Al-Quran Digital Read Pen

Al-Quran Digital Read Pen

Sunday, November 25, 2012

Himpunan membantah jualan minyak sawit Felda kepada Israel


Keengganan Felda menerima memorandum daripada Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) seolah-olah GLC itu memberi isyarat kepada rakyat akan meneruskan urusniaga menjual minyak sawit mentah kepada Israel-Zionis. 

Pengerusi Anak, Mazlan Aliman ketika memberi respons ketika berucap di hadapan pintu pagar Wisma Felda, menyifatkan keengganan Felda itu menunjukkan bagaimana sikap Kerajaan Umno
-BN bersekongkol "membunuh" rakyat Palestin apabila membiarkan Felda Oil Products Sdn. Bhd. menjual hasil minyak sawit negara kepada syarikat Isreal itu antaranya Bunge Agribusiness Singapore yang berpangkalan di Singapura.

Menurutnya, Felda tidak sensitif terhadap serangan terbaharu di Gaza yang sebenarnya mempunyai kaitan langsung dengan hubungan dagangnya bersama-sama negara haram Israel itu.

Anak mengadakan himpunan yang disertai lebih 3,000 rakyat prihatin menyerahkan memorandum menuntut menghentikan penjualan minyak sawit kepada syarikat musuh Islam itu di Wisma Felda, Jalan Semarak di sini pada Jumaat lalu.

"Pengkhianatan Felda terhadap negara yang juga mendedahkan kemunafikan kerajaan berlaku apabila sejak 16 Jun 2010 lalu, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia (MITI) telah membenarkan syarikat asing menguasai pegangan ekuiti sehingga 70 peratus.

"Lebih hipokrit lagi apabila minyak sawit mentah kita terus dijual kepada Israel padahal Perdana Menteri baru-baru ini sudah pun mengemukakan usul tergempar di Dewan Rakyat mengecam sekeras-kerasnya serangan Israel ke atas rakyat Palestin yang kemudiannya disepakati oleh Ahli Parlimen BN dan Pakatan Rakyat," katanya yang juga AJK PAS Pusat itu.

Tambah beliau, Felda IFFCO Oil Products Sdn. Bhd. yang memegang pemasaran minyak sawit mentah telah mula membuka dagangan kepada syarikat Isreal-Zionis dengan jumlah jualan mencecah jutaan ringgit sehingga ke hari ini.

Terdahulu, pada 18 November lepas, Mazlan telah mendedahkan adanya invois urusniaga minyak sawit mentah Felda dengan syarikat milik Israel-Zionis itu ketika berucap di Muktamar Tahunan PAS ke-58 di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (PUTIK).

Perarakan pada awalnya diiringi hujan lebat sebaik selepas solat Jumaat dari Masjid Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Jalan Semarak.

Himpunan yang dihadiri oleh anak-anak peneroka dan NGO yang memperjuangkan isu Palestin itu juga dihadiri pimpinan PAS antaranya Timbalan Presiden, Mohamad Sabu; Timbalan Ketua Pemuda PAS, Ustaz Nik Abduh Nik Abdul Aziz, Ketua Penerangan Muslimat Pusat, Aiman Athirah Al Jundi, Presiden Bapa, Razman Zakaria selain selebriti Abby Abadi.

Mohamad ketika berucap di luar pagar pintu masuk Wisma Felda berkata, dagangan minyak sawit mentah dengan Israel itu patut dihentikan segera pada ketika rakyat Palestin di Gaza sejak berpuluh-puluh tahun lalu sehingga hari ini dizalimi termasuk serangan terbaharu sejak pertengahan bulan ini.

"PAS sejak awal penubuhannya lagi tanpa kompromi menolak sebarang kerjasama dengan negara haram itu dan prinsip ini sebenarnya selari dengan isu kemanusiaan yang juga menarik perhatian bukan Islam serta perjuangan hak asasi manusia sedunia yang mencintai keamanan," ujarnya.

Bagaimanapun, memorandum berjumlah tiga halaman berserta salinan surat pindaan syarat ekuiti serta salah satu invois urusniaga tersebut bertarikh 23 April lalu enggan diterima oleh wakil Felda yang hanya sudi bertemu seketika dengan Mazlan dan pimpinan PAS lain di luar bangunan ibu pejabat itu sahaja.

Rentetan layanan buruk Felda itu, Mazlan mengisytiharkan dalam tempoh tujuh hari perhimpunan yang lebih besar akan dilancarkan jika Felda tidak menghentikan penjualan minyak sawit mentah kepada Yahudi-Israel.

Penyerahan memorandum itu juga disokong oleh ribuan mahasiswa yang sebelum itu berarak di perkarangan Kedutaan Amerika Syarikat di Jalan Ampang - Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (Gamis) dan sayap kaum hawanya Srikandi Gerakan Muslimat Muda (Sigma), Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM) dan Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Putra Malaysia (PMIUPM).

Turut menyertai, Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN), Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Legasi Mahasiswa Progresif (LMP), Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (Kami), Aksi Mahasiswa Peduli (Aksi), Demi Mahasiswa KUIS (DMK) dan Gerakan Demokratik Belia & Pelajar Malaysia (Dema).

Himpunan dan usaha penyerahan memorandum itu bersurai pada pukul 3.15 petang selepas mengaminkan bacaan doa oleh Ustaz Nik Abduh Nik Abdul Aziz.





















Kurang setengah jam, lebih 100 serbu Kaunter Penerimaan Saman AES anjuran PAS


Tidak sampai setengah jam Kaunter Penerimaan Saman AES yang disediakan PAS pada 21 November lalu, menarik tumpuan lebih 100 orang kena saman (OKS) daripada pelbagai kaum menyerbu kaunter tersebut sambil membawa salinan surat saman masing-masing.

