Saturday, August 31, 2013

Sambutan Merdeka yang belum merdeka


Setiap kali tibanya tarikh 31 Ogos, laungan kemerdekaan akan kedengaran. Sama ada warganegara betul-betul memahaminya ataupun merasainya, sambutannya tetap diberi keutamaan.

Apakah corak sambutan menyambut kemerdekaan negara yang anda masih ingat? Nyanyian, tarian, bunga api, berhimpun dan macam-macam lagi yang langsung tiada bersifat syukur. 

Saban tahun begitulah aturcara sambutan yang disusun. Oleh kerana Malaysia masih berkerajaankan parti yang lama, cara sambutannya juga bercorak yang sama dan lama. Dengan jutaan ringgit hangus disetiap negeri. Untuk apa semua ini?

Beginikah sambutan yang dimahukan rakyat? Mereka mahu melihat bunga api? Mereka mahu berhibur dengan konsert dan tarian? Mereka mahu berhimpun ditengah malam?

Alangkah baiknya jika diisi dengan program-program yang mengisi kerohanian mereka, tanpa berbelanja berjuta ringgit. Bawa jiwa mereka menghayati istilah sebenar kemerdekaan dengan penuh rasa syukur. 

Sampai bila rakyat mahu dilalaikan dengan acara sebegini saban tahun. Sehingga bila mahu dimomokkan yang kita benar-benar telah merdeka? 

Selamat menyambut Hari Kemerdekaan, Malaysia!


Friday, August 30, 2013

Filem Melayu: Paksa Tayang & Curi Tayang

Filem Melayu, pasarannya kecil, tapi hebohnya besar. Jumlah penontonnya sikit, tapi kecoh dan kerenahnya banyak. 

Filem Melayu 1:

Filem Tanda Putra. Sudah lama disiapkan, sudah merata tempat ditayangkan secara sembunyi. Di universiti, di Felda dan pelbagai tempat lagi ditayangkan secara percuma. Untuk apa? Untuk menaikkan semangat Melayu kononnya bagi memperingati tragedi berdarah 13 Mei. 

Kini, menjelang Hari Kemerdekaan negara yang ke-56, sekali lagi filem ini diangkat untuk memainkan emosi dalam kepelbagaian kaum. 

Filem Tanda Putera ini kini diasak untuk ditayangkan di pawagam. Walaupun kandungannya dibantah kerana mengandungi adegan yang dikatakan hanya rekaan tetapi dicop sebagai inti sejarah.

Heboh sedunia apabila pawagam di Pulau Pinang dilarang menayangkan filem ini demi menjaga keharmonian kaum. 

Gegak gempita marahnya pak-pak menteri sehingga mahu mengheret perundangan negara turut sama menari dan melatah. 

Apalah yang hendak dibanggakan dengan sebuah filem yang lebih bersifat propaganda tetapi diangkat sebagai sejarah, apabila hanya mampu menarik 12 orang Melayu untuk menonton tayangan pertamanya di pawagam MidValley, Kuala Lumpur.

Filem adalah satu cerminan bangsa buat tontonan dunia. 

Jangan jadikan filem Tanda Putra lebih sesuai dengan nama Tandas Putra. 


Filem Melayu 2: 

Filem KL Gangster, mencatatkan kutipan box office satu ketika dulu. Kini, peminat filem Melayu sedang menantikan tayangan filem sequelnya, KL Gangster 2 pada bulan Oktober nanti. 

Pengarahnya, Shamsul Yusof tetiba mengamuk kerana ramai yang telah menonton filemnya KL Gangster 2 sebelum tarikh tayangannya pada Oktober nanti, secara PERCUMA.

Filem yang telah memerah otak dan keringatnya selama berbulan-bulan, telah disabotaj dengan dimuat naikkan ke dalam internet untuk tontotan awam. Siapa yang tak mengamuk. 

Namun, fenomena sebegini bukanlah sesuatu yang baru bagi industri filem antarabangsa. Filem-filem Hollywood telah banyak kali diedarkan melalui internet sebelum ditayangkan di pawagam. 

Ini sudah pastilah kerja orang dalam yang mempunyai akses kepada fiem tersebut. Mungkin ada sebab-sebab tertentu yang membuatkan mereka terdorong untuk melakukan sebegitu. 

