Friday, November 8, 2013

Ceramah Isu Semasa di Taman Maju Rapat malam ini


Malam ini akan diadakan Ceramah Isu Semasa di Taman Maju Rapat (berhampiran Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah), Ipoh. Ceramah akan bermula jam 9.00 malam.

Ceramah kali ini akan disampaikan oleh Ahli Parlimen Shah Alam, YB Khalid Samad bersama dengan YB Dr Lee Boon Chye, Ahli Parlimen Gopeng dan juga YB Radzi Zainon, Adun Sg Rapat.

Datanglah beramai-ramai.

Monday, November 4, 2013

BN gagal di Sg Limau walau guna segala kekuatannya

Mohd Azam Abd Samad (tengah) berjaya kekal pengaruh PAS di DUN Sungai Limau. Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli, 4 November, 2013.Mohd Azam Abd Samad (tengah) berjaya kekal pengaruh PAS di DUN Sungai Limau. Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli, 4 November, 2013.Barisan Nasional (BN) gagal merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau walaupun menggunakan segala jentera kerajaan negeri dan pusat, di samping wang dan tokoh-tokoh besarnya.

PAS berjaya memenangi kerusi itu dengan majoriti 1,084 undi apabila calonnya Mohd Azam Abdul Samad mengalahkan calon BN Dr Ahmad Sohaimi Lazim dalam pertandingan satu lawan satu.

Kegagalan BN untuk merampas kerusi ini juga menjadikan Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Mahathir kalah buat kali kedua dalam masa tidak sampai sebulan.

Sebelum ini, Mukhriz yang memimpin jentera BN di Sungai Limau gagal dalam usahanya untuk merebut salah satu kerusi naib presiden Umno apabila beliau berada di tempat keempat di belakang Datuk Seri Hishamuddin Hussein.

Mukhriz memberikan tumpuan sepenuhnya dalam pilihan raya kecil ini dengan berkampung di Sungai Limau sepanjang kempen berjalan.

Beliau berada di mana-mana dalam kawasan pilihan raya untuk memastikan jentera Umno berjalan dengan baik.

Ayahnya, Tun Dr Mahathir Mohamad, turut dibawanya untuk membantu kempen BN.

Selain gambar calon BN, gambar Mukhriz banyak digantung di sini.

Tidak sebagaimana pilihan raya kecil sebelum ini, gambar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak digantung oleh petugas BN di Sungai Limau.‎

Walaupun Mohd Azam menang, majoriti 1,084 undi adalah kurang berbanding majoriti 2,774 yang diperolehi oleh allahyarham Tan Sri Azizan Razak dalam pilihan raya umum lalu.

Kemenangan Mohd Azam, Penolong Pengetua Sekolah Menengah Agama An Nahdzah, Bukit Besar mengalahkan pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Ahmad Sohaimi merupakan satu keputusan yang manis bagi PAS di Kedah setelah hilang negeri jelapang padi itu dalam pilihan raya lalu.‎

Kemenangan ini juga manis buat Pesuruhjaya PAS Kedah yang baru, Datuk Mahfuz Omar, yang menggalas tanggungjawab itu selepas Azizan meninggal dunia.

Ia bakal menjadi bekalan penting untuk Mahfuz dalam pemilihan PAS dari 22 hingga 24 November ini apabila beliau dijangka akan mempertahankan jawatannya sebagai naib presiden.

Kekalahan calon BN juga bermakna program Karnival Rakyat yang banyak mendapat sambutan penduduk tempatan tidak berjaya diterjemahkan dalam bentuk undi untuk BN.

Ia hanya menghabiskan wang yang banyak kepada BN apabila barangan seperti gula, beras dan Milo dijual dengan harga yang murah.

Walaupun kerajaan telah menghentikan subsidi gula sebanyak 34 sen dengan alasan untuk mengelakkan penyakit kencing manis, gula dijual dengan harga murah di Sungai Limau.

Tindakan kerajaan menarik balik subsidi 34 sen gula telah menyebabkan harga gula naik melambung kepada RM2.84 sekilo, namun penduduk di sini mendapat gula dengan harga RM1 sahaja sekilo.

Sekampit beras 5 kilogram hanya dijual dengan harga RM5 sahaja oleh karnival anjuran BN di sini.

Namun, terbukti ia tidak berjaya membeli undi penduduk Sungai Limau, khasnya di kubu kuat PAS iaitu Bukit Besar, tempat berlangsungnya karnival tersebut. – 4 November, 2013.


