Al-Quran Digital Read Pen

Al-Quran Digital Read Pen

Sunday, August 31, 2008

Ramadhan datang lagi



Selamat menyambut kedatangan Ramadhan Al-Mubarak dan menjalani ibadah puasa buat muslimin dan muslimat dimana jua anda berada. Semoga ibadah puasa kita tahun ini lebih baik daripada tahun-tahun sebelumnya.
Selama sebulan kita diberikan peluang yang sebesar-besarnya oleh Allah Swt untuk memperbaiki ibadah dan juga meraih pahala yang dilipat gandakan di bulan Ramadhan yang mulia ini. Semoga bulan keberkatan ini menjadi madrasah tarbiah kita menuju kesempurnaan iman dan akhlak agar dapat menjadi mukmin yang sejati. Insya-Allah.
Perutusan Mursyidul Am Pas sempena Ramadhan - Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat
Perutusan Khas sempena Ramadhan - Tuan Guru Haji Hadi Awang
Kematian dan Ramadhan - Ahmad Lutfi Othman
Ajijoi - Kepada yang dah pasang niat untuk tak puasa penuh, sedikit peringatan : andaikata anda mampu untuk meneguk air kahak orang-orang yang berpuasa, dipersilakanlah untuk meneruskan niat itu. Jika tidak, lakukanlah ibadah puasa ini bersungguh-sungguh dengan penuh keimanan. Gastrik bukan penghalang tetapi gas trick yang lebih.

Saturday, August 30, 2008

MERDEKA




Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan yang ke 51 buat seluruh rakyat Malaysia.

Semoga kita semua dapat merasai dan menghayati erti kemerdekaan yang sebenar-benarnya.....


Merdekakan...
Agamamu

Merdekakan...
Nyawamu

Merdekakan
Akalmu...

Merdekakan
Keturunanmu...

Merdekakan
Hartamu...

Thursday, August 28, 2008

Kelab Perak FA Die Hard Fan

Semalam saya dijemput Aki untuk menghadiri EGM Kelab Perak FA Die Hard Fan di Sg Rokam.

Setibanya saya disana, mesyuarat sedang rancak berjalan.

Agak terpinga-pinga dan blur tentang agenda mesyuarat, saya hanyalah menumpang dengar serba sedikit. Waktu rehat, saya juga 'menumpang' menjamah jamuan yang disediakan.


Kelab ini ditubuhkan dengan tujuan sebagai suatu riadah dengan satu minat yang sama iaitu menyokong pasukan bolasepak Perak. Juga mengadakan latihan bolasepak untuk ahli setiap hari Jumaat selain berbagai aktiviti-aktiviti yang lain.


Sebagai ahli, anda hanya perlu membayar yuran bulanan sebanyak RM5.00.
Untuk menjadi ahli kelab dan lain-lain maklumat lanjut serta pertanyaan, bolehlah menghubungi saudara Zaki di 013-5232621.

Ajijoi - "Walaupun aku nampaknya kutu...aku hormat orang tuaku...."

Wednesday, August 27, 2008

Pas rakam tahniah kemenangan PKR di Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR, 27 Ogos: PAS merakamkan ucapan tahniah pada Keadilan atas kemenangan besar Ketua Umum parti itu, Dato' Seri Anwar Ibrahim dalam pilihan raya kecil P44 Permatang Pauh pada 26 Ogos baru lalu.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Haji Mahfuz Omar mengambil kesempatan mengucapkan tahniah di institusi perlembagaan negara itu sebelum meminta soalan no. 4nya dijawab oleh Timbalan Menteri Pelajaran.

"Saya ingin mengambil kesempatan mengucapkan tahniah atas kemenangan besar yang dicapai oleh Dato' Seri Anwar Ibrahim di dalam pilihan raya Permatang Pauh," ucap Ketua Penerangan PAS sambil mendapat tepukan dari kalangan anggota parlimen PR.

Dalam sidang yang disiarkan secara langsung menerusi TV1 itu telah dapat didengari oleh jutaan rakyat negara ini.

Belum sempat beliau menghabiskan ucapan itu, penyokong BN telah mengganggu kononnya tidak berkaitan dengan acara sidang. Keadaan menjadi lebih gamat bila Haji Mahfuz membangkitkan 'BN kalah juga meskipun berlindung di belakang punggung Saiful', disambut gelak ketawa sebahagian besar hadirin.