Kaunter dikendalikan Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (Kase) dengan Kerjasama Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (Juham) Pemuda PAS Pusat di 
Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut itu menjadi tumpuan ramai kerana kebanyakan OKS yang hadir ingin mengetahui tindakan yang perlu dilakukan mereka sebaik sahaja menerima saman AES tersebut.

Selain menyerahkan salinan saman yang dikenakan, OKS diberi taklimat prosiding asas oleh Juham mengenai tindakan yang perlu dilakukan apabila berhadapan dengan proses mahkamah nanti.

Malah peluang tersebut juga digunakan OKS dengan mengemukakan kemusykilan yang mereka hadapi.

Presiden Kase, Dato' Mahfuz Omar yang melancarkan Kaunter Saman AES itu berkata, sehingga tarikh tersebut, seramai 200 OKS mendaftar melalui emel dan beliau turut melihat sambutan orang ramai yang tidak teragak-agak mengunjungi kaunter itu sebagai tanda kepercayaan mereka terhadap usaha yang dilakukan PAS.

"Kami ingin menegaskan Kaunter Saman AES ini bukan bertujuan untuk membantu membayar saman tetapi untuk membantu OKS membawa kes ini ke mahkamah dan khidmat ini adalah percuma kerana ia dikendalikan peguam-peguam Juham," katanya.

Menurut Pengarah Juham, Zamri Asa'ad Khuzami dalam taklimatnya, orang ramai tidak perlu takut untuk cabar saman yang dikenakan mereka di mahkamah sebagaimana ia ditawarkan dalam surat saman.

Katanya, pendakwaan kes yang pertama berhubung saman AES akan disebut di Mahkamah Majistret Jalan Duta pada 6 Disember ini dan OKS tersebut akan diiringi peguam Juham untuk mencabar AES di Mahkamah Tingggi.

OKS lain boleh mengunjungi kaunter yang dibuka di Lobi Pejabat Agung PAS yang beroperasi dua minggu sekali bermula 1 Disember ini, dari jam 12.00 hingga 1.00 tengah hari.

Kase menyediakan lebih 100 peguam untuk membantu orang ramai yang menjadi mangsa sistem pemantauan trafik itu.

Untuk maklumat lanjut orang ramai boleh melayari Facebook Kase atau emel k empenantisamanekor@gmail.com












Surah Al-Isra' punya bukti kemenangan Islam ke atas Israel


ALLAHUAKBAR! Peristiwa yang berlaku antara Israel dan Palestin telah pun Allah nyatakan dengan jelas dalam Al-Quran. Allah Allah Allah..

Mari menghayati ayat Al-Quran surah Al-Isra' ayat 4-7.
MasyaAllah, rupanya konflik Israel-Palestine tercatat didalam ayat2 ini, dan sedang berlaku di depan mata...Subhanallah, isi kandungannya ayat-ayat ini merupakan bukti-bukti kebenaran Al-Quran yang harus dikongsikan bersama semua.....

Terjemahan di dalam bahasa Melayu bermaksud:
[Al-Isra':4] Dan Kami menyatakan kepada Bani Israil dalam Kitab itu: "Sesungguhnya kamu akan melakukan kerosakan di bumi (Palestin) DUA KALI, dan sesungguhnya kamu akan berlaku sombong angkuh dengan melampau.

[Al-Isra':5] Maka apabila sampai masa janji (membalas kederhakaan kamu) kali yang PERTAMA dari dua itu, Kami datangkan kepada kamu hamba-hamba Kami yang kuat gagah** dan amat ganas serangannya lalu mereka menjelajah di segala ceruk rantau (membinasakan kamu); dan (sebenarnya peristiwa itu) adalah satu janji yang tetap berlaku.......(**Kisah pembebasan BaitulMaqdis oleh pahlawan Islam agung Salehuddin Al-Ayubi)

[Al-Isra':6] Kemudian (setelah kamu bertaubat), Kami kembalikan kepada kamu kekuasaan untuk mengalahkan mereka, dan Kami beri kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan dan anak pinak, serta Kami jadikan kamu kaum yang lebih ramai pasukannya.

[Al-Isra':7] Jika kamu berbuat kebaikan, (maka) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu; dan jika kamu berbuat kejahatan, maka (kesannya yang buruk) berbalik kepada diri kamu juga. Oleh itu, apabila sampai masa janji (membalas perbuatan derhaka kamu) KALI KEDUA, (Kami datangkan musuh-musuh kamu) untuk memuramkan muka kamu (dengan penghinaan dan keganasannya); dan untuk memasuki masjid (BaitulMaqdis) sebagaimana mereka telah memasukinya pada KALI YG PERTAMA; dan untuk menghancurkan apa sahaja yang mereka telah kuasai, dengan sehancur-hancurnya.

Tentera Al-Qassam (Palestine) yang sedang mempertahan dan memerangi zionis laknatullah Israel itu sedikitpun tidak akan gentar malah yakin seyakin-yakinnya akan janji-janji Allah bahawa BaitulMaqdis akan dibebaskan buat kali KEDUA oleh pejuang-pejuang Islam yang benar, dan Israel akan diberikan penghinaan/kemusnahan yang selayaknya.

Yakinlah bahawa masanya akan tiba untuk kita menyaksikan pembebasan dan kemenangan rakyat Palestin dalam membebaskan tanahair mereka daripada kekejaman zionis Israel. Dan sekaligus membebaskan Bailtul Maqdis dan mengembalikannya kepada umat Islam sedunia.

ALLAH AKBAR!!!


Thursday, November 22, 2012

Mahfuz jumpa mangsa saman AES di Perak Ahad ini



IPOH: Badan Perhubungan PAS Negeri Perak akan mengadakan pertemuan dengan semua mangsa saman Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES).

