Wednesday, October 29, 2008

Bersatulah demi Islam - Zulkifli Noordin


“Dalam bercakap soal Islam tiada siapapun dalam parti saya boleh melarang kerana ia adalah hak saya,’’ itulah jawapan yang diberikan oleh Ahli Parlimen Kulim Bandar Baru dari Parti Keadilan Rakyat, Zukifli Noordin kepada penulis apabila ditanya tidakkah beliau bimbang untuk diwawancara oleh Mingguan Malaysia - akhbar yang diboikot oleh Pakatan Rakyat.

Sememangnya dalam mempertahankan Islam, Zulkifli dilihat salah seorang pemimpin yang paling lantang. Tanpa mempedulikan akibat daripada kelantangannya, Zulkifli pernah dihadap ke jawatankuasa disiplin PKR kerana membantah majlis forum ‘Memeluk Islam’ anjuran Majlis Peguam.

Bagi Zulkifli memperjuang dan mempertahankan Islam adalah agenda utama hidupnya, soal karier politik ‘‘itu saya serah kepada Allah menentukannya.’ Dalam pertemuan dengan wartawan Mingguan Malaysia, ZULKIFLEE BAKAR di pejabatnya di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur, Zulkifli secara terbuka bercakap soal betapa pentingnya umat Islam bersatu tanpa mengira fahaman politik.

Beliau membangkitkan bagaimana kaum-kaum lain boleh bersatu apabila terdapat isu yang berkaitan dengan kepentingan mereka. Justeru kata beliau adalah sesuatu yang menghairankan apabila ahli-ahli politik Islam yang mempunyai akidah yang sama tidak mampu bersatu.

Malah apa yang mengecewakan beliau kelantangannya menegakkan perjuangan Islam turut ditegur oleh Ahli Parlimen Pas yang pada pandangan beliau seharusnya memberi sokongan. Justeru dalam menyatukan umat Islam, Zulkifli berpendapat berikutan sikap taksub kepartian yang masih lagi melumuri sesetengah pemimpin politik beliau mencadangkan Raja-Raja Melayu memainkan peranan pro aktif dalam soal itu. ‘‘Sudah tiba masanya kita bersatu demi Islam,’’ kata beliau.

Ikuti wawancara ini selanjutnya di sini. Kemudian, fikir-fikirkanlah luahan rasa Zulkifli Noordin ini secara mendalam tanpa bersandar kepada sebarang ideologi politik mahupun kepartian. Berdirilah di atas tapak Islam untuk menilai segala isi kandungan wawancara ini.

Ajijoi - Saya memang tak pernah membeli ataupun membaca akhbar Utusan mahupun Mingguan tetapi setelah diberitahu akan artikel ini oleh seorang kawan, saya pun menjenguklah ke portal akhbar Mingguan untuk mendapatkan maklumat lanjut tentangnya

Saya memang hormati dan mengagumi YB Zulkifli kerana kelantangan dan ketegasannya dalam mempertahankan Islam biarpun diugut untuk diambil tindakan disiplin ke atasnya.
Semoga ramai lagi YB mahupun sesiapa sahaja yang sanggup dan tegas dalam memperjuangkan dan mempertahankan Islam yang kini semakin diserang di atas landasan 'keterbukaan' yang menjadi amalan dalam negara kita hari ini.

Ucapan salam Pakatan Rakyat


Baru-baru ini semasa jamuan raya di surau Al-Ehsan, Adun Simpang Pulai Chan Ming Kai memulakan ucapannya dengan memberi salam iaitu 'Assalamualaikum warahmatullah hiwabarakatuh'. Para hadirin pun ketawa. Ada juga yang terkejut dan ada juga yang bermasam muka. Saya sendiri tak terkata apa-apa.

Saya pasti beliau dan juga YB Pakatan Rakyat yang bukan beragama Islam yang lain mengucapkan salam yang sama disetiap majlis yang dihadiri mereka kerana pada fikiran mereka ucapan salam itu sama nilainya dengan ucapan Makkal Sakthi.

Kepada orang Islam mereka mengucapkan Salam dan kepada yang bukan Islam mereka mengucapkan sen ser ni (betul ke ejaan tu?) dan juga makkal sakthi.

