Ehsan Green

Ehsan Green

Mineral Water Al-Ehsan

Mineral Water Al-Ehsan

Monday, October 31, 2011

POLIS ALAT BN: TAKLIMAT KHAS BERMOTIF POLITIK


Badan Perhubungan PAS Negeri Perak kecewa dengan Majlis Pertemuan Khas dengan warga pendidik Sekolah Agama Negeri Perak yang dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini dijadikan medan menghentam PAS oleh Ketua Polis Negeri Perak, Dato' Mohd Sukri Dahlan dalam slot khas sebelum kehadiran Tan Sri Muhyiddin.

Apa yang mengecewakan, Dato' Shukri jelas membangkitkan kemalangan yang menimpa Timbalan Presiden PAS, Haji Mohamed Sabu yang dilanggar ketika Himpunan Tuntutan Gabungan Bersih dan Adil itu diadakan sedangkan isu tersebut telah pun di bawa ke Mahkamah oleh Haji Mohamed Sabu dan kini masih dalam perbicaraan. Malah Dato' Sukri juga ingin melibatkan Haji Mohamed dan PAS dalam menyokong perjuangan komunis yang mana dasar yang dibawa komunis jelas sekali bertentangan dengan dasar Islam yang didokong PAS.

Kami mendesak Dato' Shukri agar lebih bersikap profesional dan tidak mempolitikkan isu yang kini telah di bawa ke Mahkamah agar menghormati Undang-Undang Negara. Sikap seperti ini jelas boleh memberikan gambaran buruk terhadap pihak Polis yang dilihat turut sama berpolitik bagi memastikan sokongan Barisan Nasional (BN) terus kekal dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke – 13 nanti.

AHMAD NURI AL-AMIN
Ketua Penerangan,
Badan Perhubungan PAS Negeri Perak.

Anak Najib belanja RM180,000 di Australia, duit tabungan Rosmah?

KUALA LUMPUR 31 Okt: Akhbar Australia melaporkan  anak perempuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membelanjakan kira-kira RM180,000 atau AU$60000 untuk barangan jenama di David Jones- sebuah gedung terkemuka di negara itu.

Najib dan isterinya minggu lalu berlepas ke Perth mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM).

Rombongan berkenaan turut disertai Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Senator Datuk Maglin Dennis D'Cruz, Timbalan Menteri di  Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mashitah Ibrahim dan Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP) Datuk Seri M.Kayveas.
Menurut laporan akhbar West Australian, kesempatan menghadiri persidangan Komanwel itu memberi peluang kepada rombongan berkenaan berbelanja.

"Beberapa peniaga di bandar, memperoleh untung besar, apabila seorang wanita pertama diketahui membeli $150,000 untuk mutiara di West Australia, sementara anak perempuan perdana menteri Najib Razak dipercayai membelanjakan & 60,000 di David Jones," petik akhbar itu.

Richard Muirheand, State Director bagi CHOGM 2011 berkata, masa berbelanja dan aktiviti lapang telah diatur untuk delegasi di luar jadual CHOGM.

TNB umum kerugian RM453.9 juta, tarif elektrik dijangka naik?

KUALA LUMPUR 31 Okt: Tenaga Nasional Bhd (TNB) mengumumkan kerugian bersih RM453.9 juta pada suku keempat berakhir 31 Ogos 2011- satu tindakan yang dijangka merupakan isyarat awal kenaikan tarif elektrik.

Sekiranya mengikut rekod keuntungan sebelumnya, TNB memperoleh untung bersih sebanyak RM3.2 bilion dalam tahun kewangan berakhir 2010.

Menurut catatan sebuah blog, TNB berjaya memperoleh untung bersih untuk tempoh berikutnya iaitu separuh masa pertama berakhir 28 Februari lalu berjumlah RM1.343 bilion.
"Untung adat meniaga. Ada untung, ada rugi. Tapi sungguh tidak patut kalau TNB boleh rugi teruk. Takkan TNB monopoli pun boleh rugi banyak? 

Kemudian pada  pertengahan tahun, tarif elektrik baru sahaja dinaikkan dengan purata kenaikan sebanyak 7.12%," tulis blog Beritasemasa.com.

Menurut blog berkenaan, terdapat  faktor yang menyebabkan kadar keuntungan TNB jatuh iaitu disebabkan pembelian mahal kuasa yang dihasilkan oleh Pengeluar Tenaga Bebas (IPP).

"Untuk rekod, TNB terpaksa menanggung RM12.5 billion untuk beli kuasa daripada IPP berbanding tahun kewangan sebelumnya 2009 dengan RM11.8 billion. Tahun 2011, berapa pula tanggungan TNB terhadap IPP?," soal blog berkenaan.

TNB katanya, memberi alasan kerugian tersebut juga disebabkan kebakaran pada Disember 2010 di blok Bekok yang terletak di pesisir 200 km dari Pantai  Timur Semenanjung.

"Penyambung semua bekalan penuh sudah berkali-kali ditangguhkan sehingga akhirnya TNB terpaksa beralih kepada bahan api lain yang lebih mahal. Itu sebab mereka rugi banyak kali berdasarkan kenyataan TNB baru-baru ini.

"Pelik, setahu kami Malaysia ini kaya dengan rizab gas asli.
"Jadi mengapa Petronas boleh menghadapi kekurangan bekalan gas, yang telah mengakibatkan kerugian kepada Tenaga Nasional? Kalau sebelum ini, Petronas mampu membekalkan 1200 juta mmscfd sehari kepada sektor penjanaan kuasa tetapi sekarang turun mendadak kepada hanya sekitar 900 juta mmscfd pada tahun ini," jelas blog berkenaan.

Tambahnya, Petronas juga mengatakan kekurangan gas kerana harga gas subsidi dan penggunaan gas sebagai ganti kepada arang batu telah mendorong permintaan tinggi terhadap gas.

Jual gas murah kepada IPP tapi beli mahal
Menurutnya, Petronas menjual gas pada harga yang rendah  dengan harga subsidi kepada IPP manakala IPP pula menjual kuasa elektrik kepada TNB pada harga mahal.

Barisan pemain utama IPP
TNB pula akan menaikkan tarif elektrik apabila tiba masa yang mereka rasakan bersesuaian.

"Semuanya angkara perjanjian berat sebelah antara IPP dan TNB dahulu sehingga menyebabkan CEO TNB pada masa itu, Tan Sri Ani Arope meletak jawatan kerana tidak berpuas hati. Akhirnya, siapa yang kena bahananya?," soalnya.

Tambah Petronas lagi juga mengatakan Subsidi gas telah diberikan sejak tahun 1997 sehingga menyebabkan permintaan gas sebagai ganti kepada arang batu dan minyak meningkat melebihi keperluan.

"Yang menjadi persoalannya sekarang,  adakah jika bekalan bekalan dari Bekok C walaupun berjaya dipulihkan sepenuhnya, kekurangan gas akan berjaya diselesaikan?

"Secara faktanya, Malaysia bukan calang-calang rizab gasnya sehingga diletakkan pada kedudukan ke-14 di dunia dari segi rizab gas, mengikut laman web Malaysia Gas.

"Setakat ini ada cadangan telah dikemukakan yang mana beberapa pengeluar tenaga bebas perlu berkongsi kos yang tinggi ketika ini. Mahu atau tidak, tidak diketahui lagi.

"Sedangkan TNB untung banyak tahun lepas pun, TNB masih bertindak naikkan tarif elektrik, inikan pula kalau jumlah keuntungan bersih mereka merosot. Dan adakah ini merupakan signal awal untuk tarif elektrik dinaikkan tidak lama lagi?," soalnya.

Saturday, October 29, 2011

SIAPA NAK BANGKANG: UMNO DAN PARTI KOMUNIS CHINA SAMA-SAMA BAHAYA

Dato' Seri Najib Razak selaku Presiden Umno mesti memutuskan hubungan dengan Parti Komunis China (PKC), jika benar-benar ikhlas hendak melawan komunis.

"Beliau jangan membohongi rakyat dalam isu komunis ini," tegas AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad kepada Harakah.

Katanya, rakyat hendak mengetahui kenapa Umno sanggup mengadakan perjanjian persefahaman (MoU) dengan Parti Komunis China pada 5 Ogos 2010 yang lalu, kerana ini bukan hubungan parti dengan kerajaan, tetapi hubungan antara parti dengan parti. Tambahnya, lebih merbahaya lagi Umno bersetuju untuk menghantar Pemuda dan Puteri untuk belajar dengan Parti Komunis China.

Ustaz Idris berkata, ini bererti Umno telah merosakkan generasi muda dalam parti itu untuk 'belajar' cara Parti Komunis China bergerak. Jika Najib enggan memutuskan hubungan dengan Parti Komunis China, sah beliau seorang pemimpin talam dua muka, tegas beliau.

