Sunday, March 30, 2014

Terkini! Misteri MH370 terjawab


Semenjak kehilangan pesawat Boeing MH370 milik Malaysian Airline System (MAS) pada awal pagi 8 Mac lalu, banyak persoalan yang terbiar tanpa jawapan apabila pesawat tersebut tidak ditemui sehingga ke hari ini.

Bukan hanya rakyat Malaysia yang menjadi tuan punya pesawat MH370 masih menantikan kesudahan nasib pesawat tersebut, seluruh penduduk dunia juga turut menanti jawapan yang sama.

Keluarga penumpang MH370 adalah insan yang paling berdebar dan hilang sabar menanti bilakah pesawat tersebut akan ditemui kembali bersama para penumpangnya.

Kelompongan dalam memberikan jawapan sebenar baik daripada pihak MAS mahupun kerajaan telah membuka peluang kepada pelbagai teori dikeluarkan melalui media maya.

Teori konspirasi, terhempas, dirampas dan pelbagai lagi cuba dihidangkan kepada dunia untuk menarik perhatian dan juga meraih publisiti dan populariti buat individu-individu tertentu.

Untuk popular dalam sekelip mata, tulislah apa saja mengenai MH370 dilaman sosial dan ianya akan segera di kongsi dan di muatnaik puluhan malah jutaan kali.

Segala teori yang dipersembahkan selama hari ini, waima melalui mimpi, satelit, rakaman telekomunikasi dan bermacam lagi hanyalah tinggal teori tanpa satupun yang berjaya dibuktikan.

Bermacam cerita direka agar blog, facebook, twitter dan youtube milik orang-orang tertentu akan menjadi popular secara tiba-tiba apabila dikaitkan dengan perkataan 'MH370'.

Tetapi satu perkara yang amat malang sekali apabila segala tulisan itu sedikit pun tidak mengambil kira sensitiviti keluarga mangsa yang saban hari, jam, minit dan saat ternanti-nanti akan pengesahan dari pihak berwajib mengenai nasib keluarga mereka.

Tidak terfikirkah yang segala tulisan itu sudah pastinya akan mengguriskan perasaan keluarga mangsa yang seolah-olah cuba menipu penantian mereka dengan cerita-cerita yang karut marut belaka.

Sepertimana tajuk yang saya paparkan untuk tulisan kali ini, pasti yang ramai akan segera membacanya untuk mendapatkan jawapan kepada teka-teki terhebat dunia hari ini.

Bukanlah niat saya untuk mempermainkan isu kehilangan pesawat MH370, apatah lagi menjadikannya sebagai satu bahan jenaka sepertimana setengah manusia yang tiada belas ihsan kepada keluarga yang terlibat, ianya hanyalah sekadar berkongsi rasa agar semua kita prihatin sedikit akan perasaan keluarga yang terlibat kerana lebih tiga minggu menunggu sudah semestinya satu seksaan yang teramat pedih, janganlah ditambah lagi seksaan mereka dengan tulisan-tulisan yang tidak benar seolah-olah memberikan harapan palsu terhadap penantian kepulangan keluarga mereka.

Dunia kini sedang bersatu tenaga untuk mencari serta merungkai misteri kehilangan pesawat MH370, usahlah kita menambah kesusahan pencarian tersebut dengan pelbagai andaian-andaian yang tidak munasabah dan tanpa bukti.

Adalah lebih baik segala tulisan itu dialihkan kepada doa dan solat hajat agar lebih cepat diperkenan Tuhan dalam misi pencarian MH370.

Maafkan saya jika tulisan saya ini mengganggu perasaan anda semua. Nasihat menasihati antara kita, semoga terungkai pencarian segalanya.