Pihak alim ulama di dalam Pakatan Rakyat khususnya Pas perlu menegur perbuatan ini kerana ianya akan dibudayakan setiap kali di dalam majlis yang bersama orang-orang Islam.

Ucapan Salam adalah satu ucapan yang mulia dan hanya diguna pakai oleh dan untuk orang-orang Islam sahaja. Ianya juga adalah ucapan suci di syurga nanti.


Diharap perkara seumpama ini dapat diperbetulkan dengan segera demi menjaga kesucian agama Islam dan juga pemahaman yang bukan Islam.

Sila rujuk Darul Fuqaha , Dr Mashitah dan Darul Numan.

Monday, October 27, 2008

Majlis Ihtifal Pasti Peringkat Negeri Perak


Ipoh (26/10/2008) - Majlis Ihtifal Pasti Peringkat Negeri Perak Darul Ridzuan telah diadakan di Sekolah Agama Rakyat An-Najmi, Tmn Puteri Lindungan Bintang, Ipoh.

Majlis ini telah disertai oleh Pasti Kawasan daripada seluruh negeri Perak. Daripada Grik sehinggalah ke Slim River. 20 kawasan kesemuanya.

Acara yang dipertandingkan secara serentak ialah azan, bercerita, hafazan, khutbah, nasyid, pidato dan sajak.

Perasmian penutup acara dilakukan oleh YB Hj Roslan bin Shaharom, Ahli Parlimen Bukit Gantang.

Anak saya dan Pasti Al-Ehsan mewakili kawasan Gopeng dalam pertandingan nasyid. Kumpulan nasyid daripada Pasti kawasan Bagan Serai yang bergelar juara dan akan mewakili negeri Perak di pertandingan peringkat seluruh Malaysia di Alor Setar, Kedah nanti.

Ajijoi - Sedikit pengamatan ikhlas saya sepanjang pertandingan semalam. Setiap program atau majlis yang dijalankan baik Pasti mahupun Pas sendiri, seakan menjadi 'budaya' yang melekat kuat walaupun setelah menikmati kemenangan di Perak ini. 'Budaya' yang saya maksudkan ialah pasti ada kelemahan yang sama pada setiap program.

Kelemahan ini bolehlah dibahagikan kepada beberapa sebab :-

1. Pengurusan jalan kerja
Program telah diatur dengan cantik sekali semasa mesyuarat tetapi apabila tiba hari tersebut, segalanya dibiarkan berjalan dengan sendirinya tanpa ada pengawasan dan kawal selia agar setiap agenda yang diluluskan didalam mesyuarat dipatuhi.

2. Tidak Menepati Waktu
Program yang sepatutnya dimulakan pada jam 9.00 pagi hanya bermula pada pukul 10.00 pagi akibat pegawai-pegawai yang bertugas tiba lewat. Tetamu diminta hadir jam 8.30 pagi untuk pendaftaran tetapi terpaksa menunggu selama 1 1/2 jam untuk acara bermula. Surah Al-Asr (Masa) dibaca setiap kali pembukaan dan penutupan majlis tetapi masa masih lagi terbuang sia-sia setiap kali program.

3. Penunjuk arah
Tiada penunjuk arah kepada tetamu-tetamu yang hadir sehinggakan saya yang tinggal di Ipoh pun sesat mencari tempat program inikan pula orang luar yang datang daripada Grik sehinggalah Slim River.

4. Sistem pembesar suara (P.A. System)
Ini adalah masalah utama disetiap program. Peralatan tidak mencukupi, tiada persediaan awal ataupun tiada siapa yang tahu menggunakannya antara alasan-alasan yang biasa didengar.

5. Sebaran maklumat
Salah satu masalah yang paling besar di dalam setiap program yang dianjurkan adalah maklumat yang tidak sampai mahupun menyeluruh. Kalau sampai pun selalu 'last minute'. Sehinggakan orang yang ditunggu sebenarnya tidak tahu ada program tersebut pada hari itu. Semuanya 'assume' ataupun menyangkakan yang orang-orang tersebut tahu akan program pada hari itu.