"Najib hanya bersemangat menghentam perjuangan komunis di hadapan bekas anggota polis, tetapi dalam masa yang sama beliau berasmara dengan Parti Komunis China," ujarnya. Soal beliau, apakah komunis China menggunakan kitab lain daripada komunis Malaya?

"Bukankah Parti Komunis Malaya bernaung di bawah Parti Komunis China? Kenapa tidak putuskan dengan bapa yang menjadi penaung kepada Parti Komunis Malaya?" tanya beliau lagi. Justeru, katanya, PAS menganggap kedua-duanya Umno dan PKC sama-sama merbahaya kepada negara dan agama.

TOK GURU NIK AZIZ DAKWA ANUTAN FAHAMAN NASIONALISME SEMPIT PUNCA ORANG ISLAM MURTAD

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan gejala murtad yang berlaku di negara ini adalah akibat tidak melaksanakan pemerintahan Islam.

Menurutnya, dengan mengambil fahaman nasionalis, menyebabkan manusia akan merasa lekeh kepada Islam dan akan mengagung-agungkan fahaman kebangsaan.

"Di Malaysia ni punca murtad adalah kerana nasionalis. Golongan nasionalis ini buat manusia rasa lekeh kepada Islam kerana mereka tolak Islam ambik kebangsaan.

"Daripada rasa lekeh ini lah timbul masalah menggelongsor luruh daripada Islam. Ini kita panggil murtad," katanya kepada Harakahdaily.

Menurutnya yang juga Menteri Besar Kelantan, PAS adalah parti pertama di negara ini yang memperjuangkan Islam. Beliau turut menasihatkan golongan pendakwah di negara ini agar jangan hanya melihat tugas dakwah sekadar menyeru masyarakat memakai serban dan jubah, malah lebih penting katanya adalah menegakkan pemerintahan Islam secara keseluruhan.

"Sekarang ini golongan pendakwah banyak, tetapi mereka berkisar hanya pada pakai serban sunnah nabi, berjanggut sunnah nabi dan berjubah sunnah nabi.

"Kita tinggal perkara paling penting sekali iaitu memerintah dengan Islam yang juga sunnah nabi. Ekonomi cara Islam, budaya cara Islam, sosial cara Islam dan politik cara Islam," katanya.

APABILA HIMPUN KONTANG PENYOKONG: SIGNAL JELAS PRU-13, RAKYAT TIDAK BERSAMA UMNO-BN LAGI

SEBENARNYA sejak awal dirancang, tiada siapa yang mahu percaya HIMPUN akan berjaya menghimpunkan sejumlah besar umat Islam di Malaysia, walaupun kempen yang dijalankan cukup besar, termasuk penggunaan media arus perdana.

Lebih-lebih lagi dengan persetujuan Perkasa mahu menyertai HIMPUN, makin ramai yang menjauhkan diri dari HIMPUN, kerana terbukti selama ini, apa yang dibawa Perkasa dalam pesada politik Malaysia, menjadikan rakyat Malaysia yang sudah Merdeka 54 tahun, tidak selesa dibuatnya.

Dalam khutbah Jumaat yang lalu, ada juga diselitkan dengan pujukan supaya seluruh umat Islam mestilah menghadirkan diri di Perhimpunan HIMPUN kerana mahu menunjukkan kegusaran yang berlaku ekoran cerita murtad yang semakin menjadi-jadi.

Malangnya, pihak penganjur terlupa bahawa rakyat Malaysia sudah matang kini. Walaupun mereka tahu yang gejala murtad menjadi-jadi di Malaysia, tetapi mereka tidak bersedia menjadi mangsa eksploitasi pihak pemerintah yang mahu mengalihkan isu sebenar yang melanda negara.

Dan ini boleh dijadikan 'kayu pengukur' terhadap sokongan pemerintah terhadap program yang mereka anjurkan, walaupun 11 Resolusi HIMPUN khabarnya akan diberikan perhatian oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Jamil Khir Baharom.

Walaupun tidak berniat mahu membandingkan Perhimpunan HIMPUN degan Perhimpunan Bersih 2.0 yang lalu, rakyat kini lebih bersedia berhimpun dalam kesusahan dan semburan gas pemedih mata, jika ia menyentuh tentang penyelewengan yang lebih kepada penyatuan dalam kepelbagaian.

Kurangnya audien, dengan tidak ada penyertaan PAS dan Keadilan, sekaligus semangat mereka yang mahu berhimpun kini terserlah, bahawa mereka sedih bersusah payah dengan perbelanjaan sendiri dan kemungkinan mendapat kesusahan dan ada yang kehilangan nyawa, jika tidak melibatkan pemerintah.

Sedikit sebanyak Umno akan malu dengan perkembangan ini. Walaupun banyak NGO yang menyokong Umno mahu ahli-ahli mereka menyertai perhimpunan ini, tetapi, inilah jawapan mereka bahawa mereka tidak bersedia untuk dipergunakan.

Bagi yang hadir, mungkin juga kerana kesedaran tentang gejala murtad tetapi mereka tidak mendapat sokongan padu dari orang ramai yang juga mempunyai kesedaran dan kebimbangan mengenai gejala tersebut.

Apa lagi yang mahu dikatakan oleh Perkasa dan rakan-rakan yang sewaktu dengannya? Bayangkan kalau Perkasa yang menelurkan idea mengadakan HIMPUN ini, barangkali tidak sampai satu persepuluh jumlah kehadiran yang akan memenuhi perhimpunan tersebut.

Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin tentunya terhambat dengan rasa kecewa yang amat sangat dengan perkembangan ini, kerana ketika mereka bersedia menggunakan isu murtad dan Akta Murtad sebagai modal Pilihan Raya Umum (PRU 13) akan datang, HIMPUN yang mendapat restu Umno dan kerajaan, tidak menunjukkan situasi berpihak kepada BN.

Apa lagi usaha PM dan TPM, selain 'walk a about' dan Umno Juara Rakyat yang sudah semakin menyepi? Bajet 2012 yang dikatakan menjanjikan macam-macam ganjaran juga tidak membuatkan orang Melayu dan Islam berhimpunan di Perhimpunan HIMPUN?

Najib dan Muhyiddin mungkin sudah buntu memikirkannya. Slogan atau Gagasan 1Malaysia yang cuba dijual selama ini juga tidak membangkitkan semangat apa-apa kepada petugas Umno dan BN kecuali lambang 1Malaysia yang mereka tampal di dada baju yang mereka pakai setiap masa.

Umno tentu tidak sedap badan dibuatnya. Pemuda Umno di bawah kepimpinan Khairy Jamaluddin Abu Bakar (KJ) juga semakin binggung dengan sikap Najib yang tidak memperdulikan sayap itu, sehingga menyebabkan ada yang sudah berani mengatakan 'mereka putus harapan' dengan Najib yang berlaku tidak wajar terhadap KJ.

Barisan lama yang membarisi kabinet Najib juga merimaskan. Ketua Pergerakan Wanita Umno hanya seorang Senator dan Presiden Gerakan dan MIC yang menjadi Menteri Di Jabatan Perdana Menteri juga merupakan Senator.

Apakah Najib masih bercadang mahu mengekalkan mereka ini selepas PRU 13 akan datang, kerana tempoh Senator mereka mungkin sudah sampai ke penghujung dan mungkin juga mereka akan tewas sekali lagi dalam PRU 13 seperti mana mereka ini tewas dalam PRU 12, 2008 yang lalu.

Pastinya bekas Perdana Menteri seperti Tun Abdullah Ahmad Badawi sudah tidak perlu dicalonkan lagi mewakili BN. Begitu juga bekas-bekas Menteri Besar yang sudah tidak diperlukan seperti Idris Jusoh dan Shahidan Kassim, sudah barang tentu disenaraikan untuk digugurkan.

Bagaimana dengan bekas Menteri seperti Syed Hamid Albar, Abdullah Mohd Zin dan Mohd Zin Mohamad?

Jika Najib merasakan tenaga muda diperlukan, siapakah mereka? Apakah Najib mahu dikenali sebagai PM 'kitar semula' dengan mengekalkan mereka yang sudah tamat tempoh perkhidmatannya? Ini semua menyebabkan orang Melayu yang selama ini bersama Umno dan menyokong BN menjauhkan diri mereka dari pemerintah.

Mereka sedar, transformasi yang Najib laung-laungkan hanyalah pemanis bibir untuk menutup segala kelemahan dan kekurangan. Apakah Najib tahu bahawa semua ini sudah tidak laku lagi di zaman yang serba canggih ini?

HIMPUN sebenarnya satu medan ujian yang sangat berguna buat Umno dan BN. Malahan, jika Perkasa dapat menghimpunkan semua ahli-ahlinya yang didakwa sudah beratus ribu orang, juga boleh menjanjikan Presidennya mendapat tempat di Pasir Mas, malangnya, ia kini menjadi harapan hampa kepada mereka.

