Tuesday, April 30, 2013

Isu SAR: Hamidah diajak berdebat


Isu Sekolah Agama Rakyat Desa Aman masih lagi diungkit dan dijadikan bahan kempen calon BN Dun Sg Rapat, Hamidah Osman dengan pelbagai tuduhan terhadap lawan beliau, Ustaz Radzi Zainon.

Demi pengetahuan dan juga makluman para pengundi di Dun Sg Rapat, satu debat mengenai isu tersebut telah diatur di antara dua calon tersebut.

Surat rasmi jemputan untuk berdebat itu telah dihantar ke pejabat Hamidah Osman hari ini oleh Saudara Anuar Ibrahim yang mewakili Pas Gopeng.

Debat tersebut telahpun diatur di Padang Taman Maju Rapat pada Khamis, 2 Mei jam 9.30 malam.

Bagi menyelesaikan isu SAR ini, Pas Gopeng amat berharap agar Hamidah Osman dapat menerima dan hadir ke debat tersebut.



Dakwat boleh dipadam: PAS minta penjelasan SPR



IPOH: PAS menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberi penjelasan mengenai penyebaran maklumat tentang keraguan penggunaan dakwat kekal oleh para pengundi yang turun membuat undian awal pada hari ini.
 
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Asmuni Awi berkata, PAS mendapat maklumat dakwat yang digunakan pada pengundian awal hari ini tidak kekal dan boleh dibasuh.
 
Menurutnya, gambar tentang cap jari yang tidak kekal itu telah tersebar luas di laman sosial menyebabkan kegusaran rakyat khususnya yang akan mengundi pada Ahad ini.
 
“Kami mendapat banyak maklumat tentang dakwat kekal yang digunakan pada hari ini tidak kekal dan boleh dibasuh.
 
“Adakah benar maklumat yang kami terima ini? Jika benar, PAS meminta penjelasan daripada pihak SPR kerana sebelum ini mereka telah memberi jaminan bahawa dakwat kekal tersebut boleh bertahan sekurang-kurangnya selama tiga hari,” katanya dalam sidang media di Pejabat Sekretariat Pakatan Rakyat Perak, Ipoh, dekat sini hari ini.
 
Hadir sama ialah Pengerusi Pakatan Rakyat Perak, Dato’ Seri Nizar Jamaluddin, Setiausahanya, Dr Khairuddin Abdul Malik dan Pengerusi DAP Perak, Dato’ Ngeh Koo Ham.
 
Pengerusi Lajnah Undang-Undang PAS Pusat itu berkata, penyebaran gambar-gambar jari pengundi yang boleh dipadam itu telah menyebabkan rakyat meragui ketelusan sistem yang diguna pakai pada pilihanraya ini.
 
Isu ini juga katanya telah menyebabkan rakyat tidak yakin dengan integriti serta ketelusan SPR.
 
“Jika perkara ini benar-benar berlaku, tidak mustahil akan ada pengundian dua kali akan dilakukan. Ini telah bermain dalam fikiran masyarakat ketika ini,” jelas beliau lagi.

- PerakiteDaily

Isu Tanah RM10 juta : Bunga Raya Layu Sebelum Kembang


Saya membaca lontaran fitnah daripada calon Bebas di Parlimen Pasir Mas yang bertanding menggunakan logo Bunga Raya, Datuk Ibrahim Ali yang mendakwa kononnya Menteri Besar Kelantan, YAB Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat memiliki tanah bernilai RM10 juta di Bandar Baru Tunjong. Ia disiarkan di dalam akhbar Utusan Malaysia hari ini 30 April 2013.


Saya kira Ibrahim Ali tidak lebih nilainya daripada sekuntum bunga raya yang sedang layu sebelum berkembang. Ia sudah buruk di tangkai dan menunggu jatuh untuk dipijak-pijak sebelum dilupakan daripada kamus politik rakyat Malaysia. Dalam misi untuk menjatuhkan lawan di Pasir Mas yang merupakan anakanda kepada Menteri Besar Kelantan, Ibrahim Ali menggunakan strategi kotor yang semenangnya sudah sinonim dengan perjuangan politiknya semenjak zaman muda lagi. Generasi lama pastinya tidak lupa insiden demonstrasi di Kota Bharu pada akhir tahun 70-an yang melibatkan peristiwa bakar tayar yang mengakibatkan berlakunya peristiwa Mageran di Kelantan. Siapa lagi dalangnya jika bukan calon Bunga Raya ini?

Dalam isu pemilikan tanah yang dihebohkan ini, perlu dinyatakan kesemua 14 lot tanah tersebut adalah milik Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) yang mana ia dibeli oleh PMBK secara terus daripada orang perseorangan antara tahun 2006 sehingga tahun 2007. Kesemua tanah tersebut berada di dalam kawasan Tanah Rezab Melayu dan di atas pegangan hakmilik selama-lamanya (perpetuity).