Koordinator Jawatankuasa Strategik dan Isu negeri itu, Salman Saleh berkata, pertemuan tersebut akan turut dihadiri oleh Pengerusi Kempen Anti Saman Ekor (KASE), Dato’ Mahfuz Omar dan akan diadakan di Pejabat PAS Perak, Ipoh pada Ahad ini jam 10.30 pagi.

Menurutnya, barisan peguam PAS akan memberikan taklimat kepada mangsa saman sistem tersebut yang bercadang untuk tidak akan membayar kompaun dan ingin mendapat pembelaan di mahkamah.

Beliau yang juga Setiausaha Pemuda PAS Perak menjelaskan, setakat ini lebih 50 mangsa saman AES telah menyatakan kesediaan untuk lawan di mahkamah dan kesemuanya adalah mangsa saman di Perak.

“Kami mempelawa mana-mana mangsa saman AES yang ingin mendapatkan khidmat bantuan guaman percuma untuk hadir dengan membawa saman AES tersebut pada hari tersebut.

“Kami bersedia membantu mangsa saman ini demi untuk melindungi hak mereka di Mahkamah yang dizalimi ini,” jelas beliau.

Thursday, November 15, 2012

Video tema Maal Hijrah 2012: 'Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah' oleh DS Rosmah Mansor



Tokoh Maal Hijrah tahun ini diberi kepada yang telahpun berhijrah

Tokoh Maal Hijrah tahun ini telah diberikan kepada seorang yang telahpun berhijrah, daripada alam dunia kepada alam barzakh.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Allahyarham Tan Sri Dr Abdul Hamid Othman yang telah meninggal dunia pada Disember tahun lepas telah dipilih sebagai tokoh yang diangkat sebagai Tokoh Maal Hijrah.

Apakah pihak kerajaan sudah tidak boleh melihat kepada sumbangan para ilmuan atau negarawan yang masih hidup, masih menuai bakti kepada umat Islam negara ini yang boleh dan layak untuk dianugerahkan sebagai Tokoh Maal Hijrah.

Bukanlah tujuan penulis untuk mempertikaikan sumbangan Allahyarham semasa hayatnya, tetapi dirasakan adalah lebih baik jika anugerah tersebut diberikan kepada seorang yang masih hidup dan punya pengaruh kepada umat yang lain bagi mengikut jejak langkahnya dalam menabur jasa kepada umat dan agama Islam di negara ini.

Semoga mereka-mereka yang berkelayakan diluar sana tidak berputus asa dalam istiqamah membuat jasa apabila kerajaan BN dilihat sentiasa menyampaikan sesuatu anugerah utama negara kepada kroni-kroni yang banyak 'berjasa' kepada parti dan kelompok mereka sahaja (termasuklah yang telahpun tiada).

Diharapkan lanskap pemerintahan negara akan berubah setelah PRU13 nanti di mana yang berhak akan diberikan hak yang sepatutnya. Insya-Allah.

Dibawah adalah petikan yang disunting daripada akhbar diatas talian Berita Harian:

Abdul Hamid Othman Tokoh Maal Hijrah 2012


PUTRAJAYA: Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Allahyarham Tan Sri Dr Abdul Hamid Othman, hari ini diumum sebagai Tokoh Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 2012/1434H.

Abdul Hamid yang pernah menjadi Penasihat Agama kepada Perdana Menteri (2001 hingga 2009) meninggal dunia pada 23 Disember 2011 selepas diserang penyakit angin ahmar. 


Berikutan itu, keluarga beliau membawa pulang wang tunai RM100,000, sijil penghargaan, plak dan pingat daripada kerajaan Malaysia. 


Majlis penyampaian anugerah berkenaan disempurnakan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada majlis sambutan Maal Hijrah di Dewan Plenari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, sebentar tadi.

Hadiah itu disampaikan kepada balu Allahyarham, Puan Sri Jamilah Mohd Said.

Hijrah: Pilih manusia amanah pimpin negara

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengucapkan selamat menyambut Maal Hijrah kepada seluruh umat Islam di Malaysia dan dunia amnya. Peristiwa hijrah adalah peristiwa besar yang memberi pengajaran bermakna kepada kita khususnya rakyat Malaysia dalam berdepan dengan pilihan raya.


Tindakan pertama Rasulullah SAW selepas hijrah dalam membangunkan negara Madinah ialah mendirikan masjid dan keduanya membina pasar. Kedua tindakan nabi ini adalah simbolik kepada pembangunan insan dan pembangunan ekonomi yang dititikberatkan dalam membina sesebuah negara. Masjid adalah tempat membangunkan manusia untuk bertaqwa kepada Allah dan menghubungkan manusia sesama mereka. Manakala pasar pula sebagai pusat kegiatan ekonomi yang kedua penting dalam membangunkan negara.

Sudah lebih setengah abad Malaysia merdeka dalam keadaan rasuah dan jenayahnya yang sangat parah. Ia telah merosakkan negara dan rakyat sehingga menjadikan negara dan rakyatnya mundur. Begitu juga dengan agihan ekonomi yang berlaku secara tidak adil. Yang kaya di kalangan kroni terus menerus menjadi kaya dan yang miskin terus miskin walaupun keras berusaha. Perkara ini tidak tepat dengan kehendak Islam.

Oleh itu mengambil semangat hijrah, perlu untuk kita berubah dengan meletakkan kepimpinan negara kepada manusia yang amanah yang bukan sahaja mampu membangunkan negara, tetapi amanah dalam pemerintahan dan adil layanannya kepada rakyat.

Di samping itu, kita sebagai individu Muslim juga mesti berubah ke arah yang lebih baik dalam amal ibadah dan kefahaman kita untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Semoga tahun baru hijrah ini akan membawa perubahan bermakna kepada seluruh dunia ke arah melihat dunia yang lebih adil dan terkeluar daripada kezaliman, peperangan dan penindasan yang banyak berlaku di masa ini.

