Al-Quran Digital Read Pen

Al-Quran Digital Read Pen

Saturday, August 18, 2012

Perutusan Hari Raya Eidilfitri Pesuruhjaya PAS Perak


Saya mewakili pimpinan PAS Negeri Perak mengucapkan "Selamat Hari Raya Eidilfitri " kepada seluruh umat Islam di Malaysia.Menjadi kelaziman, selepas menunaikan ibadah-ibadah yang besar Allah SWT mengurniakan hadiah besar kepada umat Islam. 

Hari raya Eidilfitri mempunyai keistimewaan yang tersendiri. Setelah umat Islam dididik, ditarbiah dengan mengerjakan ibadah puasa di bulan Ramadhan, supaya menjadi orang-orang bertakwa kepada Allah SWT.

Saya mengharapkan agar objektif umat diwajibkan berpuasa iaitu "supaya meningkatkan takwa" akan tercapai . Apabila hati para mukmin yang diamanahkan sebagai raja dalam diri dapat ditarbiyah mengikut acuan Al Quran dan As Sunnah dalam Madrasah Ramadhan, yakinlah raja yang bersih ini akan dapat menundukkan seluruh rakyatnya iaitu akal, para anggota zahirnya dan emosinya ke arah matlamat yang sama iaitu bertakwa kepada Allah SWT. 

Inilah kemenangan yang cemerlang bagi umat yang berpuasa dan layak untuk menyambut Hari Raya. Hasil kemenangan inilah akan menambah keperkasaan umat untuk terus bersatu bagi menegakkan keadilan, kesejahteraan dan kebajikan untuk seluruh manusia seperti yang dikehendaki oleh pencipta manusia. 

Segala kezaliman dan kemungkaran yang dilakukan oleh golongan yang anti takwa akan musnah dan tertegaklah negara idaman mmanusia iaitu negara yang baik dan mendapat keampunan Allah SWT. 

Akhir kalam, salam kemaafan dari kami saf kepimpinan PAS Negeri Perak atas sebarang kekurangan dan kesilapan kami sepanjang menerajui kepimpinan PAS Negeri Perak.


Salam Eidilftiri, Maaf Zahir dan Batin. 
Ustaz Abu Bakar Hussian
(Pesuruhjaya PAS Perak )

Sunday, August 12, 2012

Datuk Tamrin Tun Ghafar Baba sertai Pas, tinggalkan Umno


KUALA LUMPUR: Selepas kerap tampil di pentas PAS dan Pakatan Rakyat, bekas ahli Umno, Datuk Tamrin Ghafar(gambar) akhirnya meninggalkan parti itu dan secara rasmi menyertai PAS malam ini.

Anak kepada bekas Timbalan Perdana Menteri, Allahyarham Tun Ghafar Baba itu menyerahkan borang permohonan keahlian PAS kepada Presiden, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam majlis peringatan Badar Al Kubra di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUISZM), Taman Melawar malam ini.

Tamrin merupakan bekas Adun Ayer Molek dan pernah menjadi Ahli Parlimen Batu Berendam selain bekas Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) suatu ketika dahulu.

Tamrin dalam ucapannya berkata, beliau tidak terburu-buru membuat keputusan meninggalkan Umno.

Sebaliknya beliau mula memikirkan tindakan tersebut selepas melihat Umno tergelincir daripada landasan membela rakyat.

"Saya tidak buat keputusan ini terburu-buru tapi sejak lama dah saya fikir. Umno terkeluar daripada landasan membela nasib rakyat sejak 90-an lagi.

"Pelbagai perkara dilakukan termasuk menghina ulama. Walaupun ketika itu saya masih dalam Umno tapi saya tak setuju mereka hina ulama," katanya.

Tamrin turut berjanji akan membantu PAS dengan bersungguh-sungguh untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13.

"Saya berjanji akan berkempen berhabis-habisan bersama tuan-tuan kerana saya lihat perjuangan PAS sangat ikhlas. Saya yakin kemenangan berpihak kepada PAS," katanya.

Beliau turut mengakui pemimpin-pemimpin PAS tidak boleh dijual beli.

"Saya kenal Mat Sabu dan (Tuan Guru) Datuk (Seri) Abdul Hadi (Awang) dah lama.

"Mat Sabu tak pernah pun ajak saya masuk PAS tapi saya yang selalu suruh dia tinggalkan PAS," katanya.


Wawancara bersama Abdullah Antong Sabri


PANAS! : Pendedahan Khas Isu Rampasan Kuasa



Kisah sebenar Rampasan Kuasa

Nama Abdullah Antong pernah dilanda kontroversi apabila dilihat menjadi dalang dalam insiden rampasan kuasa kerajaan Pakatan Rakyat pada tahun 2009. Beliau baru-baru ini telah mengisytiharkan diri menyokong PAS dan Pakatan Rakyat. Tindakan tersebut telah membuatkan BN dalam keadaan sangat takut kerana beliau banyak mengetahui tentang krisis politik di Perak itu. Perakite Daily bersama Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Misbahul Munir telah mewawancara beliau untuk mengetahui lebih lanjut.