Namun saya percaya, filem aksi hebat sebegitu sudah pastilah akan lebih memuaskan bila ditonton di pawagam berbanding dengan dimuat turun daripada internet. 

Yang pastinya keuntungan filem Skop Productions kali ini tentu akan terjejas dengan perbuatan mereka-mereka yang tidak bertanggungjawab itu. 




Kongsi Gelap: Dedah atau Promosi?

Kongsi gelap. Nama pun gelap, sudah tentu ianya rahsia. Bila ianya rahsia, sudah tentu tidak mahu sesiapa pun tahu. 

Oleh kerana ianya gelap, pasti ada sesuatu yang membuatkan ia digelar gelap. Bukan saja-saja mahu dikenali sebagai gelap, apatah lagi bila ianya bersifat kongsi.

Perjalanannya sudah tentu berada di luar landasan apabila diisytihar sebagai gelap. Dan apabila berada di luar landasan, apatah lagi landasan undang-undang, pastinya akan sentiasa diintip sang mata-mata gelap.

Sebelum ini, siapa yang tahu kewujudan mereka selain daripada sang mata-mata gelap? Mereka tidak mengenakan tanda nama sebagai ahli kongsi gelap, tidak juga memperkenalkan diri. Kita tidak tahu siapa mereka, berapa jumlahnya. Hanya pihak berkuasa sahaja yang melakukan pemantauan akan kegiatan mereka yang tahu tentang semua itu.

Dimana mereka berada, apa kegiatan harian mereka, bukanlah satu pengetahuan awam yang perlu diketahui rakyat jelata.

Tetapi, apabila pihak berkuasa membuat pengumuman kepada awam akan kewujudan kumpulan kongsi gelap ini, beserta dengan nama-nama kumpulan mereka yang ada 49 kesemuanya, adakah ianya satu keputusan yang betul? 

Rakyat Malaysia yang selama ini dibanggakan sebagai warganegara sebuah negara yang aman, tetiba dikejutkan dari lena yang mereka sebenarnya berkongsi gelap dengan 49 'geng' yang menjalankan kegiatan mereka bertahun-tahun lamanya.

Adakah pengumuman pihak berkuasa mengenai kewujudan 49 'geng' kongsi gelap ini merupakan satu pendedahan ataupun promosi buat geng-geng ini?

Sebelum ini, kita tidak tahu pun jumlah mereka, nama mereka. Tetapi kini, ianya telahpun 'dipopularkan' untuk menjadi sebutan awam dalam perbualan seharian kita.

Adakah 'promosi' ini akan membuatkan mereka menghentikan segala kegiatan mereka, ataupun akan lebih memberikan ruang untuk mereka mencari pengaruh untuk merekrut ahli-ahli yang baru?

Ada yang berkata bahawa pihak berkuasa telah 'habis ikhtiar' untuk menangani geng-geng ini sehingga terpaksa 'mengecut perut'kan rakyat dengan 'pendedahan' ini. Malaysia tidak aman rupanya, tidak seperti yang digembar-gemburkan.

Biar apapun, pendedahan ataupun promosi telahpun dibuat, nama-nama 49 kumpulan kongsi gelap negara telahpun diketahui umum kini, setelah sekian lama menjadi rahsia 'top secret' di dalam fail-fail pihak polis.

Nama-nama 49 kumpulan kongsi gelap yang diumumkan boleh dilayari disini:- http://www.thestar.com.my/News/Nation/2013/08/29/Home-ministry-lists-51-gangs.aspx

Thursday, August 29, 2013

Peruntukan Adun: BN bimbang ketelusan PR

Saya meneliti laporan media dan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak semalam berkaitan ucapan saya agar Kerajaan Negeri Barisan Nasional (BN) Perak menyalurkan peruntukan kepada semua ADUN cukup membimbangkan BN di atas ketelusan setiap Ringgit yang disalurkan kepada rakyat khasnya. Terutamanya Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, ADUN Kawasan Slim yang mempertikai saranan saya agar BN adil kepada semua ADUN Pakatan Rakyat (PR) untuk diberikan peruntukan bagi setiap DUN.