Cukuplah! Jangan semua perkara mahu dipolitikkan. Jangan semua hal mahu dieksploitasi. Ini bukan zaman 70 an dan 80 an lagi. Zaman sudah berubah. Lebih baik pemuda-pemuda Melayu menonton perlawanan bolasepak antara Selangor dengan Terengganu atau antara T Team dengan Negeri Sembilan.

Di sini mereka dapat merasakan kebebasan sebenar sedangkan ketika di HIMPUN, jika mereka hadir, mereka merasakan diri mereka diperkudakan oleh mereka yang masih kepingin mengekalkan kuasa. Dari jauh, Najib dan Muhyiddin tentunya kecewa kerana usaha memasang perangkap menarik sokongan bagi menyerang PAS tidak berjaya.

Percayalah, selepas ini tiada lagi perhimpunan sebegini, lebih-lebih lagi yang bernama Perhimpunan Sejuta Umat mahu dianjurkan kerana risiko untuk mereka dimalukan cukup tinggi.

Akhirnya, mereka tahu bahawa cerita mengangkut orang untuk menunjukkan mereka masih ramai penyokong sudah tidak boleh dilakukan lagi. - safar jumaat

27 MAKMAL KOMPUTER SEKOLAH BESTARI TAK SIAP, HANYA 2 DARIPADA 300 SEKOLAH DI SABAH DISIAPKAN

Semakkan Laporan Audit Negara 2010, mendapati kesemua 27 makmal komputer Sekolah Bestari yang diuruskan Kementerian Pelajaran gagal disiapkan dan diserahkan sepenuhnya mengikut tempoh yang ditetapkan.

Manakala projek makmal komputer sekolah harian di Sabah hanya dua daripada 300 makmal disiapkan. Menurut laporan tersebut, perbelanjaan bagi kedua-dua projek mencapai 11.3 peratus dan 82.1 peratus.

"Projek makmal komputer sekolah harian di Sabah dan Sekolah Bestari tidak mencapai objektifnya. Ini kerana kontraktor gagal menyiapkan dan menyerahkan projek mengikut tempoh masa yang ditetapkan," sebut laporan itu.

Laporan itu menyebut kerajaan perlu mengamal pengurusan kewangan dan berbelanja secara berhemat serta mementingkan value for money bagi mengawal perbelanjaan serta mendapat faedah yang maksimum.

"Adalah didapati kos pembinaan 27 bangunan makmal komputer sekolah bestari yang dibuat secara tender terbuka dalam lingkungan RM700, 000 hingga RM980, 000 sebuah. Bagi sekolah harian dalam lingkungan RM350,000 hingga RM500,000," katanya.

Audit juga mendapati makmal komputer tidak siap atau tidak sempurna dan tidak praktikal. Mengikut kontrak, tempoh penyiapan selama sembilan bulan bermula 15 September 2008 hingga 15 Jun 2009 kemudiannya dilanjutkan antara 1 Disember hingga 23 Mei 2010.

Bagaimanapun mereka laporan itu mendapati kesemua makmal tersebut masih tidak disiapkan sepenuhnya atau diserahkan sehingga bulan 2010. - gambar hiasan


LANTIK KONTRAKTOR 5 TAHUN: KOS MENINGKAT, SISTEM PENGENDALIAN BAGASI KLIA TAK SEMPURNA

Projek sistem pengendalian bagasi di Kuala Lumpur International Airport (KLIA) ke Keretapi Berkelajuan Tinggi (ERL) menemui beberapa kelemahan di peringkat perancangan dan pelaksanaan projek.

Menurut Laporan Audit 2010, antara kelemahannya, peningkatan kos projek, pelantikan kontraktor mengambil masa lima tahun, projek siap tetapi tidak dimanfaat sepenuhnya.

"Pada pendapat Audit, sekiranya Kementerian Pengangkutan mengambil tindakan melaksanakan projek selaras dengan keputusan yang dibuat oleh Kementerian Kewangan melalui surat bertarikh 21 Februari 2003 atau mengambil tindakan terhadap surat persetujuan daripada pejabat Timbalan Perdana Menteri,, ia tidak menimbulkan masalah," petik laporan itu.

Kos yang perlu dibelanjakan RM131 juta sahaja bagaimanapun, kementerian tidak mengambil sebarang tindakan untuk tempoh dua tahun iaitu dari bulan April 2003 hingga Mei 2005.

Namun, mereka hanya bertindak memohon kelulusan Kementerian Kewangan pada 27 Jun 2005 untuk melaksanakan projek dengan kos RM165.30 juta.

Oleh itu, sekiranya pelantikan kontraktor tidak mengambil masa yang terlalu lama, peningkatan kos projek yang ketara dapat dielakkan.

Walaupun projek itu siap sepenuhnya pada Mac 2008, Audit mendapati sistem pengendalian bagasi di KLIA ke ERL masih belum beroperasi seperti objebtif yang ditetapkan.

Antaranya, menyediakan kemudahan check-out ke di KL City Airport Terminal (KL CAT), KL Sentral tanpa melalui pemeriksaan di KLIA bagi penumpang kapal terbang yang menggunakan perkhidmatan ERL.

Jadi, hasrat kerajaan melaksanakan konsep Airport Terminal in The City yang merupakan kemudahan pertama dan terunggul di dunia masih tidak dapat direalisasikan.

Pada pendapat Audit, kegagalan sistem pengendalian bagasi di KLIA ke ERL melaksanakan operasi check-out di KL Sentral menyebabkan ujian dalam keadaan operasi sebenar tidak dapat dilaksanakan.

Friday, October 28, 2011

Selamat berijtima' kepada Pemuda Pas Perak

Blog ajijoi ingin mengucapkan selamat berijtima' kepada seluruh pimpinan dan ahli Pemuda Pas Malaysia dan Perak di Ijtima' Tarbawi Pemuda Pas Peringkat Kebangsaan 2011. Ijtima' ini akan berlangsung di Kolej Universiti Zulkifli Muhamad (KUIZM), Taman Melewar, Gombak dari 28-30 Oktober 2011.

Semoga ijtima' tahun ini dapat mengeluarkan pemuda-pemuda Pas yang lebih teguh dan mantap dalam menjalani lingkaran dakwah di tanahair ini.

SELAMAT BERIJTIMA' SELURUH PEMUDA PAS PERAK

Gua Ikut Enta The Movie - Episod 3 (Akhir)

Pas Parit palu gendang pilihanraya umum 13




Bota – Pas Kawasan Parit menyemarakkan paluan gendang Pilihanraya Umum 13 dengan melancarkan Markas Operasi Pas Parlimen Parit pada 27 Oktober 2011 dekat sini yang dirasmikan oleh Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, YB Dato' Seri Ir Hj Mohammad Nizar bin Jamaluddin.


Majlis perlancaran yang bermula selepas Maghrib dengan bacaan Yasin itu telah dihadiri hampir 300 orang ahli PAS Kawasan Parit dan penduduk setempat. Ucapan alu-aluan telah disampaikan oleh Ketua Muslimat Kawasan, Dr Najihatussalehah Hj Ahmad dan Yang Dipertua Kawasan, Ustaz Hj Muhammad Ismi Hj Mat Taib.


Memetik ucapan yang disampaikan oleh Ustaz Ismi,37, “Semasa kita berjaya memenangi kesemua kerusi yang ditandingi pada tahun 1999, disinilah markas operasi pilihanrayanya. Insya Allah, dengan penggunaan semula tempat ini sebagai markas operasi, saya yakin kita mampu mengulangi sejarah dengan memenagi kesemua kerusi yang ditandingi Pakatan Rakyat pada Pilihanraya Umum yang ke 13!”.


Ucapan tersebut ternyata membangkitkan semangat para hadirin yang menyambutnya dengan laungan takbir berkali kali dan dimarakkan lagi dengan ucapan perasmian oleh YB Nizar.


Dalam ucapan perasmiannya, beliau menekankan kepentingan para pengundi di Parit memilih pemimpin yang menjadikan Islam sebagai pegangan hidup iaitu pemimpin daripada PAS.


Ujar beliau lagi, rakyat di seluruh dunia telah membuat perubahan termasuklah di Singapura, Thailand, Mesir, Tunisia, Libya dan sekarang sudah tiba rakyat Malaysia membuat perubahan dengan memilih Pakatan Rakyat untuk menggantikan Barisan Nasional yang sudah reput dan lapuk.


Pada majlis tersebut juga telah dilangsungkan pemberian watikah lantikan jentera pilihanraya oleh YB Nizar kepada wakil Majlis Tindakan Dun Bota, Majlis Tindakan Dun Belanja, Dewan Muslimat, Dewan Pemuda dan juga Dewan Himpunan Penyokong Pas.

Thursday, October 27, 2011

Bazir wang negara satu pengkhianatan — A Kadir Jasin

27 OKT — Bukanlah tujuan kita sepanjang masa mencari salah Kerajaan. Kita juga harus mengiktiraf perkara-perkara betul yang Kerajaan lakukan.

Tetapi kalau Kerajaan melalukan kesalahan, kita berhak mengutuknya kerana kita tidak memilih dan membiayai Kerajaan untuk melakukan kesalahan.