6. Keputusan mesyuarat
Saya diberitahu bahawa pandangan dan cadangan daripada guru-guru Pasti yang biasa mengadakan majlis ihtifal seumpama itu tidak diambil kira malah diremehkan. Pegawai-pegawai atasan hanya merangka program di atas kertas tanpa pengalaman turun padang dan menjalankannya sendiri.

7. Sikap lepas tangan
Majlis ihtifal semalam adalah dibawah anjuran Pasti Negeri Perak tetapi pada pengamatan saya seolah-olah anjuran Pasti kawasan Gopeng kerana kebanyakan tenaga kerja dan guru-guru Pasti yang bertungkus lumus menjayakan majlis tersebut terdiri daripada kawasan Gopeng. Jika disemak senarai tenaga kerja yang sepatutnya hadir, hanya beberapa kerat sahaja yang menampakkan muka.

Sehingakan ketibaan YB Roslan juga tidak disambut oleh sesiapa pun daripada pihak Pasti Perak. Oleh kerana saya mengenali YB secara peribadi, saya menyambut kehadiran beliau sehinggalah ada yang menyedari dan YB disambut secara rasmi oleh pihak Pasti. Kemudian, bilik khas untuk YB berehat dan menunggu tidak dapat digunakan kerana ada mesyuarat pihak Pasti sedang berjalan di bilik tersebut. {Mengadakan mesyuarat semasa program berlangsung?} YB Roslan terpaksa membawa diri berjumpa dan bersalaman dengan orang ramai yang ada disitu sebelum dijemput duduk di sofa utama dihadapan dewan.

Ini adalah kerana program Ihtifal Pasti ini merupakan program tahunan. Bermakna setiap tahun diadakan program yang sama. Kenapa tiada peningkatan dari setahun ke setahun. Kenapa masih ditakuk lama malah mungkin juga semakin teruk dari setahun ke setahun.

Imej parti perlu dijaga kerana parti kita merupakan parti pemerintah di negeri ini dan setiap tindak tanduk kita diperhatikan selama penggal pertama kita memegang tampuk pemerintahan negeri.

Seorang ustaz yang saya temui semalam mengatakan beliau lebih suka jika Pas kalah didalam pilihanraya tempohari jika keadaan seperti hari ini berterusan kerana semasa kita kalah, semua ahli membuat kerja parti dengan bersungguh-sungguh berbanding dengan hari ini apabila kemenangan berpihak kepada kita.

Pada hemat saya, pandangan ikhlasnya itu adalah kerana sayangnya akan perjuangan parti ini dan beliau tidak mahu ahli-ahli menjadi lemah dek kemenangan.

Di harap teguran ikhlas saya ini dapat dihadam dengan baik demi memastikan perjalanan gerakan Islam kita menjadi lebih mantap kehadapan dan bukannya lesu tertinggal jauh kebelakang.




Sambutan Aidilfitri Surau Al-Ehsan


Jam telah menunjukkan pukul 9.25 malam. Anak dan isteri telah berkali menghantar sms dan juga menelefon mengingatkan tentang Jamuan Raya di Surau Al-Ehsan yang bermula jam 9.00 malam. Teman-teman sekerja masih lagi ghairah bergambar. Saya mohon berbanyak maaf kepada mereka kerana saya terpaksa meninggalkan Hotel Impiana Casuarina (Jamuan Perpisahan En. Rasid) untuk bergegas ke surau Al-Ehsan.

Sesampainya saya di surau, acara telahpun berlangsung. Orang ramai sedang menikmati juadah yang disediakan. Anak-anak dan isteri telahpun berada disana. Jemaah surau gembira menyambut ketibaan saya. Ramai yang kelihatan termasuklah tetamu yang bukan Islam.

Nasib baik saya telah berpesan awal kepada Zainal untuk mengambil gambar jamuan raya ini kerana saya mungkin terlewat tiba. Nak makan pun perut masih kenyang lagi dengan buffet di Casuarina tadi. Jadi, kerja saya hanya mengambil gambar apa-apa yang patut.

Majlis jamuan raya tahun ini dianjurkan bersama oleh Surau Al-Ehsan dan juga Parti Keadilan Rakyat Kawasan Gopeng.