#Pray2Allah4MH370

Thursday, March 13, 2014

JAKIM selar khidmat bomoh dalam mencari MH370


KENYATAAN MEDIA
KETUA PENGARAH
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA
BERKENAAN PENGGUNAAN KHIDMAT BOMOH DAN PERKARA YANG BERTENTANGAN SYARAK DALAM PENCARIAN MH370

Terlebih dahulu marilah sama-sama kita menginsafi bahawa sesungguhnya kekuasaan ALLAH meliputi semua ciptaanNya. Apabila Allah menghendaki sesuatu, maka Dia hanya memerintahkannya sahaja, begitulah hebatnya kekuasaan ALLAH SWT. Sebagai manusia yang diciptakan olehNya, Dia menguji kita dengan pelbagai ujian demi untuk kesempurnaan manusia itu sendiri. Allah tidak akan menguji manusia di luar kemampuannya. DIA menguji kita dengan pelbagai dugaan dalam taraf kemampuan manusia dan setelah disediakan dengan segala alat kelengkapan pada diri manusia itu sendiri.

JAKIM menyelar usaha pihak-pihak yang mendapatkan khidmat bomoh dalam usaha pencarian pesawat MH370 yang secara jelas adalah bertentangan dengan Islam. Hukum mengamalkan pengubatan alternatif atau kaedah perbomohan adalah harus di dalam Islam namun mestilah tidak bertentangan dengan syarak. Jakim telah terlebih dahulu mengeluarkan Garis Panduan Perbomohan Menurut Islam untuk diteliti dan difahami oleh masyarakat dan ia boleh diakses melalui laman web Jakim di www.islam.gov.my.
Walaupun kita amat sedih dengan ujian yang sedang menimpa kita. Tatkala pelbagai usaha yang telah kita lakukan oleh pihak berkuasa dan dengan pelbagai jenis teknologi dan aset sama ada dari negara kita dan dari negara-negara luar yang sudi menghulurkan tangan, kita masih menemui jalan buntu tanpa sebarang petunjuk dalam tempoh 3 hari ini. Namun kita tidak boleh berputus asa dan wajib terus memohon pertolongan Allah swt.
Dalam satu Mesyuarat panel Kajian Akidah Jakim pada 22 hingga 23 November 2004 telah memutuskan bahawa rawatan perbomohan Ibrahim Mat Zin adalah bercanggah dengan aqidah Islam kerana mengandungi unsur-unsur syirik, khurafat serta penipuan. Jika dilihat dari sudut alat-alat yang digunakan beliau pula menggambarkan bahawa bahawa raja bomoh ini menggunakan unsur khurafat dan tahyul yang ditolak dalam Islam. Panel menjelaskan bahawa Islam adalah saintifik dan menolak segala perbuatan tahyul dan khurafat.
Sehubungan dengan itu, saya mengingatkan semua msyarakat khasnya umat Islam agar tidak terpengaruh dan/atau mengamalkan upcara perbomohan yang jelas bertentangan dengan Islam. Ia bukan sahaja satu usaha yang sia-sia malah boleh mengundang kemurkaan Allah swt.
Umat islam harus menyakini bahawa ALLAH swt adalah sebaik-baik tempat bergantung dan bertawakkal. Setelah segala usaha pencarian dengan upaya manusia melalui ilmu sains, kepakaran dan teknologi sedang giat dijalankan maka kita sebagai hamba Allah harus terus berdoa bermohon kepada Allah yang maha Kuasa. Saya yakin kita akan berjaya temui petunjuk terhadap misteri kehilangan pesawat ini atas izinNya jua.  

Sekian, terima kasih.
BERKHIDMAT UNTUK AGAMA DAN NEGARA
‘Saya Yang Menurut Perintah’

DATO’ HAJI OTHMAN BIN MUSTAPHA
12 Mac 2014

Monday, March 10, 2014

MH370 terhempas?


Kehilangan pesawat MAS MH370 awal pagi Sabtu lalu sewaktu dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing adalah satu trajedi kemanusiaan yang bukan hanya melibatkan negara kita Malaysia sebagai pemunya kepada syarikat penerbangan MAS tersebut tetapi juga seluruh dunia kerana penumpangnya terdiri daripada rakyat pelbagai negara.