Atas prinsip itu, kita menyambut baik Laporan Ketua Juruaudit Negara yang memberi markah tinggi kepada kebanyakan Kementerian, Jabatan dan Agensi Kerajaan. Tetapi kita juga mengutuk kegagalan Kementerian, Jabatan dan Agensi yang gagal menunjukkan prestasi baik.

Pada 24 Oktober, portal berita The Malaysian Insider melaporkan yang Jawatankuasa Akaun Awam Dewan Rakyat (PAC) akan menyiasat tujuh Kementerian dan Agensi kerana pengurusan kewangan yang lemah. Mereka adalah Kementerian Kesihatan, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Kementerian Pengangkutan, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Jabatan Kastam dan Perbadanan Stadium.

Pengerusi PAC, Azmi Khalid dipetik memberitahu pemberita bahawa ini adalah tujuh yang diperakukan oleh Ketua Juruaudit Negara dalam laporan tahunannya yang terbaru. Kata Azmi, PAC akan memutuskan minggu depan kalau bilangan yang akan disiasat akan ditambah.

Azmi yang disertai Ketua Juruaudit Negara, Ambrin Buang, berkata, pengurusan kewangan Kementerian dan Agensi Kerajaan bertambah baik dengan 43 daripadanya mendapat skor tertinggi empat bintang, 60 tiga bintang dan dua mendapat dua bintang. Tidak ada yang memperoleh penarafan bintang merah iaitu satu bintang.

Saya tidak bercadang membuat analisis laporan Ketua Juruaudit Negara itu kerana media massa arus perdana dan baru telah banyak melaporkannya.

Memadailah kalau saya katakan, kelemahan pengurusan kewangan awam, biar sekecil mana pun, tidak boleh dipandang remeh, apatah lagi dalam suasana kewangan negara yang semakin terhad dan mencabar.

Penyalahgunaan, pembaziran dan kebocoran peruntukan kewangan Negara bertentangan langsung dengan mantera 1 Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan dan menggambarkan kegagalan Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) yang menjadi wadah perjuangan Perdana Menteri Najib Razak.

Apatah lagi, Perdana Menteri sendiri, sebagai Menteri Kewangan, adalah ketua turus kewangan negara. Jadi, kalau ada autoriti mutakhir yang perlu dipersalahkan kerana kelemahan pengurusan kewangan awam, hendak tidak hendak, orang itu adalah Perdana Menteri sendiri kerana beliau adalah Menteri Kewangan.

Sebab itulah saya dari dulu lagi, berpegang kepada prinsip bahawa Perdana Menteri tidak wajar menjadi Menteri Kewangan. Tetapi, oleh kerana Perdana Menteri memilih untuk turut menjadi Menteri Kewangan, maka beliau perlulah menanggung padah “the buck stops here” seperti yang diungkapkan oleh Presiden Amerika, Harry S. Truman.

Dalam ingatan saya, hanya Tunku Abdul Rahman Putra tidak pernah menjadi Menteri Kewangan. Yang lain semuanya menjadi Menteri Kewangan, kalau tidak lama, sekejap. Najib menjadi Menteri Kewangan sejak beliau menerajui negara pada awal 2009.

Elok disebutkan yang dua daripada agensi yang akan disiasat oleh PAC terletak di bawah Kementerian Kewangan iaitu Jabatan Kastam dan Lembaga Hasil Dalam Negeri.

Itu belum diambil kira sembilan Kementerian dan Jabatan yang terlebih berbelanja sebanyak RM3.73 bilion. Antaranya Kementerian Pelajaran, Kesihatan, Pertanian dan Industri Asas Tani, Jabatan Perkhidmatan Awam, Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Anti-Rasuah Malaysia dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam.

Secara peribadi, saya tidak membantah keras kalau kejadian terlebih berbelanja oleh Kementerian-Kementerian sosial dan ekonomi seperti Pelajaran, Kesihatan dan Pertanian bukan berpunca daripada pembaziran atau penyelewengan.

Dalam suasana ekonomi yang lembap dan inflasi yang meningkat, adalah lebih baik Kerajaan berbelanja ke atas rakyat jelata daripada untuk kesenangan beberapa kerat Menteri dan pegawai tinggi. Jadi, eloklah dijimatkan perbelanjaan mengubahsuai rumah dan pejabat Menteri, perjalanan dan keraian yang tidak perlu.

Satu lagi, saya bimbang sikap sambil lewa sesetengah pegawai awam terhadap kewangan negara bukan sahaja merugikan rakyat jelata, malah akan membawa nama buruk kepada Kerajaan.

Golongan yang paling dianakemaskan dan dijaga ibarat menatang minyak yang penuh adalah kakitangan awam. Tetapi, bukan sahaja perkhidmatan awam masih tidak cemerlang seperti yang dijanjikan di bawah GTP, malah (dengan ampun) wujud tanda-tanda ketidakpedulian dan sabotaj oleh elemen-elemen tertentu dalam perkhidmatan awam.

Akar umbi kepada kewujudan unsur-unsur negatif ini perlu didalami, difahami dan ditangani segara. Kepastian perlu dicari sama ada ia kebetulan atau disengajakan.

Antara yang sering kita dengar adalah ketidakpuasan hati kakitangan awam terhadap campur tangan pihak luar dan pihak-pihak dalam Kerajaan yang diberikan kuasa eksekutif yang mengatasi kuasa Menteri dan Ketua-Ketua Jabatan dan Agensi. — kadirjasin.blogspot.com

Audit: Bukti Umno BN gagal urus wang negara

KUALA LUMPUR, 26 Okt: Jabatan Pilihan raya Dewan Pemuda PAS Malaysia menyokong penuh kenyataan Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berhubung isu kelemahan pengurusan kewangan kerajaan adalah disebabkan oleh kerakusan Umno BN memerintah negara dengan secara boros, tidak berhemah dan berlaku penyelewengan kuasa yang serius sehingga menyebabkan kehilangan wang kerajaan.

“Kelemahan ini telah ditegur oleh Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang di dalam Laporan Ketua Audit Negara bagi tahun 2010,” kata pengarahnya, Mohd Sany Hamzan.

Katanya, Jabatan Pilihan raya Dewan Pemuda PAS Malaysia melihat kerajaan selama ini sememangnya tidak pernah mengambil peduli terhadap perjalanan sistem pengurusan kewangan yang berhemah dan telus.

Ini, katanya kerana budaya kerja Umno BN telah membarah dengan budaya rasuah, kronisme dan nepotisme walaupun telah ditegur oleh Ketua Audit Negara tahun-tahun sebelum ini.

Selain itu, ujarnya disebabkan kelemahan pengurusan kewangan Kerajaan Pusat juga memberi kesan terhadap syarikat-syarikat yang dikawal oleh Kementerian Kewangan yang mana 19 daripada 47 syarikat mengalami kerugian pada tahun 2009.

Jumlah kerugian bernilai RM0.71 billion iaitu penurunan RM3.83 billion berbanding keuntungan sebelum cukai sebanyak RM96.18 billion pada tahun 2008.

Terbaru, sebuah badan pemikir bebas Pusat Penyelidikan Untuk Kemajuan Masyarakat (REFSA) melahirkan kebimbangan negara akan mempunyai hutang sebanyak RM1 trillion menjelang 2020 sekiranya kerajaan tidak berhemah dalam perbelanjaannya.

Ini adalah kerana defisit negara kini berada pada RM437 billion, dua kali ganda bajet defisit berbanding RM217 billion pada tahun 2004.

Antara tahun 2007 dan 2011, defisit berkembang secara purata pada kadar kira-kira RM34 bilion setiap tahun.

Tetapi dengan andaian, defisit akan meningkatkan hutang tambahan sebanyak RM50 bilion setahun, Malaysia boleh menjangkakan jumlah hutang negara naik dua kali ganda lagi pada tahun 2020 menjadi RM1 trilion.

Justeru, kata Sany, pihaknya meminta supaya pihak kerajaan menghentikan amalan pengurusan yang tidak berhemah dan boros dalam berbelanja.

Ini kerana, ujarnya akan menyebabkan negara menanggung hutang yang banyak dan tidak mempunyai keupayaan untuk membayar balik hutang tersebut melainkan dengan membebankan rakyat dengan pelbagai cukai yang tidak munasabah.

Oleh itu, tambah beliau Jabatan Pilihan raya Dewan Pemuda PAS Malaysia menasihatkan rakyat Malaysia keseluruhannya supaya menolak Umno BN di dalam pilihan raya umum yang akan datang kerana Umno BN terbukti gagal di dalam mengurus kewangan negara, mengamalkan rasuah dan menyalahgunakan dana kerajaan untuk kepentingan peribadi dan kroni.

“Tolak BN untuk selamatkan Malaysia,” serunya.

