai ke tangan orang ramai [rujuk: kenyataan KP JAKIM]

menurut beliau, kuasa yg diberikan kepada makmal ujian tersebut hanyalah mengesahkannya sahaja, bukan menghebahkan kepada umum. Jika diteliti secara logik, ia hanyalah satu pencemaran DNA, bukan kandungan yang sengaja diadun oleh pihak Cadbury [Rujuk: penerangan pegawai JAKIM]. Jadi, ia hanyalah satu pemboleh-ubah yang masih boleh dikaji dan dibincangkan, bukan terus dihukum sepertimana sumpah seranah yang kita hamburkan!

Setakat itu, 2 persoalan yang timbul; 
1. Keputusan ujian dikeluarkan pada Februari, tapi kenapa Mei baru dihebahkan? 
- soalan ini sebenarnya perlu diajukan kepada KKM. KENAPA DI'BOCOR'KAN PADA MEI? malah sepanjang tempoh Februari hingga Mei, langsung tiada penjelasan yang dibuat oleh KKM kepada JAKIM. Salah siapa? Pihak JAKIM menegaskan jika Februari isu ini timbul, maka Februari lah tindakan diambil.
Namun begitu, JAKIM lah yang dihukum oleh rakyat..

2. Kenapa logo halal boleh diluluskan kepada Cadbury?
  - Diingatkan sekali lagi, ini hanyalah satu isu pencemaran yang mungkin boleh berlaku diluar kilang dan di kedai2. Cadbury memiliki sijil halal seawal 2004 dan sehingga Februari lalu masih tidak ada penyelewengan tentang status halal dalam pemprosesan harian mereka. Namun rakyat terlebih dahulu menghukum JAKIM sebelum kata putus dikeluarkan..
JAKIM sekali lagi dipijak-pijak!

Pada 26 Mei, JAKIM telah mengambil kedua dua jenis produk yang terlibat itu bersama-sama 4 produk lain serta 5 jenis bahan mentah yang berpotensi mengandungi unsur haiwan DARI KILANG untuk diserahkan kepada pihak Jabatan Kimia Malaysia(JKM) bagi tujuan ujian dan pengesahan. Berbeza dari ujian yang dilakukan oleh KKM tempoh hari yang mana sample diambil dari kedai, bukan dari kilang. Hal ini yang mungkin mengakibatkan berlakunya pencemaran tersebut.

Alhamdulillah, pada hari ini [2 Jun], pihak JKM telah tampil dengan keputusan ujikaji dan mengesahkan bahawa tiada DNA babi dikesan pada 2 jenis produk tersebut [rujuk: keputusan ujian JKM]. Walaubagaimanapun, pemeriksaan keseluruhan akan dijalankan keatas kilang Cadbury mengikut prosedur2 yang sepatutnya.

1 lagi persoalan timbul. Adakah ini satu sandiwara untuk menyelamatkan syarikat Cadbury dan adakah disana telah berlaku transaksi rasuah disebalik keputusan ini? 
- persoalan ini sering berlegar bila terbit sebarang kekeliruan dalam pengurusan pihak kerajaan. Janganlah kita mengambil isu ini sebagai bayangan kepada isu2 rasuah yang pernah terbukti berlaku sebelum ini. Hanya berbekalkan kebarangkalian yang direka sendiri, kita tidak berhak menuduh itu dan ini! Ini soal darah daging umat Islam di Malaysia. 

Adapun tersiar kenyataan dari Majlis Fatwa Kebangsaan yang menyatakan coklat Cadbury Halal dimakan sebelum didakwa tercemar [rujuk: Majlis Fatwa]. Ia bertujuan untuk meredakan perasaan orang ramai yang sangat beremosi sehingga ada yang mahu menyamak, menyucikan darah, membakar bangunan dan sebagainya dek takutnya akan coklat tersebut yang sudah menjadi darah daging mereka. Kenyataan ini boleh digunapakai samada sekiranya produk Cadbury itu terbukti haram, mahupun terbukti tiada DNA babi dikesan. Asasnya, kita sebagai orang awam yang tidak mampu untuk menyelidik setiap makanan secara saintifik dan hanya mampu bergantung kepada logo halal JAKIM, bukan menjadi kesalahan kita jika ia haram. Sebaliknya pihak yang bertanggung jawab itulah akan menanggung dosa disebabkan pengkhianatan terhadap amanah yang diberi. Kecuali memakan daging yang dilabel Pork yang bercop halal.  