Di dalam definisi ‘Melayu’ sebagai syarat untuk memiliki tanah Rezab Melayu di Kelantan, institute PMBK tidak ditakrifkan sebagai Melayu. Inilah yang termaktub di bawah Seksyen 13A Enakmen Rizab Melayu Kelantan 1930 dan Seksyen 104 Enakmen Tanah Kelantan 1938.

Dalam situasi pemilik asal tanah ingin mendapatkan segera bayaran daripada pembeli yang terdiri daripada pelbagai badan korporat, PMBK mengambil pendekatan untuk mempercepatkan proses pindah milik bagi memudahkan sebarang usaha memajukan tanah dapat dilaksanakan segera. Justeru pada tahun 2007, PMBK membuat keputusan agar Menteri Besar Kelantan selaku Pengerusi PMBK dinamakan sebagai Pemegang Amanah bagi kesemua 14 lot tanah tersebut bagi pihak PMBK.

Bagi mengesahkan keputusan tersebut satu Surat Ikatan Amanah (Deed Trust) bertarikh 5 November 2007 telah dimeterai antara PMBK dan YAB Tuan Guru Menteri Besar Kelantan. Surat ini mensyaratkan bahawa YAB Tuan Guru selaku Pemegang Amanah wajib melepaskan pegangan tanah tersebut pada bila-bila masa yang dikehendaki oleh PMBK. Ia berkuatkuasa sehingga ke saat ini. 

Berasaskan kepada fakta0fakta ini, YAB Tuan Guru bukanlah pemegang pemilik sebenar bagi 14 lot tanah seluas 4.4 ekar (1.76 ekar) sebagaimana yang didakwa oleh calon Bunga Raya. Beliau hanyalah pemegang amanah bagi pihak PMBK. Bila-bila masa hak pemilikan ke atas tanah tersebut boleh dituntut oleh PMBK.

Dengan penjelasan ini, saya kira kekeliruan yang cuba ditimbulkan oleh calon Bunga Raya tersebut dapat dijernihkan. Seeloknya saya nasihatkan calon Bunga Raya agar dapat mencari strategi yang lebih bersih dan jernih untuk menang. Janganlah pula kerana maruah jatuh di mata Tun Mahathir kerana hanya berjaya mengerah 200 orang sahaja dua hari lepas, beliau meracau bagaikan hantu raya mencari mangsa sehingga terlupa telur yang ditelan ialah telur buaya bukannya telur ayam.

Sekian.

Ahmad Fadhi bin Shaari,
Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan.

Bertarikh : 30 April 2013

KEADILAN desak SPR jawab isu dakwat kekal hilang


KUALA LUMPUR 30 APRIL: KEADILAN mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjelaskan kekeliruan berkenaan dakwat kekal yang diguna pakai untuk pengundian awal hari ini kerana 
keberkesanannya diragui. 

Naib Presiden, Fuziah Salleh berkata, SPR sebagai badan bertanggungjawab tidak boleh 'lari' dari isu ini, sebaliknya mesti bertanggungjawab. 

"Kita desak SPR jelaskan. Jika dakwat yang dikatakan kekal itu hanya tahan sejam sahaja, bagaimana pula untuk hari mengundi pada Ahad ini? 

"Kalau ini merupakan taktik SPR, bagaimana untuk kita mengawal pengundi yang akan ulang mengundi dua kali selepas membersihkan dakwat di jari mereka," kata Fuziah ketika dihubungi. 

Beliau mengulas berkenaan aduan bahawa dakwat yang digunakan pada pengundian awal hari ini tidak kekal dan boleh dibasuh.

Gambar cap jari yang tidak kekal itu tersebar luas di laman sosial menyebabkan kegusaran rakyat khususnya yang akan mengundi lima hari lagi. 

Semalam, Setiausaha SPR, Datuk Kamaruddin Mohamed Baria menyatakan, untuk undi awal ini, pengundi akan dicalit dakwat kekal pada jari telunjuk sebelah tangan kiri.

Katanya, dakwat kekal itu berbeza warnanya berbanding pada hari pengundian 5 Mei nanti dan akan melekat di jari selama tujuh hari.

Undi awal dilaksanakan buat pertama kali pada PRU 13 berikutan pindaan kepada Peraturan 27A, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981 iaitu kategori orang yang boleh mengundi awal.

Mengulas lanjut, Fuziah tidak menolak taktik licik itu hanya untuk mengaburi rakyat yang mahukan dakwat kekal digunakan dalam pilihan raya kali ini. 

Sedangkan menurutnya, boleh jadi SPR sendiri merencana agenda itu secara terancang. 

"Ini mungkin taktik SPR untuk membolehkan pengundi mengundi dua kali. Dengan perkembangan ini, saya syak mereka sendiri sudah merancangnya dengan baik. 