Misbahul Munir/ Perakite Daily :

Baru-baru ini Saudara telah mengiystiharkan diri menyokong PAS dan Pakatan Rakyat melalui satu program Hi-Tea yang dianjurkan oleh PAS Perak. Apakah faktor yang mendorong tindakan tersebut?

Abdullah:

Saya berkhidmat selama 29 tahun dengan kerajaan sebelum bersara November 2010, suasana politik yang tidak selesa pada saya, menyebabkan saya tidak berminat untuk menyambung khidmat dan bersara wajib pada umur 56 tahun. Di usia yang sudah mencecah 58 tahun saya tergerak hati untuk mengisyitiharkan diri sebagai penyokong PAS.

Faktor utama ialah Allah telah memberi saya hidayah untuk memilih PAS dan tindakan ini bukanlah disebabkan atas desakan mana-mana pihak dan individu, walaupun saya kenal rapat dengan beberapa pimpinan PAS.

Faktor lain ialah berdasarkan pemerhatian dan penilaian selama berkhidmat selama 11 bulan dengan Pakatan Rakyat, saya ikhlas menyatakan banyak perbezaan antara Pakatan Rakyat dengan BN terutama ketelusan, kesungguhan, keupayaan dan juga keperibadian kepimpinan yang tidak dapat ditandingi oleh pimpinan Umno-BN.

Walau bagaimanapun seperti kebanyakan rakan-rakan lain yang menyertai PAS adalah kerana mendapat hidayah dan kesedaran daripada Allah.

Saya menyokong PAS bukan ada apa-apa kepentingan, juga bukan mendapat imbuhan dan balasan. Saya tidak berniat langsung untuk menjadi pemimpin PAS atau menjadi calon. Saya hanya mahu bekerjasama dengan PAS dan Pakatan Rakyat untuk tumbangkan BN dalam PRU akan datang.

Misbahul Munir/ Perakite Daily:

Saudara pernah dilabel sebagai konspirator dalam insiden rampasan kuasa yang berlaku di Perak oleh blogger-blogger dan masyarakat khususnya penyokong Pakatan Rakayat yang mungkin tidak tahu situasi sebenar. Apakah perasaan Saudara apabila ditohmah sebegitu rupa, dan di waktu itu apakah kedudukan yang sebenar ?

Abdullah:

Secara peribadi saya berasa sedih kerana saya tidak boleh menjelaskan perkara sebenar ketika itu disebabkan tiada platform dan ruang untung menafikan dakwaan-dakwaan tersebut.

Sehinggakan jiran-jiran saya berpandangan serong kepada saya yang dianggap telah bersekongkol dengan BN untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat.

Saya ingin jelaskan dan tegaskan bahawa saya tidak terlibat langsung dengan apa yang dipanggil konspirasi apatah lagi sebagai konspiratornya. Saya hanya pegawai kerajaan yang berjawatan Setiausaha Dewan Negeri, bertanggungjawab
ke atas perjalanan sidang dewan dan juga yang berkaitan dengannya dan juga bertanggungjawab ke atas perjalanan mesyuarat EXCO kerajaan negeri yang juga diberi tugas mencatat dan menyediakan kertas dan minit mesyuarat.

Dalam DUN Bos saya ialah Speaker Dewan Negeri, dalam mesyuarat EXCO bos saya ialah Menteri Besar dan dalam perkhidmatan kerajaan bos saya pula ialah Setiausaha Kerajaan Negeri. Ketika kemelut politik yang memuncak, saya menjadi serba salah antara amanah dengan kepentingan pekerjaan.

Di awal kemelut politik berlaku, tidak ada yang mengenali saya ketika itu. Nama saya hanya muncul apabila saya menyanggahi arahan Speaker DUN Perak.

Saya bertegas bahawa tindakan-tindakan adalah disebabkan tekanan dari pihak atasan, saya tidak upaya elak berbuat demikian kerana terpaksa menerima arahan pihak atasan.

Semua kenyataan berkaitan sidang dewan dan sebagainya saya perlu keluarkan dan perlu ditandatangan atas
kapasiti saya sebagai setiausaha DUN sehinggalah saya mengeluarkan satu kenyataan yang kontrovesi iaitu sidang DUN yang dipanggil oleh Speaker yang sah ketika itu, YB V Sivakumar sebagai tidak sah.

Atas sebab kenyataan saya itu, tercatat memori dan sejarah dunia apabila sidang DUN terpaksa diadakan di bawah pokok kerana Adun Pakatan Rakyat dihalang memasuki dewan.

Jadi kenyataan itu tidak ada kaitan dengan konspirasi rampasan kuasa oleh BN.