Saya menyifatkan BN cukup bimbang jika peruntukan kepada ADUN PR diberikan kerana PR akan menjanjikan ketelusan setiap peruntukan dibelanjakan kepada rakyat. Jaminan ketelusan ini mendapat bantahan daripada ADUN BN melalui Datuk Khusairi yang juga sebagai Ketua Penyokong Kerajaan DUN. Walaupun isu yang dibangkitkan oleh Datuk Khusairi yang mempertikai Kerajaan Negeri PR di Pulau Pinang, Selangor dan juga Kelantan, BN lupa bahawa mereka juga yang telah menyekat wang rakyat Kelantan iaitu Royalti Minyak selama ini.

Saya juga mencabar BN agar menyerahkan kembali Royalti Minyak kepada rakyat Kelantan yang kini masih diperintah oleh PR di sana. Saya meminta Datuk Khusairi dan BN mencermin diri terlebih dahulu di atas menafikan hak dan menjunjung demokrasi tulen yang tidak diamalkan oleh BN sebenarnya. Persoalan saya, mengapa perlu bimbang jika benar rakyat menerima BN dan masih menyekat peruntukan kepada ADUN PR sehingga kini!

YB HAJI ABU BAKAR HUSSIEN
Pesuruhjaya,
PAS Negeri Perak.

Sunday, August 25, 2013

Jamuan Raya Aidilfitri Surau Al-Ehsan


24 Ogos 2013 - Sekali lagi Surau Al-Ehsan menghidupkan tradisi dengan mengadakan jamuan hari raya Aidilfitri buat jemaah serta qariah surau. Berbagai hidangan telah disediakan buat 300 orang jemputan termasuk daripada beberapa kawasan yang berhampiran.



YB Ustaz Abu Bakar Husain selaku Pengerusi Surau Al-Ehsan telah mengepalai majlis jamuan dengan memberikan kata-kata aluan buat semua yang hadir.

Jemaah muslimin menanti waktu jamuan bermula

Hidangan sate menjadi tarikan utama

Terdapat juga beberapa hidangan yang lain seperti bihun sup, mee dan kotiau goreng, lemang dan rendang ayam

Bihun sup daging 


Muslimat juga ramai yang hadir menjamu selera



YB Ustaz Abu Bakar menjamah lemang sambil berbual dengan Cikgu Hani


YB Ustaz Abu Bakar sedang menyampaikan sumbangan duit raya buat kanak-kanak



Isteri YB Ustaz Abu Bakar, Hajjah Norain menyampaikan duit raya buat kanak-kanak perempuan

DS Nizar sambut menantu antarabangsa


Semalam adalah hari yang bersejarah buat keluarga Dato' Seri Ir Haji Mohammad Nizar Jamaluddin & Datin Seri Fatimah Bt Taat apabila berlangsungnya majlis perkahwinan 2 putera mereka secara serentak. 

Majlis yang diadakan di Dewan Oranag Ramai Rapat Setia, Ipoh itu menerima tetamu yang ramai daripada semua kaum. Turut kelihatan adalah pimpinan-pimpinan daripada parti-parti di dalam Pakatan Rakyat yang menyerikan lagi majlis pada hari itu.

DS Nizar dan DS Fatimah menyambut kehadiran tetamu jemputan

DS Nizar menyantuni tetamu-tetamu beliau


Adun Sg Rapat, YB Radzi Zainon bersalaman mesra bersama Naib Presiden Pas, YB Salahuddin Ayub

DS Nizar gembira dengan kehadiran YB Salahuddin Ayub

Yang menjadi tarikan menarik di dalam majlis ini adalah menantu-menantu DS Nizar yang kedua-duanya daripada bangsa asing, antarabangsa. Seorang daripada negara China dan seorang lagi keturunan Padang, Indonesia.

Pasangan pengantin pertama yang tiba adalah Mohammad Syaakirin Nizar & Yang Xiao Tong (Salima) daripada wilayah Xi'an, China. Pasangan ini telahpun diijab kabulkan pada bulan June lalu di Xi'an, China. Turut hadir bersama Salima adalah keluarganya daripada sana. Syaakirin adalah anak ketiga DS Nizar dan DS Fatimah Taat.
Pasangan Syaakirin dan Yang Xiao Tong (Salima)

DS Nizar menyambut besan beliau


Sama cantik, sama padan


Pasangan yang kedua pula adalah anak kedua DS Nizar, Mohammad Syaheed & Nur Shazareen Bte Kamarozaman. Nur Shazareen adalah keturunan Padang, Indonesia tetapi telah menetap di sini bersama keluarga.