"Kalau setakat mahu melaksanakan dakwat kekal seperti ini, baik tak payah buat," kata Fuziah yang akan mempertahan kemenangan KEADILAN di Kuantan. 

Warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia serta pasangan mereka menunaikan tanggungjawab masing-masing sebagai pengundi awal pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13) di 544 pusat pengundian di seluruh negara, hari ini.

Mereka terdiri daripada 161,251 anggota tentera dan pasangan serta 111,136 anggota polis dan Pasukan Gerakan Am (PGA) serta pasangan masing-masing.

- KeadilanDaily

Monday, April 29, 2013

"Jangan turun Billboard Tun Musa Hitam" - Asmuni



 IPOH: Pengerusi Lajnah Undang-Undang PAS Pusat, Asmuni Awi menggesa semua jentera parti mengabaikan arahan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menurunkan billboard berkaitan kenyataan Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam.

Menurutnya, billboard yang memaparkan kenyataan Tun Musa Hitam yang mengatakan bahawa “Negara tidak akan bangkrap jika Pakatan Rakyat memerintah” itu tidak melanggar sebarang etika pilihanraya yang dikeluarkan oleh SPR.

Jelas beliau, PAS persoalkan etika mana yang SPR gunakan untuk menghalang PAS menaikkan billboard kenyataan Tun Musa Hitam tersebut.

Asmuni berkata, Peraturan 7.6 (a) Tata Etika Pilihanraya hanya melarang pemasangan billboard yang mengandungi slogan, karikatur atau apa-apa bentuk penyampaian mesej yang berbentuk sindiran dan mengejek sahaja.  

“Tetapi apa yang dinyatakan oleh Tun Musa Hitam itu merupakan satu kenyataan fakta. Kenyataan tersebut merupakan satu bentuk pengakuan dan pengiktirafan beliau terhadap kebaikan tawaran-tawaran yang kita tawarkan di dalam Manifesto Pakatan Rakyat”, jelas beliau.

“Kenyataan itu juga bukanlah satu kenyataan fitnah dan menyerang serta tidak menyakitkan hati mana-mana pihak kerana kita tidak paparkan pun nama UMNO dalam Billboard itu”, jelas beliau lagi.


Tegas Calon PAS Dun Manjoi itu, kenyataan Tun Musa Hitam itu merupakan satu sangkalan terhadap dakwaan pemimpin-pemimpin tertinggi Umno-BN termasuk Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Muhyidin Yasin yang sebelum ini pernah menyatakan bahawa sekiranya Pakatan Rakyat diberikan mandat untuk memerintah, negara akan menjadi bangkrup.

Tambahnya lagi, SPR tidak mempunyai sebab untuk mengarahkan agar Billboard tersebut dicabut kerana kenyataan yang dipaparkan tersebut merupakan kenyataan ahli politik dan dibuat kepada awam.   

“Tun Musa Hitam adalah seorang ahli politik dan merupakan bekas Timbalan Perdana Menteri, maka kenyataannya itu boleh diambil oleh mana-mana pihak.

Tegas Asmuni, kenyataan Tun Musa Hitam itu bukanlah kenyataan yang dibuat secara tertutup tetapi dibuat dalam majlis umum yang dihadiri oleh orang awam dan telah disebar luas termasuk oleh akhbar Sinar Harian.

“Oleh itu, mana-mana pihak berhak untuk mengambil kenyataannya itu terutamanya Pakatan Rakyat kerana ia merupakan satu pengiktirafan terhadap Manifesto Pakatan Rakyat.

“Perkara seperti ini turut dilakukan oleh BN misalnya di pilihanraya kecil Galas dan Bagan Pinang yang mana BN telah menggunakan secara meluas gambar Najib menziarahi Tok Guru Nik Aziz di hospital sebagai bahan kempen pilihanraya mereka di sana. 

"Kita tidak boleh menghalang perbuatan mereka itu kerana ia merupakan kejadian yang benar,” jelasnya lagi.

Oleh itu, beliau yang juga AJK PAS Pusat mempersoalkan di bawah undang-undang dan peraturan mana pihak SPR mengarahkan agar billboard tersebut perlu diturunkan.

“Saya tidak nampak satu pun undang-undang dan peraturan yang memberi bidangkuasa kepada pihak SPR untuk mengeluarkan arahan tersebut. 

"Kuasa yang ada sekarang ini diberikan kepada pihak pemantau yang dibentuk oleh pihak SPR yang anggotanya terdiri daripada wakil-wakil parti, pihak polis dan PBT,” jelasnya lagi.

PAS katanya hairan kenapa pihak SPR boleh mengambil alih tugas pasukan penguatkuasa tersebut sedangkan tiada sebarang undang-undang dan peraturan yang membenarkannya.