Sumber: The Malaysian Insider

Sunday, November 3, 2013

Gandingan mantap terajui kepimpinan Dewan Pemuda Pas Perak sesi 2013-2015


Pemuda Pas Perak telahpun membuat pemilihan mereka bagi memilih pucuk pimpinan yang baru bagi sesi 2013-2015 hari ini di Ipoh Tower Regency, Ipoh.

Muktamar Tahunan Dewan Pemuda Pas Perak yang telah dirasmikan oleh Ketua Dewan Pemuda Pas Malaysia, YB Ustaz Nasruddin Hassan Tantawi hari ini menyaksikan keputusan pemilihan yang bercampur-campur.

Sebelum ini, dikatakan terdapat dua kumpulan yang berentap merebut jawatan-jawatan tertinggi dewan. Namun, keputusan yang diumumkan oleh Pengerusi Tetap Muktamar, Dr Nuri Al Amin petang ini menyaksikan gabungan dua kumpulan tersebut bagi meneraju sesi baru dewan tersebut.

Keputusan Kepimpinan Dewan Pemuda Pas Perak bagi sesi 2013-2015 adalah seperti berikut:-

Ketua Pemuda: Dr Raja Iskandar Al-Hiss berjaya mengalahkan penyandang, YB Ustaz Ahmad Zawawi Hassan dengan memperolehi majoriti 7 undi. Dr Raja Iskandar 104 undi manakala Ustaz Zawawi 97 undi. 

Timbalan Ketua Pemuda: Juga dengan majoriti 7 undi, Ustaz Akmal Kamaruddin berjaya mengatasi pencabarnya dengan 104 undi, Saudara Salman Saleh mendapat 97 undi. 

Naib Ketua Pemuda: Ustaz Khairi Jamaluddin (108 undi) yang merupakan penyandang jawatan ini telah berjaya mengekalkan kedudukan beliau dengan majoriti yang selesa dan besar, 15 undi mengatasi Ustaz Nazri Din (93 undi). 

Exco-exco Dewan Pemuda Pas Perak:

Ustaz Hafez Sabri - 186 undi
Mohd Aidil Aziz - 130 undi
Ustaz Azmin Basya - 126 undi
Ustaz Ismi Mat Taib - 125 undi
Mohd Faizal Puait - 123 undi
Ustaz Akmal Sani - 110 undi
Ustaz Fakhrurazi Mokhtar - 110 undi
Ustaz Fairuz Hafiz - 106 undi
Hakim Mohd Nor - 104 undi
Ustaz Anuar Murad - 101 undi

Semoga dengan keputusan pemilihan kali ini, Dewan Pemuda Pas Perak bakal menggegarkan persada politik tanahair dan negeri Perak ini khususnya. 

Dan diharapkan agar agenda tarbiyyah diletakkan disenarai teratas agenda dewan bagi mengukuhkan jatidiri ahli-ahli pemuda yang merupakan pelapis bagi kepimpinan parti di masa hadapan.

Ucapan takziah saya ucapkan kepada seluruh exco yang telah terpilih kerana kalian telahpun diamanahkan untuk menggalas satu tugasan yang amat berat, yang akan diperhitungkan dihadapan Allah Taala kelak.


Saturday, November 2, 2013

PRK Dun Sg Limau: Penyelidik ramal PAS menang


Badan penyelidikan Ilham Centre menjangka PAS akan mengekalkan kerusi DUN Sungai Limau apabila mendapati sokongan untuk parti Islam itu antara 53 hingga 55% menjelang hari membuang undi pada pilihan raya Isnin ini.

Pengerusi Eksekutif Ilham Centre, Mohamad Hisomudin Bakar dalam kenyataannya kepada media berkata, perolehan ini berdasarkan kajian mereka secara bersemuka dengan 602 pengundi di Sungai Limau sejak 28 Oktober hingga 1 November.

"Sepanjang tempoh kajian dijalankan, kami mendapati faktor identifikasi parti yang terlalu menebal di kalangan pengundi penyumbang kepada pengekalan undi PAS di sini," kata Hisomudin.

Ilham Centre adalah sebuah badan penyelidik yang mempunyai rekod pencapaian baik apabila jangkaan mereka menjelang pilihan raya kecil sentiasa tepat sejak pilihan raya kecil Kuala Terengganu pada tahun 2008 lagi.