Jadikan sambutan 60 tahun Pas sebagai momentum tawan semula Perak

IPOH, 27 OKT, Pengarah program sambutan 60 tahun Pas peringkat Perak merangkap Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Misbahul Munir menyeru seluruh ahli PAS dan rakyat seluruh Perak beramai-ramai menghadiri program Sambutan Ulang Tahun PAS ke 60 peringkat negeri Perak yang akan diadakan selama 2 hari pada 29 - 30 Oktober di Masjid Tinggi, Bagan Serai minggu ini.


Beliau menyatakan, dengan kehadiran ramai pimpinan tertinggi PAS dalam program tersebut akan menjadikan satu momentum dan motivasi kepada ahli dan jentera parti bagi menawan semula Perak yang dirampas oleh UMNO BN.

Menurut beliau lagi, ahli PAS bersama dengan pimpinan PAS semua peringkat akan berkampung selama dua hari di Masjid Tinggi, Bagan Serai.

Memetik ucapan beliau, " Persiapan bagi menjayakan program ini sedang berjalan rancak sekarang, bersempena dengan sambutan 60 tahun itu juga, karnival jualan juga turut diadakan"

" Pimpinan muslimat Palestin juga akan menjadi tetamu Istimewa pada program tersebut selain itu, Tuan Guru Presiden PAS, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan beberapa tokoh politik terkenal Negara akan turut hadir " .

Disamping itu, dailog isu Hudud juga turut akan diadakan selepas solat Maghrib di Bandar Bagan Serai antara Presiden PAS bersama orang-orang bukan Islam.

Beliau menegaskan agar, ahli-ahli PAS dan rakyat jangan lepaskan peluang ini untuk mendengar ucapan-ucapan penting pucuk pimpinan bagi mengenang perjuangan pimpinan zaman silam serta ulasan-ulasan isu semasa dalam dan luar negara.

Sekolah Agama Rakyat di Perak diarah tutup, guru-gurunya dipaksa sambut Muhyiddin

Guru-guru SAR Perak telah diarah oleh Pejabat Agama Islam Perak untuk menutup sekolah hari Khamis ini bagi menyambut kedatangan Timbalan Perdana Menteri berkunjung ke Perak. Semua guru-guru SAR ini yang terdiri daripada SAR Rendah sepenuh masa, SABK Menengah dan Maahad Tahfiz telah diwajibkan hadir ke Dewan Cencelor Universiti Teknologi Petronas di Seri Iskandar.

Rata-rata SAR ini adalah ditadbirkan oleh Lembaga Tadbir yang terdiri daripada ahli-ahli PAS atau berfikrahkan perjuangan Islam.


 
SURAT ARAHAN YANG DITANDATANGANI OLEH
PENGARAH JABATAN AGAMA ISLAM PERAK.


Adalah difahamkan Guru-Guru SAR ini akan diberikan sedikit imbuhan daripada kerajaan Pusat pada hari kedatangan TPM tersebut tanpa melalui Lembaga Tadbir sekolah. Pembiayaan SAR  yang tidak menerima tawaran SABK daripada kerajaan pusat,  adalah bergantung sepenuhnya daripada sumbangan masyarakat dan juga atas inisiatif Lembaga Tadbir sekolah, termasuk pembayaran gaji kakitangan, selenggaraan dan pembangunan sekolah.

Tindakan memaksa guru-guru untuk hadir dan meminta menutup sekolah pada hari tersebut adalah satu perancangan UMNO yang cuba mengambil kesempatan bagi menjalankan agenda politik mereka.

Setelah 40 tahun hidup daif, baru kini MB menjenguk

Amat malang sekali nasib sebuah keluarga India yang hidup didalam kedaifan di kaki bukit Batu Kapur, Gunung Lang, Jalan Kuala Kangsar. Setelah 40 tahun menderita, baru kini nasib mereka mendapat tempat di pihak kerajaan negeri Perak.

Tatkala gendang pilihanraya semakin kuat berbunyi, diketika itu fakir miskin mula dicari, sehingga ke kaki bukit, untuk meraih undi. Apabila kuasa diperolehi, kekayaan dan keuntungan pula yang menjadi keutamaan.

Ikuti laporannya melalui Harian Metro:

Terharu kunjungan MB

IPOH: Seramai 15 sekeluarga terpaksa menghuni pondok yang ditutupi dengan zink dan kayu sejak 40 tahun lalu akibat kedaifan hidup.

Pemilik rumah berkenaan, M Amanah, 73, bersama 15 cucu dan cicitnya tinggal di rumah usang berkenaan yang ditampal hampir pada seluruh bahagian di kaki bukit batu kapur, Gunung Lang, Jalan Kuala Kangsar, di sini.

Lebih menyedihkan apabila semua penghuni hanya mampu menyambut Deepavali secara sederhana berikutan terpaksa menjimatkan wang perbelanjaan harian yang bergantung pada duit pencen Amanah sebanyak RM300 sebulan.

Namun, sambutan Pesta Cahaya tahun ini lebih bermakna apabila rumah usang Amanah dikunjungi Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir bersama isterinya, Datin Seri Saripah Zulkifli, yang prihatin dengan nasib keluarga itu.

Amanah berkata, dia terharu dengan kunjungan pemimpin utama negeri ini, apatah lagi ketika seluruh kaum India di negara ini merayakan Deepavali.

“Sejak 40 tahun tinggal di sini, ini kali pertama pemimpin utama negeri datang melawat kami sekeluarga. Saya sangat terharu kerana kedatangan rombongan Menteri Besar bukan saja semata-mata untuk melihat keadaan kami, tetapi juga memberi sedikit bantuan yang boleh meringankan beban kami,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, semalam.

Amanah yang kematian suaminya, A Subramaniam sejak 26 tahun lalu berkata, dia mengakui ketidakselesaan kediamannya kerana sesak dengan bilangan ahli keluarga yang ramai, apatah lagi ada beberapa cucu serta cicitnya yang sedang membesar.

"Saya akui memang kami hidup dalam keadaan tidak selesa, tetapi secara peribadi saya senang dengan cara hidup macam ini. Jika diberi peluang untuk pindah, saya tidak mahu kerana masih sayangkan tempat tinggal sekarang ini.

"Namun, jika ada anak-anak yang ingin berpindah, saya merestui mereka demi keselesaan dan masa depan masing-masing," katanya.

Sementara itu, Dr Zambry dalam lawatannya memujuk Amanah dan ahli keluarganya berpindah ke rumah lebih selamat dan selesa untuk mengelak daripada kejadian tidak diingini.

“Kerajaan negeri akan membantu mereka dengan menyediakan kediaman lebih selesa untuk mereka berpindah. Saya sudah meminta Majlis Bandaraya Ipoh dan beberapa agensi berkaitan mengenal pasti lokasi kediaman itu dan menyediakan bantuan yang perlu bagi menyelesaikan masalah mereka.

“Kami akan sentiasa memantau perkembangan mereka, apatah lagi seorang daripada ahli keluarga Amanah adalah anak angkat saya sendiri iaitu M Sarathkumar, 12, yang kini sedang belajar di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Changkat Kinding, Tanjung Rambutan,” katanya.

Tiada yang sudi, kini Zulkifli Noordin Naib Presiden Perkasa

Pertama-tama ingin diucapkan tahniah kepada YB Zulkifli Noordin yang mendapat ranting untuk bergayut di dalam pelantikannya sebagai Naib Presiden Perkasa.

Jika sebelum ini, beliau tidak diperlukan oleh Pas, Pkr dan juga Umno yang segan untuk mengambilnya sebagai ahli. Jangka hayatnya didalam bidang politik dilihat semakin pudar dan hanya menunggu karam.

Namun semua itu berubah apabila Perkasa telah sudi menghidupkan harapan Zulkifli Noordin agar terus mendapat tempat di dunia glamour media perdana.

Daripada perkembangan terbaru ini, dapat kita lihat tahap fikiran dan juga fikrah Zulkifli Noordin yang dirasakan bersesuaian dengan Perkasa, satu NGO pelampau Melayu yang dilindungi Umno dan BN.

Semoga dengan jawatan terbarunya ini, kejahilannya akan lebih terserlah dalam memperjuangkan Melayu berbanding Islam.

Zul Noordin dilantik naib presiden PERKASA

Perhimpunanan agung PERKASA hari ini melantik ahli parlimen Kulim-Bandar Baru, Datuk Zulkifli Noordin sebagai naib presidennya yang baru.

Zulkifli dilantik melalui usul tergempar yang dikemukakan oleh ahli dewan tertinggi PERKASA Muhammad Zahid Md Arip.

Usul berkenaan diluluskan sebulat suara.

Zulkifli (empat dari kanan) mengisi jawatan berkenaan yang sebelum ini dikosongkan Datuk Mokhtar Samad.

Muhammad Zahid ketika membentangkan usul tergempar itu berkata, peguam tersebut merupakan bekas penyokong ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

PERKASA memperuntuk empat lagi jawatan naib presiden yang kini diisi Abang Naseer Abang Hadari, Musli Oli, Dr Zubir Harun dan juga Dr Ashraf Wajidi Dasuki.