- PerakiteDaily

(Video) Tolak Fitnah Umno: Isu Sekolah Agama Rakyat Desa Aman


Video di atas dikeluarkan bagi menjawab fitnah yang dilemparkan kepada calon Pas di N43 Dun Sg Rapat, Ustaz Radzi Zainon seperti mana gambar di bawah:-


Sila fahami isu ini melalui jawapan video di atas oleh Pengerusi Sekolah Agama Rakyat Desa Aman itu sendiri. Siapa sebenarnya yang menggunakan isu SAR ini untuk kepentingan peribadi? Dan siapa yang menyebarkan fitnah? Segalanya terjawap di dalam video di atas. 

Musa Hassan kini penasihat Majlis Keselamatan Pakatan



KUALA LUMPUR, 29 April — Bekas Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Musa Hassan telah menyertai majlis penasihat keselamatan Pakatan Rakyat (PR), dan mengatakan hari ini beliau bimbang dengan keganasan politik dalam Pilihan Raya 2013.
Musa menegaskan dirinya tidak memihak kepada mana-mana parti politik, memberitahu pemberita beliau akan melakukan perkara sama jika pemerintah Barisan Nasional (BN) meminta nasihatnya mengenai urusan keselamatan.
“Saya tidak memihak kepada mana-mana parti politik… Saya datang hari ini kerana saya mengambil urusan keselamatan rakyat dengan serius,” kata Musa dalam sidang akhbar di sini.
Pengerusi majlis penasihat keselamatan PR, bekas Ketua Turus Angkatan Tentera Darat Jeneral (B) Tan Sri Md Hashim Hussein memberitahu pemberita kenyataan Menteri Dalam Negeri sementara Datuk Seri Hishamuddin Hussein pada Mac mengenai insiden keganasan akan lebih buruk semasa kempen pilihan raya sama seperti menyokong keganasan politik.
“Sebagai orang yang telah menghabiskan masa indah dalam hidup untuk mempertahankan dan berkhidmat untuk rakyat Malaysia bagi memastikan keamanan dan keselamatan dalam negara, kami ingin menyatakan keganasan politik tiada tempat dalam proses demokrasi,” kata Md Hashim yang juga merupakan calon PKR untuk Johor Baru.
Md Hashim memberitahu The Malaysian Insider majlis penasihat keselamatan PR memainkan peranan untuk menyokong pasukan polis dan menafikan ianya ditubuhkan kerana kurangnya keyakinan terhadap polis.
“Saya fikir kami hanya wujudkan kesedaran awam mengenai undang-undang… Keselamatan adalah urusan semua. Jangan hanya biarkan kepada pasukan keselamatan,” katanya.
Dalam mesej yang hampir sama Musa memberitahu pemberita beliau akan menasihatkan majlis keselamatan tersebut tentang bagaimana untuk melibatkan polis dan pihak berkuasa dan pada masa sama meminta polis adil dalam siasatan mereka kepada kedua-dua pihak.
Beliau menggalakkan semua parti politik untuk bekerjasama dengan polis: “Sebab itu adalah baik bagi setiap parti yang mahu mengadakan ceramah memberitahu polis terlebih dahulu, kawasan mana anda nak lakukan dan polis akan mengerahkan pasukan mereka dengan lebih awal untuk menyemak kawasan dan memastikan kawasan tersebut selamat.
Beliau juga meminta penyokong parti politik agar tidak memprovokasi atau mudah untuk diprovokasi.
“Jika provokasi berlaku, jangan ambil undang-undang di tangan sendiri. Cara terbaik adalah dapatkan semua bukti orang yang provokasi kamu… itu akan menjadi bukti kepada polis kemudiannya yang akan membantu penyiasatan mereka,” katanya.
Aksi keganasan telah mencemarkan tempoh berkempen menjelang pilihan raya umum 5 Mei.
Bom petrol dilemparkan ke kompaun rumah anak perempuan calon PKR bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Andalas Khamis lalu menyebabkan keretanya terbakar.
Ketua Menteri sementara Pulau Pinang Lim Guan Eng juga dilaporkan membuat laporan polis Khamis lalu kerana menerima kiriman pesanan ringkas (SMS) yang mengugut nyawa isteri dan anaknya dalam bahaya jika beliau dilantik semula menjadi ketua menteri.
Bom petrol dilemparkan ke bilik operasi BN di Pulau Pinang, Selangor dan Kedah minggu lalu.
Majlis penasihat keselamatan PR ditubuhkan pada akhir Mac untuk menghalang insiden keganasan berlaku semasa tempoh berkempen dan memastikan perubahan kuasa berlaku secara aman dalam pilihan raya akan datang.