Kehilangannya secara tiba-tiba daripada radar dan perhubungan amat memeranjatkan serta mengundang pelbagai spekulasi.

Secara tiba-tiba ramai yang menjadi pengulas dan penganalisis tanpa tauliah apabila membincangkan dan memberikan pandangan mereka melalui platform media baru, tanpa mengambil kira sisi keselamatan negara, dan lebih teruk lagi, perasaan keluarga mangsa yang terlibat.

Ada yang mengatakan ianya telah jatuh terhempas di lautan, meletup di udara, di rampas pengganas dan pelbagai andaian lagi.

Ada juga yang lebih teruk apabila menjadikan tragedi malang ini sebagai bahan lelucun ataupun lawak jenaka. Apa perasaan kita jika yang terlibat itu adalah keluarga kita sendiri dan ianya menjadi bahan ketawa orang? 

Ramai juga yang lebih selesa mengambil dan mempercayai sumber-sumber berita dan laporan daripada luar negara sebagai bahan rujukan mereka.

Dalam masalah ini, mereka tidak boleh dipersalahkan secara langsung kerana media berita negara kita sendiri yang begitu lambat memberikan maklumat sepenting ini untuk pengetahuan rakyat umum. Seolah-olah ada penapisan dalam pemberitaan dan seperti mahu disembunyikan fakta-fakta dalam penyampaian. 

Penulis sendiri mendapat berita tentang kejadian malang ini melalui berita terkini CNN. 

Bukan saja rakyat negara ini malah rakyat negara luar juga merasakan ketidakpuasan hati dengan maklumat-maklumat dan berita yang diberikan oleh pihak pengurusan syarikat penerbangan MAS di dalam sidang media yang mereka adakan.

Kebanyakannya berulang-ulang dan berlapik-lapik seperti mahu merahsiakan sesuatu.

Pihak yang bertanggungjawab perlu lebih telus dalam memberikan maklumat kerana ianya teramat penting kepada keluarga mangsa yang terlibat serta rakyat amnya.

Dengan maklumat rasmi yang lebih lengkap dan tanpa berselindung, akan lenyaplah pelbagai spekulasi yang memenuhi ruang siber hari ini.

Akhir sekali, marilah kita bersatu dalam menghadapi tragedi yang buruk ini dengan menghulurkan doa bagi mangsa tragedi di dalam penerbangan MH370 ini serta keluarga mereka yang sejak hari pertama telah kering airmata menunggu berita nasib yang menimpa mereka.

*Sehingga artikel ini ditulis, masih belum ada khabar berita mengenai nasib pesawat MH370. Tajuk di atas hanyalah untuk menarik perhatian agar sama-sama kita mendoakan yang terbaik buat semua.

SAYA MAHU KELUAR DARI TARBIYAH SAJA !!!???


Ustaz, dulu ana merasa bersemangat dalam dakwah. Tapi kebelakangan rasanya semakin hambar. Ukhuwah makin kering. Bahkan ana melihat ternyata ikhwah banyak pula yang aneh-aneh." Begitu keluh kesah seorang mad'u kepada murabbinya di suatu malam.

Sang murabbi hanya terdiam, mencuba terus menggali semua kecamuk dalam diri mad'unya. "Lalu, apa yang ingin antum lakukan setelah merasakan semua itu?" sahut sang murabbi setelah sesaat termenung.

“Ana ingin berhenti saja, keluar dari tarbiyah ini. Ana kecewa dengan perilaku beberapa ikhwah yang justru tidak Islamik. Juga dengan organisasi dakwah yang ana geluti ini, kaku dan sering mematikan potensi anggota-anggotanya. Bila begini terus, ana mendingan sendiri saja..." jawab mad'u itu.

Sang murabbi termenung kembali. Tidak nampak raut terkejut dari roman wajahnya. Sorot matanya tetap terlihat tenang, seakan jawaban itu memang sudah diketahuinya sejak awal.