Terdahulu, Zulkifli dilihat hadir sebagai jemputan ketika perasmian perhimpunan pada pagi, selain bekas menteri penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin serta seorang lagi bekas angggota kabinet Datuk Khalid Yunus.

Zulkifli sebelum ini dipecat sebagai anggota PKR dan beliau kemudian mengisytiharkan dirinya anggota parlimen bebas.

Kali terakhir PERKASA merombak jawatankuasanya pada Mac lalu, yang dikaitkan banyak pihak dengan peletakan jawatan bekas ketua Wira Arman Azha Abu Hanifah.

Selain itu, ketua pengarang kumpulan Utusan Melayu, Datuk Abdul Aziz Ishak dan juga ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah juga hadir sebagai jemputan.

Wednesday, October 26, 2011

HANYA PETI UNDI YANG BOLEH AJAR UMNO-BN FAHAM TENTANG BAHASA LAPORAN AUDIT NEGARA

Meskipun ditegur setiap tahun, kerajaan Umno-BN tetap pekak kepada saranan Ketua Audit Negara (KAN), bahkan budaya penyelewengan, pembaziran, ketirisan dan keborosan semakin subur dalam pengurusan kewangan negara, kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man.

Dalam satu kenyataannya, Ustaz Tuan Ibrahim menyimpulkan kerajaan umno-BN tidak akan faham bahasa laporan audit, yang boleh menyedarkan mereka hanyalah bahasa daripada 'peti undi' apabila Laporan Audit 2010 mendedahkan lagi penyelewengan yang sama seperti tahun-tahun terdahulunya dalam pengurusan projek dan pembelian perkakas agensi kerajaan.

Mengikut laporan terbaru, antara teguran yang dibuat KAN, ia kelakuan agensi kerajaan yang sangat jelas melanggari undang-undang.

Sebagai contoh, kata beliau, bangunan tambahan Perpustakaan Negara yang diduduki tanpa Sijil CF tidak sepatutnya berlaku kerana sebagai sebuah agensi kerajaan, mereka mesti tahu peraturan dan risiko menduduki sesebuah bangunan tanpa Sijil Boleh Menduduki (CF).

"Demikian juga teguran terhadap banyaknya projek kerajaan diberi melalui runding terus dan ianya jelas suatu tindakan untuk memberi projek kepada kroni dan mereka yang tidak layak menerimanya," ujarnya.

Antara projek runding terus yang merugikan negara termasuk pembelian kuda 'sakit' oleh Majlis Sukan Negara. Daripada 23 ekor kuda yang dibeli dengan harga RM246,000 seekor, hanya 5 ekor sahaja layak bertanding, kata Ustaz Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang.

Beliau juga membangkitkan keborosan dalam Jabatan Taman Laut Malaysia (JTLM) membelanjakan lebih daripada RM128,000, iaitu lebih 2,810 peratus di dalam pembelian pelbagai jenis peralatan.

Yang paling menjengkelkan, kata beliau ialah pembelian satu binokular oleh JLTM pada harga RM56,350 atau 2,805 peratus tinggi daripada harga pasaran RM1,940.

"Mara (Majlis Amanah Rakyat) juga tidak kurang hebatnya kerana sanggup membeli ketuhar hampir 300 peratus (RM1,200) lebih tinggi daripada harga pasaran RM419 dan 'katil boleh lipat' pada lima kali ganda RM500 dengan harga pasaran hanya RM100.

"Keborosan sedemikian ini tidak kena pada tempatnya kerana ia tidak mendatangkan sebarang faedah pada warga Mara," tegur beliau lagi.

Selain itu, kata Ustaz Tuan Ibrahim, syarikat-syarikat GLC yang ditegur bertahun-tahun juga terus dilanda kerugian, antara yang mencatat kerugian yang besar adalah Syarikat Perumahan Negara Bhd (RM21.4 juta); Indah Water Konsortium Bhd (RM33.4 juta); Aset Global Network Sdn Bhd (RM41.1 juta); Keretapi Tanah Melayu Berhad (RM92.6 juta); manakala Prasarana Bhd (RM367.1 juta).

Pada skop yang lebih besar, kata beliau, ialah kenaikan hutang negara sebanyak 12.3 peratus kepada RM407.11 billion pada 2010 daripada RM362.39 billion pada 2009.

Ini merupakan tahun kedua berturut-turut nisbah hutang negara kepada KDNK melebihi 50 peratus pada 53.1 peratus, kata beliau. Penyelewengan di atas, tegas beliau menunjukkan teguran bahasa audit yang tidak difahami Umno-BN.

"Justeru mereka terus menghampakan rakyat tanpa sebarang perubahan dilakukan. Maka, jelas yang boleh mengajar mereka ialah peti undi, dan rakyat tidak seharusnya mensia-siakan peluang di petak undi bagi mengajar dan menghukum kerajaan pekak ini," tambah beliau.

Beliau juga memberikan amaran kepada rakyat bahawa kekecewaan itu akan pasti berulang selagi kerajaan yang ada tidak diganti dengan kerajaan baru yang lebih beramanah dan bertanggungjawab.

Gua Ikut Enta The Movie - Episod 2

PAK JABIT ATAU MAN KADIR DAKWA KERAJAAN UMNO-BN SENGAJA MAHU ARTIS MALAYSIA TAK ISLAMIK

Kerajaan tidak mengambil peduli langsung sama ada artis mempunyai kesedaran tentang Islam atau tidak, malah mereka lebih suka para artis berada di dalam situasi yang ada sekarang, tegas pelakon dan pengarah drama tv, Man Kadir Shamsi atau lebih dikenali sebagai Pak Jabit.

Menurutnya, jika Islam itu disemai dan artis mendapat kesedaran sudah pasti Umno-BN akan tergugat dan tidak mendapat sokongan daripada golongan itu. Mereka boleh jadi islamik.

Tetapi, masyarakat artis tidak pernah didedahkan dengan agama oleh pihak yang bertanggungjawab, jika adapun, hanyalah majlis tahlil dan bacaan yassin untuk artis yang telah kembali ke Rahmatullah.

Segelintir mereka, tegasnya, dilihat hanya menunaikan solat lima waktu, berpuasa di bulan Ramadan, bayar zakat fitrah malah ada yang menunaikan fardhu haji ke Makkah.

"Tetapi soal kewajipan yang lain umpamanya menutup aurat, pergaulan, pertuturan dan konsep pengkaryaan tidak didedahkan. Sekarang ini barulah perkara yang sedemikian mula mendapat perhatian apabila ada artis yang mula berdakwah, menunaikan tanggungjawab mereka," katanya.

Pendakwah yang dihantar oleh kerajaan hanya sekadar menyampaikan Islam pada sambutan doa selamat atau sambutan maulid sahaja tanpa menyentuh kepada keseluruhan Islam yang sebenar kepada golongan artis.

"Umpamanya bercakap politik suku, agama suku ia tidak diterangkan dan dijelaskan kepada mereka. Malah pemerintah tidak mahu menceritakan hal ini kerana jika mereka menjelaskan hal ini ia akan memukul diri mereka balik," jelas Man Kadir.

>Pak Jabit adalah nama popular Man Kadir setelah filem 'Hantu Kak Limah Balik Rumah' arahan Mamat Khalid meletup tayangan. Ia diterbitkan oleh Tayangan Unggul Sdn. Bhd.

Pemikiran artis yang ada sekarang ini katanya, bukanlah seperti "ortodok" malah dengan adanya internet, facebook mampu memberi maklumat dan merangsang perubahan minda mereka.

"Jika kita seorang pengarah Islam, kita perlu tunjukkan peribadi kita sebagai Muslim yang baik dengan menunaikan tanggungjawab agama seperti solat, puasa dan seumpamanya. Dengan itu orang akan melihat diri kita dan insyaAllah artis yang ada akan mencontohinya apabila kita mula berdakwah kepada mereka," ujarnya.

Man Kadir juga berharap kepada artis yang telah mula mendekati Islam dan mengamalkannya janganlah pula meghentam kepada mereka yang masih tidak sedar.

Sebaliknya pinta beliau hendaklah golongan artis yang mendekati Islam itu mengajak artis tadi dengan hikmah dan memberi contoh yang baik.

ALLAH UJI SIKIT, JANGAN TERUS CABUT LARI - INGATAN SYAM KAMIKAZE KEPADA RAKAN ARTIS

"SAYA selalu berdoa... Ya Allah jangan Engkau bagi hidayah kepadaku, kemudian Engkau tarik semula hidayah itu," cerita bekas penyanyi utama kumpulan rock Kamikaze, Sham Kamikaze atau nama sebenarnya Shamril Mohd Salleh, 35. Beliau memilih jalan berdakwah selepas tujuh bulan berhijrah dan meninggalkan dunia hiburan. Walaupun dari kecil berkecimpung dalam dunia seni yang menjanjikan pendapatan mewah setiap bulan, namun baginya ia tidak memberi apa-apa makna. Ikuti pengalaman beliau yang dikongsi bersama Wartawan Harakah SALMIYAH HARUN baru-baru ini.