Saya mahu tegaskan sekali lagi bahawa saya tidak terlibat dengan konspirasi untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat termasuklah dalam urusan ‘membeli’ Adun dan sebagainya
.
Dalam kesempatan ini saya ingin bersihkan nama saya yang dianggap menjadi “conspirator” dalam insiden rampasan kuasa oleh BN itu.

Misbahul Munir/ Perakite Daily:

Kerajaan Pakatan Rakyat tumbang apabila Adunnya melompat parti tetapi Dato’ Seri Nizar Jamaluddin dan Pakatan Rakyat serta disokong oleh beberapa pakar perundangan bertegas bahawa Nizar tetap sebagai Menteri Besar yang sah. Jadi apa pandangan saudara ketika itu?

Abdullah:

Harus diingat, mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak, jawatan Menteri Besar gugur dengan tiga perkara iaitu disabitkan dengan salah laku tatatertib atau hilang kelayakan sebagai Adun, perletakan jawatan, dan apabila berlakunya pembubaran DUN.

Ahli Dewan juga boleh membuat usul undi tidak percaya kepada Menteri Besar dan sekiranya majoritinya mengundi tidak percaya, Menteri Besar ketika itu mempunyai dua pilihan iaitu meletak jawatan ataupun memohon perkenan Tuanku untuk membubarkan DUN bagi pilihanraya semula diadakan. Ini tercatit didalam Perkara 16(6) Undang-undang Tubuh Negeri Perak.

Dato’ Seri Nizar tidak pernah dijatuhkan undi tidak percaya oleh ahli dewan dan sebab itu saya tidak terkejut dengan keputusan Mahkamah Tinggi memutuskan beliau tdak terlucut jawatannnya sebelum Mahkamah Rayuan memutuskan sebaliknya.

Saya lebih chenderong untuk setuju dengan keputusan Mahkamah Tinggi.

Misbahul Munir/ Perakite Daily:

Apa pandangan En Abdullah ketika insiden V Sivakumar diusung keluar yang ketika itu sedang menjalankan tugas sebagai Speaker?

Abdullah:

Apabila kerajaan Pakatan Rakyat ditumbangkan, BN ketika itu tidak nampak ada satu lagi institusi ataupun jawatan penting iaitu Speaker yang ketika itu masih lagi dari kalangan Pakatan Rakyat.

Tidak lengkap mendapat jawatan Menteri Besar jika belum mendapat menukar Speaker DUN kerana Speaker berkuasa penuh di dalam dewan bermakna Pakatan Rakyat masih berkuasa di Dewan Negeri.

Jadi jika inginkan kuasa sebenar kerajaan dalam sidang DUN, BN ketika itu perlukan kuasa sepenuhnya di dewan dan ini yang mereka terlepas pandang.

Semasa sidang DUN pada 7 mei 2009 yang berlaku dalam keadaan tegang itu, saya tidak nampak dan dengar speaker mengarahkan timbalannya mempengerusikan sidang DUN, pada masa yang sama V Sivakumar masih duduk di kerusinya.

Tiba-tiba Timbalan Speaker, YB Hee Yit Fong telah adakan satu sidang di hujung dewan untuk melantik Speaker baru dan saya sebagai Setiausaha DUN berasa pelik, saya baca buku perintah tetap tentang tindakan Hee itu namun saya tidak menjumpai satu fasal pun yang membenarkan keadaan itu berlaku, ini bermakna Peraturan Tetap Dewan telah dilanggar.

Saya tidak pasti siapa yang mengusung V Sivakumar ke luar dewan dan sudah pasti ianya bukan staff dewan kerana saya mengenali semua staff-staff tambahan yang dilantik bagi membantu Bentara Dewan.

Kejadian tersebut telah menjadi sejarah dunia kerana ianya tidak pernah berlaku di mana-mana Negara Komanwel mahupun negara lain.

Misbahul Munir/ Perakite Daily:

En Abdullah ada pengalaman yang lama dengan BN berbanding dengan Paktan Rakyat yang cuma 11 bulan, jadi apakah perbezaan yang ketara antara kerajaan Pakatan Rakyat dengan BN?

Abdullah:

Semasa mula-mula Pakatan Rakyat memulakan tugas, kami tertanya-tanya bagaimana corak pemerintahan dan adakah Pakatan Rakyat mampu memerintah. Saya sendiri tidak berapa yakin dengan gabungan tiga parti ini ketika itu.

Sebagai pegawai kerajaan, saya menjalankan tugas seperti biasa. Kami pegawai kerajaan hanya sebagai pelaksana terhadap dasar dan polisi kerajaan Pakatan Rakyat, apa yang mereka putuskan, kami wajib melaksanakannya asalkan tidak bertentangan dengan etika perkhidmatan.