Bermula dari situ, kalangan penyokong BN dikepalai oleh Rompin, Dr Jamaluddin Jarjis meminta Haji Mahfuz menarik balik tanpa menyatakan perkataan berkaitan. Peristiwa menarik ini berakhir begitu sahaja tanpa ada sebarang tarik balik meskipun di kalangan penyokong BN masih tidak berpuas hati.


Dalam soalan tambahannya berkaitan pembinaan sekolah di seluruh negara yang hanya diberikan pada dua kontraktor sahaja, beliau juga mempersoalkan kenapa tidak diagihkan pada lebih ramai kontraktor yang ada.

Oleh sebab soalan tambahannya agak panjang, beliau telah ditegur oleh penyokong kerajaan yang menyifatkan beliau berceramah, Haji Mahfuz berkata, "mereka semua tidak berpeluang mendengar ceramah saya di Permatang Pauh...!" tegasnya.

Dalam pilihan raya kecil itu, Anwar telah menang dengan majoriti 15,671 undi bila mendapat undi sebanyak 31,195, calon BN, Dato' Ariff Shah Omar Shah (15,524) dan calon Akim, Hanafi Mamat 92 undi dan hilang wang deposit.

Pilihan raya kecil itu diadakan ekoran penyandang kerusi itu, Dato' Seri Wan Azizah Wan Ismail yang juga isteri Anwar meletakkan jawatan bagi membuka laluan pada suaminya menjadi ahli parlimen bagi membawa perubahan pada landskap politik negara.

Sementara itu, Anwar mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh pada sesi pagi 28 Ogos seterusnya berperanan sebagai Ketua Pembangkang menggantikan Azizah sebelum ini.

Ekoran itu, Anwar pasti berperanan besar di dalam membahaskan bajet negara 2009 yang akan dibentangkan oleh Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi pada hari Jumaat 29 Ogos.

Anwar dilihat sebagai tokoh yang paling layak bercakap tentang bajet, kewangan dan ekonomi kerana pengalaman menjadi Menteri Kewangan dan Timbalan Perdana Menteri sebelum dipecat pada 2 Disember 1998 oleh Dr Mahathir ketika berkuasa dahulu.- IBH

7 malu besar

Pengarah pilihan raya Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Tun Razak adalah pihak yang paling malu sekali dengan kejayaan Datuk Seri Anwar Ibrahim menambahkan majoriti kemenangan PKR dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh.
Selain beliau, turut malu besar adalah Ezam Mohd Nor yang menjadikan Anwar musuh peribadi beliau, Khairy Jamaludin yang mahu menguburkan Anwar dan Datuk S Nalakarupan yang menyerang beliau di bawah paras pinggang di samping Mohd Saiful Bukhari Azlan yang terpaksa menggadaikan maruah peribadi beliau sendiri.
Turut malu besar adalah TV3 yang membuat serangan besar-besaran terhadap Anwar tanpa berlapik dan akhbar Utusan Malaysia yang tidak menjaga langsung etika sebagai media utama negara.

Tuesday, August 26, 2008

Anwar menang besar



Anwar Ibrahim sah memenangi kerusi Parlimen Permatang Pauh dengan majoriti yang lebih besar iaitu 15,671 undi.

Dato Seri Anwar Ibrahim (PKR) mendapat undi sebanyak 31,195 manakala Arif Shah Omar Shah (BN) mendapat 15,524. Calon Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim), Hanafi Mamat hanya mendapat 92 undi dan hilang wang pertaruhan.

Tetapi, perkara yang paling saya tak puas hati ialah apabila tiada satu pun rangkaian tv yang menyiarkan secara langsung keputusan pengiraan itu. Amat dayus sekali apabila tidak menerima kekalahan dan yang paling malang ialah tidak dapat menerima keputusan rakyat.

Rakyat terpaksa mencari alternatif lain untuk mendapatkan maklumat terkini dan pengesahan pengiraan undi itu. Internet menjadi pilihan terbaik. Namun, oleh kerana terlalu ramai yang mengakses ke internet menjadikannya terlalu lembab. Perkhidmatan internet dinegara kita memang perlahan berbanding negara lain tetapi bayaran yang dikenakan amat tinggi sekali.