Harakah: Nampaknya semakin ramai rakan artis berhijrah ke jalan dakwah muktahir ini? Apakah ini fenomena atau trend?

SYAM KAMIKAZE: Saya ada dua jawapan. Pertama saya lihat ia adalah kehendak Allah SWT kita tidak ada upaya untuk berbuat apa-apa. Kalau orang tidak faham penghijrahan itu dan lihat melalui pemahaman dunia dan mengatakan penghijrahan itu adalah 'trend' saya boleh terima.

Zaman dahulu seingat saya orang yang bermain muzik apatah lagi muzik 'rock' ramai yangkata 'trend' muzik ini hisap dadah. Jadi hari ini 'trend' orang yang bermain muzik, menyanyi atau berlakon 'trend' itu tidak diktiraf.

Untungnya muslimat ini 'trend'nya hendak berhijab, saya kira ia baguslah. Dari sini adalah golongan yang kurang faham penghijrahan, kalau yang faham penghijrahan itu atas kehendak Allah, tidak ada siapa boleh larang atau 'stop' penghijrahan itu. Dia tidak akan mempersoalkan lagi.

Biasalah orang yang tidak berapa faham mereka akan tanya seperti itu. Jawapan yang mudah kalau Allah Ta'ala nakkan kita jadi macam itu, maka jadilah kita macam itu. Saya sifatkan penghijrahan saya ini adalah kehendak Allah, dan kalau ia adalah 'trend' ia adalah yang sihat dan bagus.

Artis-artis ini mereka ada peminat. Selalunya akan terpengaruh dengan artis yang dia minat lakukan. Misalnya, heronya adalah Bob Lokman. Bob Lokman ni solat tak tinggal, pergi usrah, tazkirah dan memberi ceramah. Peminat-peminatnya pun sama..."aku nak jadi macam dia jugalah".

Boleh ceritakan perjalanan hidup Saudara dalam dunia hiburan sebelum ini?

Saya adalah bekas Pensyarah di UiTM Shah Alam dalam bidang Jazz Performance. Guru saya adalah ayah saya. Kemudian menjadi pengarah muzik di Akademi Fantasia. Membuat konsert, rakaman dan 'production'. Saya masih lagi duta Fender. Saya akan bawa perkara itu kepada jalan yang baik.

Bagaimana Saudara melihat perjalanan hidup dari awal terlibat dengan dunia hiburan sehingga berhijrah? Kalau dulu Saudara tak penuh solat lima waktu kerana sibuk, dan hari ini masih juga sibuk tetapi boleh menunaikan tuntutan agama.

Apabila kita tahu masa kita untuk beribadah dan mencari ilmu sangat sedikit, dan hari ini baru kita tahu masa itu tidak cukup. Jadi baru kita faham kenapa ulama-ulama dan ustaz-ustaz masa mereka tidak pernah cukup.

Lepas itu Zohor, kemudian Asar, lepas itu kuliah Maghrib dan Isyak. Lepas itu bangun malam bertahjud. Masa dulu kita tak faham dah anggap mana nak cukup masa. Sekarang ini baru kita faham. Jadi sibuk, itu tidak dinafikan. Kita kena pilih sibuk dalam mencari redha Allah atau harta dunia. Itu beza yang paling nyata.

Apa matlamat dakwah Saudara sebenarnya?

Semasa saya mula-mula hijrah saya tidak tahu saya kena dakwah, jadi saya meletakkan tanggungjawab itu atas ulama dan pendakwah atau orang berilmu. Jadi apabila saya jumpa ustaz-ustaz mereka menegaskan semua orang Islam wajib berdakwah.

Jadi saya baru tahu "alamak ye ke?". Ustaz yang mengajar saya memberitahu saya ramai peminat, bagi tahu mereka. Sekarang ini Alhamdulillah, mana-mana program yang mengundang saya sudah tahu sasaran saya adalah orang muda.

Menurut Ustaz berkenaan, orang muda ramai kenal saya sebab orang tua tak ramai yang tengok tv. Mudah-mudahan kalau golongan ini tengok dan peminat saya sebelum ini mungkin berfikir "kalau orang berubah kenapa aku tidak boleh berubah?".

Dalam ceramah-ceramah yang saya ikuti pun saya selalu ingatkan para jemaah, saya bukan ustaz, tetapi saya sedang belajar dari semasa ke semasa. Saya selalu ingatkan perkara yang melibatkan hukum hakam, perlu dirujuk kepada orang yang betul tahu.

Ini kerana kita yang masih baru, bimbang juga hujah yang kita bagi tidak tepat. Sudahlah zaman sekarang ini semakin ramai orang yang sesat. Kita hendak sesatkan lagi pula? Bahaya tu!

Berjaya atau tidak sebagai seorang artis menggunakan platform mereka untuk mengembangkan dakwah mereka?

Saya rasa berjaya! Sebab sudah ramai artis kita berhijrah. Saya sudah berdialog dengan Wardina Safiyyah, Catriona Ross dan terbaru Irma Hasmie. Dan mereka mengakui tidak pandai cakap apatah lagi bercakap soal agama.

Apabila lihat kita bercakap atas kemampuan kita sendiri dengan menceritakan pengalaman kita bukannya berkaitan hukum hakam. Ramai yang seronok, sebab kita berkongsi pengalaman kita kepada peminat-peminat, dan mungkin selepas ini Allah pula bukakan hati peminat-peminat ini untuk sama-sama ke jalan Allah.

Perjalanan dan perjuangan dakwah ini banyak rintangan dan halangan...

Ya betul....

Termasuklah perjuangan Bob Lokman sehingga beliau ditangkap. Tidak bimbangkah situasi ini turut berlaku pada Saudara?

Saya selalu berpesan kepada kawan-kawan saya dan diri ini, bahawa dugaan dan cabaran kita berdakwah hari ini adalah terlalu sedikit, amat berbeza dengan rintangan yang dilalui oleh Rasulullah dan sahabat baginda.

Jangan mengeluh! Kalau kita kena tangkap atas sebab apa sekali pun, itu adalah ujian Allah Taala. Jangan bila nak berdakwah... Allah uji sikit sahaja, terus kita cabut lari. Kita berpegang kepada sirah Nabi. Walaupun ada rintangan, kita masih boleh menyampaikan dakwah dengan terang tidak payah sembunyi-sembunyi.

Saya berpendapat apa yang dialami oleh Bob Lokman itu tidak akan menjadi penghalang untuk artis terus berdakwah. Yang penting kita berserah dan berdoa kepada Allah Taala. Macam Abg Bob sendiri dia dah tahu dan dia berserah 100 peratus kepada Allah Taala, dan apa yang berlaku selepas ini pun itu kehendak Allah.

Sepanjang libatkan diri dalam dunia hiburan sejak kecil lagi sehingga berhijrah tak sampai setahun, bagaimana Saudara rasa?

Saya rasa tujuh bulan ini, lebih bermakna dalam hidup. Saya yang duduk dalam hiburan ini rasa macam-macam sanjungan, hinaan, dan keji. Akhirnya kita tahu mereka kutuk kita pun kita tidak dapat apa!

Begitu juga kalau kita dapat sanjungan baik dapat anugerah atau pengiktirafan, tetapi tidak ada apa-apa makna untuk Allah Taala. Sekarang ini, orang tidak nampak kita buat ibadah dan apa yang di suruh yang penting Dia tahu.

Dia hendak hargai apa yang kita buat. Sebab itu, saya tegaskan apa yang saya buat sebelum ini adalah silap. Kita minta orang yang hargai kita bukannya Allah Taala. Kalau dulu kita ajar, dan tak berterima kasih, kita akan marah. Sebenarnya tidak perlu. Sebab kita adalah perantaraan Allah Taala.

Ramai artis yang beranggapan terlibat dalam dunia dakwah ini susah untuk 'cari makan'?

Saya dah lama tak cari makan. Ramai yang tanya saya bagaimana dengan pendapatan? Allah Taala berfirman, "Aku akan cukupkan!". Apa yang penting Dia mahukan kita bertawakal kepadaNya. Kalau orang yang faham mereka tidak akan nampak jalan ini, tidak susah.

Contohnya, dahulu saya buat konsert dan memperoleh pendapatan mewah setiap bulan. Tetapi hari ini Allah tak bagi kita macam itu. Tetapi tetap cukup, pendapatan kita. Saya tidak pernah lagi tidak dapat bayar rumah dan kereta.

Memang cukup! Memang sentiasa ada! Jadi berbalik kepada apa yang Nabi ajar, jangan serahkan sesuatu perkara itu kepada kita semata-mata tanpa doa kepadaNya.

Apa pesanan Saudara kepada rakan artis yang lain yang mungkin belum sampai masanya lagi berdakwah bersama-sama Saudara?