Perbezaan yang sangat ketara ialah Adun-Adun Pakatan Rakyat terutama EXCO sangat mesra dan mudah mendampingi pegawai dan kakitangan kerajaan dan tiada kerenah birokrasi. Tidak pernah sebelum ini seorang Menteri Besar boleh turun makan tengah hari di kantin bersama pegawai-pegawainya melainkan Dato’ Seri Nizar.

Semua Exco Pakatan Rakyat termasuklah dari kalangan DAP cukup merendah diri dan tidak sombong ataupun egois.

Pemerintahan Pakatan Rakyat sangat telus sehinggakan Nizar sering menasihatkan kepada Exco-Exconya supaya tidak mengambil kepentingan parti melainkan kepentingan rakyat.

Dari segi ketekunan, saya dapati diperingkat awal mesyuarat EXCO mengambil masa panjang cuma berhenti untuk makan dan solat. Menteri Besar dan barisan EXCO begitu teliti terhadap semua kertas mesyuarat sama ada mahu melulus atau menolak.

Semua EXCO telah diberi peluang untuk memberi pandangan sebelum keputusan dibuat.

Menteri Besar dan Exco tidak pernah mengarahkan saya mendahulukan mana mana kertas, terserah kepada saya sebagai setiausaha memilih kertas yang akan dibawa.

Dalam soal penjimatan kos jamuan keraian anjuran kerajaan negeri juga dikurangkan termasuklah makanan sewaktu mesyuarat EXCO. Setiap kali mesyuarat EXCO kos makanan kurang daripada RM45 seorang berbanding dulu hanya untuk minum pagi sahaja RM 45 seorang.

Waktu solat, surau di pejabat SUK sangat meriah dan imarah tanpa paksaan untuk berjemaah . Dato’ Seri Nizar sendiri akan mengimamkan solat berjemaah seterusnya menyampaikan tazkirah. Ini sangat berbeza dengan pemerintahan BN.

Ketika bulan Ramadhan dihiasi dengan pelbagai program seperti tazkirah setiap pagi, semua EXCO, ADUN yang muslim serta beberapa pegawai kerajaan termasuk SUK, pegawai kewangan dan Mufti diberi peluang menyampaikan tazkirah Ramadhan selama 10 minit .

Ia sangat mengesankan sekali. Ada EXCO DAP beritahu saya mereka tiada masalah turut berminat mendengar tazkirah pagi.

Pemberian bubur lambuk yang dibuat sendiri oleh kakitangan SUK dan pimpinan Pakatan Rakyat serta pelbagai lagi program untuk mengimarahkan bulan Ramadhan.

Ini baru perkara-perkara kecil, belum sentuh bab lain seperti pemberian air percuma, pengecualian kompaun, pemberian tanah hak milik kekal kepada Kampung Tersusun dan Kampung Baru, bantuan RM 1,000 kepada pelajar-pelajar yang ke IPT, dan sebagainya.

Setiap kali mesyuarat EXCO, Dato’ Seri Nizar bersama barisan exco sentiasa mencari jalan untuk mengurangkan beban rakyat dan ini menggambarkan betapa tekun serta bersungguh-sungguhnya kerajaan PR untuk membantu rakyat.

Misbahul Munir/ Perakite Daily:

Semasa pemerintahan Pakatan Rakyat selama 11 bulan dahulu, PAS dan Menteri Besar sering dimomokkan sebagai "boneka" atau "kuda tunggangan" DAP, Dato’ Seri Nizar pula hanya ikut telunjuk EXCO DAP dalam membuat apa sahaja keputusan. Jadi apa pandangan Saudara?

Abdullah:

Saya lihat inilah yang menjadi modal utama BN bagi memberi persepsi buruk masyarakat terhadap PAS dan ini adalah tidak betul sama sekali.

Dalam mesyuarat Exco Pakatan Rakyat, mereka tidak langsung membawa kepentingan peribadi saperti saranan Menteri Besar supaya perkara dielakkan.

Tuduhan BN yang mengatakan DAP menguasai mesyuarat dan mengikut arahan DAP ternyata fitnah semata-mata. Semua perkara dibincangkan secara terbuka dan Dato’ Seri Nizar memberi peluang kepada semua ahli mesyuarat menyatakan pandangan mereka.

Saya mengambil contoh satu kes menggazetkan tapak surau di Sitiawan, Dato’ Ngeh Koo Ham selaku Adun kawasan tersebut pergi melihat sendiri keadaan surau tersebut.

Pada mulanya mesyuarat mewartakan setengah ekar untuk kawasan surau itu, Dato’ Ngeh mencadangkan untuk meluaskan lagi tapak surau tersebut kepada satu ekar bagi memudahkan parkir kereta umat Islam yang hendak beribadah. Ini membuktikan DAP tidak mempunyai sikap anti Islam dan perkauman.