Salam Maal Hijrah

YB Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden PAS

Hijrah 1434 – Tahun Mengukuh Tali Allah Bukan Tali Kebangsaan


Sambutan tahun baru Hijrah 1434 kali ini amat baik bagi semua umat Islam sama-sama bermuhasabah dalam meneruskan usia (nikmat) kehidupan agar sentiasa diredai Allah SWT. Lebih-lebih lagi dalam suasana umat Islam, termasuk di negara ini yang masih diselubungi dengan isu perpecahan dan perpaduan. Justeru perpaduan adalah pilihan terbaik demi mengukuhkan kedudukan umat Islam dan perpecahaan hendaklah dielak sama sekali. Inilah titik muhasabah dan pendirian yang sepatutnya dikongsi sama oleh semua pemimpin dan golongan Islam pada saat menyambut tahun baru Hijrah ini.
Sehubungan itu, saya terkenang kepada satu kunjungan lima orang kenamaan merupakan bekas pegawai tinggi kerajaan (pada 2 Zulhijah 1433), datang menyampaikan salam perpaduan mewakili pelbagai NGO Melayu. Mereka menjadi penyambung cita-cita perpaduan yang sedia dipupuk atas nama bangsa. Bicara dan luahannya dengan nada kecintaan yang tinggi kepada warisan bangsa yang digambarkan terlalu indah sekiranya perpaduan Melayu dapat dipupuk.

Malangnya, tiada nilai ‘hijrah’ diperhatikan dari setiap tutur bicara dan luahan itu. Mereka tegar dengan kepompong bangsa. Perpaduan yang dibina belum menyentuh persoalan teras seperti diajar oleh Islam. Mereka semacam tidak ambil penduli dengan kisah dan sirah para nabi dalam membina asas perpaduan sejati.
Oleh kerana itu, saya terus menzahirkan kebenaran dan mengajak mereka memahami nilai ‘hijrah’ ke arah membina perpaduan sejati.
Saya katakan, kita hendaklah bertitik (berpegang teguh) atas Islam bukan bertitik atas Melayu. Kita kena berhijrah dari kepompong Melayu kepada Islam. Ini kerana, kita dijadikan oleh Allah SWT ada tujuannya. Allah cipta Nabi Adam dan turut memberi peringatan agar tetap taat dan patuh kepada perintah-Nya. Namun tabiat manusia, meskipun Allah SWT sudah memberi peringatan, tetapi ada juga yang lupa perintah Allah sehingga berpecah-belah. Selepas Nabi Adam, berlaku pula kalangan anak dan cucunya, berbalah (berpecah-belah) sampai sekarang ini.
Sedangkan Allah SWT telah memperingatkan kita dengan firman-Nya:
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan jangan sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam (102). Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan-Nya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayah-Nya (103).”Surah Ali-Imran ayat 102-103)
Mana-mana puak yang berpecah-belah perlu kembali bersatu (membina perpaduan). Asas bersatu hendaklah berpaksikan hidayah Allah, bukannya pemikiran atau ikut selera manusia. Natijah inilah menafikan pemikiran manusia yang sering memikirkan asas bangsa sebagai teras perpaduan. Di sini tiada perpaduan (di sisi Allah) berlaku atas nama bangsa. Justeru jika mahu bersatu maka pakailah hidayah Allah SWT. Hidayah itu adalah tali Allah bukan tali kebangsaan.
Mana logiknya dipakai tali kebangsaan (memilih asas bangsa). Ia kerana tali agama (Islam) adalah perintah Allah. Maknanya, perpaduan semua kaum (Melayu, Cina, India), atau sesama kaum (kalangan Melayu) akan berjaya bila diasaskan atas nama Islam. Ini jaminan Allah SWT dalam Al-Quran, kerana Islam mengajar untuk bersatu-padu bukannya berpecah-belah.
Jika dipakai tali kebangsaan, meskipun atas nama Melayu, Cina , India mahupun Arab, ia bukan tuntutan Islam dan tiada dalam ajaran Nabi Muhammad SAW. Ambilah pengajaran daripaada kisah hijrah Nabi Muhammad SAW. Baginda berhijrah dari Mekah ke Madinah bukannya untuk kepentingan bangsa Arab, tetapi kerana Allah (sabda baginda):
“Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan RasulNya , maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Baginda kemudian berjaya membina perpaduan atas hidayah Allah itu. Paling nyata, berlaku perpaduan antara golongan Muhajirin (dari Mekah) dan Ansar (penduduk Madinah), lalu  bersama-sama membina keutuhan Islam dan sanggup pula berjuang menegak dan mempertahankan Islam.
Atas keharmonian perpaduan itulah menyebabkan pelbagai kabilah Arab yang belum Islam (Yahudi dan Nasara) turut memberi kepatuhan kepada pentadbir Madinah yang dipimpin oleh Nabi Muhammad SAW.
Pengajaran daripada perjalanan (model) perpaduan ditunjuk oleh Nabi Muhammad SAW itu telah memberi keyakinan bahawa Islam (dari segi tauhid) adalah penyatu dan boleh berperanan sebagai titik pertemuan. Justeru apalah hebatnya seruan “perpaduan Melayu” kerana ia bukan ajaran dari langit. Ia tidak lebih daripada impian sesetengah pemimpin yang tidak suka menoleh kepada ajaran tauhid (mengutamakan perintah Allah). Sedangkan kita ini (manusia)––diciptakan oleh Allah––adalah sebaik-baik ciptaan (firman-Nya):

“Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya).”(Surah At-Tiin ayat 4)
Munasabahnya, atas sifat insan bukan haiwan sudah tentu dapat menerima ajaran yang mulia (Islam). Ini kerana hanya Islam yuang mengajar soal hidup dan mati, pahala dan dosa serta adanya balasan syurga dan neraka. Ajaran seumpama ini tidak ada dalam fahaman kebangsaan dan sekularisme. Justeru kenapakah kita (insan yang taqwim––semulia-mulia kejadian) masih taksub dan berpaut kukuh pada dahan kebangsaan?
Seharusnya kita dapat mengambil perhatian akan bahayanya sekularisme yang hanya mengambil kira soal dunia semata-mata. Sedangkan kita akan bertemu Allah SWT di akhirat kelak, maka bagaimanakah kita akan berdepan dengan-Nya sedangkan sepanjang hidup di dunia kita tidak menerima hidayah dan ajaran-Nya (sebagai bekalan akhirat)? Sehingga sanggup menyeru dan berjuang ke arah perpaduan bermodelkan kebangsaan Melayu.
Atas semangat sambutan Hijrah 1434 ini, maka suka ditegaskan bahawa perpaduan yang diimpikan bermodelkan ‘kebangsaan Melayu’ sebenarnya tiada dalam kepala saya!
Bagi saya, teras dan model perpaduan sebenar hanyalah Islam––berpaksikan taqwa kepada Allah––suatu perpaduan yang ada nilainya di akhirat kelak. Ini kerana setiap perpaduan (bagi kita orang Islam) hendaklah meyakini bahawa ia akan berakhir di akhirat. Justeru itu, apa makna kita memakai dasar selain Islam. Maka ada baiknya jika pihak yang berkenaan, kalau ‘mahu  sangat’ kepada perpaduan, terimalah dasar Islam dan buang (bubar) dasar kebangsaan yang jelas sekular.
Selamat menyambut tahun baru Hijrah 1434, semoga segala nikmat-Nya bakal memanjangkan usaha dan perjuangan Islam di dunia sampai ke akhirat. Allahu Akbar.
Sumber: Blog Tok Guru

Tuan Guru Nik Aziz dinobat sebagai 'Tokoh Pendidik Nusantara'



tgna_masri2

Tuan Guru Nik Abdul Aziz dan Mauizhah
Oleh: Ustaz Zainudin Hashim
Setinggi-tinggi Tahniah kepada Tuan Guru Menteri Besar Kelantan, kerana telah dinobatkan sebagai ‘Tokoh Pendidik Nusantara’ pada majlis anugerah di Shah Alam, 8 September 2012.
    Sebenarnya Tuan Guru bukan hanya layak bergelar pendidik atau murabbi, malah seorang yang komited dengan apa yang disampaikan, sama ada melalui kuliah-kuliah rohani, tulisan beliau secara langsung atau tidak langsung yang mampu memikat golongan pendengar dari dalam dan luar negara termasuk golongan seniman seperti penulis novel Ayat-ayat Cinta, Dalam Mihrab Cinta dan Ketika Cinta Bertasbih (KCB) iaitu Habiburrahman Siraji dan juga para pelakon utama KCB iaitu Kholidi Asadil Alam dan Oki Setiana Dewi yang pernah bertandang ke Kelantan dan mengikuti kuliah pagi Jumaat beliau.
    Penulis begitu yakin bahawa Tuan Guru tidak senang dengan pujian melambung yang diberikan ke atas dirinya, kerana pujian tersebut tidak memberi makna sedikitpun di dunia mahupun akhirat jika tidak menyusuli dengan tindakan positif, ini jelas daripada kenyataan beliau seusai ditabalkan sebagai tokoh pendidikan, di mana beliau menegaskan bahawa apa ertinya seorang manusia itu diberi penghormatan di dunia, tetapi menghadapi siksaan kubur.
Tegas beliau lagi, apa ertinya di dunia bagi seorang yang cerdik, tetapi tidak berjaya mendapat kehidupan bahagia di dalam syurga. Firaun, Abu Jahal, Abu Lahab dan lain-lain adalah golongan cerdik tetapi kesudahan mereka menetap di dalam neraka, ini kerana mereka buat cara mereka sendiri dengan tidak mengikut cara yang diperkenalkan oleh baginda s.a.w.
Secara peribadi ingin penulis nyatakan di sini, bahawa Tuan Guru adalah seorang pendidik/murabi yang sangat berkesan dalam setiap kesempatan yang diberikan kepadanya, malah penampilan dan cara hidupnya yang sederhana juga memainkan peranan yang sangat penting untuk menambat hati manusia yang cintakan kebenaran, bukan sahaja dalam kalangan orang-orang Islam, malah turut disegani dan dihormati oleh mereka yang bukan Islam, inilah rahsia kejayaannya dalam mengekalkan Kelantan berada di bawah penguasaan PAS.