Saya tidak ada pesanan. Saya mendoakan. Saya pun sedar siapa saya yang hendak memberi pesanan kepada rakan artis saya. Secara umumnya kalau tidak nampak mereka tidak akan faham.

Jadi saya tidak mahu berpesan-pesan, nanti mereka akan melabelkan saya "macam bagus!". Jadi saya mendoakan supaya lebih ramai bukan sahaja rakan artis termasuk keseluruhan umat Islam di beri taufik dan hidayah daripada Allah Taala.

BERUBAH KEPADA ISLAM KENA LETAK NIAT KERANA ALLAH - PELAKON IRMA HASMI IBRAHIM

FENOMENA artis yang kembali ke pangkal jalan merupakan suatu perkara yang sudah tidak asing lagi dalam masyarakat. Sungguhpun begitu, bagi pelakon muda, Irma Hasmi Ibrahim, 29, berpendapat, cabaran utama yang perlu dilalui golongan ini adalah cara untuk istiqamah dengan perubahan tersebut.

"Apapun semuanya bergantung kepada niat asal seseorang dalam melakukan sesuatu. Kita perlu diletakkan niat hanya semata-mata kerana Allah," tegasnya kepada Harakah.

Ujarnya lagi, perubahan dan penghijrahan sering berlaku dalam kehidupan seharian manusia tanpa mengira kedudukan dan nama menerusi hidayah dan taufik daripada Allah.

"Namun golongan artis yang nature nya mempunyai pengaruh dan kesan memandangkan mereka ini mempunyai peminat dan pengikut yang tersendiri," kata artis yang sedang meningkat naik menerusi pelbagai drama tv dan beberapa rancangan di stesen TV Al-Hijrah.

Justeru, kata Irma, seseorang artis itu perlu sentiasa berdoa kepada Allah untuk ditetapkan hati dan menguatkan tekad dalam melakukan proses penghijrahan itu.

"Saya mendoakan kepada semua rakan-rakan artis tidak kira apa jua perubahan yang sedang berlaku kepada mereka agar semuanya beroleh hidayah dan sentiasa istiqamah dengan niat yang betul serta ikhlas dalam apa jua amal kebaikan yang dilakukan," katanya lagi.

Ditanya mengenai situasi dirinya setelah proses penghijrahan, Irma melahirkan rasa syukur selain berasa tenang dan yakin dengan apa yang dilakukannya.

"Saya dapati kehidupan saya sangat bahagia, tenang, bebas dan yakin kerana tahu batas-batas syariat, malah saya rasa tidak teragak-agak untuk melakukan sesuatu," ujarnya lagi. Bahkan jelas beliau, nikmat yang dirasai seseorang yang bertaubat adalah lebih disayangi oleh Allah SWT.

-harakah

KEMBALI KE PANGKAL JALAN JANGAN DIJADIKAN TREND IKUT-IKUTAN TETAPI MESTI DENGAN NIAT YANG BETUL - IWAN DANGDUT


SEBENARNYA ketakutan, ditambah usia yang semakin lanjut dan tidak tahu bila ajal akan tiba, menjadi antara penyebab beliau mula mencari dan mendapat kesedaran Islam, tegas penyanyi, Wan Shahman Mohd Yunus atau dulunya dikenali sebagai Iwan Dangdut.

Penyanyi popular dengan lagu dangdut "Memori Daud Pisang" bersama Amalina itu menegaskan, dari kesedaran yang membuak-buak itulah, Allah membuka pintu hidayah dan beliau begitu bersyukur dengan nikmat Islam yang dirasainya sekarang.

"Saya sebenarnya gembira kerana ramai yang mahu kembali semula kepada fitrah, kerana ia adalah satu yang diinginkan oleh semua manusia.

"Apa yang penting, ia hendaklah dilakukan dengan ikhlas dan menyerahkannya kepada Allah. Kita berharap apabila diberi hidayah terus mencari jalan bagaimana dapat beristiqamah dalam mengamalkan Islam," tegasnya.

Mengulas lanjut, Iwan berharap, artis kembali kepada Islam bukanlah menjadi sekadar "trend" sahaja, ini kerana "trend" ialah apabila ada orang nak dakwah, semua nak dakwah, tutup aurat juga begitu tetapi ia hanya sementara dan akhirnya kembali seperti asal semula.

Iwan yang memukau dengan lagu irama dangdutnya pada era 80an dan 90an berkata, artis yang mahu berubah mestilah mengikhlaskan hati dengan semua yang dilakukan kerana Allah dan bukan untuk mencari publisiti semata-mata.

Apabila ditanya apa sebenarnya peranan lagu berbentuk Islam kepada masyarakat, beliau berkata, ianya dapat memberi suasana yang lebih Islam dengan lirik yang mengajak masyarakat mengingati Allah.

"Bila kita ada suasana lagu agama sekurang-kurangnya dapat mengingat kita kepada Allah, jika ada yang terlupa.Dengan lagu itu juga, kita terus ingatkan lagi mereka kepada Allah dan akhirnya mungkin dapat memberi kesedaran kepada pendengar," jelasnya yang kini terkenal dengan lagu "Semuanya Milik Allah" daripada album nasyid terbaharunya.

Melalui pengalamannya, beliau berkata, apa yang berlaku adalah takdir Allah yang masih menyayangi dirinya kerana perubahan daripada tidak baik kepada baik menyebabkan beliau merasa begitu bersyukur kepada yang Allah Yang Maha Esa.

Ucapan penutup Presiden PAS - Persidangan ICT & Media Baru 2011

UMNO HANYA MEMPERJUANGKAN KETUANAN SEKUMPULAN INDIVIDU MELAYU UNTUK KAUT KEUNTUNGAN NEGARA

Perjuangan umno dalam memperjuangkan ketuanan melayu hanyalah sekadar untuk kekal memerintah selama-lamanya dan manafikan kehendak rakyat.

Berbeza dengan Pakatan Rakyat yang bersungguh berjuang atas kebenaran dan kedaulatan rakyat dengan nilai kebenaran, ketelusan, kesaksamaan dan kepentingan rakyat diletakkan dihadapan, kata Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussain di Pejabat PAS Perak baru-baru ini.

Umno sebelum ini telah banyak mengkhianati amanah rakyat, contohnya pemimpin mereka yang memegang kuasa di peringkat kerajaan dengan sewenang-wenangnya menaikkan harga, minyak, diesel, gas dan gula ketika rakyat dibelenggu masalah ekonomi dan pada masa yang sama bantuan pemimpin umno pada kroni mereka tidak pula dikurangkan.

Beliau menyatakan, konsep umno menguruskan rakyat jelas bercanggah dengan ajaran islam yang mempertahankan konsep kebenaran dan Allah maha berkuasa perlu diberi tempat sebagai tuan dengan perlu mengikuti perintahnya, malah dalam umno apa yang mereka sepakatipun tidak dipatuhi, maknaya mereka juga mengkhianati diri sendiri.

Selain itu beliau juga menyatakan, Umno sebenarnya tidak berusaha memartabatkan bangsa melayu, sebaliknya umno menjadikan bangsa melayu semakin haprak, hilang kuasa dan hak orang melayu juga dirampas.

Memetik ucapan beliau “ PAS menekankan Islam itu mestilah diutamakan, bahkan dalam konteks Pakatan Rakyat kita perjuangkan kehendak rakyat yang mahukan sebuah Negara yang adil,berkebajikan, berdemokrasi, jentera kerajaan bebas dari dipergunakan oleh umno, berikan hak kebebasan berhimpun dan hak yang sepatutnya menjadi milik rakyat”.

“ Umno sibuk dengan ketuanan Melayu, sedangkan mereka yang mentadbir negara ini lebih 50 tahun gagal meletakkan melayu di tempat yang sewajarnya”.

“ Inilah slogan Umno menipu rakyat yang kononnya merekalah parti yang memperjuangkan melayu, jika kita lihat perkembangan dalam Negara pada masa lalu yang menghapuskan imuniti raja melayu adalah umno sendiri” “ Dan yang sebenarnya umno hanya memperjuangkan ketuanan sekumpulan individu melayu yang ingin mengaut keuntungan Negara”.

http://perak.pas.org.my/

Tuesday, October 25, 2011

Gua Ikut Enta The Movie - Episod 1

Wajah-wajah Persidangan ICT & Media Baru 2011


Setelah selesai persidangan mengenai ict dan media baru tempohari, mari kita bersantai dengan dengan gambar wajah-wajah yang terdapat di persidangan tersebut. Pelbagai ragam dan gaya yang dapat dirakamkan.


























Jika dimana-mana program yang ada bersamanya Tuan Guru Nik Aziz, pasti saya akan mengambil sebanyak mungkin gambar idola saya ini. Sejuk hati memandang wajah Tuan Guru, koleksi gambar-gambar beliau begitu berharga buat saya.




Followers

Video ajijoi

Loading...