Berlaku lagi satu kes meluluskan satu tapak tokong Cina di Tambun. Kawasan yang terletak di tepi gua tersebut sangat bahaya dan tidak sesuai untuk medirikan tokong. Ulasan dari Jabatan yang berkaitan tidak bersetuju dan menasihatkan tidak diluluskan.

Mesyuarat menerima cadangan syor tersebut, lalu menolak permohonan tapak tokong. Saya tidak lihat Exco dari kalangan DAP yang membantah keputusan itu atau mempertahan permohonan tersebut dan mereka semua setuju.

Saya lihat persefahaman antara Ecxo sangat baik dan menghormati Dato’ Seri Nizar sebagai Menteri Besar walaupun DAP majoriti.

Misbahul Munir/HARAKAH:

Selepas mengisytiharkan diri sebagai penyokong perjuangan PAS dan Pakatan Rakyat, adakah terdapat kekangan-kekangan dan tawaran yang datang dari kerajaan BN Perak?

Abdullah:

Sahabat-sahabat saya tiada masalah dengan tindakan saya menyertai PAS, ada juga yang membantah. Ramai yang terkejut kerana tiba-tiba saya muncul kembali Mereka fikir, selepas pencen saya berdiam diri dan tidak peka dengan politik semasa.

Seorang bekas pegawai tinggi kerajaan ada berjumpa saya menasihatkan saya supaya membatalkan hasrat untuk menyertai PAS. Saya tidak pastilah, itu kehendak dia ke atau diminta oleh pemimpin Umno untuk memujuk saya.

Saya hairan kenapa mereka sangat terkejut dengan tindakan saya, adakah ianya isu hangat, adakah saya ini terlalu bahaya dan kemunculan saya akan meresahkan BN. Sedangkan ramainya bekas pegawai tinggi kerajaan menyertai PAS dan Pakatan Rakyat seumpama satu fenomena masa kini.

Kemungkinan juga kerana saya banyak mengetahui cerita dan rahsia. Saya tahu ada perkara yang boleh diceritakan, ada rahsia yang tidak boleh didedahkan. Perkara-perkara kecil yang tidak menjadi rahsia kerajaan bolehlah saya kongsikan.

Sampai sekarang ini, mereka masih memerhatikan saya dan mengikuti perkembangan ini. Saya juga diminta berjumpa dengan orang politik Umno-BN untuk kononnya ingin mentarbiah atau “brainwash” saya. Saya ucap terima kasih sahajalah kerana saya telah memilih halatuju sendiri.

Saya berharap mereka tidak mengganggu saya sebagai rakyat yang cintakan demokrasi. Saya pasti saya tidak akan memperolehi apa apa dari kerajaan negeri hatta sebidang tanah RPT pun selepas ini.

Misbahul Munir/HARAKAH:

Untuk yang terakhir ni, apa seruan En Abdullah kepada seluruh rakyat Perak dalam PRU akan datang.

Abdullah:

Saya nak beritahu,BN sekarang ini bukanlah kuat sangat, mereka dapat kuasa pun bukan dengan cara demokrasi. Pakatan Rakyat dapat mandat dari rakyat melalui PRU yang lalu sekalipun dengan majoriti yang kecil. BN dapat kuasa setelah 3 orang Adun mengkhianati mandat rakyat.

Oleh itu, saya rayu dan seru seluruh rakyat Perak buat perubahan dengan berani pada PRU akan datang. Kembalikan semula kuasa Pakatan Rakyat melalui kuasa rakyat. Saya yakin Insya Allah, Paktan Rakyat akan kembali memerintah Perak selepas ini. Percayalah saya telah mengalami pengalaman yang manis selama 11 bulan Pakatan Rakyat memerintah dan saya akan bersama- sama seluruh rakyat Perak untuk meraikan kemenangan dalam PRU13 akan datang.

Kerajaan Perak gagal atasi masalah kritikal kewangan KISDAR



Badan Perhubungan PAS Negeri Perak mendapat maklumat bahawa Kolej Islam Darul Ridzuan (KISDAR) sebuah kolej milik penuh Kerajaan Negeri Perak kini mengalami masalah kewangan yang kritikal walapun dalam masa yang sama telah menaiktarafkan ianya menjadi Kolej Universiti Sultan Azlan Shah (KUISAS) baru-baru ini. Pada hakikatnya, Kerajaan Negeri pimpinan Datuk Seri DiRaja Dr Haji Zambry Abdul Kadir masih belum mampu memastikan taraf KISDAR untuk menjadi Kolej Universiti berikutan kepincangan masalah kewangan sebenarnya.