"Akhi, bila suatu masa antum naik sebuah kapal mengharungi lautan luas. Kapal itu ternyata sudah amat buruk. Layarnya banyak berlubang, kayunya banyak yang lapuk bahkan kabinnya berbau kotoran manusia. Lalu, apa yang akan antum lakukan untuk tetap sampai pada tujuan?" tanya sang murabbi dengan kiasan bermakna cukup dalam.
Sang mad'u terdiam berfikir. Tak kuasa hatinya mendapat umpan balik sedemikian tajam melalui kiasan yang amat tepat.

"Apakah antum memilih untuk terjun ke laut dan berenang sampai tujuan?" sang murabbi cuba memberi pilihan.

"Bila antum terjun ke laut, sesaat antum akan merasa senang. Bebas dari bau kotoran manusia, merasakan kesegaran air laut, atau bebas bermain dengan ikan lumba-lumba. Tapi itu hanya sesaat. Berapa kekuatan antum untuk berenang hingga tujuan? Bagaimana bila ikan jerung datang? Darimana antum mendapat makan dan minum? Bila malam datang, bagaimana antum mengatasi hawa dingin?" serentetan pertanyaan dihamparkan di hadapan sang mad'u.

Sang mad'u menangis tersedu. Tak kuasa rasa hatinya menahan kegundahan sedemikian. 

Kekecewaannya memuncak, namun sang murabbi yang dihormatinya tidak memberi jalan keluar yang sesuai dengan keinginannya.

“Akhi, apakah antum masih merasa bahawa jalan dakwah adalah jalan yang paling utama menuju ridho Allah?" 

Pertanyaan berat ini menghujam jiwa sang mad'u. Ia hanya mengangguk.

"Bagaimana bila kereta yang antum pandu dalam menempuh jalan itu rosak? Antum akan berjalan kaki meninggalkan kereta itu di tepi jalan, atau cuba memperbaikinya?" tanya sang murabbi lagi.

Sang mad'u tetap terdiam dalam sendu tangis perlahannya.

Tiba-tiba ia mengangkat tangannya, "Cukup ustaz, cukup. Ana sedar. Maafkan ana. Ana akan tetap istiqamah. Ana berdakwah bukan untuk mendapat pingat kehormatan. Atau agar setiap kata-kata ana diperhatikan..."

"Biarlah yang lain dengan urusan peribadi masing-masing. Ana akan tetap berjalan dalam dakwah ini. Dan hanya Allah saja yang akan membahagiakan ana kelak dengan janji-janji-Nya. Biarlah segala kepedihan yang ana rasakan jadi pelebur dosa-dosa ana", sang mad'u berazam di hadapan murabbi yang semakin dihormatinya.

Sang murabbi tersenyum. "Akhi, jama'ah ini adalah jama'ah manusia. Mereka adalah kumpulan insan yang punya banyak kelemahan. Tapi di balik kelemahan itu, masih amat banyak kebaikan yang mereka miliki. Mereka adalah peribadi-peribadi yang menyambut seruan Allah untuk berdakwah. Dengan begitu, mereka sedang diproses untuk menjadi manusia terbaik pilihan Allah."

"Bila ada satu dua kelemahan dan kesalahan mereka, janganlah hal itu mendominasi perasaan antum. Sebagaimana Allah ta'ala menghapus dosa manusia dengan amal baik mereka, hapuskanlah kesalahan mereka di mata antum dengan kebaikan-kebaikan mereka terhadap dakwah selama ini. Karena di mata Allah, belum tentu antum lebih baik dari mereka."

"Futur, mundur, kecewa atau bahkan berpaling menjadi lawan bukanlah jalan yang terbaik. Apabila setiap ketidak-sepakatan selalu ditangani dengan cara itu, maka sampai bilakah dakwah ini dapat berjalan dengan baik?" sambungnya panjang lebar.