Syaheed & Nur Shazareen

Menantu mencium tangan ibu mertua



Ketibaan kedua pasangan pengantin memang dinantikan tetamu yang hadir. Ramai yang ingin melihat mereka daripada dekat. Dewan juga penuh sesak di waktu ini dengan tetamu yang baru tiba serta rombongan daripada kedua-dua belah keluarga pengantin.

Dua pasangan Raja Sehari yang diraikan

DS Nizar memberikan sedikit ucapan sebagai tuan rumah kepada majlis hari ini




Didoakan semoga kedua-dua pasangan pengantin ini akan dilimpahi rahmat bahagia sehingga ke akhir hayat serta beroleh cahayamata yang soleh dan solehah. Barakallah hu lakuma wa baraka alikuma. Wa jamaah baina kuma fii khair.

Thursday, August 22, 2013

Adun Pas buat persiapan rapi untuk Sidang DUN Perak

IPOH, Sidang DUN Perak pasti panas dan hebat jelas Misbahul Munir pengerusi sekretariat adun-adun PAS Perak.

Menurut beliau, ini kerana adun-adun PAS Perak sudah bersedia dengan soalan-soalan mencabar yg akan menggegar sidang DUN Perak.

Jelas beliau, soalan-soalan bertulis dan lisan terutamanya akan menjadi medan untuk rakyat mendapat penjelasan dari kerajaan Barisan Nasional, dan rakyat mengharapkan semua soalan hendak lah dijawab dengan jujur oleh kerajaan negeri.

Beliau menyatakan soalan bertulis yang berkaitan dengan isu-isu rakyat perlu diberi keutamaan untuk dijawab dan masa bersoal jawab juga hendaklah cukup untuk semua soalan yg dikemukakan. 

Beliau menegaskan, bahawa rakyat tidak mahu speaker hanya memilih soalan-soalan dari anggota barisan nasiaonal sahaja, sebaliknya mesti adil dan saksama terhadap Adun-adun pakatan rakyat.

Justeru beliau menyeru agar rakyat tidak lepaskan peluang untuk mendengar perbahasan dari adun PAS dan raka-rakan pakatan rakyat yang lain. Pastinya adun-adun pakatan rakyat akan mengetengahkan isu-isu rakyat. 

Tuesday, August 20, 2013

CCRIS TERHADAP PEMINJAM PTPTN : SATU LAGI PROJEK MENJERUT RAKYAT

(20 Ogos 2013)
Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) membantah cadangan kerajaan untuk melaksanakan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) terhadap peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mulai bulan ini. DPPM menganggap tindakan terbaharu kerajaan ini sebagai zalim kerana akan menggelapkan masa depan peminjam khususnya dari golongan generasi muda. Apakah ini hadiah paling berharga dan mahal bagi kerajaan terhadap rakyatnya khususnya golongan muda yang memberi undi kepada mereka dalam PRU ke 13 yang lalu?

Kerajaan bersikap tidak prihatin dan menunjukkan belas kasihan khususnya kepada golongan generasi muda. Kebanyakan anak muda pada hari ini terpaksa bersaing untuk mendapatkan pekerjaan dan bukan semua yang bertuah mendapat kerja. Ada kalangan graduan yang tidak bekerja tetap selama bertahun-tahun lamanya atau bekerja dengan pendapatan yang rendah dan di bawah kelayakan akademik mereka. Dengan hutang PTPTN yang masih ditanggung, mereka juga mempunyai komitmen lain seperti mahu berkeluarga, rumah, kenderaan, ibu bapa dan lain-lain yang mesti diselesaikan.

Melaksanakan sistem ini bererti menyenaraikan golongan ini sebagai senarai hitam di Bank Negara dan secara automatik peminjam tidak layak membuat pinjaman dengan bank untuk apa juga urusan seperti membeli kereta, rumah dan lain-lain lagi. Jika cadangan ini dilaksanakan, golongan muda akan lebih menderita untuk menampung kehidupan mereka yang baru bernafas di alam realiti setelah tamat pengajian.