Surat buat pengundi awal daripada Presiden PAS

Abdul Hadi Awang,29 Apr 2013

Assalamu’alaikum warahmatullah dan Salam Sejahtera;

Tuan dan Puan Pengundi awal sekelian,

Saya merasa amat bertuah kerana dapat menghubungi tuan/puan anggota pasukan keselamatan dari pasukan Polis dan Tentera bersama dengan suami/isteri masing-masing yang telah ditentukan oleh undang-undang pilihanraya Malaysia sebagai “Pengundi Awal” pada hari Selasa 30 April 2013.

Semua rakyat begitu menyanjungi tugas tuan/puan mempertahankan keselamatan dan kedaulatan negara. Ianya adalah satu pengorbanan yang wajar diingati dan dihargai sampai bila-bila.

Dalam masa yang sama, tanggungjawab tuan/ puan dalam memilih pemimpin negeri/negara yang terdiri dari Ahli Dewan Undangan Negeri dan Ahli Dewan Negara dalam PRU-13 ini adalah tersangat penting kepada sistem demokrasi berparlimen yang sama-sama kita pertahankan untuk generasi ini dan anak cucu kita semua.

Bilangan tuan/puan yang melebihi suku juta orang itu boleh menjadi faktor penentu arah tuju kepimpinan negara dalam sama-sama kita melakukan perubahan yang lebih baik kepada Malaysia yang kita cintakan ini.

Cukup lah kita membiarkan rakyat berdepan dengan kelompok politik elit Barisan Nasional yang penuh dengan dosa penyakit rasuah, ketirisan, pemerasan dan berbagai ketidak adilan yang akhirnya akan membuatkan generasi akan datang menderita. Beban amanah ini nampaknya tersangat berat untuk dipikul oleh pimpinan Barisan Nasional yang semakin malap kepercayaannya di kalangan rakyat yang cintakan keamanan dan kesejahteraan ini.

Mengundilah dengan tanpa rasa takut. Mengundilah dengan jiwa yang merdeka. Mengundilah dengan penuh keyakinan bahawa pangkahan kecil yang kita lakukan pada hari ini akan mengubah nasib masa depan kita semua. Kebaikan yang kita laksanakan pada hari ini akan mendapat ganjaran pahala yang berpanjangan.

Sekian terima kasih.

Wassalam.

“PAKATAN HARAPAN RAKYAT”

“MEMBANGUN NEGARA BERKEBAJIKAN”


Abdul Hadi Awang
Presiden PAS

Putrajaya: Majlis Profesor Negara mesyuarat tergempar



(Majlis Profesor Negara ketika dilancarkan oleh Najib)

KUALA LUMPUR: Kebimbangan Barisan Nasional (BN) akan kehilangan kerajaan sampai ke kemuncaknya apabila Majlis Profesor Negara mengadakan mesyuarat tergempar di Putrajaya.

Menurut Ketua Pengarang Harakah, Ahmad Lutfi Othman dalam tulisannya, seorang rakannya dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) memaklumkan hal ini kepada beliau.

"Semalam, seorang kawan di UKM telefon, beritahu Majlis Profesor Negara bermesyuarat tergempar di Putrajaya,  ekoran situasi bayangan membimbangkan bakal melucutkan takhta BN," tulis Lutfi dalam kolumnya di Harakahdaily.

Beberapa hari sebelum itu, tulis Lutfi, pensyarah kanan UKM, Profesor Dr Mohamad Agus Yusoff juga melahirkan keyakinan BN akan tumbang kali ini.

"Semasa saya mengunjunginya di Bandar Baru Bangi juga melahirkan keyakinan sama," tulis Lutfi.

"Khabarnya banyak lagi meeting serupa semalam di Putrajaya, bincang isu sama," tulis Lutfi lagi.

Sementara itu, berita angin bertebaran memaklumkan kerja-kerja membersih 'kekotoran' sedang aktif dibuat di Putrajaya.

Apakah benar atau tidak, ianya tidak dapat dipastikan.

- Harakahdaily

Abang calon BN Dun Selama sertai PAS


Nor Ghani menggulung bendera BN sebagai simbolik menyertai PAS.

IPOH: Kejutan besar berlaku di Dun Selama apabila abang kepada calon BN yang bertanding di Dun itu, Datuk Mohd Daud Mohd Yusof mengambil keputusan menyertai PAS.

Nor Ghani Mohd Yusof, 57, menyerahkan borang keahliannya kepada calon PAS Dun Selama, Mohd Akmal Kamaruddin serta calon PAS Parlimen Larut, Datuk Fauzi Shaari dalam satu majlis di Sungai Bayor, Selama, kelmarin.

Beliau melakukan simbolik menggulung bendera Umno dan BN di hadapan kira-kira 1,000 hadirin sebelum menyerahkan borang keahlian.

Nor Ghani berkata, beliau mengambil keputusan itu kerana yakin dengan perjuangan yang dibawa oleh PAS.

Katanya, beliau telah memikirkan perkara itu agak lama sebelum mengambil keputusan itu ditambah lagi adiknya adalah calon BN di situ.