Tuan Guru dan kepimpinan Rasulullah s.a.w.
Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. adalah contoh terbaik dalam segenap aspek kehidupan ummah hingga ke hari akhirat, baginda bukan sahaja menitik-beratkan persoalan kepimpinan negara dengan ‘Siyasah Syar’iyyah’, iaitu konsep Khilafah Islamiyyah yang merupakan teras seperti yang ditegaskan Allah dalam al-Quran.
Pada masa yang sama baginda mengurus tadbir negara dengan sistem pemerintahan Islam, baginda tidak menyisihkan aspek mauizhah/bimbingan/tarbiyyah, kerana hati-hati manusia perlu dipaut dengan elemen kebenaran, kerana merekalah yang menjadi pendukung tegar bagi merealisasikan kebenaran al-Quran dan ajaran Islam yang lain.
Rasanya jika penulis mahu mencatatkan sebahagian besar mauizhah yang disampaikan baginda sepanjang bergelar pemimpin dan murabbi, maka ruangan muhasabah ini tidak mampu untuk menyatakan semuanya, walau bagaimanapun penulis cuba membuktikan antara pendekatan mauidzah baginda dalam memandu para sahabat dan ummah untuk sampai kepada maksud perubahan total nilai-nilai kemanusiaan.
   Syeikh Sa’id Hawwa dalam bukunya ‘Al-Islam’ pada halaman 13 juzuk ke-4, ada menukilkan sebuah hadis baginda s.a.w. yang bermaksud berdasarkan satu pertanyaan baginda kepada sahabat-sahabatnya : “Bagaimana sikap/pendirian/sensitiviti kamu (wahai sahabat-sahabatku), jika terdapat dalam kalangan wanita (dalam kalangan kamu) yang melakukan perkara sumbang (tarhadap Allah dan Rasul-Nya), golongan remaja melakukan sesuatu yang menjurus kepada amalan fasiq dan kamu meninggalkan jihad?, para sahabat bertanya, wahai Rasulullah : Apakah perkara seumpama itu berlaku (dalam kalangan kami) duhai Rasulullah? Ya, demi sesungguhnya nyawaku di tangan (Allah), perkara yang lebih buruk daripada itu akan berlaku, apakah perkara yang buruk itu wahai Rasulullah?. Bagaimana sikap/pendirian/sensitiviti kamu (wahai sahabat-sahabatku), jika perkara yang makruf itu kamu lihat sebagai perkara yang mungkar dan sebaliknya perkara yang mungkar itu pula kamu lihat sebagai perkara yang makruf? para sahabat bertanya, wahai Rasulullah : Apakah perkara seumpama itu berlaku (dalam kalangan kami) duhai Rasulullah? Ya, demi sesungguhnya nyawaku di tangan (Allah), perkara yang lebih buruk daripada itu akan berlaku, apakah perkara yang buruk itu wahai Rasulullah?. Bagaimana sikap/pendirian/sensitiviti kamu (wahai sahabat-sahabatku), jika kamu suruh/subur-suburkan yang mungkar dan kamu cegah pula yang makruf.

Wahai saudara-saudari pembaca sekalian,
Sesungguhnya persoalan di atas bukan terbit daripada seorang ustaz yang menyampaikan kuliahnya di masjid atau surau, akan tetapi kenyataan di atas terbit dari seorang pemimpin negara yang amat prihatin dengan permasalahan rakyatnya, untuk memimpin mereka ke jalan kebenaran menuju Allah SWT. Dengan lain perkataan baginda ingin mengeluarkan manusia dari penyembahan berhala dan manusia kepada penyembahan Tuhan segala manusia dalam gambaran aspeknya yang luas dan menyeluruh, termasuk soal ibadat, ekonomi, sistem kewangan, politik, institusi kemasyarakatan dan banyak lagi.
Tidakkah baginda Rasulullah seorang pemimpin nombor satu negara? Tetapi mengapakah baginda menitik-beratkan aspek mauizhah/tarbiyyah? Ini tidak lain kerana hati-hati manusia sering lalai daripada mengingati kebesaran Tuhan mereka lantaran pencapaian aspek kebendaan yang menjauhkan mereka daripada Allah SWT.
     Justeru, sebagai umat Islam dan hamba Allah yang serba kerdil dan tidak sempurna ini, kita perlu mendaulatkan kepimpinan baginda Rasulullah s.a.w. dalam segenap aktiviti harian hidup kita yang tercatat dalam kitab-kitab Sirah Nabawiyyah yang muktabar bagi mengembalikan kemulian dan keagungan Islam di persada alam ini, kerana sesungguhnya Sirah Nabi itu adalah pelaksanaan Islam secara praktikal.
   Tuan Guru Menteri Besar, bukan sahaja menerajui kepimpinan negeri dengan acuan Islam, malah pada masa yang sama sentiasa bertindak mencontohi baginda Rasulullah s.a.w. dengan menyampaikan segenap ajarannya secara praktikal, maka pada pagi Jumaat, beliau akan menyampaikan kuliah bertujuan untuk menyedarkan rakyatnya kepada Islam dalam segenap pendekatan dan dimensi Islam.
   Beliau juga mahukan agar kepimpinan negeri yang menjadi cabinet pentabiran negeri juga adalah terdiri daripada mereka yang memiliki hati nurani yang sentsitif dengan elemen Islam, mengapa demikian? Kerana bagaimana mungkin Islam akan dapat didaulatkan jika para pemimpin tidak menjadi golongan pengamal malah menjadi pelampau agama. Inilah aspek yang sering menjadi keutamaan kepimpinan Tuan Guru yang meletakkan mauidzah dan tarbiyyah sebagai teras kejayaan kepimpinannya.