Berikutan menaiktarafkan KISDAR kepada KUISAS, kos operasi yang amat tinggi terpaksa diselenggara kini. Persoalan timbul tentang penganugerahan tanah hampir 3,000 ekar kepada KISDAR bagi tujuan menjana kewangannya, apakah yang telah berlaku? Sehingga kini, kos bayaran kakitangan KISDAR sudah mencecah RM 1 Juta sebulan dan kos ini tidak termasuk kos pembangunan akademik serta pelajar dan juga kos penyelenggaraan operasi KISDAR. Kami turut difahamkan bahawa penambahan kos gaji kakitangan berlaku disebabkan kemasukan kakitangan pentadbiran secara ‘melampau’ dan juga berlebihan.

Ianya seperti tiada perancangan rapi di dalam memastikan pengurusan utama KISDAR menilai semua permohonan kakitangan yang sewajarnya dan layak bagi mengisi kekosongan tersebut. Ini termasuk telah melantik beberapa pegawai utama tanpa ada satu penilaian dan kelayakan bagi memastikan pengurusan KISDAR untuk mampu dinaiktaraf sepenuhnya. Kami juga melihat kegagalan ini dengan pemotongan permohonan peruntukan yang dikemukakan oleh KISDAR menampakkan lagi kepincangan dalam menguruskan KISDAR. Malah difahamkan akibat daripada permotongan peruntukan tersebut akan menyebabkan gaji kakitangan KISDAR hanya mampu dibayar sehingga September atau Oktober sahaja.

Kami sangsi kemampuan Datuk Seri Zambry di dalam memastikan satu-satunya Kolej di bawah Kerajaan Negeri Perak akan berjaya dinaiktaraf sepertimana pengharapan Seri Paduka Sultan Perak, Sultan Azlan Shah dalam titah-titah baginda sebelum ini terhadap pengharapan terbentuknya KUISAS di Negeri Perak. Kami bersedia menjayakan misi menaiktarafkan KISDAR demi rakyat dan masyarakat Islam yang inginkan mercu kebanggaan rakyat Perak ini dipulihkan dengan segera!

DR RAJA AHMAD AL-HISS
Koordinator,
Jawatankuasa Isu dan Strategik,
Badan Perhubungan PAS Negeri Perak.

Apa penjelasan kerajaan BN Perak beli 3 kereta rasmi berharga RM350,000 sebuah?



Badan Perhubungan PAS Negeri Perak memohon penjelasan Kerajaan Negeri Perak yang dikatakan telah membeli tiga buah kereta ‘Nissan Fuga Hybrid’ untuk kegunaan rasmi Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri dan Penasihat Undang-Undang Negeri baru-baru ini.

Persoalan juga timbul, adakah Kerajaan Negeri pimpinan Datuk Seri DiRaja Dr Haji Zambry Abdul Kadir tidak ‘patriotik’?

Jika isu pembelian kereta rasmi kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Ir Haji Mohammad Nizar Jamaluddin dahulu dikatakan tidak ‘patriotik’ kerana telah membeli 16 buah ‘Toyota Camry’ dengan kos sebanyak RM 167,000 sebuah ketika itu. Adakah perkara yang sama juga kini berlaku kepada Datuk Seri Zambry?

Adakah juga Datuk Seri Zambry menepati janji mahu berbelanja secara berhemah yang pernah dilontarkan juga kepada Datuk Seri Nizar ketika itu?

Jika dengan model Nissan tersebut, iaitu Infiniti M25 – 2.5-litre V6 / 7-speed automatic yang mencecah RM 350,000 sebuah, adakah kerajaan negeri berhemat di dalam kos pembelian?

Kami mendesak ketelusan dan keterbukaan Datuk Seri Zambry di dalam perkara ini kerana ianya melibatkan kewangan rakyat dan keyakinan rakyat.

Dan penting juga adakah ianya dibuat secara terus pembelian tersebut atau sebaliknya?


DR RAJA AHMAD AL-HISS
Koordinator,
Jawatankuasa Isu dan Strategik,
Badan Perhubungan PAS Negeri Perak

Isu 511.43 ekar tanah di Batu Gajah: Dimana kedudukan Syarikat Maju Perak dalam projek pembinaannya?


Isu 511.43 Ekar Tanah: Penjelasan Maju Perak mengelirukan

Bagi pihak Badan Perhubungan PAS Negeri Perak akan terus mendesak penjelasan tanah seluas 511.43 ekar berhampiran dengan Stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) Batu Gajah yang dimiliki oleh Syarikat Maju Perak yang dikatakan telah memeterai satu perjanjian ‘Usahasama’ dengan Xtreme News Sd. Bhd. Penjelasan daripada Syarikat Maju Perak pada 11 Julai yang lalu lebih menimbulkan banyak persoalan-persoalan baru berkaitan ‘Usahasama’ yang sebenarnya merugikan kantung Kerajaan Negeri Perak secara langsung.