“Ini bukan satu keputusan yang mudah, namun kerana Islam, saya buat keputusan ini.

“Saya ambil masa agak lama (untuk menyertai PAS) dan sekarang baru saya ambil keputusan menyertai PAS secara sah,” katanya kepada Harakahdaily.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan akan membantu  sedaya upaya jentera berkempen menarik masyarakat demi merealiasasikan kemenangan sulung PAS disitu.

Jelasnya, beliau menyokong penuh calon PAS, Ustaz Akmal yang melawan dengan adiknya dalam pilihanraya ini dan beliau menyifatkan anak muda itu sangat berwibawa.

“Walaupun dia (Akmal) berlawan dengan adik saya sendiri, tapi saya yakin kemenangan akan memihak kepada PAS, kerana rakyat ketika ini sangat mahukan perubahan,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Akmal ketika diminta mengulas kemasukan Nor Ghani berkata, beliau menyambut baik tindakan itu dan disifatnya satu anugerah daripada Allah.

Katanya, keputusan itu sudah memberi kesan besar kepada BN khususnya calon BN.

“Saya mengalu-alukan kemasukan beliau (Nor Ghani) dan berharap ianya akan menyuntik semangat ahli dan jentera untuk terus berkempen serta berjuang sehingga hari mengundi,” jelas Akmal lagi.

- Harakahdaily

Khalil Idham Lim: Saya sihat, doakan saya terus sihat



18 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -
Kenyataan Media: Saya sihat, Doakan saya terus sihat.

Berhubung dengan tersebarnya berita yang mengatakan saya tidak sihat yang tersebar di beberapa media, dengan ini saya suka untuk memberi kenyataan media seperti berikut :-


Kenyataan ini adalah melengkapi jawapan dan kenyataan saya dalam akhbar Sinar Harian dan akhbar Cina.

1. Dengan ini saya mengulangi penafian bahawa saya sakit dan sedang berubat. Sesungguhnya saya Alhamdulillah pada masa ini diberikan kesihatan yang baik .

2. Dengan ini juga saya menafikan sebarang khabar angin yang mengaitkan dengan saya terkena sihir dan sedang berubat. Berita itu sama sekali tidak berasas.

3. Saya menasihati semua pihak untuk memeriksa dahulu berita yang diterima mengenai saya sebelum ianya disebarkan.

4. Namun saya memandang positif atas berita tersebut dan ianya menandakan pengundi di Parlimen Kuala Kangsar ambil peduli dan cakna atas kehadiran saya sebagai calon PAS dan Pakatan Rakyat.

5. Selain itu saya mohon restu dan doa berterusan dari seluruh penyokong PAS dan Pakatan Rakyat dan dari seluruh rakan kenalan dan seluruh warga Kuala Kangsar dari semua lapisan masyarakat, supaya saya terus sihat walafiat, sabar dan terus berkerja dengan gigih tanpa rasa penat dan jemu bagi menggalas amanah besar bagi mencipta sejarah dalam PRU ke 13 ini.

6. Selepas penafian ini saya berharap seluruh petugas PAS dan PR menumpukan sepenuh tenaga bagi memanfaatkan masa kempen yang berbaki bagi memenangkan calon-calon kita.

7. InsyaAllah segala usaha gigih yang kita curah dalam bentuk tenaga, fikiran dan wang ringgit akan dinilai oleh Allah dengan ganjaran pahala yang berganda.

Kenyataan Media 29 April 2013.

DRS. KHALIL IDHAM LIM
Calon P067 Kuala Kangsar

Najib dan Rosmah berkempen dalam kem tentera. Boleh pulak?


KUANTAN, 28 April -- Najib Tun Razak (tengah) bersama anggota tentera dan keluarga ketika menghadiri majlis Ramah Mesra Bersama Warga Kem Batu 10 di sini, hari ini,sebenarnya motifnya lebih kepada berkempen politik dalam kem tentera.
KUANTAN, 28 April --  Najib  (tengah) berkongsi dengan  Rosmah Mansor dengan jambul terjojol mengangkat slogan I Love PM diikuti warga tentera ketika menghadiri majlis Ramah Mesra Bersama Warga Kem Batu 10 di sini, hari ini.
Pada fikiran anda, tidakkah menjadi satu kesalahan mengikut Perintah Majlis Angkatan Tentera, 1972 (Bahagian 3), yang MELARANG warga tentera menghadiri perhimpunan atau kempen politik dengan berpakaian seragam tentera?  Lihat di baju yang Najib pakai (memakai baju BN, bukan berkempen politik?), pegawai-pegawai tentera lengkap berpakaian seragam tentera.  Tidakkah ianya menyalahi peraturan di dalam PMAT 1972?  Bayangkan jika Lain-Lain Pangkat (LLP) yang berbuat demikian?  Sudah tentu akan dikenakan tindakan tatatertib.