Memang sebeginilah layanan kerajaan terhadap rakyat Malaysia selama hari ini. Mereka hanya mementingkan politik mereka. Andaikata Arif Shah dari BN yang menang, semua rangkaian tv pasti akan mengulang-ulangi siaran keputusan itu, berhari-hari lamanya. Tidak begitu?

Maka, hari ini berakhirlah sudah sandiwara liwat yang dimainkan oleh para pelakon be end selama kempen berjalan. Sesudah Saiful, Najib dan Tajol Rosli bersumpah, adakah kini giliran arif shah pula bersumpah bahawa dia bukannya kalah didalam pilihanraya ini.....cuma dia tak menang sahaja.

Lagi laporan penuh.



Selamat mengundi, Permatang Pauh


Hari ini adalah hari penentuan yang menyaksikan bukan sekadar soal kerusi parlimen tetapi lebih dari itu. Ini adalah soal hala tuju negara dalam mengharungi gelombang perubahan dan peralihan kuasa rakyat daripada kuasa kuku besi barisan nasional.

Rakyat Permatang Pauh diberikan keistimewaan dalam menentukan masa depan negara didalam pemilihan kerusi Parlimen Permatang Pauh P44 hari ini.

Saya percaya rakyat Permatang Pauh telah dewasa dan matang didalam arus politik yang dicemari barisan selama ini.

Pilihan anda amat penting dan berharga buat kami rakyat Malaysia. Selamat mengundi.

Monday, August 25, 2008

Tahniah! Ust Bakar terima dua menantu sekaligus

Saya sekeluarga bersama apak dan mak saya memenuhi jemputan Ustaz Abu Bakar Hussain, Timbalan Pesuruhjaya I Pas Perak kemajlis perkahwinan dua orang anaknya (seorang lelaki dan seorang perempuan) dirumah beliau di Kampung Rapat Jaya Tambahan (Benaria).
Setibanya saya disana kelihatan Menteri Besar Perak, Dato Seri Mohammad Nizar sedang bersalaman dengan orang ramai sebelum meninggalkan majlis.
Begitu ramai sekali para jemputan yang hadir bagi memeriahkan majlis perkahwinan tersebut.

Ust Abu Bakar (berbaju biru) sedang melayan tetamu.


Pahlawan Pas Gopeng.


Segak sungguh bapa pengantin diapit teman-teman rapat.

Jemputan beratur untuk menjamu selera.



Pengaut cendol yang berbadan tegap ini ialah saudara Idris yang meng'rekomen'kan saya mendapat pekerjaan di Public Finance Bhd dahulu. Jasa besar beliau tetap dalam kenangan. TQ bang...

Blogger nakal yang terkenal, Alhusseyn seronok menikmati cendol



Kedua pasangan pengantin menikmati hidangan.


Lagi gambar dan cerita selanjutnya di blog terkenal ini.

Sunday, August 24, 2008

Permatang Pauh


Semalam saya berkesempatan ke Permatang Pauh untuk meninjau suasana dan kempen pilihanraya kecil parlimen P44 Permatang Pauh yang ditandingi Dato Seri Anwar Ibrahim dari Parti Keadilan Rakyat dan Arif Shah Omar Shah dari Barisan Nasional (Umno).

Perjalanan yang bermula jam 3.30 petang itu merupakan suatu kesempatan yang datang daripada undangan Haji Amran untuk turut serta kesana sudah pasti sukar untuk dilepaskan kerana saya ingin menyaksikan sendiri bagaimana keadaan disana semasa musim kempen ini. Saya sudah muak mengikuti perkembangan kempen melalui media tv mahupun akhbar yang ternyata berat sebelah dan tidak menggambarkan suasana dan kegiatan yang sebenar.

Ternyata Permatang Pauh menjadi medan perang bendera, poster dan bunting yang berbagai-bagai. Dari pengamatan saya sepanjang perjalanan mengelilingi permatang pauh, PKR ternyata menguasai suasana dengan kebanyakan gerai-gerai makanan dan rumah-rumah mengebarkan bendera PKR dan ada juga yang dijadikan bilik gerakan. Berbanding dengan khemah-khemah yang bergantungan bendera BN tidak kelihatan orang ataupun petugas yang berada disana. Rata-rata khemah dan markas mereka kebanyakannya tidak berpenghuni.