Pada 4 Julai yang lalu, kami telah membangkitkan persoalan ini dan mendesak agar Datuk Seri DiRaja Dr Haji Zambry Abdul Kadir menjelaskan kedudukan status tanah yang dikatakan telah dijual dengan kadar rendah yang tidak mengikut harga pasaran semasa tersebut. Ini kerana Datuk Seri Zambry mesti bertanggungjawab terhadap anak syarikat kerajaan negeri terutamanya berkaitan urus niaga tanah. Kami telah jelaskan bahawa isu yang ditimbulkan adalah perjanjian yang telah dimeterai antara dua pihak tersebut yang pihak kami rasakan amat merugikan sama sekali.

Timbul persoalan baru, iaitu pada 9 Jun yang lalu Syarikat Nagamas Internasional Berhad melalui anak syarikatnya Nagamas Venture Sdn. Bhd. telah memeterai satu perjanjian dengan Xtreme News Sd. Bhd. bagi membangunkan projek bernilai RM 1 Billion di situ. Persoalan kami, di manakah kedudukan Syarikat Maju Perak di atas perancangan projek pembinaan “Wellness Resort” bertaraf lima bintang dan “Premium Shopping Outlet” yang setaraf dengan Johor Premium Outlet di Iskandar Development Region (“IDR”) tersebut?

Kenapakah projek tersebut tidak terus diberikan kepada Syarikat Nagamas Internasional Berhad jika perancangan awal dan kedudukan lokasi tanah seluas 511.43 ekar berhampiran dengan KTM Batu Gajah yang dikatakan 50 peratusnya meliputi kawasan air tersebut? Kami sekali lagi mendesak agar campur tangan Datuk Seri Zambry agar kecelaruan pengurusan Syarikat Maju Perak di atasi dengan segera dan menyelamatkan satu urus niaga yang akhirnya akan merugikan rakyat iaitu kantung kerajaan negeri dan sebaliknya pula mengkayakan kroni sahaja!

IPOH: Koordinator Jawatankuasa Isu dan Strategik PAS Perak, Salman Saleh berkata, PAS Perak telah mendedahkan pada 9 Jun yang lalu bahawa Syarikat Nagamas Internasional Berhad melalui anak syarikatnya Nagamas Venture Sdn. Bhd. telah memeterai satu perjanjian dengan Syarikat Xtreme News Sdn. Bhd. bagi membangunkan projek bernilai RM 1 Billion di situ.

Jelasnya, pihaknya telah mempersoalkan dimanakah kedudukan Syarikat Maju Perak Berhad diatas perjanjian baru yang telah dimeterai tersebut.

Menurutnya, jika projek yang diusahakan yang bernilai RM 1 Billion sepertimana yang dilaporkan, dimanakah peranan Kerajaan Negeri Perak dimana Maju Perak adalah anak syarikat kerajaan negeri?

“Kami telah dedahkan bahawa Xtreme News dimiliki oleh pemegang saham ‘bukan bumiputera’ dan pihak Maju Perak telah mendakwa syarikat ‘usahasama’ nya adalah ‘bumiputera’ iaitu Nagamas Internasional. Persoalan awal yang masih tidak terjawab ialah dimanakah kedudukan Maju Perak di atas projek mega ini?,” ujarnya kepada Perakite Daily hari ini

Katanya, PAS Perak juga ingin mempersoalkan perjanjian usaha sama pertama antara Maju Perak dan Xtreme News dimana pada ketika perjanjian ini ditandatangani syarikat ini baru sahaja ditubuhkan tidak sampai enam bulan.

“Bagaimanakah Maju Perak boleh menjalankan satu projek usaha sama dengan sebuah syarikat yang masih amat baru dan tidak berpengalaman?,” jelasnya.

PAS Perak katanya terus mempersoalkan Datuk Seri Zambry Abdul Kadir yang masih mendiamkan diri tanpa mengulas isu tersebut seolah-olah beliau tidak tahu berkenaan projek tersebut sedangkan satu perjanjian mega akan dibangunkan di Negeri Perak.

Salman berkata, mustahil perkara ini boleh berlaku kerana projek tersebut bernilai hampir RM 1 Billion.
“Apakah telah terjadi dengan penjanjian usahasama yang dikendalikan oleh Maju Perak sebenarnya?
“Siapakah dibelakang ‘permainan’ ini yang kami rasakan cuba mengaut keuntungan segera melalui pemilikan tanah daripada Maju Perak tanpa memikirkan kesannya dimasa akan datang,” soal beliau.

SALMAN HAJI SALEH
Koordinator,
Jawatankuasa Strategik dan Isu,
Badan Perhubungan PAS Negeri Perak.


Wednesday, August 8, 2012

Bekas Pengarah Peladang Perak sertai PAS

TELUK INTAN: PAS menerima seorang lagi bekas pegawai tinggi kerajaan apabila bekas Pengarah Peladang Perak, Azhar Yunus mengisytiharkan menyertai PAS dalam program sambutan Badar Kubra peringkat Negeri Perak baru-baru ini.