Warga tentera mesti lakukan perubahan kali ini.  Jangan biarkan pemimpin Umno seperti ini memperdaya anda semua dengan peraturan yang mereka sendiri langgar.  Lakukan perubahan di dalam PRU 13 kali ini.
.......................

Sebelum ini


PRU13: SPR larang berkempen di kem tentera

SHAH ALAM: Parti politik tidak dibenarkan berkempen di dalam kawasan keselamatan seperti kem tentera dan balai polis, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.
 
Kata beliau, peraturan tersebut telah lama berkuatkuasa seperti mana termaktub dalam peraturan pilihan raya (Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya).
 
"Kalau peraturan dulu, memang tidak boleh. (Itu) kawasan keselamatan. Ini bukan (tidak bermakna) polis dan tentera tidak boleh datang kempen, tapi mereka masih boleh dengar kempen di tempat yang lain."
 
Beliau berkata demikian dalam ucapan ketika menghadiri Majlis Taklimat Persediaan PRU ke-13 kepada Pegawai Pengurus dan Penolong Pengurus di sebuah hotel di sini hari ini.
 ...........................

30 April 2013
Warga tentera mesti lakukan perubahan kali ini.  
Jangan biarkan pemimpin Umno seperti ini memperdaya anda semua dengan peraturan yang mereka sendiri langgar.  Lakukan perubahan di dalam PRU 13 kali ini.


Sumber: blog Orangni

Sunday, April 28, 2013

Hamidah kebal daripada sebarang tindakan polis?



IPOH: PAS Perak mempersoalkan adakah Dato’ Hamidah Osman kebal daripada sebarang tindakan daripada pihak Polis Di Raja Malaysia (PDRM).

Koordinator Jawatankuasa Strategik dan Isu PAS Perak, Salman Saleh berkata, sehingga hari ini bekas Exco Kerajaan Negeri Perak tidak disabitkan sebarang tindakan walaupun pelbagai insiden yang dilakukan olehnya sebelum ini.

Katanya, pihak Hamidah sering mengganggu ceramah yang dianjurkan Pakatan Rakyat dengan mengadakan program bersebelahannya sehingga menyebabkan kacau bilau dan huru-hara.

Jelasnya, walaupun pihak Hamidah tidak mempunyai permit namun tindakan mereka direstui tanpa sebarang sekatan oleh pihak Polis.

“Kami hairan tiada sebarang tindakan daripada pihak Polis walaupun beberapa kali membuat laporan,” katanya dalam sidang media di Pejabat PAS Perak, dekat sini, hari ini.

Hadir sama ialah ahli jawatankuasanya, Dr Ahmad Nuri Al-Amin, Salman Saleh, Mohd Hakim Mohd Nor dan Safarizal Saleh.

Setiausaha Jabatan Pilihanraya PAS Perak itu menjelaskan, pihak Polis berada ditempat kejadian dan merekodkan apa yang berlaku namun sehingga hari ini Hamidah tidak didakwa.

Jelasnya, pihak Polis sepatutnya memanggil Calon BN Dun Sungai Rapat itu bagi menjalankan siasatan lanjut.

“Baru-baru ini Hamidah didakwa menyerang Calon PKR parlimen Gopeng, Dr Lee Boo Chye dan kekecohan berlaku menyebabkan ada pihak polis yang berada di tempat kejadian turun dikasari.

“Pihak Polis ada di tempat kejadian, kenapa tiada tindakan selanjutnya? Soalnya lagi.

Tegasnya, PAS Perak mendesak pihak polis berlaku adil dalam menjalankan tanggungjawab mereka dengan adil tanpa menyebelahi mana-mana pihak.

“Adakah pihak Polis tidak mampu untuk mendakwa beliau (Hamidah) kerana ada kuasa lain lebih tinggi?

“Adakah Hamidah kebal daripada sebarang tindakan undang-undang,” soal beliau lagi.
 
- PerakiteDaily

Billboard kempen dibakar: PAS Batu Gajah buat laporan polis



IPOH: PAS Kawasan Batu Gajah hari ini membuat laporan Polis berhubung tiga buah billboard besar kempen telah disabotaj oleh pihak-pihak tertentu.

Laporan tersebut dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Gajah, hari ini.

Naib Yang Dipertua PAS Kawasan Batu Gajah, Rosdy Abdullah berkata, tiga buah billboard yang dinaikkan di Taman Tasek Permai, Batu Gajah berdekatan rumah Calon BN Dun Sungai Rapat, Dato’ Hamidah Osman itu telah dibakar serta dirosakkan oleh pihak tertentu.

Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira jam 5.00 pagi tadi dan disedari oleh orang ramai beberapa jam kemudian.

“Saya bergegas ke tempat kejadian dan kelihatan api masih ada dan berasap. Ini bukan kejadian pertama disabotaj, sudah beberapa kali sebelum ini telah berlaku,” katanya selepas selesai membuat laporan polis.