Tetamu istimewa pada malam tersebut adalah Adun Simpang Pulai iaitu Chan Ming Kai yang pada acara terakhir telah berdialog dengan tetamu yang hadir mengenai pelbagai masalah dan pandangan yang dilontarkan berkaitan dengan Dun Simpang Pulai.

Lagi gambar-gambar menarik di wartasgrapat.
Ustaz Fisol membacakan doa pembukaan majlis.
Haji Amran bertindak sebagai pengerusi majlis.
Tetamu Khas. Dari kiri, Adun Simpang Pulai Chan Ming Kai, Ust Abu Bakar dan Haji Abdul Rahim Mat Arif.

Ust Abu Bakar menyampaikan ucapan alu-aluan.



Chan Ming Kai memberikan ucapan kepada hadirin.


Sunday, October 26, 2008

Jamuan Perpisahan En. Rasid Episod 2


25/10/2008: Jamuan perpisahan/makan malam kali ini diadakan di Hotel Impiana Casuarina, Ipoh atas tajaan Public Bank Berhad. Di majlis rasmi ini yang disertai oleh semua kakitangan PBB-Jalan Yang Kalsom menyaksikan penyampaian hadiah persaraan dari Public Bank yang disampaikan oleh Pengurus Cawangan kami iaitu Lee Hui Leong.

Hadiah tersebut berupa sekeping wang emas berlogokan Public Bank Berhad seberat 5 auns yang dianggarkan bernilai sekitar 12 ribu ringgit.

Juga terdapat beberapa hadiah lain sumbangan daripada kakitangan PBB-JYK sendiri.

Mungkin ini kali terakhir kami bertemu dan bermesra seperti selalu dengan En. Rasid Bin Uda Osman. Selepas ini diharap janganlah segan-segan untuk singgah menjenguk kami dipejabat.













Thursday, October 23, 2008

Jamuan Perpisahan En. Mohd Rasid Bin Uda Osman


Malam tadi kami berkumpul di Restoran Laksamana Cheng Ho di Greentown, Ipoh bagi meraikan En. Mohd Rasid Bin Uda Osman yang mula bersara daripada Public Bank Berhad mulai bulan ini. Beliau hadir bersama isteri tersayang, Puan Saedah.

Seramai 38 orang yang terdiri daripada kakitangan PBB JYK dan juga Ipoh Garden Hire Purchase Centre berkongsi perbelanjaan untuk menjayakan jamuan perpisahan ini. Memandangkan kita masih berada di dalam bulan Syawal, jamuan ini juga diadakan bagi mengeratkan silaturrahim di antara kami. Amat payah untuk mengumpulkan pekerja muslim seramai ini di dalam satu majlis. Namun, malam ini menyaksikan betapa kepayahan itu telah berjaya dirongkai dan diharap pada masa-masa yang akan datang perjumpaan seperti ini dapat dijayakan lagi.

En. Mohd Rasid yang mula berkhidmat di Public Finance Berhad, Jalan Yang Kalsom pada tanggal 1 April 1974 sebagai messenger atau penghantar surat. Pada masa itu, basikal adalah teman karib En. Rasid dalam menjalankan tugasan hariannya.

Nasibnya mulai cerah apabila dinaikkan pangkat ke jawatan kerani pada tahun 1982 sehinggalah beliau bersara.

Mengenangkan khidmatnya dengan Public Bank Berhad selama 34 tahun ini, sudah pasti akan dihambat dengan memori lalu pada hari-hari yang mendatang. Jelas kelihatan sayu diwajahnya semasa bersalaman dengan kami semua walaupun senyuman dan gurauan tidak lekang dari bibirnya sepanjang jamuan tadi.

Jamuan ini juga turut meraikan Puan Teh Jamilah yang akan bertukar ke PBB Kampar bulan hadapan.

Semoga persahabatan kita yang sekian lama terjalin tidak berakhir di sini. Dan juga semoga cekal dan sukses menghadapi hari-hari mendatang. Selamat Bersara.

Ajijoi - En. Mohd Rasid dan isterinyalah yang menjadi 'match maker' ataupun orang tengah dalam memperkenalkan saya dan isteri saya. Jasanya sentiasa dalam ingatan dan doa kami berdua.