 

Pengisytiharan tersebut diadakan di majlis Ceramah Badar Kubra Peringkat Negeri Perak yang dihadiri oleh Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu di Kg Bahagia, Teluk Intan.


Beliau telah menjawat jawatan dalam kerajaan lebih 30 tahun dan kerap ditukarkan tempat berkhidmat.

 

Anak jati Teluk Intan itu juga pernah menjadi Pengarah Peladang di Negeri Sembilan dan Pahang.

 

Menurutnya, kemasukannya ke dalam PAS adalah kesedaran diri dan merasakan sudah tidak lagi dalam 'kongkongan' kerajaan.

 

"Kami pegawai kerajaan seolah-olah bayi yang dibedong kerana tidak bebas untuk memilih dan bergiat aktif dalam mana-mana parti serta pergerakan kami sentiasa diawasi," katanya dalam ucapan sulungnya di atas pentas PAS.

 

Katanya, ketika menjawat jawatan kerajaan, perkara serta masalah ketara yang dihadapi oleh pemimpin BN ialah membezakan kerajaan dan parti.

 

Ujarnya, mereka beranggapan kerajaan itu ialah BN dan ini menyebabkan pentadbiran kerajaan dikuasai oleh pemimpin mereka.

 

Mengulas lanjut, Azhar berkata, beliau pernah berkhidmat bersama kerajaan Pakatan Rakyat Perak yang sempat memerintah 11 bulan dahulu dan merasakan kelainan serta kelebihan gabungan parti itu berbanding kerajaan BN.

 

"Sepanjang saya menjawat jawatan sebagai pengarah, belum pernah lagi solat berjemaah selepas perasmian Ekspo Peladang dan ini telah dilakukan oleh Pakatan Rakyat Perak yang dipimpin oleh Datuk Seri Nizar Jamaluddin.

 

"Saya merasakan kelainannya dan sangat gembira serta bersemangat apabila bekerja di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat," jelasnya.

 

Katanya, hasrat kerajaan BN untuk 'membirukan' semua kakitangan kerajaan ternyata gagal apabila nama-nama besar telah memilih untuk menyertai PAS dan Pakatan Rakyat.

 

"Mereka yang masuk PAS semuanya berpelajaran tinggi, mereka dapat menilai mana yang baik dan berintegriti dan sudah pasti BN bukan pilihannya," ujarnya.

 

Beliau  turut menyatakan kesediaan untuk menerima undangan berceramah di seluruh negara bagi memenangkan Pakatan Rakyat.

 

"Saya akan bersama-sama membantu dalam misi menawan Putrajaya dan saya sanggup untuk turun ke seluruh negara untuk bantu berkempen dan memberi ceramah kepada rakyat," tegasnya.


Thursday, August 2, 2012

HIMPUNAN HIJAU BADAR AL QUBRA: MOMENTUM BARU PAS PERAK

Himpunan Hijau ke 2 akan diadakan sempena Sambutan Badr Al Kubra PAS Negeri Perak yang akan diadakan di Kg. Bahagia, Teluk Intan pada 05 Ogos 2012 bersamaan 16 Ramadhan, jelas Dr Muhaimin Sulam, Pengarah Program Himpunan Hijau Badar al Qubra yang juga merupakan Setausaha
Badan Perhubungan PAS Perak.

Beliau menyatakan tarikh tersebut dipilih sempena malam Nuzul Quran dan keesokannya pula tarikh berlakunya Perang Badar.

Timbalan Presiden PAS , Tuan Haji Mohamad Sabu juga akan turun dalam program tersebut. Program ini lebih bersifat menyuntik inspirasi dan momentum kepada ahli dan pendokong PAS mencapai
kemenangan ke Putrajaya. PAS Perak menjangkakan ribuan orang yang akan hadir ke program tersebut.

Pada program tersebut juga beberapa bekas pegawai tinggi kerajaan akan membuat penyerahan borang menyertai PAS di hadapan Timbalan Presiden PAS dan orang ramai.

Program bermula dengan ibadah buka puasa bersama, diikuti solat fardhu Maghrib, Isya' dan Solat Sunat Tarawih. 

Di sebelah malamnya ceramah Badar Kubra akan diadakan yang akan menampilkan Dato' Seri Presiden PAS , Dato' Seri Ir Hj Mohamad Nizar Jamaluddin dan Ustaz Abu Bakar Hussian selaku Pesuruhjaya PAS Perak.

Setiap tahun PAS Perak malahan PAS Pusat menganjurkan majlis memperingati peristiwa Perang Badar al Qubra dengan tujuan mengambil semangat perjuangan para sahabat yang berjaya menghadapi musuh Islam
yang kuantitinya lebih ramai. Pemilihan Teluk Intan sebagai tuan rumah sambutan ini dijangka dapat memobilisasikan gerakan rakyat ke arah perubahan menjelang PRU 13.


Followers

Video ajijoi

Loading...