Baca dan fahami betul2 sebelum baca komen orang ramai..

Perangai kita. 
Seperti terjumpa orang muda berambut kusut masai berbaju lusuh. Hanya bermodalkan penampilannya seperti seorang perompak ditambah dengan satu jeritan yang mendakwa dia seorang perompak, kita secara beramai2 menangkap dan membelasahnya sehingga koma tanpa soal siasat terlebih dahulu. Samada terbukti bersalah atau tidak, bukan itu caranya! Serahlah kepada pihak berwajib. yang pasti, setiap lebam2 yang diterima pasti ada balasannya terhadap si pemangsa di akhirat kelak. Apa-apa pun, kita lah yang berhak kepada kantung dosa dan pahala kita. Itupun kalau kita beriman kepada hari Akhirat! 

Pihak berwajib sudahpun bersidang dan tampil dengan keputusannya. Sekarang pilihan berada di tangan kita. Mahu terus boikot Cadbury, terpulang. Yang pasti jangan sesekali menghasut orang lain dengan membuat tuduhan dan fitnah. 

Tepuk dada tanya iman, sebelum mulut berkata sebelum tangan menulis, tanya diri seandainya timbangan dosa seberat timbangan pahala, adakah tulisan atau perkataan kita itu akan memberatkan sedikit timbangan dosa lalu menghumban kita ke neraka? 

JAKIM tidak pernah membuat U-TURN. Sebaliknya mereka hanya berjalan terus dengan langkah berhati-hati dan sedaya upaya menerangkan tentang apa yang sebenarnya berlaku.
hanya kita yang terlebih bersangka buruk..

Allahua'lam

rujukan;

Dokumen Sulit
https://www.dropbox.com/s/2mz68xrxrwyrvvl/sulit.jpg

Kenyataan Media KKM
https://www.dropbox.com/s/ny21ylgf6np4434/media%20kkm.jpg

Kenyataan KP JAKIM
https://www.dropbox.com/s/zmc791yezlir4sa/media.jakim.jpg

Penerangan pegawai JAKIM
@[666816963373225:https://www.facebook.com/photo.php?fbid=666816963373225&set=a.259095060812086.80145.100001347838242&type=1&relevant_count=1]

keputusan ujian JKM
http://www.astroawani.com/news/show/kenyataan-media-berkenaan-keputusan-ujian-dna-babi-dalam-produk-cadbury-37022

Majlis fatwa
http://www.astroawani.com/news/show/coklat-cadbury-halal-majlis-fatwa-kebangsaan-36793

Sumber: facebook

Sunday, June 1, 2014

YDP Pas Gopeng diserang malam tadi


Pagi tadi mendapat berita yang YDP Pas Gopeng, Tuan Haji Abd Rahim Md Ariff telah diserang sakit jantung tengah malam tadi dirumah beliau. 

Kini beliau ditempatkan di wad ICU Hospital Pantai Puteri, Ipoh setelah menjalani rawatan angiogram sebaik tiba di hospital semalam.

Saya dan kawan, Samsul sempat luangkan masa tengahari tadi menziarahi beliau walaupun mesej awal daripada anaknya mengatakan yang doktor tidak menggalakkan pengunjung buat masa ini agar Haji Rahim dapat berehat secukupnya untuk segera pulih. 

Rezeki kami baik, tiada yang menghalang sewaktu masuk ke wad ICU itu.

Haji Rahim yang ditemani isteri, Hajah Siti kelihatan gembira menerima kunjungan kami. Sungguhpun telah diingatkan, berselera sungguh dia bersembang.

Pengalaman serangan itu sukar untuk diceritakannya. Tetapi, pengajaran daripadanya amat disyukuri.

Peluang kedua untuk terus menelusuri kehidupan ini, bukan semua orang dapat merasainya. Banyak benda, banyak perkara yang dulunya bertangguh-tangguh, kini rasanya perlu dilakukan kerana masa sudah semakin suntuk.