"Kita bukan sekedar pemerhati yang hanya perlu memberi komen. Atau hanya pandai menuding-nuding sebuah kesalahan. Kalau hanya itu, orang kafirpun boleh melakukannya. Tapi kita adalah da'i. Kita adalah khalifah. Kitalah yang diserahkan amanat oleh Allah untuk menyelesaikan masalah-masalah di muka bumi. Bukan hanya pandai mendedah kelamahan, yang dgn nya boleh menjadikan kerja dalwah semakin rumit."
"Jangan sampai, kita seperti menyiram minyak ke bara api. Bara yang tadinya kecil tak bernilai, boleh menjelma menjadi nyala api yang membakar apa saja. Termasuk kita sendiri!"

Sang mad'u termenung merenungi setiap kalimat murabbinya. Azamnya memang kembali menguat. Namun ada satu hal tetap bermain dihatinya.

"Tapi bagaimana ana bisa memperbaiki organisasi dakwah dengan kemampuan ana yang lemah ini?" sebuah pertanyaan konstruktif akhirnya muncul juga.

"Siapa kata antum lemah? Apakah Allah mewahyukan begitu kepada antum? Semua manusia punya kemampuan yang berbeda. Namun tidak ada yang boleh menilai, bahawa yang satu lebih baik dari yang lain!" sahut sang murabbi.

"Bekerjalah dengan ikhlas. Berilah taushiah dalam kebenaran, kesabaran dan kasih sayang kepada semua ikhwah yang terlibat dalam organisasi itu. Karena peringatan selalu berguna bagi orang beriman. Bila ada sesuatu isu atau gosip, tutuplah telinga antum dan bertaubatlah. Singkirkan segala ghil (dengki, benci, iri hati) antum terhadap saudara antum sendiri. Dengan itulah, Bilal seorang yang budak hina menemui kemuliaannya."
Suasana dialog itu mulai mencair. Semakin lama, pembicaraan melebar dengan akrabnya. Tak terasa, kokok ayam jantan memecah suasana. Sang mad'u bergegas mengambil wudhu untuk qiyamullail malam itu. Sang murabbi sibuk membangunkan beberapa mad'unya yang lain dari keasyikan tidurnya.

Malam itu, sang mad'u menyedari kesilapannya. Ia bertekad untuk tetap bergerak bersama jama'ah dalam mengharungi dakwah. Pencerahan diperolehnya. Demikian juga yang diharapkan dari Antum/antunna yang membaca tulisan ini.. Insya Allah kita tetap istiqamah di jalan dakwah ini.. Dalam samudera tarbiyah ini..

Wallahu a'lam.

Coretan DARI TUAN IBRAHIM TUAN MAN

Thursday, March 6, 2014

Pemuda PAS Perak bertemu Pengarah Lembaga Getah Malaysia (LGM) Wilayah Utara


IPOH - Menyedari harga getah yang semakin menurun, Dewan Pemuda PAS Perak mengambil inisiatif mengadakan pertemuan ramah mesra dengan Pengarah Lembaga Getah Malaysia Wilayah Utara, Tuan Haji Sabran Ibrahim. 

Pertemuan tersebut diketuai Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Perak, Mohd Akmal Kamarudin bersama dua exconya iaitu Sdr Fakhrulrazi Mokhtar dan Sdr Faizal Fuad.

Pertemuan penuh mesra yang berlangsung hampir dua jam di Pejabat Lembaga Getah Malaysia Wilayah Utara itu membincangkan pelbagai isu berkaitan dengan penurunan harga getah yang membebankan pekebun kecil.

Menurut Mohd Akmal Kamarudin, pertemuan ini diadakan bagi mendapatkan penjelasan yang lebih jelas tentang apa yang berlaku.

"Pertemuan ini juga membuktikan bahawa Pihak Pemuda PAS Perak amat mengambil berat berkaitan penderitaan rakyat", ujar beliau.

Tegas beliau lagi nasib pekebun kecil yang majoritinya adalah golongan miskin tegar mesti dibela oleh pihak kerajaan. "Ada di antara anak mereka yang tidak membawa duit belanja ke sekolah kerana faktor kewangan, ini ditambah pula dengan cuaca kemarau yang malanda negara menyebabkan susu getah berkurangan".