Di mana mauizhah dan tarbiyyah disebar-luaskan hingga mencakupi segenap bentuknya, iaitu
Tarbiyyah Ruhiyyah
Tarbiyyah Aqliyyah
Tarbiyyah Nafsiyyah
Tarbiyyah Siyasiyyah
Tarbiyyah Akhlaqiyyah
Tarbiyyah Imaniyyah
Tarbiyyah Jasadiyyah dan bermacam-macam lagi yang tidak dapat disenaraikan semuanya.
Bagi memastikan matlamat dan momentum penjenamaan negeri Kelantan dengan Islam, Tuan Guru sentiasa meletakkan ‘Mauizhah dan Tarbiyyah’ sebagai agenda utama kerajaan negeri, justeru di samping mengurus tadbir negeri, pada masa yang sama Tuan Guru meletakkan kepimpinan Rasulullah s.a.w. sebagai rujukan, iaitu di samping mentadbir, beliau juga menghasilkan bahan-bahan ilmiah yang terdiri daripada nukilan al-Quran, hadis dan Sirah Nabi serta pandangan sarjana Islam, antara hasil karya Tuan Guru :
1- MAUIZHAH
2- Tafsir Surah-surah Pilihan
3- Muhammad Bukan Nasionalis
4- Bertemu Janji Allah
5- Ingatlah Tempat Kamu Di Akhirat
6- Muhammad s.a.w. Insan Teladan Sepanjang Zaman
7- Muhammad s.a.w. Jejak Junjungan Mulia
8- Taqwa
9- Asmaul Husna
10- Air Mata Di Mahsyar
11- Menjelang Turunnya Wahyu
12- Tazkiyah Jiwa dan Nafsu dan banyak lagi
Sesungguhnya pemilihan dan penabalan YAB Tuan Guru Dato’ Bentara Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai ‘Tokoh Pendidik Nusantara’ sebagai satu pengiktirafan bahawa seorang pendidik tidak sahaja duduk di sekolah, masjid atau surau menyampaikan ilmu, maklumat dan kefahaman, akan tetapi pendidik juga mempunyai peranan yang lebih besar dalam mendidik rakyat dengan Islam untuk menuju keselamatan sebenar di dunia dan akhirat, sesuai dengan makna Islam itu sendiri iaitu menjamin keselamatan total daripada Allah SWT, mudah-mudah Kelantan salah satu negeri di Malaysia menepati piawaian ayat 15 surah Saba’ yang bermaksud : “Negeri yang baik, Tuhan (bersedia) mengampunkan rakyat-rakyatnya.”

Wednesday, November 14, 2012

Tiga jenis Umno - Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man


Kuala Kangsar : Ketua Penerangan PAS Pusat, Ust Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan bahawa dalam UMNO ada tiga jenis yang perlu diketahui oleh setiap ahli dan penyokong Pakatan Rakyat. demikian kesimpulan yang dibuat oleh  beliau ketika menyampaikan ceramah di Pekan Karai, Kuala Kangsar baru-baru ini.

Menurut beliau dengan mengetahui dan mengenali golongan-golongan yang berada dalam UMNO ini ianya akan memudahkan ahli Pakatan Rakyat untuk memasang stratagi bagaimana untuk mendekati mereka dan seterusnya bagi mendapatkan undi ketika pilihanraya umum nanti.

Golongan pertama ialah Ahli UMNO yang berada dalam UMNO untuk mencari makan, golongan ini tidak sukakan UMNO tetapi kerana desakan dan keperluan hidup maka mereka mendekati UMNO hanya semata-mata duit sahaja. Golongan ini sukar untuk didekati kerana selagi UMNO bernyawa maka selagi itu jugalah mereka akan hidup bersama UMNO.

Golongan yang kedua ujar beliau pula adalah ahli UMNO yang betul-betul berjuang demi bangsa, agama dan negara. Namun golongan ini sebenarnya tertipu dengan pelbagai slogan tiruan UMNO.

seterusnya adalah goloongan yang benar-benar ikhlas menyertai UMNO tanpa mengira penat lelah memepertahankan dan memperjuangkan umno, majoriti golongan ini berada dikampung-kampung dan mereka inilah yang berjuang untuk UMNO.

Kesimpulannya, daripada tiga jenis golongan ini, golongan kedua dan ketiga adalah golongan yang boleh didekati, namun ahli dan penyokong perlulah bijak dalam mengatur strategi supaya undi mereka ini diperolehi dalam pilihanraya umum nanti. ujar beliau lagi.

Umno gerun risalah dalam akhbar Utusan

Umno, tuan punya akhbar Utusan yang menjadi penyebar fitnah harian, masih tidak mampu untuk menjawab segala fitnah yang mereka sendiri timbulkan.

Biarpun semua media arus perdana adalah milik mereka, namun mereka masih gagal untuk mendapatkan kepercayaan orang ramai akan berita-berita yang mereka siarkan.

Sehinggakan picisan-picisan yang diselit dan disisip di dalam akhbar juga dicemburui mereka.

Satu surat amaran (seperti gambar dibawah) telah dikeluarkan oleh pihak Utusan wilayah utara kepada pengedar-pengedar akhbar mereka untuk tidak memasukkan sebarang risalah berbentuk politik ke dalam akhbar mereka.

Ini bermakna, segala risalah-risalah yang diselitkan ke dalam akhbar selama ini telah berjaya memainkan peranan penting dalam penyebaran maklumat sehingga menggerunkan pihak Umno dan Utusan.

Strategi memasukkan risalah ke dalam akhbar harian perlu dipergiat dan diperluaskan lagi bagi menongkah fitnah dan isu-isu yang dimainkan media utama mereka.

Cetaklah sebanyak mungkin risalah-risalah untuk dimasukkan ke dalam akhbar-akhbar harian setiap pagi. Ane penjual dan pengedar akhbar sudah pasti boleh bekerjasama dalam hal ini.

Tuesday, November 13, 2012

Kereta Bob Lokman dirempuh gajah liar

Menurut sumber yang baru diterima, kereta jenis Proton Waja yang dipandu Bob Lokman atau nama sebenar  Mohd Hakim Lokman, 48,  telah dirembuh se-ekor gajah liar.

Bob Lokman dikatakan dalam perjalanan ke negeri kelahiranya Kelantan mengunakan jalan Gerik - Jeli bagi menghadiri muktamar PAS yang bakal berlansung pada 16 - 18 Nov ini.

Semasa kejadian berlaku dalam jam 10 malam tadi, kereta yang dipandu Bob Lokman telah terserempak dengan se-ekor gajah liar yang berada diatas jalanraya. Keretanya berhenti dijarak lebih kurang 30 meter dari gajah tersebut.

Tiba-tiba gajah tersebut meluru kearah kereta Waja-nya dan merempuh dengan mengunakan gading yang menyebabkan suasana panik.

Alhamdullilah.... setelah Bob Lokman memadankan lampu kereta-nya,gajah tersebut beredar dari situ.