Monday, October 20, 2008

Sambutan Aidilfitri 2008 Peringkat Negeri Perak Darul Ridzuan


Sambutan Aidilfitri 2008 Peringkat Negeri Perak telah berlangsung di Stadium Indera Mulia, Ipoh malam tadi. Walaupun hujan turun dengan lebatnya, itu tidak menghalang orang ramai untuk turut serta meraikan majlis ini. Khemah-khemah yang disediakan penuh sesak dengan rakyat Perak yang ingin meraikan sambutan Aidilfitri bersama-sama pembesar negeri.

Majlis diserikan lagi dengan kehadiran DYMM Sultan Perak, Sultan Azlan Shah dan Permaisuri Bainun, DYAM Raja Dihilir, Raja Jaafar Bin Raja Muda Musa serta isteri Raja Nor Mahani bt. Raja Shahar Shah.

Kebawah duli berdua diraikan oleh Menteri Besar Perak, Hj Ir Nizar Jamaludin serta isteri dan exco-exco kerajaan negeri.

Majlis turut dihiburkan dengan dendangan nyanyian dan tarian daripada Badan Kesenian Negeri Perak dan juga penyanyi jemputan seperti Musli Ramly (P. Ramlee jelmaan) dan Ida Fazilla (Finalis Akademi Nasyid).

Jamuan seperti satay, koetiau goreng, yong tau foo, mee rebus, ketupat, kuih raya dan buah-buahan tempatan menjadi pilihan tetamu. Kesemuanya habis dalam masa yang singkat sahaja.

Majlis bersurai sekitar jam 10.00 malam apabila DYMM Sultan Perak berangkat pulang dengan diiringi oleh tetamu-tetamu yang lain.




MB Perak rasmi kampung berusia 500 tahun

KUALA KANGSAR, 18 Okt (Hrkh) - Menteri Besar Perak, Dato' Seri Muhammad Nizar Jamalluddin telah merasmikan sebuah kampung unik berusia 500 tahun iaitu Kampung Cagar Galah, Pekan Sauk 20 kilometer dari sini petang semalam.

Kampung tersebut telah dibuka oleh seorang Sultan dari keturunan keluarga 'Jamallulail' kira-kira 500 tahun lalu di Kampung Cagar Galah itu yang menjalankan pemerintahan Islam di situ dengan mengamalkan hukum hudud.

Dalam majlis tersebut, Menteri Besar telah disambut oleh Yang Dipertua Persatuan Keluarga Kumpulan Jamallulail Seluruh Malaysia , Tuan Syed Abdullah Syed Osman Jamalullail dan telah menyampaikan sebuah cendera hati tanda kebesaran keturunan Jamallulail.

Meor Affendi Jamalullail, salah seorang pengelola majlis


Dato' Seri Nizar telah menandatangani sebuah papan tanda persatuan tersebut untuk diabadikan yang disaksikan oleh Exco Kerajaan Pakatan Rakyat, Haji Mohd. Zainuddin Mohd. Yusof, AJK Persatuan, pegawai-pegawai kanan kerajaan bersama lebih 500 orang penduduk keturunan Jamalullail itu.

Di majlis sempena sambutan Jamuan Hari Raya Aidilfitri itu, Dato' Seri Nizar memuji Ahli Jawatankuasa Persatuan yang telah berjaya mengumpulkan 3,000 orang dari keturunan Jamalullail seluruh Malaysia.

"Saya difahamkan pada kebiasaanya panggilan nama 'Jamalullail' itu adalah mereka dahulunya dari keturunan bangsawan seperti dari keluarga 'Syed', Raja dan Sultan.
"Di mana maksudnya bahawa penduduk-penduduk Cagar Galah ini terdiri dari orang-orang yang cerdik dan bijik berfikir matang. Dari itu hendaknya 3,000 orang Jamalullail ini jadi orang yang cerdik,"tegasnya.

Dalam ucapan tersebut beliau sempat menyampaikan tazkirah ringkas yang antaranya berharap ahli kumpulan persatuan 'Jamalullail' akan dapat merapatkan hubungan dengan masyarakat sekitar dan berpegang kuat pada ajaran Islam.