Kami singgah ke Peranti untuk makan malam dan solat Maghrib di Masjid yang cukup menarik dengan hiasan dalamannya yang kaya dengan seni Islam.

Dihadapan masjid tersebut terdapat sebuah markas PKR yang menyatakan 'kubu kuat Anwar Ibrahim'. Kelihatan cukup ramai orang didalam dan juga diluar. Ada orang PKR dan ada orang Pas. Keadaan amat sesak disini menjelang malam sehinggakan polis trafik terpaksa mengawal lalu lintas biarpun disitu terdapat lampu trafik.




Selepas maghrib, kami bertolak ke Permatang Pasir untuk mendengar ceramah Anwar Ibrahim yang dijadualkan pada pukul 9 malam, di Tmn Hussein Onn Seberang Jaya jam 10 malam dan di Guar Perahu jam 11 malam.

Setelah puas mencari arah ke Permatang Pasir akhirnya kami sampai kembali ke masjid Penanti. Mungkin rezeki kami malam itu, kami berjaya ditunjukkan arah oleh petugas PKR disana untuk ke Guar Perahu.

Di Guar Perahu, kenderaan mula berpusu-pusu menjalar untuk ke tempat ceramah. Padang yang dijadikan tapak ceramah mula dibanjiri orang ramai. Mengikut apa yang diberitahu, Anwar dan Dr Harun Din akan berceramah disitu.

Rupa-rupanya, Saifudin dan Haji Hadi Awang juga turut berceramah malam itu.


Saifuddin Nasution memang pakar didalam statistik. Setiap faktanya disertai dengan angka samada jumlah mahupun tarikh dan kehebatannya didalam menghafal semua itu cukup menarik perhatian pendengar semua.


Haji Hadi Awang yang kelihatan agak keletihan tidak mahu ketinggalan didalam menyatakan sokongan terhadap calon PKR.

Dr Harun Din mengupas tentang sumpahan dalam Islam dengan begitu jelas berdasarkan Al-Quran dan juga hadis-hadis.


Azmin Ali yang kebetulan hanya singgah untuk mendengar penjelasan Dr Harun Din tentang sumpah Saiful telah diminta untuk memberikan sedikit maklumat tentang kempen kali ini. Helikopter polis pula berlegar-legar beberapa kali ditempat ceramah sambil menghalakan lampu kearah orang ramai. Hujan pula mula turun. Nasib saya baik kerana dapat berteduh didalam khemah penceramah. Lebih jelaslah gambar yang diambil.




Ketibaan penceramah utama, Anwar Ibrahim jam 11.30 malam disambut dengan gemuruh oleh orang ramai yang dianggarkan sekitar 7,000 orang. Biarpun penat berkempen, namun ceramahnya begitu bertenaga dan penuh dengan isi dan maklumat yang digelapkan oleh media milik BN. Biarpun hujan, orang ramai tidak berganjak sehingga ke akhir. Ceramah ditamatkan tepat jam 12.00 tengah malam bagi mengikut prosedur permit polis.
Teman seperjalanan saya dari Ipoh, Sdr Amin dan juga Haji Amran manakala Haji Talip entah kemana merayau melihat-lihat gerai jualan, katanya.


Pemandangan orang ramai yang berhimpun mendengar ceramah. Bukan sahaja penduduk tempatan, malahan daripada segenap pelusuk negara bertandang ke Peramatang Pauh. Saya ada berjumpa seorang penyokong PKR yang datang daripada Johor Bahru. Jauhnya.....

Keadaan kesesakan selepas ceramah sehinggakan kenderaan kami terpaksa berinsut-insut mengikuti barisan. Hampir sejam untuk sampai kejalan besar.
Biarpun jam 4 pagi baru sampai dirumah, namun perjalanan ini begitu bermakna dan suatu pengalaman yang sukar dilupakan.
Ajijoi - Kesimpulan daripada kunjungan saya ke Permatang Pauh, ternyata pengaruh dan karisma Anwar Ibrahim takkan dapat digugat oleh BN. Dan kemenangan sudah pasti ditangan Anwar, InsyaAllah.