Keadaan Bob Lokman dilaporkan tidak mengalami sebarang kecedaraan namun kereta Waja-nya mengalami kerosakan dibahagian hadapan,syukur kerosakan tersebut tidak serius.


"Memang cemas ketika itu, kerana haiwan liar tersebut secara tiba-tiba meluru ke arah kereta, walaupun kereta telah diberhentikan dijarak lebih 30 meter" Ujar Bob Lokman.

Dalam beberapa saat saja gajah tersebut sudah berada dihadapan kereta dan merempuh bahagian hadapan kereta  tambah Bob Lokman.

"Saya memadamkan lampu kereta ketika gading gajah menusuk ke badan kereta,keadaan kereta ketika itu bergoyang kuat hinggakan tayar belakang kereta terjongket naik,sebaik lampu kereta dipadamkan gajah tersebut terus beredar meninggak-kan kereta dan bergerak masuk ke dalam hutan di tepi jalan." "Saya hanya bertawakal kepada Allah ketika saat cemas itu...Alhamdullilah semua kembali tenang dan selamat,kereta pun masih boleh bergerak meneruskan perjalanan ".

Aku amat berasa syukur kepada Allah kerana Abg Bob Lokman tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kemalangan ini dan berasa bangga dengan semangat perjuangan Islam dinegara ini  khususnya didalam PAS.

Berlubang....kesan tusukan gajah liar


Sumber: blog Orang Ni

Monday, November 12, 2012

Jangan jadi batu penghalang kepada kemenangan Islam - Dato' Tuan Ibrahim

Tuan Ibrahim Tuan Man
Padang Rengas: "Cukuplah zaman kita menjadi penyokong PAS, sudah tiba masanya kita menjadi pekerja dan pembantu kepada PAS". itulah antara pesanan Ust Tuan Ibrahim Tuan Man ketika berucap di Majlis Kembara Ilmu Bersama Ketua Penerangan PAS Pusat di Kg Biong, Sauk, Padang Rengas baru-baru ini.

Untuk mencapai matlamat tersebut beliau menggesa kepada semua ahli agar bersiap dan memperkemaskan jentera dan organisasi disemua peringkat. Ini bagi memastikan misi untuk menawan Putrajaya akan berhasil. 

Beliau juga mengingatkan kepada ahli-ahli supaya jangan menjadi batu penghalang kepada kemenangan Islam, "Sekiranya kita tidak berpuas hati dengan sesuatu tindakan parti, maka ada salurannya, jangan kita menggunakan media musuh sebagai medan kita meluahkan ketidakpuasan". tegas beliau lagi.

Dalam ucapannya juga beliau menyarankan kepada pimpinan agar menggunakan segala ruang yang ada disekeliling bagi memenangkan Islam. 

"Orang muda dengan cara orang mudanya, orang tua dengan cara orang tuanya, bahkan sekiranya seseorang itu hanya boleh makan sahaja pun perlu digunakan untuk memenangkan Islam". seloroh beliau.

Program Jelajah Kembara Ilmu bersama beliau dimulakan dengan Kuliah Dhuha di Balai Tasawur Islam, Simpang Empat, Semanggol. kemudian Hitea di Kg Biong, sauk. Kuliah Maghrib di Kg luat Lenggong dan Ceramah Umum bersama Ketua Pemuda PAS Perak di Pekan Karai, Kuala Kangsar.


Menjamu Selera di Balai Tasawur Islam Simpang Empat, Semanggol
Walaupun hujan, orang ramai tekun mendengar ucapan Ust Tuan Ibrahim Tuan Man

Sumber: teratakkampungku.blogspot.com

Midah angin satu badan kena kencing Umno Perak

Berikutan sebuah program di jeti Kelip-Kelip Kampung Dew di DUN kuala Sepetang didalam Parlimen Bukit Gantang pada petang 11 Nov 2012.

Jam 4 petang.....Dalam keadaan hujan lebat ketika itu menjadi panas buat YB Hamidah Osman (exco pelancongan Perak).

Apa tidaknya...??

Hamidah naik angin 5 kali kata penduduk kampung....hehehe....

Naik angin 1: Hamidah terpaksa datang sendirian setelah MB Zambry tidak hadir tanpa sebab.

Naik angin 2: Udah le Hamidah datang sorang...sekor wakil dari UMNO Bukit Gantang pun tak sambutnya diprogram tersebut....hahaha....

Naik angin 3: Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang YB Datuk Rosli (ADUN Terong) pun tak datang dengan alasan tiada dijemput,wahal dalam Bahagian-nya sendiri.

Naik angin 4: Tapi aku dimaklumkan ada jemputan,sebab ada bukti surat jemputan kata seorang penduduk disini, jadi sebab YB Rosli tak mahu datang mungkin tak berapa sebulu dengan YB Hamidah...hahaha....

Naik angin 5: Paling kritikal apabila pengerusi persatuan Kelip-kelip (Kecap) yang juga Tok Ketua Kampung  Air Putih En. Mat Nor Saleh pun tak datang.

Hahaha.... Hamidah dikatakan amat berang diprogram tersebut yang dikatakan persiapan program amat gah dengan 9 agensi terlibat buat pameran dilokasi.

Hamidah hanya berucap pendek saja dan sempat menanam sepokok pokok berembang di tepi jeti tersebut...

Rata-rata penduduk di kampung Dew kecewa dengan program ini yang dikatakan hanya membuang masa mereka kerana tiada apa-apa kebaikan dengan kehadiran YB Hamidah....udah angin satu badan, tak ada apa2 janji le....hahaha....

Naik angin bonus: YB Hamidah sempat membelek kerusi-kerusi yang di sumbangkan Ahli Parlimen Bukit Gantang DS Nizar yang berada di atas jeti kampung Dew...dengan kelu seribu bahasa.....hahaha.....




Followers

Video ajijoi

Loading...