Sepatutnya kerajaan menunjukkan jalan keluar dan bersimpati terhadap golongan muda yang sedang terkial-kial mencari kehidupan. Generasi muda perlu dipandu, dibimbing serta diberi peluang untuk meneruskan kehidupan mereka dan kaedah terbaik membayar PTPTN secara ansuran dan mengikut kadar kemampuan mereka.

Tindakan kerajaan menggunakan CCRIS berkemungkinan melanggar akta PTPTN sendiri kerana senarai hitam (blacklist) tidak diperuntukkan di bawah Akta PTPTN. Ini berbeza dengan tindakan menyekat peminjam yang gagal melunasi PTPPTN ke luar negara seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 22A Akta PTPTN.

Dalam keadaan hutang syarikat gergasi yang dimiliki oleh kroni pemimpin tertentu seperti Eric Chia sebanyak RM 2 bilion, konglomerat Tajuddin Ramli sebanyak RM 580 juta, hutang Datuk Seri Shahrizat Jalil sebanyak RM 250 dibayarkan atau 'bail out' oleh kerajaan, mengapa hutang peminjam PTPTN begitu diteliti sehingga sanggup memburu mereka dengan tindakan yang begitu agresif? Apakah kroni pemimpin negara yang jumlahnya beberapa kerat itu lebih bernilai dari jutaan rakyat yang hidup merempat di bumi mereka sendiri?

Jika beginilah dasar kerajaan, ia menunjukkan wajah sebenar pemimpin negara terhadap rakyat. Ketika rakyat dirayu, ditatang, dijulang dan di sogokkan dengan pelbagai hadiah menjelang PRU ke 13, rakyat itu pula diratah dan di dimamah sehingga menderita selepas mereka mendapat undi rakyat.

DR RAJA AHMAD AL HISS
Naib Ketua
Dewan Pemuda PAS Malaysia

Friday, August 16, 2013

Himpunan Aman Mengutuk Kekejaman Kudeta Mesir


Satu himpunan aman akan diadakan selepas Solat Jumaat hari ini di Masjid Negeri, Ipoh Perak bagi mengutuk kekejaman yang dilakukan pihak tentera kerajaan kudeta Mesir terhadap rakyatnya sendiri. 

Rakyat yang prihatin dijemput untuk bersama-sama menyuarakan bantahan di dalam himpunan aman yang dianjurkan oleh Dewan Pemuda Pas Perak hari ini. 

Himpunan yang sama juga dianjurkan di seluruh negara selepas solat Jumaat ditempat-tempat berikut:-

Negeri : Kelantan
Lokasi : Dataran Stadium Muhammad IV
Tarikh : 15 Ogos 2013
Hari : Khamis
Masa : 7.00 pm

Negeri : Kelantan
Lokasi : Masjid Muhammadi KB
Tarikh : 16 Ogos 2013
Hari : Jumaat
Masa : 2.00 pm

Negeri : Terengganu
Lokasi : Masjid Pengadang Baru K. Terengganu.
Tarikh : 16 Ogos 2013
Hari : Jumaat
Masa : 2.00 pm

Negeri : Pahang
Lokasi : Masjid Al-Fattah Kuantan.
Tarikh : 16 Ogos 2013
Hari : Jumaat
Masa : 2.00 pm

Negeri : Johor
Lokasi : Masjid Bandar Baru Uda, JB.
Tarikh : 16 Ogos 2013
Hari : Jumaat
Masa : 2.00 pm

Negeri : Melaka
Lokasi : Masjid Al-Azim
Tarikh : 16 Ogos 2013
Hari : Jumaat
Masa : 2.00 pm

Negeri : Negeri Sembilan
Lokasi : Masjid Negeri Bandar Seremban.
Tarikh : 16 Ogos 2013
Hari : Jumaat
Masa : 2.00 pm

Negeri : Wilayah
Lokasi : Dataran Merdeka
Tarikh : 17 Ogos 2013
Hari : Sabtu
Masa : 4.00 pm

Negeri : Selangor
Lokasi : Masjid Negeri Shah Alam.
Tarikh : 16 Ogos 2013
Hari : Jumaat
Masa : 2.00 pm