Friday, August 22, 2008

Kisah petugas ber't-shirt' pagoda

Walaupun cerita lama, terungkap di dalamnya kesedaran dan ukhwah sesama manusia. Bahkah lebih dari itu, terasa kemesraan dan tingginya nilai pertolongan sewaktu terdesak. Semuanya ini terjadi, ketika negara terkejut dengan isu “depa raya”.

Rakan saya, yang kini Timbalan Pesurujaya PAS Wilayah Persekutuan, Ustaz Nazir Zakaria menceritakan pengalamannya itu. Suatu ketika keretanya pernah mengalami kerosakan gearbox di Lebuh Raya Utara Selatan, dekat susur keluar Tapah.

Ustaz Nazir berasal dari Kuala Kedah tetapi sudah lama menetap di Putrajaya. Kerosakan kereta itu terjadi sewaktu beliau hendak ke Kuala Lumpur.

Setelah tercari-cari siapakah yang boleh membantu, beliau menghubungi Setiausaha PAS Putrajaya, Wan Hasrul Affendi. Kebetulan kereta Proton itu dipinjam darinya dan Ustaz Nazir adalah Yang Dipertua PAS Putrajaya. Wan memberikan nombor telefon yang boleh dihubungi di kalangan aktivis PAS Perak.

Ustaz Nazir menghubungi nombor tersebut. Amran Harun, pemilik nombor telefon itu memberi jaminan akan menghantar seseorang ke sana. Ketika itu, Amran adalah Setiausaha Jabatan Pilihan Raya PAS (JPN) negeri berpangkalan di Ipoh. Tidak lama kemudian, seorang petugas PAS sampai dan membawa Ustaz Nazir serta kereta tersebut ke sebuah bengkel.

Sikap bertanggungjawab Amran cukup terpuji. Setelah seminggu berlalu, Amran sendiri menghantar kereta yang sudah siap dibaiki ke rumah Ustaz Nazir di Putrajaya, dari Kampar. Amran juga adalah Setiausaha PAS Kawasan Kampar, waktu itu.

Ketika ummat Islam mahu menyambut hari raya Aidulfitri, yang dikongsikan oleh kerajaan Barisan Nasional dengan hari raya Depavali dan disebut “Depa Raya”, sekali lagi Ustaz Nazir ditimpa kecelakaan. Tayar kereta Citra miliknya terbelah akibat terlanggar gigi jalan yang agak tajam di stesyen Petronas Hentian Rehat Tapah.

Ustaz Nasir bersama isteri dan anak-anak dalam perjalanan ke Kuala Kedah. Untuk berhari raya di kampong.

Waktu itu, tiada satupun kedai beroperasi kerana esoknya umat Islam akan menyambut hari raya Aidulfitri. Dan hari tersebut pula, orang sibuk menyambut hari raya Depavali. Ustaz Nazir bertambah panik, tiada tayar simpanan dalam kereta.

Tiba-tiba, beliau teringat Amran Harun yang pernah menolongnya kira-kira setahun sebelum itu. Beliau terus menghubungi Amran. Nampaknya, Amran masih mengenal Ustaz Nazir dan berjanji akan menghantar “petugas” ke Hentian Rehat Tapah itu dalam masa 30 minit.

Ketika itu, umat Islam masih berpuasa dan esok akan menyambut hari raya. Bayangkanlah, terbelahnya tayar kereta itu dalam suasana terik matahari. Tayar simpanan tiada. Selang beberapa minit, telefon berbunyi. Seorang “petugas” terus bertanya Ustaz Nazir, saiz tayar dan jenis tayar bagi memudahnya mendapatkan tayar berkenaan.

Kira-kira 30 minit kemudian, “petugas” berkenaan sampai dan membawa tayar terpakai. Seorang yang sederhana kurus, bercermin mata dan kelihatan peramah. Barangkali “petugas” itu tinggal tidak jauh dari Tapah.