Selamat Hari Lahir, Tuan Guru Haji Hadi Awang


"Tanggal 20 Oktober 1947, lahirlah seorang pejuang Islam yang bernama Abdul Hadi bin Awang.... Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang akan berumur 61 tahun, Selamat Hari Lahir, buat Tuan Guru..

Semoga Hari ini lebih baik daripada hari semalam..... Semoga Tuan Guru dikurniakan nikmat panjang umur bagi meneruskan perjuangan Islam...."

Kehidupan awal
Lahir pada 6 Zulhijjah 1366H, di Kampung Rusila, Marang, Terengganu. Anak ke-5 dari 9 orang adik beradik. Ayahnya adalah seorang guru agama dan imam di Masjid Rusila, Marang.

Keluarga
Mempunyai dua orang isteri iaitu Puan Hajah Zainab bt. Awang dan Dr. Norzita Taat. Dikurniakan 13 orang anak. Dengan isteri pertama beliau mempunyai 11 orang anak manakala dengan isteri kedua, beliau mempunyai 2 orang anak. Anak sulung beliau berumur 22 tahun dan kini belajar di Universiti Iman, Yaman.

Pendidikan
Mula belajar di Sekolah Kebangsaan Rusila, Marang kemudian Sekolah Agama Marang dan seterusnya mengambil aliran Sanawi di Sekolah Agama Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu. Di samping itu beliau belajar agama, Bahasa Arab serta politik dari ayah sendiri iaitu Tuan Guru Haji Awang Muhamad. Melanjutkan pelajaran ke Universiti Islam Madinah dengan biasiswa dari Kerajaan Arab Saudi dari tahun 1969 - 1973, tamat dengan B.A. (Syariah). Melanjutkan pelajaran ke Universiti al-Azhar ke peringkat M.A. (Siasah Syariyyah) dan berjaya menamatkannya hanya dalam masa 2 tahun (1974 - 1975).

Politik
Mula aktif sejak tahun 1964 iaitu semasa belajar lagi sebagai Setiausaha Ranting (sekarang cawangan) PAS kampung Rusila, Marang. Pada 1976, setelah tamat belajar dan pulang ke tanah air dilantik menjadi Ketua Pemuda PAS Terengganu serta EXCO Dewan Pemuda PAS Pusat. Pada tahun 1977 dipilih menjadi Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dan kemudiannya disahkan ke jawatan tersebut pada tahun 1980. Pada tahun 1989 di pilih menjadi Timbalan Presiden PAS setelah Dato' Fadzil Mohd Noor dipilih menjadi Presiden PAS.

Ikuti biodata penuh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang di sini.

Sunday, October 19, 2008

Ihtifal Pasti Gopeng - Sederhana tapi Meriah



Pagi tadi berlangsungnya Majlis Ihtifal, Sumbangsih & Sambutan Aidilfitri PASTI Kawasan Gopeng di Pasti Ammar, Pinji Perdana.

Saya kesana sekeluarga kerana anak lelaki saya, Azizul Hakim mengambil bahagian didalam pertandingan nasyid mewakili Pasti Al-Ehsan.

Pertandingan nasyid diantara Pasti Kawasan Gopeng diadakan untuk memilih pemenang diantara 4 Pasti iaitu Pasti Al-Ehsan (Rapat Setia), Pasti Pintar (Simpang Pulai), Pasti Sinaran Wahyu (Kopisan Baru, Gopeng) dan Pasti Ammar (Changkat Larang) untuk mewakili Pasti Kawasan Gopeng ke pertandingan nasyid Pasti seluruh Perak minggu hadapan.

Alhamdulillah, Pasti Al-Ehsan memenangi pertandingan nasyid tadi.

Selesai majlis ihtifal tadi, jamuan sempena Aidilfitri juga diadakan.

Ikuti gambar sepenuhnya di wartasgrapat.


Imam Fahme membacakan doa sebelum majlis bermula.



Puan Fatihah (anak MB Perak) merasmikan majlis.










Nasyid Pasti Al-Ehsan yang memenangi pertandingan.

Followers