Sehubungan itu pihak Dewan Pemuda PAS mencadangkan agar pihak kerajaan memperkenalkan harga lantai untuk mengatasi harga getah yang tidak menentu. "Dengan pelaksanaan ini,  nasib penoreh getah lebih terbela dan masalah miskin tegar akan dapat diatasi",  Sambung beliau yang mencadangkan harga lantai untuk getah pada kadar RM4 Sekilogram.

Dalam pertemuan tersebut juga beliau turut mempersoalkan kenapa harga getah yang dijual diluar negara dibeli dengan harga tinggi sedangkan penoreh getah menjual kepada syarikat dengan harga yang amat rendah. "perkara ini amat menghairankan kita dan adakah urusan jual beli diluar negara ini dikawal oleh syarikat-syarikat kroni kerajaan yang senang lenang mengerah tenaga rakyat, Ini kerana kita melihat pihak yang terlibat dengan industri getah seakan tidak terkesan dengan situasi yang berlaku, sehubungan itu kita akan mendesak kerajaan agar menjelaskan perkara ini kepada rakyat siapakah yang terlibat dengan urusan jual beli ini ", tambah beliau lagi.


PENEROKA HARAM: KERAJAAN WAJAR SEDIA MEKANISMA ‘MENANG-MENANG’


Kenyataan Media (6 Mac 2014)
  
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak tidak bersetuju kaedah keras dan bersifat zalim yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri Perak terhadap ‘peneroka haram’ Kelapa Sawit yang telah ditanggani di kawasan seluas 40 hektar di Sahom, Kampar baru-baru ini. Kerajaan Negeri Perak sewajarnya menggunakan mekanisma ‘menang-menang’ dengan tidak menafikan hak ‘peneroka’ terbabit dengan tidak mengadilinya dengan hikmah sebagai sebuah kerajaan yang membela rakyatnya dengan sebaik mungkin. Kami dalam masa yang sama boleh bersetuju dengan tindakan tegas kerajaan negeri, akan tetapi tidak bersetuju dengan tindakan drastik tersebut sebagai satu tindakan yang tidak berperikemanusiaan.
 
Tanpa menafikan hak dan kuasa kerajaan negeri bertindak tersebut, amatlah tidak wajar dalam keadaan Kelapa Sawit tersebut yang sudah boleh membuahkan hasil dan bukannya baru menjalankan kegiatan yang disifatkan sebagai ‘penerokaan haram’. Keadah perbincangan dan ‘tolak ansur’ perlu diberikan keadilan kepada ‘peneroka’ terbabit oleh kerana faktor-faktor yang menjadi kekangan ‘peneroka’ yang terlibat. Bagi kami juga, jika benar pihak kerajaan negeri ingin membuat ketegasan terhadap semua ‘peneroka haram’ dan wajarlah semua tindakan serupa mesti dilakukan tanpa ‘memilih bulu’ yang bukan sahaja di Sahom.
 
Kami tegaskan, akan terus membela mereka-mereka yang berada di luar sana yang memerlukan pembelaan. Dan kami tegaskan juga, bersedia bertemu dengan kepimpinan utama kerajaan negeri untuk mencari penyelesaian di atas kemelut yang berlaku. Kami harapkan pihak kerajaan negeri membuangkan sifat ‘ego’ dan ‘sombong’ dalam menyelesaikan masalah yang menimpa rakyat seperti di Sahom. Kewajaran tindakan perlu disusuli dengan ruang perbincangan dan penyelesaian yang konkrik agar pembelaan kepada mereka yang terlibat setimpal dengan apa yang berlaku. Jangan kerana tindakan yang diambil bersifat tertentu sahaja kerana mereka semua adalah rakyat Perak yang berhak dan memerlukan keadilan yang sewajarnya!
 
DR RAJA AHMAD ISKANDAR AL-HISS
Ketua,
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak.




Followers

Video ajijoi

Loading...