Malangnya, tayar yang dibawa (terlekat bersama rim) tidak sesuai dengan kedudukan skru pengikat rim. Akhirnya, “petugas” itu mengajak Ustaz Nazir mencari kalau-kalau ada kedai atau bengkel yang beroperasi hari itu sekitar pekan Tapah.

Dengan menaiki kereta “petugas” itu, mereka menuju Pekan Tapah. Semua kedai kelihatan tertutup kaku. Tiada satupun bengkel yang membuka pintunya. Tiada juga kedai tayar yang menggamit pelanggan hari itu. Semua bercuti, sebab hari itu hari raya Depavali dan esok hari raya Aidulfitri.

“Petugas” itu melurukan keretanya ke arah Pekan Bidor. Jauh juga perjalanan dari Tapak ke sana. Patah semula ke arah Kuala Lumpur mengikut jalan lama. Mereka bernasib baik, terdapat satu bengkel yang masih beroperasi. Dan ada pula, tayar yang dicari-cari.

Dari jalan lama itu, mereka keluar ke susur Bidor dan masuk semula ke Lebuh Raya Utara Selatan menuju Hentian Rehat Tapah, tempat kereta Ustaz Nazir ditinggalkan bersama anak dan isterinya.

Sebaik tiba, “petugas” itu terus membuka baju kemejanya. Yang tinggal hanya tshirt pagoda nipis berwarna putih.

Ustaz Nazir cuba untuk membantu tetapi ditegah oleh “petugas” itu. Kerana katanya, ini sudah jadi tanggungjawab beliau untuk menolong sesiapa sahaja khususnya ahli-ahli PAS sepanjang lebuh raya mahupun jalan lama yang merentasi negeri Perak.

Amran pun pernah memberitahu perkara itu. “Petugas” itu juga mengesahkan bahawa mereka ada team yang boleh dipanggil, jika berlaku musibah menimpa ahli-ahli PAS sepanjang perjalanan. Baik membabitkan kereta, motosikal mahupun kenderaan lain.

Peluh jantan mencurah-curah keluar. “Petugas” itu terus gigih memasang semula rim kereta.

‘Tshirt’ pagodanya sudah lenjun basah. Terik mahatari bukan kepalang. Hari itu, umat Islam berpuasa. Tentu sekali letih, dahaga dan tidak bermaya. Namun, “petugas” itu tekun menjalankan amanah parti, menolong sesama manusia.

Setelah selesai, dan “petugas” itu mengesat peluhnya, dia mengenakan semula baju kemejanya. Ustaz Nazir menghulurkan sedikit wang sebagai sagu hati. Petugas” itu menolak, kerana katanya dia menolong dengan ikhlas. Bukan untuk mendapatkan wang.

Sebagai tanda ukhwah, rasa tanggungjawab dan tidak sampai hati, Ustaz Nazir menjadi serba-salah dengan penolakan “petugas” itu. Ustaz Nazir terus menghulurkan duit saguhati itu, kalau “petugas” itu tidak mahu menerimanya, beliau minta dimasukkan ke dalam tabung jamaah (PAS).

Sambil berpeluk-pelukan, Ustaz Nazir mengucapkan berbanyak terima kasih kepada “petugas” yang cukup baik hati itu. Beliau menghulurkan kad nama kepada “petugas” itu, kalau-kalau selepas ini boleh berjumpa di mana-mana, makan-makan sebagai tanda ukhwah.

“Ustaz Nazir Zakaria. Oh… Ustaz, Bendahari PAS Wilayah. Jadi Yang Dipertua Kawasan Putrajaya juga,” kata “petugas” itu sambil membaca bait-bait yang ditulis pada kad nama Ustaz Nazir. “Petugas” itu juga turut mengeluarkan kad namanya dan menghulurkan kepada Ustaz Nazir.

“Ini kad ana. Manalah tau, kalau-kalau berlaku apa-apa, hubungi terus ana,” ujar “petugas” itu sambil menghulurkan sekeping kad nama kepada Ustaz Nazir.

Tertera pada kad itu, nama Ir Mohamad Nizar Jamaluddin; Bendahari Badan Perhubungan PAS Perak dan (Yang Dipertua PAS Kawasan Kampar, Perak). Rupa-rupanya, “petugas” itu adalah kini, Menteri Besar Perak Darul Ridzuan dan Amran Harun pula menjadi Pegawai Khas beliau.