Negeri : Perak
Lokasi : Masjid Negeri, Ipoh.
Tarikh : 16 Ogos 2013
Hari : Jumaat
Masa : 2.00 pm

Negeri : Pulau Pinang
Lokasi : Masjid Permatang Janggus
Tarikh : 16 Ogos 2013
Hari : Jumaat
Masa : 2.00 pm

Negeri : Kedah
Lokasi : Masjid Zahir Alor Setar
Tarikh : 16 Ogos 2013
Hari : Jumaat
Masa : 2.00 pm

Negeri : Perlis
Lokasi : MATIN 
Tarikh : 15 Ogos 2013
Hari : Khamis
Masa : 8.00 pm

Negeri : Sabah
Lokasi : Masjid Negeri Sabah Kota Kinabalu dan Masjid Al Kauthar Tawau
Tarikh : 16 Ogos 2013
Hari : Jumaat
Masa : 1.00 pm

Negeri : Sarawak
Lokasi : Masjid Assyakirin, Bintulu.
Tarikh : 16 Ogos 2013
Hari : Jumaat
Masa : 2.00 pm

Semua Muslimin dan Muslimat dijemput hadir

Thursday, August 15, 2013

Pemuda PAS Perak kutuk kekejaman tentera Mesir

Oleh MUHAMMAD FAEEZ AZAHAR

IPOH: Dewan Pemuda PAS Negeri Perak mengutuk sekeras kerasnya tindakan pihak keselamatan Mesir dalam menangani permasalahan rampasan kuasa di Mesir sehingga menyebabkan orang awam menjadi mangsa korban.

Ketuanya, Ustaz Zawawi Hassan berkata, pihak keselamatan Mesir sewajarnya mengutamakan nyawa dan keamanan orang awam daripada menjadi mangsa korban yang semakin meningkat.

Menurutnya, perhimpunan rakyat berlaku secara aman dan sekadar menuntut hak yang dirampas dan tidak wajar berakhir dengan pertumpahan darah serta kehilangan nyawa.

"Umat Islam seluruh dunia perlu bangkit menyatakan bantahan keras terhadap kezaliman yang dilakukan ke atas rakyat Mesir yang tidak berdosa.

"Kami sentiasa mengikuti perkembangan semasa yang berlaku di Mesir sebagai langkah persediaan sekiranya berlaku sesuatu di luar jangkaan," katanya dalam satu kenyataan kepada Harakah 15 Ogos lalu.

Adun Gunong Semanggol itu menjelaskan, Pemuda PAS mengharapkan kerjasama daripada semua mahasiswa di Mesir agar mematuhi arahan dan pekeliling keselamatan yang dikeluarkan oleh pihak berwajib seperti Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK), Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) dan Keluarga Pelajar pelajar Islam Perak Mesir (KPIPM).

Media juga katanya berperanan melaporkan setiap peristiwa dan kejadian yang berlaku tanpa meletakkan kesalahan kepada rakyat, sebaliknya perlu melihat dan menilai tindakan kejam yang diambil oleh pihak keselamatan terhadap orang awam.

"Pihak kami menyokong sepenuhnya kenyataan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Nasrudin Hassan yang menegaskan hanya melalui perbincangan dan rundingan serta mengembalikan kuasa pemerintahan kepada kerajaan yang sah akan memulihkan keadaan.

"Secara pasti, gerak kerja menyebarkan dakwah islam akan sentiasa diuji dan menuntut pengorbanan yang tinggi," jelasnya lagi.

Wednesday, August 7, 2013

Selamat Hari Raya Aidilfitri 1434H/2013M

Setelah sebulan kita menjalani ibadah puasa, kini tibalah masanya untuk kita berhari raya. 

Di kesempatan ini, saya sekeluarga ingin mengucapkan SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI buat semua, jika ada tersalah dan silap, dipohon ampun dan maaf, zahir dan batin.

Semoga dihari yang berbahagia ini, kita semua dapat menyambutnya bersama sanak saudara dengan gembira. Eratkan silaturrahim dengan kunjung mengunjung sesama kita. Juga berhati-hati di jalanraya semasa memandu. 

Sekali lagi, Selamat Hari Raya Aidilfitri buat semua. 

Followers

Video ajijoi

Loading...