Mengulas lanjut, Timbalan Ketua Penerangan PAS Perak itu berkata, insiden khianat daripada pihak yang tidak bertanggungjawab itu bukanlah perkara baru di kawasan itu.

Katanya, sebelum ini pihaknya telah membuat laporan polis beberapa kali tentang insiden seperti itu namun ianya tetap berlaku lagi.

“Kami sangat kesal dengan tindakan ‘bacul’ oleh pihak yang tidak bertanggungjawab ini, kami tidak mahu politik mundur ini berlaku dalam suasana politik baru ini,” jelasnya.

Jelas beliau, PAS menggesa pihak Polis dapat melakukan siasatan segera bagi mengenalpasti identiti yang melakan khianat itu.

Rosdy menjelaskan, PAS tidak mahu perkara sedemikian berulang lagi dan berharap pihak polis dapat membuat rondaan sekerap mungkin agar tindakan khianat itu dapat diatasi.

PAS katanya turut menggesa pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dapat menasihati semua parti bertanding agar tidak melakukan perkara sedemikian.

“Berhadapanlah dengan politik harmoni, kita berlawan dengan hujjah, bukan dengan emosi,” jelasnya lagi.

Sementara itu, Calon PAS Dun Sungai Rapat, Radzi Zainon ketika dihubungi berharap semua ahli dan penyokong PAS dapat bertenang dan bersabar dengan suasana berlaku ini.

Beliau berharap dengan kejadian itu akan membangkitkan lagi semangat jentera untuk melakukan gerak kerja dalam masa beberapa hari menjelang pilihanraya ini.

"Bersabarlah, kita teruskan kerja, mungkin itulah sahaja kerja mereka," ujar beliau lagi.

- PerakiteDaily

Tuan Guru Haji Hadi suntik semangat di Kuala Kangsar


KUALA KANGSAR (27.4.13): Kehadiran Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Presiden Pas ke Kuala Kangsar dalam sesi jelajah beliau bagi membantu kempen calon-calon Pas yang bertanding PRU13 memberikan suntikan semangat buat para petugas di sini dan juga menambahkan keyakinan pengundi dalam membuat pilihan.

Arena Kuala Kangsar menyaksikan kehangatan malam di sini dengan kehadiran Tuan Guru Presiden. Ramai pimpinan tempatan daripada Pakatan Rakyat termasuklah calon-calon yang bertanding turut serta bersama Tuan Guru Presiden dalam menyampaikan ceramah kepada ribuan yang hadir.

Pimpinan di pentas utama

Tuan Guru Haji Hadi kelihatan keletihan dalam rangka jelajahnya 

Pengerusi majlis

Ucapan pertama daripada Dr Muhaimin Sulam

Calon PKR untuk Dun Teja, Chang Lih Kang berucap sebagai menggantikan Dr Lee Boon Chye yang tidak dapat hadir

Orang ramai yang telah hadir sedari awal lagi



Calon PKR Dun Chandan, Puan Fatmawaty

Calon Pas Dun Manong, Haji Jamil Dzulkarnain

Calon Pas Parlimen Kuala Kangsar, Drs Khalil Idham Lim

Wakil NGO Mahasiswa

Yang bertongkat juga datang, tanda bagus buat semua

YDP Pas Kuala Kangsar, Dr Raja Iskandar

Pesuruhjaya Pas Perak, Ustaz Abu Bakar Hussain


Tuan Guru Haji Hadi merasmikan sebuah van Pas Kuala Kangsar yang disumbangkan oleh ahli-ahli

Tuan Guru Presiden menurunkan tandatangan beliau

Merasmikan van dengan gimik membunyikan honnya

Sebuah van buat Pas Kuala Kangsar daripada hasil sumbangan ahli-ahlinya

Seramai 60 orang ahli Umno Kuala Kangsar menyampaikan borang kemasukan mereka kepada Tuan Guru Presiden. Ketuanya adalah seorang mantan Bendahari Umno Kuala Kangsar yang tidak dapat hadir pada malam ini



Tuan Guru Haji Hadi menyampaikan ceramah beliau

Menceritakan mengenai proses demokrasi dan juga kerjasama bersama Pakatan


DS Nizar disambut Drs Khalil sebaik tiba ke pentas ceramah


Bacaan doa mengakhiri ucapan Tuan Guru

Doa Tuan Guru diaminkan segenap yang hadir


Seorang Cina non-Muslim juga turut menadah tangan semasa Tuan Guru membacakan doa

DS Nizar membincangkan sesuatu bersama Tuan Guru Haji Hadi

Di atas permintaan ramai, DS Nizar memberikan ucapan 

Di akhir acara, nyanyian lagu Pas dan Negaraku


Followers

Video ajijoi

Loading...