Wednesday, August 20, 2008

Aktiviti Cuti Sekolah

Di musim cuti sekolah ni, macam-macam yang anak-anak nak buat. Kita ikutkan la saja kehendak mereka.

Petang ni, anak-anak nak mandi kolam. Bukannya perlu bawak mereka ke kolam renang di stadium tu, tapi kolam plastik dihalaman rumah je. Bagi mereka itu pun suatu nikmat.
Kita sebagai ibubapa tumpang seronok je bila mereka gembira.

Sasterawan Veteren


HMS Abu Bakar atau nama sebenarnya Haji Mohamed Salleh Bin Abu Bakar memang terkenal dikalangan ahli Pas kerana sajak, puisi dan pantunnya.

Saya bertemu beliau di Muktamar Pas tempohari dan kelihatannya ceria dan sihat biarpun usia melebihi 70 tahun.

Saya difahamkan bahawa beliau adalah bekas Setiausaha Dewan Negara semenjak zaman Tunku Abdul Rahman sehinggalah zaman Tun Dr Mahathir.

Sekarang giat menulis puisi, sajak dan pantun dan baru-baru ini mendeklamasikan puisi tulisannya di Ekspresi Seni (14/08/08) sempena Muktamar Pas.

Beliau ada menyerahkan salinan puisi beliau itu kepada saya tempohari dan saya akan siarkan diblog ini secara berperingkat-peringkat.

Gilatalak

I

Bila hilang kuasa
Mula
Terasa
Hidup tak selesa

II

Bila hilang jawatan
Buntu segala pemikiran
Mula mahu kawan
Walaupun dengan lawan
Dengan jalan
Memberi tawaran
Tanda hilang kewarasan
Tanda wujud keangkuhan
Dalam perasaan
Terpendam perasaan
Mahu guna kebolehan
Mengajar lawan
Berkawan

III

Bila hilang kerajaan
Gelabah seluruh perasaan
Mahu buat apa saja
Asalkan dapat kuasa
Dengan apa cara
Dengan melutut ke pihak lawan
Lawan yang selama
Lima puluh satu tahun
Dikritik
Dikutuk
Dihina
Diperkecil

IV

Tiba-tiba PRU-12
Kuasa mutlak terlepas
Jadi MB ke 10 orang PAS
Memiliki 6 kerusi
Bebas korupsi
Bebas konspirasi

V

Apa ditawar tak jadi
Apa disogok tak jadi
Inilah keadaan
Orang gila talak

HMS Abu Bakar
26 Rejab 1429 Hijriah
(29-07-2008)

Cuti Sekolah

Cuti sekolah adalah masa yang paling sesuai untuk ibubapa memanjakan anak-anak serta melegakan tekanan belajar mereka sebentar.

Biasanya masa cuti sekolah digunakan untuk membawa mereka jalan-jalan makan angin serta bersantai sekeluarga.

Dan cuti sekolah kali ini, di atas permintaan anak-anak, kami sekeluarga makan angin ke Cameron Highlands, Pahang. Pergi pagi, balik petang. Cuma makan angin, cuci mata dan membeli buah-buahan, sayur-sayuran dan bunga-bungaan serba sedikit.

Akan tetapi, Cameron Highlands sekarang tidaklah seperti Cameron Highlands yang dahulu kerana cuacanya yang sejuk sudah seakan tidak terasa akibat kerakusan manusia menggondolkan bukit-bukau yang ada disana atas nama pembangunan.

Kalau dahulu, Cameron Highlands lah tempat yang sejuk lagi nyaman serta sesuai untuk pasangan pengantin baru berbulan madu. Saya berkata begitu kerana bulan madu saya dan isteri dahulu di Cameron Highlands. Kenangan manis itu masih terpahat diminda dan jiwa, tambahan pula apabila berkunjung lagi kesana.

Sayang sekali, tak banyak gambar yang dapat ditangkap kerana anak-anak semuanya pening-pening lalat akibat perjalanan ke sana yang berliku-liku dan berbelok-belok. Selera bergambar mereka hilang dalam kepeningan.

Kemana anda membawa anak-anak bercuti kali ini?

Followers

Video ajijoi

Loading...