Metode bertemu responden secara bersemuka adalah antara kajian yang dibuat oleh Ilham dan ternyata ia mempunyai margin kesilapan sangat kecil.

Menurut Hisomudin, kajian kali ini mendapati pilihan raya kecil Sungai Limau memperlihatkan dengan jelas pertembungan antara PAS dengan Umno dan bukan Pakatan Rakyat dengan Barisan Nasional.

Mereka juga mendapati pengundi Sungai Limau sangat tegar dan dipengaruhi oleh identifikasi parti berbanding faktor-faktor lain.

"Faktor ini menyumbang sebanyak 81% yang diambil kira oleh pengundi berbanding faktor calon (12%) dan faktor isu hanya 4% sahaja," kata Hisomudin.

Pengaruh dua pondok di kawasan pilihan raya ini iaitu Pondok Bukit Besar dan Pondok Pak Ya yang dimiliki oleh tokoh PAS juga memberikan sumbangan besar sokongan kepada PAS.

Pemuda Pas Perak perlu memilih antara Tarbiyyah atau Mendepani Isu


Esok, Pemuda Pas Perak akan membuat pilihan untuk memilih pucuk pimpinan mereka bagi sesi yang baru.

Pemilihan yang akan diadakan di Hotel Tower Regency, Ipoh itu bakal menyaksikan pertembungan yang panas apabila secara jelas dua kumpulan bertembung untuk merebut jawatan tertinggi Dewan Pemuda Pas Perak. 

Penyandang Ketua Pemuda, Ustaz Ahmad Zawawi Abu Hassan yang juga Adun Gunung Semanggol dicabar oleh Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss yang sebelum ini merupakan timbalan beliau. 

Bagi jawatan Timbalan Ketua Pemuda pula, dua muka baru akan berentap setelah jawatan tersebut tidak dipertahankan oleh Dr Raja Ahmad Iskandar. Salman Saleh, bekas Setiausaha akan bersaing dengan Ustaz Akmal Kamaruddin bagi merebut kedudukan tersebut.

Manakala jawatan Naib Ketua Pemuda pula, penyandangnya Ustaz Ahmad Khairie Jamaluddin akan mempertahankannya menentang Ustaz Nazri Din. 

Kempen pertandingan ini dapat dilihat di media-media sosial terutamanya Facebook dengan gabungan Dr Raja Ahmad Islandar, Salman Saleh dan juga Nazri Din menaikkan gambar-gambar lama mereka memberikan sidang media dan menghulurkan bantuan kepada rakyat. 

Team ini membawa tagline 'Mendepani Isu' di dalam poster-poster kempen mereka.

Manakala team penyandang, YB Ustaz Ahmad Zawawi dan Ustaz Ahmad Khairie bersama-sama dengan Ustaz Akmal Kamaruddin lebih memperkatakan mengenai Tarbiyyah ahli. 

"Pemuda perlu dibentuk dengan tarbiyyah, sesuai dengan Islam sebagai dasar parti. Bukannya membicarakan isu-isu semata. Pemuda bukan perlu dirai sentiasa, tapi mesti selalu dipimpin dengan agenda agama" kata seorang pemuda kepada saya.

Saya bukanlah salah seorang daripada perwakilan Dewan Pemuda Pas Perak yang akan memilih pemimpin yang akan mewarnai halatuju pemuda. 

Dan bukanlah niat saya untuk mempengaruhi para perwakilan kerana saya percaya mereka adalah insan yang matang serta tentu sekali telahpun membuat pemilihan mereka di dalam hati sebelum menterjemahkannya ke kertas undi esok pagi. 

Buat yang bertanding, terimalah apa jua keputusan yang akan dibuat para perwakilan esok. Anda semua memang layak untuk bertanding, tetapi yang terpilih sahaja yang akan memimpin. 

Setelah selesai nanti, rapatkanlah saf kembali, bekerjalah kerana Allah, bukan yang lain.

Saya ingin ucapkan salam takziah buat siapa jua, yang telah dipilih sebagai pemimpin Dewan Pemuda Pas Perak esok kerana amanah yang dipikulkan ke bahu anda itu tentunya amatlah berat dan akan dipersaksikan dihadapan Allah Taala nanti. 

Selamat bermuktamar dan memilih pemimpin buat semua perwakilan Dewan  Pemuda Pas Perak. 



Followers

Video ajijoi

Loading...