Nikmat hidup juga terasa ada yang terbatas, seperti duduk, makan, dan buang air juga kini tidak seperti dulu. 

Seperkara lagi yang beliau nasihati kami, belajarlah perkara-perkara yang membolehkan kita diserang penyakit jantung ini. Ianya datang tanpa amaran tetapi ada tanda-tanda lembut yang hanya disedari jika kita peka dan tahu.

Sebelum kami meminta diri untuk pulang, sempat beliau berpesan agar memohon rakan-rakan mendoakan kesembuhan buatnya.

Semoga doa kita semua diterima Allah agar Haji Rahim sembuh seperti sediakala. Pas Gopeng memerlukan pimpinan Yang Dipertuanya.



DAP jangan salahkan kemelayuan Dyana sebab kalah di Teluk Intan


Kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang meletakkan kekalahan mereka di Teluk Intan kerana Dyana adalah Melayu amat menjengkelkan saya.

Membaca kenyataannya itu di laman portal Malaysiakini seolah-olah DAP berpatah balik daripada misi mereka di dalam pilihanraya kecil kali ini.

Anti perkauman menjadi salah satu manifesto mereka memasuki pilihanraya di Teluk Intan dengan meletakkan calon muda berbangsa Melayu untuk merealisasikan hasrat tersebut.

Meletakkan calon Melayu untuk parti DAP saya lihat sebagai satu percubaan ataupun eksperimen untuk menghadapi pilihanraya umum ke 14 nanti. Dan eksperimen ini tentulah mahal harganya kerana ianya menentang arus yang telah lama dibuat oleh Umno dan BN.

Dyana Sofya, satu nama yang amat baru dalam arena politik tanahair, anak muda Melayu yang rupa parasnya seperti Cina yang diharapkan dapat memecahkan tembok perkauman dalam negara telah diletakkan dibarisan paling hadapan untuk menentang gergasi kuasa yang tua dan lama.

Walaupun baru berputik, tetapi kesediaan, kesanggupan serta keberanian beliau mengangkat amanah partinya itu mendapat kepujian daripada Presiden Pas, Tuan Guru Abdul Hadi Awang sendiri. 

Anak muda berbangsa Melayu ini telah di'groom' oleh bukan sembarangan orang di dalam DAP tetapi Penasihat parti itu sendiri, Lim Kit Siang yang mengangkatnya sebagai setiausaha politik beliau.

Pencalononnya dibuat oleh DAP sendiri, bukanlah keputusan PAS ataupun PKR.

Pemikirannya sudah tentulah mengikut acuan parti sehingga sanggup mendahulukan parti daripada agamanya sendiri di dalam isu Hudud.

Dan isu Hudud ini adalah anak panah pertama dari sebelum hari penamaan calon lagi, yang mengenai tepat ke jantung Dyana. Sticker anti-Hudud dilekatkan BN kepadanya bukan hanya untuk penyokong mereka sahaja tetapi penyokong PR juga terutamanya PAS. 

Pelbagai tohmahan, kejian dan ujian yang beliau hadapi semasa kempen di Teluk Intan, semuanya dilakukannya untuk parti. Semua pahit manis ditanganinya dengan senyuman manis yang tiba-tiba menjadi kegilaan lelaki seluruh negara. 

Apabila diumumkan kekalahan beliau di tangan BN, tiba-tiba bangsa Melayu yang menjadi darah dagingnya pula yang disalahkan DAP. 

Bagaikan tikaman kekalahan di Teluk Intan belum cukup menyeksakan Dyana, kenyataan Lim Guan Eng ini seperti tusukan tepat kepada jantungnya serta penyokong peribadinya yang telah bertambah dari sehari ke sehari selama berkempen tempohari.

Diharapkan DAP lebih menumpukan kepada faktor penipuan dalam pengiraan undi daripada terus menyalahkan bangsa Melayu calonnya sendiri. 

Kenyataan seperti itu tidak sedikitpun akan menguntungkan DAP tetapi akan lebih menguntungkan Umno yang menjadi tulang belakang Barisan Nasional.


Followers

Video ajijoi

Loading...